Foto atas : Sebuah jentera jengkaut dirampas oleh pihak UPNP dalam serbuah di Raub.
UPNP serbu kawasan penerokaan tanah haram, rampas jengkaut di Raub
RAUB : Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Zon Pahang Barat telah melakukan serbuan di kawasan yang dipercayai menjalankan aktiviti pembukaan tanah secara haram di atas tanah kerajaan di Raub.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, anggota UPNP Zon Pahang Barat telah melakukan rondaan penguatkuasaan sekitar daerah Raub kira-kira jam 3.30 petang semalam.
“Saya dimaklumkan UPNP tibanya di Sungai Rambai mendapati sebuah jentera jengkaut sedang melakukan kerja-kerja membersihkan sekitar kawasan tersebut.
“Anggota operasi telah bertindak menahan jengkaut tersebut, namun pemandu jengkaut itu sempat melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota UPNP,” katanya melalui laman Facebooknya.
Katanya, seorang lelaki telah tampil dan memperkenalkan diri sebagai pemilik jengkaut dan pegawai UPNP memohon pemilik jengkaut tersebut memberi dokumen kelulusan atau permit berkenaan aktiviti yang dilakukan namun gagal.
“Anggota UPNP bertindak merampas jentera tersebut untuk tujuan siasatan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah kerajaan.
“Saya ingin maklumkan kerajaan negeri tidak sesekali berkompromi dengan sebarang aktiviti penerokaan tanah secara haram di mana-mana kawasan di negeri ini dan memohon UPNP untuk terus membenteras aktiviti ini dengan lebih tegas,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pasukan SK Gelanggi (kiri) dan pasukan SK Jerantut Jaya (kanan) bergambar sebelum pertanigan akhir bermula.
Bola Baling Jerantut, TAHAP muncul juara 18 tahun lelaki dan perempuan
JERANTUT : Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut 2023 yang berakhir hari ini telah mencungkil bakat baharu yang berpotensi besar untuk diketengahkan di kejohanan peringkat negeri tidak lama lagi.
Kejohanan 4 hari itu diadakan di gelanggang Sukan Daerah Jerantut dan disertai 30 pasukan katagori 12 tahun dan 16 pasukan kategori bawah 18 tahun.
Menurut Pengerusi Teknik dan Permainan Sukan Bola Baling MSSD Jerantut (Sekolah Rendah) , Muhammad Fekry Yahya berkata, kejohanan ini sebagai mencari pemain berpotensi dan berbakat untuk dipilih mewakili daerah Jerantut.
Katanya, kejohanan tahun ini telah menyerlahkan ramai pemain berbakat dan diramalkan akan terpilih mewakili negeri Pahang ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Manakala Pengerusi Teknik Bola Baling MSSD Jerantut (Sekolah Menengah) , Mohd Idham Suhaimi berkata, daerah jerantut banyak melahirkan pemain yang berbakat sejak 10 tahun lalu.
“Jerantut pernah mempunyai pemain perempuan dari SMK Inderapura mewakili pasukan Malaysia ke kejohanan ASEAN begitu juga pemain lelaki dari SMK TAHAP bermain untuk pasukan negara,” katanya.
Pasukan SK Gelanggi 2 muncul juara kategori perempuan 12 tahun di kejohanan itu.
Kategori lelaki 12 tahun, Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya muncul juara menewaskan SK Gelanggi Satu, manakala tempat ketiga dimenangi bersama oleh SK Bandar Jerantut dan SK Pedah.
Pemain SK Jerantut Jaya, Wan Muhammad Aliff Quyyum Mohd Fazan dipilih sebagai pemain terbaik kategori ini.
Pasukan SK Gelangi Dua pula muncul juara dengan menewaskan SK Pulau Tawar dan Nur Hariza Maposam (SK Gelanggi Dua ) sebagai pemain terbaik bagi ketegori perempuan 12 tahun.
Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (TAHAP) muncul juara dengan menewaskan pasukan Projek 2024 dengan jaringan 7-2 dan Muhammad Amirun Amin Mahadi (TAHAP) muncul pemain terbaik..
Pasukan SMK TAHAP menewaskan SMK Gelanggi 2 dengan jaringan 9-3 untuk muncul juara bagi kategori perempuan 18 tahun dan Nur Ilyani Izzati Azman (TAHAP) muncul pemain terbaik kejohanan.-SAHIH,
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jalan baharu Solok Ayer Limau – Kampung Jeram singkatkan masa perjalanan
MELAKA – Projek pembinaan jalan baharu dari Solok Ayer Limau ke Kampung Jeram, Masjid Tanah, Alor Gajah bakal memendekkan masa pejalanan selama 15 minit dan dijangka siap tahun hadapan.
Timbalan Menteri Jerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebelum ini perjalanan laluan itu mengambil masa kira-kira 30 minit.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Yusoh (2 dari kiri) dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad,(2 dari kanan) dalam Lawatan Projek Membina Jalan Baru dari Solok Ayer Limau ke Kg Jeram, Masjid Tanah, Alor Gajah Melaka.
Katanya, projekini dijangka dapat disiapkan 50 hari lebih awal daripada tarikh sepatutnya, menariknya jajaran jalan ini hanya melibatkan kawasan pertanian dan tidak melibatkan kawasan ataupun tanah penempatan penduduk.
“Kawasan yang terlibat dengan projek ini merupakan kawasan pertanian dan kebanyakan penduduk terlibat adalah dalam sektor perladangan dan pertanian.
“Kita berhasrat akan mempertingkatkan kemudahan pengangkutan dan menyediakan rangkaian jalan raya terutamanya bagi menyuraikan kesesakan di kawasan pusat bandar dan menjimatkan masa dari Kampung Jeram ke Alor Gajah sebanyak 15 minit,” katanya.
Abdul Rahman berkata, ianya bertujuan memberikan kemudahan para petani membawa hasil pertanian dan juga pelancong menuju ke destinasi dengan mudah dan meningkatkan sosio-ekonomi penduduk setempat.
“Selain itu, projek jalan ini boleh dijadikan sebagai jalan alternatif kepada pengguna jalan raya ke pekan berhampiran dengan lebih mudah dan lancar,’ katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pesara mahu kenaikan 5 peratus dibayar ikut ketetapan 2012 dan 2013.
JERANTUT – Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM) mahukan kenaikan pencen tahunan sebanyak lima peratus diberi mengikut ketetapan yang telah dibuat pada 2012 dan 2013.
Timbalan Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM), Datuk Jamale Paiman.
Timbalannya Datuk Jamale Paiman berkata, perkara ini telah dibawa kepada pihak kerajaan dalam mesyuarat pengurusan tertinggi perkhidmatan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Sidek Hassan pada tahun 2012 melalui Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres)
“Perkara ini turut dibawa oleh Kongres kepada Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Ali Hamzah pada tahun 2013 untuk pesara kerajaan diberikan kenaikan pencen tahunan 5 peratus setiap tahun bersesuian dengan kos sara hidup negara.
“Bagaimanapun kerajaan hanya meluluskan 2 peratus kenaikan tahunan pada 2013 dengan alasan pesara tidak menyumbang kepada kepada negara,” katanya ketika dihubungi.
Beliau yang juga mantan Presiden Kongres berterima kasih kepada pesara yang mencabar kerajaan untuk melihat kembali perkara 147 Pesaraan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada pesara-pesara kerajaan.
“Saya bagi pihak 5PM menghargai keputusan mahkamah mengenai perkara 3 dan 7 Akta Pesara 1980, iaitu kenaikan tahunan gaji penjawat awam dan membatalkan Seksyen 3 dan 7, Akta pelarasan pencen, pindaan 2013 dan 2022.
“Dipercayai pesara-pesara kerajaan akan mendapat faedah tunggakan dari tahun 2013 kesan dari kenaikan 5 peratus kerana perkara 147 tidak dipatuhi.
“Oleh itu, tiada pengurangan dan penganiayaan gaji penjawat awam termasuk pesara kerajaan, diharap semua pesara kerajaan mendapat faedah 5 peratus dari tahun 2013 dan tidak ada berlaku pemulangan wang diterima kepada kerajaan,” katanya.
Jemale berkata, semua pesara sepatutnya menerima kenaikan pencen tahunan berdasarkan kenaikan gaji tahunan mengikut gred gaji terakhir masing-masing.
“Jika ianya dilaksanakan maka pesara akan menerima tunggakan dari tahun 2013 hingga pelarasan baru dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun ini.
“Kerajaan tiada alasan untuk menangguhkan bayaran tunggakan atau pesara diminta membayar balik wang kepada kerajaan kerana ia adalah kepentingan rakyat Malaysia,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Seorang maut, kereta rentung bertembung dengan lori dalam kemalangan di Jerantut
JERANTUT : Seorang maut, empat cedera parah serta sebuah Proton Exora rentung dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah lori Isuzu di Jalan Jerantut- Sungai Salan, berdekatan Pusat Tahfiz, Pulau Tawar pada jam 12.39 tengahari semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata Pegawai Operasi, Rosdi Talib yang mengetuai operasi itu melaporkan, tiba di tempat kejadian sebuah kereta jenis Proton Exora dianggarkan terbakar 100 peratus akibat kemalangan dengan sebuah lori.
“Seorang lelaki dewasa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dan 2 wanita dewasa mengalami kecederaan parah.
“Lelaki dewasa disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala dua wanita mengalami kecederaan dihantar ke Hosptial Jerantut untuk rawatan selanjutnya,” katanya..
Katanya, seramai 8 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan dan berjaya memadamkan api kebakaran.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Wan Nurhazirah Wan Shamsuri (depan, tengah) menyumbangkan dua set Smart TV 50 inci dan kipas kepada Jamaludin Baharun (kiri) disaksikan oleh guru di Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya, Jerantut hari ini.
Cakna pembelajaran digital, ibu sumbang sebuah Smart TV kepada sekolah
JERANTUT – Seorang ibu, Wan Nurhazirah Datuk Wan Shamsuri sanggup membelanjakan sebanyak RM2,760 menyediakan sumbangan dua buah Smart TV berukuran 50 inci dan dua kipas untuk kelas anaknya, Puteri Nelissa Aishah Muhammad Anwar yang belajar di Tahun Tiga, Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, bandar Jerantut hari ini.
Wan Nurhazirah yang juga Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut menjelaskan sumbangan peralatan Smart TV bernilai RM2,400 bagi kemudahan pembelajaran digital untuk anaknya serta murid-murid lain ke arah kemenjadian insan yang lebih kreatif dan kritis dalam pembelajaran selain meneroka pelbagai pengetahuan menerusi atas talian selari dengan pendidikan moden.
“Selaku ahli jawatan kuasa PIBG, saya terpanggil untuk menyumbangkan sedikit wang untuk menyediakan peralatan berkenaan selari dengan hasrat sekolah ini untuk ‘Memperkasakan Pengelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS)’ bagi memenuhi pendidikan arus perdana di sekolah ini.
“Amal jariah ini dengan harapan dapat menggembirakan sekali gus galakan bagi anak saya, Puteri Nelissa Aishah dan keseluruhan murid Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya lebih bersungguh serta rajin belajar berbantukan bahan digital seperti Smart TV dan sebagainya,” katanya di SK Jerantut Jaya, bandar Jerantut hari ini.
Tambahnya, dua buah kipas yang berharga RM380 juga bagi kemudahan sedikit keselesaan anaknya dan rakan di kelas Tiga Naura belajar ketika cuaca panas.
Sementara itu, Guru Besar SK Jerantut Jaya, Jamaludin Baharun terharu serta teruja kerana ibu murid berkenaan yang juga seorang AJK PIBG hadir menyumbangkan peralatan digital dan elektrik tersebut.
“Kita bersedia menerima apa-apa sahaja sumbangan daripada ahli jawatan kuasa PIBG serta ibu bapa/penjaga murid untuk merealisasikan pendidikan digital di sekolah ini yang sudah mendominasi di dalam kelas dan Pusat Sumber sekolah bagi mencanai ilmu menerusi atas talian,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pasangan, Zahrin Osman, 74 (kiri) dan Azizi Othman, 62, disatukan selepas berkenalan selama tujuh bulan menerusi laman sosial.
Perkenalan di laman sosial, warga emas ke jenjang pelamin
JENGKA: Perkenalan menerusi laman sosial membawa sepasang warga emas ke gerbang perkahwinan yang dilangsungkan di Masjid Al-Rahmaniah, Felda Jengka 17, semalam.
Pasangan itu, Zahrin Osman, 74, dan isterinya, Azizi Othman, 62, disatukan selepas berkenalan selama tujuh bulan menerusi laman sosial, diikuti panggilan telefon.
Zahrin dari Taiping, Perak dan kini bermastautin di Petaling Jaya mempunyai tiga anak dan sudah lama menduda kerana kematian isteri pertamanya.
“Perkenalan ini bermula daripada dalam kumpulan sembang sebuah laman sosial. Senda gurau selalunya berlaku dalam kumpulan sembang ini dan tidak semena-mena saya tertarik dengan wanita (Azizi) ini.
“Pada peringkat awal perkenalan, kami hanya berhubung menerusi media sosial dan menjelang hari pernikahan baru kami berhubung melalui panggilan telefon,” katanya.
Katanya, perkahwinan kali kedua itu direstui oleh semua anaknya dan ahli keluarganya yang lain kerana mahu melihat dia mempunyai teman hidup.
Sementara Azizi pula yang berasal dari Felda Jengka 17, berpisah dengan suami pertama sejak lima tahun lalu dan mempunyai lima anak.
“Sejak berpisah dan bersara daripada perkhidmatan kerajaan, saya sering berhubung dengan rakan-rakan lama dalam kalangan wanita menerusi media sosial.
“Seorang rakan mencadangkan saya melayari laman sesawang untuk mencari kenalan dan bermula dari situ saya berkenalan dengan suami saya. Saya berdoa perkahwinan kali kedua ini akan berkekalan sehingga ke akhir hayat,” katanya.
Sumber : Berita Harian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pahang hadapi kes karies gigi tertinggi di Malaysia
KUANTAN -Sebanyak 80.5 peratus kanak-kanak prasekolah di negeri Pahang pada tahun 2015 mengalami karies gigi dan ke-5 tertinggi di Malaysia melalui satu hasil tinjauan Kesihatan Mulut Kebangsaan.
Selain itu, tinjauan itu menyatakan 40.1 peratus murid sekolah Tahun 2017 yang berumur 12 tahun di negeri ini mempunyai kerosakan gigi dan ke-5 tertinggi di Malaysia.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, manakala bagi orang dewasa sebanyak 90.5 peratus mengalami kerosakan gigi dan 82 peratus mengalami masalah kesihatan gusi pada tahun 2010.
“Sebanyak 64 buah Klinik Pergigian dibuka setiap hari manakala sembilan buah lagi menjalankan perkhidmatan secara lawatan.
“Pada tahun 2022 didapati kadar penggunaan fasiliti pergigian oleh penduduk negeri ini adalah 24.6 peratus kira-kira 1 dalam 4 penduduk sahaja yang menggunakan perkhidmatan kesihatan pergigian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di program Minggu Promosi Kesihatan Pergigian (MPKP) yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, di sini, hari ini.
Katanya, negeri Pahang mempunyai 73 buah fasiliti Kesihatan Pergigian Primer yang menyediakan rawatan asas pergigian, namun, masalah karies gigi (kerosakan gigi) merupakan salah satu masalah pergigian utama yang dihadapi oleh kanak-kanak dan golongan dewasa.
“Pada tahun 2022, sebanyak 39 program berkerjasama dengan institusi agama telah dijalankan dengan melibatkan 24 buah masjid, 6 buah tokong, 4 buah kuil, 1 buah gereja dan 4 buah institusi keagamaan lain sebagai memberi perkhidmatan kesihatan gigi di negeri ini.
“Manakala 11 buah Kolej Komuniti turut dikunjungi bagi pelaksanaan program perkhidmatan kesihatan gigi dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.
Nor Azimi berkata, selain itu, sebanyak 27 buah institusi warga emas dan 45 buah Pusat Pemulihan dalam Komuniti juga telah dilawati.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anak, cucu dan cicit Allahyarham Kiyai Salleh Abdul Syukur berkumpul pada Program Perjumpaan Keluarga di rumah pusaka yang terletak di Kampung Parit Kaseh Sayang, Senggarang, Batu Pahat, Johor pada 1 Julai lalu.
Anak, cucu,cicit Kiyai Salleh berkumpul di Batu Pahat
TIDUR berselerak dan bergelimpangan di ruang tamu seperti dahulu di atas rumah pusaka mengamit banyak kenangan silam kepada anak, cucu dan cicit Allahyarham Kiyai Salleh Abdul Syukur dalam program perjumpaan keluarga yang diadakan pada 1 Julai lalu.
Program itu berlangsung di Kampung Parit Kaseh Sayang, Senggarang, Batu Pahat, untuk menghimpunkan semula lebih 250 waris Allahyarham Kiyai Salleh sehingga generasi keenam yang berada di seluruh negara termasuk dari Selangor, Melaka, Pahang dan juga Johor.
Majlis bacaan yasin dan tahlil turut diadakan pada program itu.
Cucu Allahyarham Kiyai Salleh, Harolhanam Mohamed Wahid, berkata program julung kali itu diadakan atas inisiatif bapa saudara beliau iaitu Muslimin Salleh yang merupakan satu-satunya anak Allahyarham datuknya yang masih hidup daripada lapan adik-beradik.
Menurutnya, bersempena Hari Raya Aidiladha, bapa saudaranya itu memaklumkan supaya diadakan satu perjumpaan buat semua waris Allahyarham Kiyai Salleh di atas rumah pusaka berkenaan bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga di samping dapat mengimbaukan semula kenangan masa kecil dahulu.
“Selepas mendapat persetujuan semua waris bersetuju program diadakan di rumah pusaka ini walaupun kecil kami tidak kisah kerana masih kanak-kanak pernah tidur berhimpit-himpit dengan disaksikan oleh Allahyarham datuk penuh sayu,” katanya.
Sempena program berkenaan, telah diadakan majlis bacaan Yasin serta tahlil untuk Allahyarham Kiyai Salleh dan ahli keluarga yang sudah meninggal dunia diikuti pelbagai aktiviti seperti sukaneka, cabutan nombor bertuah disamping jamuan ringan bagi memberi peluang semua waris bersua muka untuk bertanya khabar.
Waris ahli keluarga Allahyarham Kiyai Salleh beramah mesra sambil menjamu selera dalam majlis jamuan yang diadakan.
Harolhanam berkata, mereka tidak memilih hotel sebagai lokasi perjumpaan itu kerana bagi memberi peluang kepada cucu serta cicit mengingatikan kembali tempat Allahyarham bersujud menunaikan solat, mengaji, tidur atau berbaring ketika hayatnya.
Menurutnya, bagi sesetengah cucu apatah lagi cicit tidak berkesempatan untuk bermanja dengan Allahyarham ketika hidupnya dan mereka hanya mendengar cerita daripada orang terdekat atau melihat gambar dalam album sahaja.
Tambahnya, mendapat gelaran Kiyai, Allahyarham cukup menitikberatkan didikan agama kepada anak-anaknya yang selalu diingati supaya perkara itu terus disebarkan atau diberi asuhan kepada cucu serta cicit beliau.
Terkesan program itu jelasnya, dalam kesibukan ‘rewang’ menyiapkan jamuan untuk waris semua, antara kami berpandangan sayu apabila dapat hadir dan berkumpul di dalam rumah pusaka kerana masih kekal dengan binaan asal rumah tradisional menjangkau usia 100 tahun yang masih wujud di kampung berkenaan.
“Masih jelas pada ingatan waris semua di halaman rumah inilah tempat kami bermain berkejar-kejaran apabila pulang bersama ahli keluarga pada musim cuti sekolah atau menyambut hari raya dan sebagainya.
“Allahyarham masih itu tidak petah untuk melayani semua anak atau cucu kerana terlalu gembira apabila kami pulang menjenguknya walaupun menetap jauh dari kampung sanggup datang menyantuni dia.
“Sebelum bersurai kami semua bersetuju untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan supaya waris yang menetap di kampung ini khusus bapa saudara kami Muslimin tidak berasa kesunyian kerana masih ada anak saudara serta cucu sedia menyantuninya,” ujar Harolhanam. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi sumbangan kepada 15 ibu dan anak di Hospital Kuala Lipis, hari ini.
Elak tajuk berita yang mengelirukan
LIPIS – Pengamal media berhati-hati ketika menerbitkan berita dengan tajuk yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi dan naratif sehingga ramai warga maya beranggapan bahawa pihak pekebun Musang King di Raub telah menang dalam perbicaraan di mahkamah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihak media jangan menggunakan tajuk berita yang boleh menimbulkan kekeliruan sekaligus mewujudkan provokasi dan salah faham di kalangan masyarakat.
“Pada 4 Julai yang lalu satu laporan sebuah akhbar bertajuk ‘Kemenangan Bermakna Pekebun Musang King’, telah menimbulkan salah faham dan mengelirukan rakyat seolah-olah kerajaan telah kalah dalam perbicaraan tersebut.
“Mohon warga maya bijak menilai berita dan tidak hanya membaca tajuk semata-mata sebaliknya mendapatkan berita lebih lanjut dengan membaca keseluruhan laporan ataupun mencari maklumat daripada pelbagai sumber yang tepat sebelum membuat sebarang penilaian dan pentafsiran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Kick Off Pahang Pride Kid 2023 itu di Hospital Lipis, hari ini.
“Jadi jangan baca tajuk sahaja, baca juga isi kandungan dan dalam masa yang sama cuba mendapatkan pandangan-pandangan atau pun fakta-fakta daripada pihak-pihak lain, jangan berasaskan hanya kepada satu sumber sahaja mereka boleh rujuk kepada pelbagai pihak.
“Keputusan mahkamah tersebut hanyalah berhubung permohonan interlokutori (bantahan awal) pihak Royal Pahang Durian untuk pembatalan prosiding di atas alasan peguam pemohon (pekebun) gagal mengemukakan dokumen untuk mewakili semua pemohon,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!