Pahang berduka kehilangan pemimpin dalam nahas pesawat – MB
KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan perasaan sedih dan dukacita atas tragedi menimpa Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di kawasan kediaman Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, pada Khamis.
Sinar Harian melaporkan, Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai dan Ketua UMNO Bentong antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat kira-kira jam 2.45 petang itu.
“Dengan penuh kesedihan dan dukacita, saya telah dimaklumkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun merupakan salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas itu.
“Bagi pihak kerajaan negeri Pahang, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta keluarga semua mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut,” ujarnya melalui satu kenyataan pada Khamis.
Wan Rosdy berkata, Pahang telah kehilangan seorang pemimpin yang banyak menaburkan khidmat bakti untuk rakyat negeri ini.
“Saya juga menyeru agar orang ramai tidak menyebarkan gambar atau video mangsa ketika kemalangan bagi menghormati keluarga yang sedang dalam kesedihan.
“Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama para syuhada dan solihin. Amin,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
KUALA TERENGGANU: Antara faktor yang mungkin menyebabkan sebuah pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor adalah berkaitan dengan masalah pada sayap pesawat itu, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga seorang pakar dalam bidang aeroangkasa.
Dalam hantaran di halaman Facebooknya, bekas Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, berdasarkan bahan-bahan visual yang diperoleh orang awam, masalah dialami pesawat itu mungkin disebabkan kegagalan sama ada aileron atau gabungan kedua-dua kemudi atau elevator.
“Melihat kepada bahan-bahan visual sahaja (dalam bentuk rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang juga mempunyai lain-lain kekangan), saya lebih cenderung untuk percaya isu yang jadi persoalannya ialah kawalan penerbangan – lebih kepada masalah pada sayap, kemungkinan kegagalan sama ada aileron atau gabungan kedua-dua kemudi dan elevator,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kegagalan pesawat juga boleh berpunca daripada pelbagai masalah seperti isu penyenggaraan, kegagalan integriti struktur pesawat, kegagalan enjin, isu kawalan penerbangan, masalah avionik dan faktor manusia.
Beliau berkata, lebih maklumat diperlukan dalam mencari faktor penyebab nahas itu termasuk siasatan di lokasi kejadian, pemeriksaan mikro dan makro ke atas bahagian atau serpihan pesawat dan analisis kotak hitam.
Sementara itu, Ahmad Samsuri yang mewakili semua warga Terengganu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) petang semalam.
Semalam, 10 lelaki disahkan maut dalam nahas itu terdiri daripada enam penumpang termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Pahang Hijau Datuk Seri Johari Harun dan dua kru penerbangan.
Dua lagi mangsa terdiri daripada seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta yang kebetulan melalui kawasan itu. – BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEKAN – Tong gas memasak meletup mengakibatkan kerosakan pada bahagian ruang dapur sebuah rumah di Lot 1650, Belakang Masjid Taqwa, dekat sini pada jam 5.13 petang, hari ini.
Dalam kejadian tersebut, bahagian dapur berkeluasan 10 kaki x 6 kaki turut merosakkan siling bahagian dapur yang jatuh termasuk pintu dan cermin tingkap telah pecah.
Kejadian tersebut turut meranapkan siling bahagian dapur yang jatuh termasuk pintu dan cermin tingkap telah pecah.
Komander Operasi, Sadun Razali melaporkan, seorang wanita cedera terkena kaca yang pecah dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Katanya 7 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu dan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan penugasan.
“Seorang wanita cedera terkena kaca dan tiga lagi terselamat termasuk dua kanak-kanak lelaki dan perempuan.
“Anggota BBP Peramu turut memeriksa kawasan sekitar rumah tersebut dan tiada lagi bahaya-bahaya lain,” katanya.
Katanya, orang ramai perlu sentiasa memeriksa getah paip dan penyambung gas sentiasa baik untuk menggelakkan berlaku kebocoran gas. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sebanyak 20 buah rumah Blok 14 Felda Jengka 24 di sini terjejas dalam kejadian banjir kilat susulan hujan lebat yang berlaku dalam tempoh lebih satu jam malam tadi.
Hujan turun bermula kira-kira pukul 10.30 malam tadi sebelum air banjir meningkat memasuki kawasan kediaman 60 minit kemudian.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud rumah, berkata, banjir kilat itu merupakan kejadian yang terburuk berlaku sejak hampir 40 tahun tanah rancangan itu dibuka.
Katanya, dia menyedari kejadian terbabit apabila air masuk ke dalam kawasan kediaman dengan cepat apabila dimaklumkan rakan peneroka.
” Ironisnya kejadian banjir kilat itu sering berlaku setiap kali hujan lebat yang menyusahkan penduduk” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan FELDA dan pihak berkaitan bagi tindakan susulan mengatasi masalah berangkai itu.
“Biasanya kalau hujan lebat berterusan lebih satu jam, paras air di beberapa kawasan akan meningkat secara mendadak.
“Saya sempat meninjau kawasan terbabit sebaik dimaklumkan mengenai kejadian banjir kilat ini dan ia didapati berpunca daripada masalah pengairan atau saliran,” katanya.
Menurutnya, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran ( JPS) dilaporkan sudah meluluskan kerja mendalamkan sungai berhampiran dan saya berharap kerja itu perlu disegerakan.
“Dalam masa yang sama, kita minta pihak berkaitan mempertimbangkan untuk membina jambatan mini di kawasan terbabit ,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, penantian penduduk sejak tahun 2020 masih lagi tidak tertunai.
Habis – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Laluan masuk ke penempatan Jengka 6 turut ditenggelami air hari ini.
Jengka 6 banjir , sebuah PPS dibuka
MARAN – Enam mangsa dari satu keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Balai Raya Jengka 6, Mukim Chenor dekat sini pada jam 4.00 petang, hari ini
Ekoran hujan lebat berterusan bermula tengah malam sehingga tengah hari ini menyebabkan kawasan Felda Jengka 6 dinaiki air dan sebuah rumah dihuni sebuah keluarga terjejas.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Maran, Kapt (PA) Mohd Nor Azhar Yusof melaporkan, kejadian banjir tersebut berlaku kerana berlaku hujan lebat bermula kira-kira jam 12.30 pagi sehingga tengah hari ini.
“Sebuah rumah di kawasan itu dinaiki air dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
“Walaupun hujan sudah berhenti, beberapa agensi terlibat masih mantau di kawasan terlibat dan menghantar bantuan keperluan asas bencana kepada mangsa,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anggota bomba memadamkan di bilik guru Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya yang berlaku 11.10 pagi hari ini.
Bilik guru SK Jerantut terbakar
JERANTUT- Tindakan pantas beberapa orang guru yang kebetulan berada di bilik guru ketika itu telah sempat menyelamatkan beberapa perkakasan komputer yang terletak di bilik guru dalam kejadian kebakaran di Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya, dekat sini pad ajam 11.10 pagi hari ini.
Ketua Unit Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pegawai operasi, Shuaimi Mihamad melaporkan, setiba di tempat kejadian, mengesahkan berlaku kebakaran perkakasan komputer di bilik guru, kebakaran ini berjaya dipadamkan oleh kaki tangan sekolah tersebut dengan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering.
“Seramai lapan orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bersama sebuah jentera pemadam bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan daripada pihak sekolah.
“Kejadian ini tidak melibatkan struktur bangunan sekolah, anggota bomba terus membuat pemeriksaan di tempat tersebut bagi memastikan keadaan selamat sebelum mereka bertolak pulang ke BBP Jerantut,” katanya di sini hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sebahagian bekas pelajar SM Khir Johari 1964 merakamkan kenangan bersama-sama Mohiadin (tengah) di depan pintu utama selepas mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Nur Hasanah, di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor, baru-baru ini.
Dua belas orang bekas pelajar Sekolah Menengah Khir Johari (SMKJ) yang lahir pada 1964 (SMKJ 1964), Beranang, Selangor bersepakat dan bekerjasama mengumpul dana untuk membeli barangan makanan asas untuk disumbangkan kepada Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor, baru-baru ini.
Namun begitu paling menyentuh perasaan bekas pelajar sekolah itu apabila tidak mengetahui kewujudan pusat jagaan warga emas di kampung berkenaan yang merupakan tempat kelahiran dan membesar mereka selama ini.
Mazri menerima cenderamata daripada Mohiadin bersempena lawatan ke PJNH dengan memberi sumbangan barangan makanan keperluan asas dan wang tunai.
Pengerusinya, Mazri Bujang, berkata selepas mendapat pengesahan daripada rakan serta penduduk kampung kami berbincang untuk turun padang bagi menyantuni warga emas di pusat berkenaan yang beroperasi tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Menurutnya, selepas datang berkunjung dan mendengar taklimat daripada Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado mereka terkedu dengan sikap bertanggungjawab petugas serta sukarelawan di pusat berkenaan menyantuni warga emas.
Tambahnya, mereka semua berasa kagum dengan sikap dedikasi dan kasih sayang para petugas dan sukarelewan mengurus serta menyeliakan warga emas tiada waris atau disisihkan ahli keluarga itu terutama yang uzur atau telantar di atas katil kerana menghidap pelbagai penyakit.
“Petugas atau sukarelawan ini tidak berasa kekok untuk menukar lampin pakai buang, memapah ke bilik air untuk dimandikan, menyuapkan makanan serta ubat dan sebagainya walaupun tiada pertalian keluarga.
Ramah mesra dengan penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor, baru-baru ini.
“Apabila ditanya dengan Mohiadin, dia memaklumkan itulah tugas harian petugas atau sukarelawan di pusat ini sekian lama tanpa berasa jemu dan sentiasa berharap apa yang dilakukan itu membuka pintu hati sanak saudara warga emas terbabit untuk bertanya khabar atau sebagainya,” ujar beliau.
Dalam lawatan lebih dua jam itu bekas pelajar terbabit dibawa untuk beramah mesra dengan warga emas yang datang dari pelbagai negeri termasuk dari negara seberang yang hidup sebatang kara dan mereka dibuang anak atau ahli keluarga kerana uzur serta membebankan.
Bekas pelajar itu juga dibawa melawat ke bilik warga emas serta diberikan penerangan mengenai pelbagai bantuan yang diperlukan bagi kelangsungan hidup penghuni di pusat berkenaan termasuk barangan makanan keperluan asas, lampin pakai buang, sumber makanan kesihatan serta pengubahsuaian bangunan untuk keselesaan mereka.
Mazri berkata, dia bersama-sama rakan akan menguar-uarkan mengenai pusat jagaan itu kepada bekas pelajar SMKJ lain yang tidak dapat hadir untuk menggerakkan kerjasama bagi mengumpul dana supaya dapat berterusan menghulurkan bantuan.
Tambahnya, dia berkeyakinan usaha itu dapat dilakukan kerana kumpulan berkenaan mempunyai lebih 100 rakan yang sentiasa bekerjasama untuk membantu mereka yang ditimpa musibah kerana sebelum ini sering menghulurkan bantuan kepada keluarga rakan pelajar yang uzur dan sebagainya.
“Inilah sahaja bakti yang dapat kami sumbangkan kepada mereka berkenaan terutama apabila mendapat berita atau dimaklumkan rakan terdekat mengenai kerja amal kebajikan yang perlu dilakukan,” katanya.
Setiausaha kumpulan bekas pelajar itu, Salimah Hashim, berkata kunjungan itu membuka mata mereka untuk lebih peka serta sentiasa ambil peduli untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan termasuk pusat jagaan yang diwujudkan semata-mata untuk membela nasib warga emas.
Menurutnya, banyak pelajaran yang diperolehi selepas mengunjungi PJNH kerana dapat mengetahui ada dalam kalangan masyarakat terdapat mereka yang sanggup mengetepikan keselesaan hidup semata-mata bagi memberi keceriaan kepada warga emas bernasib malang.
“Saya bersama-sama rakan sentiasa aktif dan mungkin selepas ini akan lebih tersusun untuk membantu masyarakat terutama bagi mengenal pasti bantuan yang perlu disalurkan kerana sebagai contoh pusat jagaan mereka amat memerlukan barangan dapur,” ujarnya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ketua Puteri Jerantut bersama Ketua Puteri Kuala berang berkerjasama berkempen untuk calon Gabungan Perpaduan di kawasan Parlimen Terengganu
Pengundi 3 DUN dalam Hulu Terengganu mula positif terhadap calon Perpaduan
PENGUNDI di kawasan di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Ajil dan Kuala Berang dalam Parlimen Hulu Terengganu mula menunjukkan sikap positif terhadap calon Gabungan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 12 ogos ini.
Ketua Umno Bahagian Jerantut berkata, Haris Salleh Hamzah berkata, jentera dari Umno Jerantut telah bergerak ke semua kawasan DUN dengan membahagikan beberapa kumpulan dengan mendekati pengundi di kawasan tersebut.
Calon DUN Kuala Berang,, Jalaludin Ismail mendekati pengundi di kawasan DUN tersebut.
“Kami ditugaskan dan memantau Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan urusan teknikal dan pengumpulan data.
“Setakat ini berkempen di DUN Telemong, calonnya Datuk Rozi Mamat, penyandang dan merangkap Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu mendapat petunjuk positif dari masyarakat setempat dan peluang untuk BN mengekalkan kerusi di situ adalah cerah,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Umno Jerantut, Razak Daud berkata, di DUN Kuala Berang, calon, Jalaluddin Ismail, berlatar belakang warga pendidik dan bertugas di Kementerian Pelajaran sebelum ini, secara keseluruhan diterima ramai dan positif dan dianggap ‘boleh menang’.
Jentera Umno Bahagian Jerantut melakukan program ‘walk about’ di pasar pagi di Kuala Berang.
“Mengikut kajian sikap calon BN (gabungan perpaduan) sudah mula condong kepada Gabungan Perpaduan dengan mengguna pendekatan yang positif. Rata-rata penduduk sekitar Kuala Berang sangat mengharapkan BN beroleh kemenangan di semua DUN di sini,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Seramai 112 peserta daripada lima buah sekolah menengah berendam dalam lumpur ketika menyertai Perkhemahan Kepimpinan Pemimpin Muda Daerah Jerantut Tahun 2023 yang diadakan selama 3 hari, 2 malam di Kampung Gintong yang berakhir semalam.
Latihan lasak turut diadakan untuk menguji fizikal peserta
Lima buah sekolah menengah yang menyertai program itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar , SMK Inderapura, SMK Jerantut dan SMK Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah (JPSHAS) dan SMK (Agama) Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (TAHAP).
Pengetua SMK Pulau Tawar, Asian Abdul Wahab berkata, kursus itu bertujuan melahirkan pemimpin muda di kalangan pelajar sekolah yang cekal dan kental jiwanya.
Beliau sebagai pengerusi penganjur berkata, kemahiran yang diberi adalah untuk memupuk jati diri pelajar terhadap negara, bangsa dan agama selain tanggungjawab sebagai pelajar sekolah.
“Selain itu, mereka dapat mengenali dan mengetahui kemahiran kraf tangan tradisional, mengenali hidupan hutan berdekatan kampung ini yang boleh membantu dalam menghadapi situasi yang memerlukan kemahiran ikhtiar hidup,” katanya.
Peserta bermandi lumpur sebagai salah satu aktiviti perkhemahan
“Turut diberi penekanan, kemahiran dalam pandu arah, rentas halangan, khidmat masyarakat di kawasan sekitar, ‘night walk’ dan persembahan kebudayaan turut diselitkan,” katanya.
Katanya, menariknya, peserta perkhemahan turut diberi peluang ‘back to nature’ dengan berendam di dalam sawah padi berlumpur.
“Perkhemahan ini mendapat kerjasama jurulatih Pusat Kokurikulum Daerah Jerantut, Askar Wataniah 505 Susur Tembeling, Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) Jerantut, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kemakmuran Kampung (JPKK) Kampung Gintong dan penduduknya,” katanya.
Seorang pelajar SMK Pulau Tawar, Muhammad Nadzhim Nazmi (Tingkatan 5) berkata, peluang semua pelajar perkhemahan diberi peluang mandi dalam lumpur satu pengalaman luar biasa yang tidak boleh dilupakan.
“Saya tidak tahulah orang lain, saya sendiri tidak merasa mandi lumpur sebelum ini, kali ini memang seronok walaupun pada awalnya agak geli dan bimbang digigit lintah.
“Saya tahu, mandi lumpur boleh membantu menyeimbangkan suhu kulit pada zon wajah, membuka liang roma untuk memudahkan pembersihan pori tersumbat.
Peserta turut memasak semasa perkhemahan itu.
“Saya terbaca artikel melalu internet, lumpur juga meningkatkan tahap metabolisme sel kulit dan menggalakkan rembesan kelenjar peluh agar ia dapat meningkatkan lagi kandungan oksigen pada kulit,” katanya.
Seorang peserta perempuan Orang Asli dari SMK Inderapura, Chai Mee Bao (Tingkatan 4} berkata, mereka berpeluang mengenali hidupan hutan yang boleh digunakan ketika dalam keadaan darurat bagi menahan lapar dan dahaga sekiranya menghadapi situasi tersesat di dalam hutan.
“Sekiranya tersesat selain sumber air sungai dan air embun, tumbuhan seperti pokok pisang dan buluh mempunyai sumber air yang boleh diminum iaitu dengan memotong batangnya.
“Selain itu, di waktu pagi terdapat air embun di rimbunan daun. boleh gunakan botol dan tadah air embun tersebut,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Peserta yang menyertai Bengkel Sehari Dendangan Syair Peringkat Daerah Jerantut di SMK Gelanggi 2, baru-baru ini.
Seni syair semakin pudar, perlu dibugarkan
SYAIR merupakan sejenis puisi berlagu yang berasal dari Parsi dan kini semakin pudar popularitinya dan perlu dihidupkan kembali terutama di kalangan pelajar sekolah dan generasi muda .
Justru, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut berganding bahu dengan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Cawangan Jerantut serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelanggi Dua, telah mengadakan Bengkel Sehari Dendangan Syair Peringkat Daerah Jerantut, baru-baru ini.
Pengetua SMK Gelanggi Dua, Zareena Hamzah, dalam ucapan aluannya, menyambut baik bengkel diadakan dan akan terus berkerjasama dengan PPD Jerantut dan DPMP untuk penganjuran di masa depan.
“Program ini sebagai satu kegiatan sihat dalam Kokurikulum tetapi berkait rapat dengan matapelajaran Bahasa Melayu yang boleh meningkatkan kefahamanan serta memberi manfaat kepada pelajar
“Pelajar dapat mengenali ciri-ciri syair yang terdiri daripada 4 baris serangkap dan terdapat syair yang boleh juga dihasilkan dalam 2 atau 3 rangkap dengan lebih depat lagi,” katanya.
Katanya, syair tidak mempunyai pembayang maksud yang berbeza dengan pantun serta terdapat jenis syair romantik, syair sejarah, syair ibarat dan juga syair keagamaan,” katanya.
Penyelaras bengkel tersebut, Zafran Zainal Abidin berkata, seramai serratus peserta dari 26 buah sekolah menengah dan rendah dalam daerah Jerantut menyertai bengkel tersebut.
Katanya, tokoh budaya Melaka dan ahli bitara akademi syair, Norliza Md Yamin turut memberi penerangan berkaitan dengan asal-usul syair, jenis-jenis syair dan cara penyampainya.
“Bengkel ini bakal memberi kesan positif kepada generasi muda dan diharapkan akan dijadikan acara tahunan di daerah ini.
“Pendedahan telah diberikan secara teori dan latihan amali bagi memberi peluang kepada peserta mencuba bakat masing-masing dalam syair,” katanya.
Katanya, selain itu,bengkel itu dapat mencungkil bakat peserta yang bakal mewakili daerah Jerantut ke pertandingan yang dianjurkan oleh pelbagai agensi,” katanya.
Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang Cawangan Jerantut, Nasruddin Ramli berkata, bengkel yang diadakan itu untuk menyuntik minat dan kecintaan masyarakat terhadap puisi Melayu tradisional yang sarat dengan ilmu, nilai dan pengajaran yang tiada tolok bandingannya khusus melalui syair.
“Bengkel ini diharapkan dapat melahirkan bakat muda dan pelapis dalam bidang dendangan syair yang mula pudar dan masih kurang dikuasai oleh golongan muda.
“Bengkel sehari itu mempertingkatkan ilmu kepada guru Bahasa Melayu dan peminat -peminat syair di kalangan pelajar dan murid sekolah di daerah Jerantut,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!