PARIS: Paris Saint-Germain berpeluang meraih kejuaraan domestik berganda selepas memenangi Piala Perancis dengan menewaskan Monaco 2-0 pada final di Stade de France.
Jaringan Mauro Icardi dan Kylian Mbappe memastikan kejuaraan buat PSG yang akan mengharungi aksi terakhir Ligue 1 musim ini dengan peluang untuk memenangi gelaran liga ke-10 mereka.
Juara Perancis itu sudah memenangi Piala Perancis sebanyak enam kali sepanjang tujuh musim lalu dan tidak pernah terlepas aksi final sejak tahun 2015.
Ia juga trofi kedua dalam karier pengurusan Maurico Pochettino selepas dia memenangi Trofi Juara-Juara untuk PSG pada Januari.
“Kami bekerja setiap hari untuk mengalami perasaan, ganjaran dan pengiktirafan seperti ini.
“Ia adalah hasil kerja berpasukan, semua yang terbabit dengan kelab ini, dan penyokong-penyokong yang tidak dapat bersama kami, lapor AFP.
“Kami sentiasa memikirkan tentang peminat dan kejuaraan ini adalah untuk mereka juga,” kata Mbappe.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Pemain tengah Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff teruja apabila pasukan itu tidak lagi berada di zon penyingkiran dalam saingan Liga Super sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk terus meningkat sebaik liga disambung semula pada Julai ini.
Pemain kelahiran Kuantan itu berkata kejayaan berkenaan hasil kerjasama pengurusan kelab, barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan untuk meletakkan skuad Tok Gajah pada prestasi lebih mantap.
“Sudah semestinya saya dan rakan sepasukan gembira kerana Sri Pahang berjaya beralih kedudukan lebih baik selepas mengharungi 13 perlawanan. Berada di kedudukan kesembilan liga berbanding dua tangga tercorot sebelum ini amat melegakan kami.
“Ia berjaya menyuntik semangat kami untuk memastikan Sri Pahang mencatat keputusan membanggakan pada setiap perlawanan sebaik liga bersambung nanti. Justeru, tempoh rehat dua bulan akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membentuk persefahaman dan keserasian terutama kehadiran empat import baharu,” katanya, lapor BH ONLINE.
Pun begitu Abdul Malik mengakui dirinya belum berada pada prestasi terbaik berikutan tahap kecergasan tidak mencapai 100 peratus kerana baru pulih daripada sakit.
“Saya harap tempoh rehat ini dapat meningkatkan tahap kecergasan dan membantu pasukan untuk memperbaiki kedudukan. Saya juga percaya kehadiran empat import iaitu Aung Kaung Mann, Manuel Hidalgo, Abubakar Yakubu dan Kenny Athiu menambah lagi kekuatan pasukan,” katanya yang menjaringkan satu gol setakat ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HAZIQ KAMARUDDIN, ATLET MEMANAH NEGARA MENINGGAL DUNIA
KUALA LUMPUR: Arena sukan tanah air hari ini dikejutkan dengan berita pemergian atlet memanah negara Haziq Kamaruddin yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Menurut seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali, pemanah recurve berusia 27 tahun itu rebah di rumahnya di Kajang selepas menunaikan solat subuh pagi tadi, lapor BERNAMA.
“Arwah tiba-tiba rebah sejurus keluar dari bilik air selepas solat subuh dan terus tidak sedarkan diri,” kata wanita itu ketika dihubungi.
Menurutnya, Haziq kemudian digegaskan ke Hospital Kajang, namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital itu.
Pemanah berasal dari Johor itu pernah mewakili negara ke temasya Olimpik sebanyak dua kali, iaitu pada edisi London 2012 serta Rio 2016 di Brazil dan kini sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
Haziq yang sedang menjalani persiapan untuk kelayakan ke temasya di Tokyo itu sudah sedekad mewakili negara di pelbagai peringkat, termasuk meraih pingat emas Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa semasa Piala Asia 2019 di Filipina.
Pencapaian lain beliau yang pernah dinobatkan sebagai olahragawan terbaik Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2011 itu, ialah meraih empat pingat emas dan dua perak dalam acara individu serta berpasukan sepanjang penyertaannya di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.
Sementara itu, rakan sepasukannya Zulfadhli Ruslan merupakan antara individu yang terawal memaklumkan tentang pemergian Haziq menerusi laman Facebooknya.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera, dukacita dimaklumkan sahabat saya, Haziq Kamaruddin telah pergi mengadap llahi pagi tadi.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman. Minta semua rakan-rakan saya mendoakan al-Fatihah,” menurut catatan beliau.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Ratusan penyokong Manchester United melakukan protes ke atas keluarga warga Amerika Syarikat, Glazer selepas mendapati pembabitan mereka dalam rancangan merosakkan bola sepak dengan penubuhan Liga Super Eropah (ESL).
Ia diikuti demonstrasi penyokong di Arsenal, Chelsea, Liverpool dan Tottenham yang berang dengan tindakan kelab masing-masing yang cuba menyertai liga francais berkenaan.
Ed Woodward sudah berhenti daripada United di tengah kemelut krisis ESL dan akhbar tempatan difahamkan beliau keluar kelab pada Isnin sebelum Chelsea dan Manchester City menarik diri daripada kejohanan berkenaan.
Namun, ini memerlukan sesuatu yang lebih daripada protes penyokong – yang menyaksikan penyokong Red Devils membakar bendera Amerika Syarikat – untuk menggesa adik beradik Glazer keluar dari Old Trafford.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Keluarga berpangkalan di Florida itu pernah memberitahu yang mereka hanya akan menjual United pada nilai 4 bilion pound (RM22.82 bilion) – jumlah yang mereka rasa berbaloi sekiranya ESL gagal.
Mereka hanya membayar 790 juta pound (RM4.5 bilion) untuk mendapatkan Red Devils pada 2005 dan sekiranya mereka mampu mencari pembeli dengan harga ditetapkan itu, mereka mungkin boleh mendapat keuntungan 400 peratus daripada pelaburan asas.
Di bawah kepimpinan mereka, hutang kelab masih kekal tinggi manakala adik beradik itu menerima jutaan ringgit menerusi dividen tahunan.
Penyokong United begitu berang dengan cadangan ESL berkenaan dan mereka menyerbu pusat latihan kelab di Carrington pada Khamis dan Ole Gunnar Solskjaer sendiri terpaksa mengawal keadaan, lapor Agensi.
Begitupun, pengendali itu menganggap pengerusi bersama Joel dan keluarganya tidak dapat ke mana-mana – meskipun setiap pemilik Big Six terpaksa berdepan pertempuran dengan penyokong semula.
“Saya fikir, pemilik yang menandatangani kertas cadangan itu mempunyai tugasan di bahu mereka, sudah tentu mereka miliki tanggungjawab itu.
“Kami menerima permohonan maaf daripada Joel dan itu adalah sesuatu yang penting. Dia memberitahu kami betapa beliau komited untuk membantu kami.
“Perpaduan dan semua pihak datang bersama-sama adalah salah satu sasaran utama untuk kita melangkah ke depan. Saya mempunyai hubungan terbuka dan baik dengan mereka dan mereka begitu menyokong saya,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – vaksin diterima skuad Harimau Malaya dapat membantu mereka untuk memberi tumpuan sepenuhnya pada aksi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun depan.
Kapten pasukan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak yakin, suntikan berkenaan juga mampu menghilangkan rasa takut para pemain terhadap ancaman Covid-19, yang masih melanda dunia ketika ini.
“Saya harap mereka lebih yakin dan tidak takut akan ancaman Covid-19, saya rasa bila cucuk (suntik) tadi pun tidak rasa sakit sangat macam ambil BCG (Bacillus Calmette-Guerin), dan Alhamdulillah ketika ini tidak rasa apa-apa,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, bersama lebih 40 pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang lain di Dewan Seri Seroja Putrajaya pada Isnin.
Dalam pada itu, tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui, pada mulanya gusar untuk menjalani suntikan selepas mendengar berita mengenai 40 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang selesai menjalani proses vaksinasi dengan menerima dua dos suntikan, dikesan dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.
Namun, Aidil Zafuan, yang menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech itu, mampu menarik nafas lega selepas dia dan rakan sepasukannya yang lain mendengar penerangan lanjut, daripada pegawai perubatan dalam program itu.
“Rakan-rakan lain pun agak risau, tetapi selepas kita tengok cara suntikan dilakukan saya rasa tiada masalah untuk berasa was-was, sama ada vaksin ini bagus atau tidak,” tambahnya.
Pemain berpengalaman berusia 33 tahun itu juga, berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana memberi keutamaan kepada skuad bola sepak kebangsaan, untuk menerima suntikan vaksin, lapor Bernama.
Skuad Harimau Malaya dijangka menerima suntikan dos kedua pada 10 Mei depan sebelum berhimpun pada 16 Mei untuk menjalani kem latihan pusat dan dijadualkan berlepas ke UAE, 20 Mei depan.
GAMBAR HIASAN
Malaysia akan menentang tuan rumah UAE pada 3 Jun, sebelum berdepan Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam perebutan gelaran juara Kumpulan G, bagi memburu slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sekali gus mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.
Skuad kebangsaan sebelum itu dijangka menghadapi dua aksi persahabatan menentang Kuwait (23 Mei) sebelum menentang pasukan kebangsaan Bahrain pada 28 Mei.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemain tenis professional Switzerland, Roger Federer, 36, dilantik sebagai duta rasmi Switzerland dengan kerjasama Switzerland Tourism (ST) untuk mempromosikan pelancongan global.
Promosi Roger Federer dan ST berlangsung bermula April dengan memberi tumpuan pelancongan di bandar Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Pasifik.
Beliau berjaya mendapat tempat semasa Grand Slam Wimbledon pada usia 35 telah dan mengharumkan nama Switzerland ke persada dunia.- sumber myswitzerland.com
Kerjasama Roger Federer dengan lembaga pelancongan tempatan adalah inisiatif jangka panjang untuk destinasi nasional.
Selain itu, kerjasama ini bertujuan menarik pelancong luar dan tempatan dengan keindahan alam semula jadi di negara itu.
“Saya telah menjelajah seluruh dunia, tempat kegemaran saya sentiasa di Switzerland, negara yang saya sering rindui ketika saya melancong ke tempat lain,” katanya menerusi baseline.tennis.com
Bayaran yang diterima oleh Roger Federer disalurkan ke Roger Federer Foundation yang membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di Switzerland.
Kepada rakyat Malaysia, bersabarlah menunggu pintu sempadan antarabangsa dibuka secepat mungkin.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kompleks Pembangunan Belia dan Sukan Daerah Jerantut perlu diaktifkan selepas berakhirnya pandemik Covid-19 agar tidak dibiarkan kemudahan yang tersergam indah terbiar begitu sahaja.
Kompleks yang lengkap dengan balapan bertaraf olimpik dengan kemudahan acara sukan padang yang bersesuaian untuk menjalankan aktiviti sukan khususnya olahraga boleh meningkatkan tahap sukan olahraga daerah Jerantut.
Selain itu, kompleks itu sebagai gelanggang mencari bakat baharu dalam sukan olahraga untuk dibekalkan kepada peringkat negeri dan seterusnya menjadi mesin pencarian bakat Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang.
Persatuan Olahraga Amatur Daerah Jerantut sudah tidak perlu memikirkan tempat untuk mengadakan kejohanan sukan olahraga peringkat daerah kerana semuanya lengkap dan sedia untuk digunakan, malah mengikut piawaian yang tidak diragui.
Pihak pengurusan daerah boleh memberi galakan kepada persatuan olahraga amatur daerah Jerantut untuk bergerak lebih aktif kerana aset mahal sudah siap sedia dan jangan dibazirkan.
Kompleks itu boleh dibuka kepada sekolah-sekolah menengah dan rendah sekitar bandar atau daerah Jerantut menggunakannya untuk temasya sukan sekolah masing-masing termasuk Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut dengan peraturan yang ditetapkan.
Aktiviti sukan seperti olahraga, gelanggang futsal dan sepak takraw yang ada di kompleks itu diharap dapat mengurangkan gejala negatif di kalangan belia yang selama ini mungkin tiada tempat untuk mereka beriadah dan bersukan.
Bagi menarik golongan muda untuk bersukan, pihak persatuan sukan, pejabat belia dan sukan daerah boleh merancang pelbagai aktiviti yang berjadual dan dimanfaatkan dengan sokongan padu pihak pengurusan daerah , ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri termasuk ahli korporat dalam daerah ini.
Selain itu, sambutan hari kebangsaan atau perarakan Maulidur Rasul boleh diadakan di ‘stadium mini’ itu dengan lebih selesa.
Jangan jadikan projek besar di daerah ini terbiar tanpa digunakan dan diharap selepas gejala penularan wabak Covid-19 berakhir kompleks itu boleh diaktifkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekadar memberi amaran keras kepada pemain Kelantan FC, Jack Hindle atas kesalahan menolak pengadil, ada penyokong yang sinis menyatakan itu hanyalah sekadar wayang daripada badan induk itu.
Mereka mendakwa Jack hanya mendapat amaran kerana badan induk mahu memberikan hukuman yang sama kepada pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa yang juga menolak pengadil perlawanan ketika aksi bertemu Perak FC, 21 Mac lalu, lapor Berita Harian.
Namun sebaliknya berlaku apabila pemain berdarah campuran itu dihukum lebih berat berbanding Jack apabila didenda RM10,000 dan penggantungan satu perlawanan sekalipun hanya satu penggantungan automatik dan selebihnya ditangguhkan yang dilihat sedikit pelik.
Melihat kepada situasi ini, pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli menyifatkan tindakan FAM itu sebagai pendekatan yang membuktikan mereka sama sekali tiada double standard atau pilih kasih ke atas mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).
Malah, beliau menegaskan hukuman terbabit memberi petunjuk yang tiada pemain pasukan kayangan dalam kancah bola sepak tempatan yang boleh terlepas sekiranya melakukan kesalahan sebaliknya mereka juga boleh dihukum sama seperti pemain lain.
“Saya hormati keputusan Jawatankuasa Tatatertib (FAM) atas hukuman penggantungan itu kerana ini menepis tanggapan penyokong yang selama ini beranggapan ada pasukan dapat keistimewaan dalam Liga M.
“Saya rasa hukuman itu diputuskan dengan mengikut peruntukan yang ada dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ataupun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Mungkin juga berdasarkan kes yang pernah terjadi sebelum ini.
“Jadi tidak timbul isu pemain kayangan atau pasukan kayangan. Ibarat kata pepatah kerbau menanduk kerbau pergi, siapa bersalah pasti akan dapat hukumannya.
“Semoga hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada semua pemain di mana kalau mereka ambil tindakan sebegini (tolak pengadil), maka hukuman sebeginilah yang akan diterima,” katanya.
Dalam masa sama, Pekan mengharapkan badan induk itu akan terus konsisten dalam menghakimi pemain supaya tidak timbul percanggahan pada masa akan datang.
“Kalau ada insiden dengan fakta kes yang berlaku lagi selepas ini, jadi hukumannya perlulah konsisten. Jangan kes ini dikenakan penggantungan tetapi kes selepas ini, tiada penggantungan.
“Ini kerana mesej yang jelas perlu diberikan kepada pemain. Jangan sampai pemain melihat hukuman ini terlalu ringan dan mencetuskan perkara lebih buruk seperti menumbuk pengadil pula,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BERLIN: Nama popular Mick Schumacher mungkin boleh membantunya memecut pada tahap permotoran lebih rendah namun ia menambah tekanan ketika membuat kemunculan pertama Formula Satu (F1) Ahad ini.
Mick, anak kepada juara dunia tujuh kali Michael, akan memandu jentera pasukan dari Amerika Syarikat (AS), Haas pada Grand Prix pembuka tirai di Bahrain.
GAMBAR IHSAN AFP
Schumacher, 22, mendapat peluang selepas menang Kejuaraan Formula Tiga Eropah pada 2018 dan gelaran Formula Dua pada 2020.
Namanya yang popular membantu Haas mencari dana dan karier jangka panjang pemandu muda itu nampak sudah jelas.
Mick ialah sebahagian daripada akademi Ferrari, ketika bapanya menang lima daripada tujuh gelaran dunia, lapor AFP.
Haas dan Ferrari masing-masing membayar separuh daripada gaji Mick Schumacher dan jika dia membuktikan kehebatannya, dia boleh berlumba dengan jentera merah popular milik syarikat berpangkalan di Maranello itu.
GAMBAR IHSAN AFP
“Nama Schumacher ialah satu jenama, tapi ia jenama dikaitkan dengan nama pertama Michael,” kata Herve Bodinier, pakar pemasaran sukan profesional Formula 1.
“Ferrari dan yang lain bukanlah penaung, Mick perlu menulis ceritanya sendiri.” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mencipta sensasi apabila merangkul gelaran Seluruh England buat kali pertama selepas menundukkan pemain nombor dua dunia Viktor Axelsen pada aksi final sebentar tadi.
Aksi final yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham itu menyaksikan pertarungan dramatik antara kedua-dua pemain berkenaan apabila permainan berlanjutan ke set penentuan.
Walaupun turun dengan rekod kekalahan sebanyak tiga kali ke atas Axelsen, namun Zii Jia langsung tidak goyang apabila dia mempamerkan semangat juang tinggi dan berjaya merakam kemenangan 30-29 di set pertama ke atas lawan dari Denmark itu.
Set kedua menyaksikan kedua-dua pemain saling mengejar mata namun Axelsen lebih bernasib baik apabila menang 22-20 di set kedua.
Set ketiga Zii Jia tampil lebih garang dengan keinginannya untuk muncul juara dilihat sangat tinggi apabila tidak memberi ruang buat Axelsen sekali gus merekodkan kemenangan 21-9 sekali gus dinobatkan sebagai juara.
Kemenangan itu melunaskan dendam Zii Jia ke atas Axelsen yang menewaskannya ketika aksi separuh akhir edisi tahun lalu, lapor BH Online.
Kejayaan Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia itu menamatkan penantian selama empat tahun Malaysia bagi muncul juara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada 2017.
Selaku juara Zii Jia membawa pulang hadiah wang tunai AS$59,500 (RM 244,344).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!