Aizuddin juara tangkap ikan baung ekor merah seberat 19.38 kilogram
Aizuddin juara tangkap ikan baung ekor merah seberat 19.38 kilogram
JERANTUT – Seorang nelayan sungai Kampung Pedah di sini, Mohd Aizuddin Rahimi berjaya menangkap seekor ikan baung ekor merah seberat 19.38 kilogram dan membawa pulang hadiah berjumlah RM3,000.
Manakala, Mohd Nor Fariz Ady dari Kampung Gintong menangkap spesies yang sama seberat 14.10 kilogram di tempat kedua dengan memperoleh hadiah RM1,500 dan tempat ketiga, Khairul Anuar Osman dari Kampung Tebing Tinggi dengan ikan yang sama seberat 13.89 kilogram (RM1,000).
Sebanyak 50 ekor ikan pemangsa, iaitu baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides) seberat 296.23 kilogram ditangkap oleh seramai 170 orang peserta dalam tempoh 24 jam sempena pertandingan Moh Buru Baung Ekor Merah di Jerantut Feri di sini hari ini.
Selain itu, bagi kategori tangkapan ikan baung ekor merah terbanyak dimenangi oleh Rosli Aziz Chan dari Kampung Jerantut Feri dengan hadiah bernilai RM2,000 memperoleh sebanyak 18 ekor dan seramai tujuh orang peserta memenangi hadiah sagu hati masing-masing bernilai RM300 dalam pertandingan yang menawarkan keseluruhan hadiah bernilai RM7,800.
Hadiah kepada pemenang telah disempurnakan penyampaiannya oleh Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang turut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Muhammad Nur Ashri Bassari.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Jerantut dan Jabatan Perikanan Pahang bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung selama 48 jam dengan hanya membenarkan peserta menangkap ikan baung ekor merah di kawasan perairan utama, iaitu Sungai Tembeling dan Sungai Pahang di daerah ini.
Pememang pertama, Mohd Aizuddin berkata, dia memasang sebanyak 40 batang tajur dengan umpan anak ikan keli di tebing Sungai Pahang berdekatan Kampung Pedah sejak pertandingan bermula pukul 11 pagi semalam.
“Pada mulanya saya tidak mengharapkan memperoleh ikan baung ekor merah seberat ini memandangkan sebelum ini cuma dapat menangkap spesies pemangsa ini di Sungai Pahang cuma seberatnya kurang 10 kilogram.
“Lebih kurang 10 jam memasang tajur, saya kembali semula ke tepi sungai ini dan terkejut mendapati seekor ikan yang besar meronta di permukaan air di sebatang alat tangkapan ini,” katanya di Jerantut Feri dekat sini.
Katanya, setelah ikan tangkapannya ditimbang oleh penganjur termasuk hasil tangkapan peserta lain, ikan saya paling berat sekali, iaitu 19.38 kilogram sekali gus diisytiharkan sebagai pemenang pertama,” katanya.
Pemenang tangkapan ikan terbanyak, Rosli Aziz Chan berkata dia dan sahabatnya memasang 190 tajur dengan mengikat pada ranting pokok di tepi sungai berdekatan Kampung Tebing Tinggi, dekat sini selain tajur biasa memperolehi 18 ekor ikan.
“Saya teruja apabila mengetahui pertandingan memburu ikan baung ekor merah yang ganas dan agresif berasal Sungai Mekong, Vietnam sebagai pemangsa dan makan ikan asal tempatan di sungai di sini.
“Bagus juga pertandingan ini diadakan untuk menghapus atau menggurangkan jumlah ikan yang memusnahkan ikan seperti patin, temoleh, jelawat, kerai, lampam, ikan kenerak dan lain-lain spesies ikan asal,” katanya.-SAHIH.