KUANTAN : Kerja mengalih dan membersihkan runtuhan bongkah batu di Kilometer 40.70 Jalan Persekutuan ke Bukit Fraser melalui Raub, kira-kira 165 km dari sini, awal pagi tadi dijangka mengambil masa selama tiga hari.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, ini disebabkan saiz bongkah batu yang besar selain kerja tersebut perlu dilakukan dengan penuh cermat bagi mengelakkan kejadian runtuhan susulan.
“Setakat petang ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Raub telah mengarahkan pihak konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd menghantar dua jentera pengorek kaut ke lokasi kejadian.
“Penilaian sedang dibuat untuk mengalihkan bongkah batu itu dengan menggunakan jentera berat yang bersesuaian,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Bernama melaporkan, pengguna yang hendak ke Bukit Fraser buat masa ini, dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Kuala Kubu Bharu, Selangor sehingga jalan itu dibuka semula apabila keadaan benar-benar selamat.
Beliau juga memaklumkan kejadian runtuhan bongkah batu itu adalah kejadian kedua di lokasi sama, dengan runtuhan pertama berlaku pada Sabtu lalu, membabitkan pokok tumbang dan tanah runtuh.
“Bagaimanapun laluan itu kembali dibuka pada hari yang sama selepas kerja pembersihan dilakukan dan pemasangan tanda amaran serta makluman dilakukan selepas kerja pembersihan tamat.
“Runtuhan bongkah batu yang berlaku pada 5.50 pagi tadi (hari ini) bagaimanapun menyebabkan jalan itu perlu ditutup kepada semua kenderaan kerana runtuhan menghalang laluan sepenuhnya selain atas faktor keselamatan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PORT DICKSON – Penduduk sebuah taman perumahan di Lukut di sini mendakwa video mengenai alat senaman bergerak sendiri yang tular baru-baru ini bukan perkara baharu, sebaliknya misteri seumpamanya dialami mereka sejak dua tahun lalu.
Seorang penduduk, Kamarul Hamizam Abd. Karim, 43, berkata, kejadian alat senaman bergerak sendiri yang berlaku di taman permainan berhampiran rumahnya dikatakan berlaku pada tengah malam.
Video berdurasi 19 saat itu tular di media sosial sejak minggu lalu yang memaparkan alat senaman tersebut bergerak sendiri.
Menurut Kamarul Hamizam, video itu dikatakan dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp penduduk taman itu sebelum tular di laman Facebook.
“Semalam (kelmarin), salah seorang penduduk merakam video semasa sedang melepak di taman permainan tersebut.
“Namun, pada malam berkenaan, alat senaman itu tidak bergerak seperti dalam video (tular) tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Dakwa Kamarul Hamizam, kejadian misteri itu bukan pertama kali berlaku di kawasan berkenaan kerana sebelum ini, terdapat penduduk yang mengadu pintu rumah mereka pernah diketuk.
“Kebanyakan penduduk yang mengalami gangguan misteri itu tidak mahu ambil pusing kerana bimbang akan menimbulkan rasa ketakutan dalam kalangan keluarga mereka dan orang lain.
“Saya sendiri pernah beberapa kali ternampak kelibat putih terbang pada waktu malam semasa mula-mula berpindah ke sini,” dakwanya.
Seorang lagi penduduk, Shahrul Akmal, 30, pula memberitahu, dia tidak menafikan berasa bimbang dengan kejadian misteri di kawasan tersebut.
“Kadang-kadang apabila mendengar penduduk bercerita mengenai pengalaman (gangguan) mereka, saya ambil pendekatan berdiam diri.
“Saya bimbang anak dan isteri ketakutan sekiranya saya tiada di rumah,” katanya kepada K!ONLINE
Video: Media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MURID SK SIMPAI KINI SUDAH BERGELAR ATLET MSSP DAN SUKMA PAHANG
MUADZAM SHAH : Guru Sekolah Kebangsaan Simpai (SKS), Pekan , Mohamad Sahaimi Zainal yang berasal dari Kampung Ubai, Pekan telah berkhidmat di sekolah itu selama 6 tahun, bertekad untuk melahirkan lebih ramai atlet sukan akuatik untuk mewakili negeri Pahang.
Bekas Pengerusi Teknik Sukan Akuatik, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP) yang telah mencurahkan keringatnya selama tiga tahun dalam bahagian pentadbiran sukan itu melepaskan jawatan bagi memberi tumpuan serius dalam bidang kejurulatihan sukan terjun dan renang.
Sahaimi melatih anak didiknya di parit di Kampung Simpai.
“Banyak bakat dapat dicungkil ketika mengajar di sekolah ini, sebuah sekolah yang seratus peratus orang Asli yang mempunyai 189 murid yang mempunyai bakat semulajadi dalam sukan terjun dan renang.
“Murid sekolah ini banyak berenang di parit berdekatan dengan sekolah, di parit itulah murid beriadah dan secara tidak langsung mengasah bakat mereka, hampir semua murid termasuk murid pra-sekolah ini boleh berenang,”katanya.
Guru SKS turut mengajar sambil menziarah anak murid masing-masing.
Katanya, ibu bapa turut memberi sokongan yang terbaik, dorongan mereka memberi inspirasi dan meningkatkan semangat beliau untuk terus menggilap bakat murid sekolah itu.
“Setakat ini lebih daripada 30 orang murid di sekolah ini diberi latihan yang betul dan telah membuahkan hasil yang berbaloi dan sebahagian daripada mereka telah mewakili MSSP dan Sukan Malaysia 2020 (SUKMA 2020), tapi temasya sukan itu ditangguhkan kerana serangan wabak Covid-19.
“Saya bertekad untuk menaikkan nama negeri Pahang dalam bidang sukan ini dengan terus mencungkil bakat-bakat baharu di kalangan murid sekolah ini atau sekolah di sekitar yang kurang kemudahan sukan akuatik,”katanya.
Beliau yang telah berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun, mempunyai 5 orang anak, mahu sukan akuatik menjadi matlamat utama atau kebitaraan sekolahnya dan kalau boleh mahu mencungkil lebih ramai bakat baharu untuk mewakili negeri Pahang dan Malaysia.
“Selain akademik, kegiatan ko-kurikulum harus bergerak seiring bagi membentuk keperibadian murid dan boleh berdepan keadaan sebenar dengan penuh yakin serta melenyapkan rasa rendah diri terutama murid Orang Asli,”katanya.
Sahaimi berkata, matlamat semua guru mungkin sama untuk memartabatkan pendidikan negara tetapi laluan perjalanan mungkin berbeza tetapi mujur semua guru sekolah itu turut memainkan peranan membantu meningkatkan tahap akademik dan kokurikulum SKS.
Antara guru SKS yang menziarah anak didik sekolah itu
Katanya, hasrat untuk membina sebuah kolam renang yang sesuai untuk anak didiknya berlatih masih terbantut sehingga sekarang, anak didiknya masih terus berlatih berenang dan terjun di parit kampung itu.
Hasrat membina kolam renang di Kampung Simpai dibatalkan.
“Antara anak didik sekolah itu seperti Amirazaman A/L Yalim, kini di Tingkatan 2 telah terpilih untuk mewakili Pahang ke SUKMA, manakala Riduan Filus (Tingkatan 1) turut menjalani latihan ke SUKMA dan atlet pelapis kebangsaan.
Antara anak didiknya yang berjaya dalam sukan akuatik
“Tugas seorang guru bukan sahaja di dalam bilik darjah malah sebagai seorang pemerhati yang baik dapat mengesan bakat anak murid masing-masing untuk dipertingkatkan, lebih-lebih lagi murid yang berada di kawasan luar bandar yang serba serbi kekurangan,”katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BERA: Kegigihan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, dekat Triang, menyediakan perkhidmatan penjagaan kepada golongan kurang berkemampuan, terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Terbaru, wakil Asia Pasific Consortium Investment Association (APCIA) tampil menyalurkan sumbangan kepada pihak pengurusan rumah kebajikan itu.
Sumbangan pelbagai barangan keperluan asas itu disampaikan Presiden dan Pengasas APCIA, Datuk Seri Ting Teck Sheng.
Majlis penyampaian sumbangan itu turut dihadiri Pengerusi Kehormat APCIA, Datuk Seri Lau Hua San dan Timbalan Presiden, Halidah Abdul Hamid.
Dalam ucapan ringkas pada majlis itu, Halidah berkata, peranan dan sumbangan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang sangat luar biasa dan perlu dicontohi serta disokong semua pihak.
”Sudah pasti tugas untuk menjaga dan menyediakan kemudahan selesa kepada warga emas bukanlah sesuatu yang mudah.. peranan dimainkan pihak pengurusan rumah kebajikan ini adalah sangat menarik dan membanggakan.
“Kami rasa sangat terharu dengan usaha dilakukan pihak pengurusan rumah kebajikan ini dan terpanggil untuk bersama membantu untuk meringankan bebanan ditanggung dengan menyampaikan sumbangan yang diharapkan dapat membantu sedikit sebanyak penghuni di sini, ” katanya.
Halidah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang turut membantu dalam memastikan program penyampaian sumbangan berkenaan berjalan lancar.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM); wakil dari QMIS Finance Group; Richwood Ventures Berhad; Fatt Hwa Temple Semenyih; Chang Dynasty; GFI Biotech Sdn Bhd yang turut sama dalam program kali ini,” katanya.
Beliau berharap kerjasama dan program bantuan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang, selain berharap lebih banyak syarikat korporat tampil menyalurkan bantuan serupa kepada rumah kebajikan yang memerlukan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Banjir di Pahang pulih selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dan Jerantut menamatkan operasi hari ini.
Bernama melaporkan, PPS Kuala Teh pula dibuka selepas rumah mangsa yang berada di kawasan rendah dinaiki air pada pagi semalam selepas hujan lebat mengakibatkan sungai berhampiran melimpah.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan PPS Dewan Orang Ramai Sungai Ular ditutup pada 11.30 pagi selepas 25 mangsa daripada empat keluarga kembali ke rumah masing-masing manakala PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Teh, Jerantut yang menempatkan 13 mangsa daripada dua keluarga ditamatkan operasi pada 2.30 petang tadi.
PPS Sungai Ular dibuka sejak Khamis lalu, sebagai langkah berwaspada berikutan cuaca hujan berterusan memandangkan empat keluarga itu tinggal bersebelahan sungai dan dikhuatiri menyukarkan usaha menyelamat jika air naik pada waktu malam.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my melaporkan setakat 3.40 petang ini, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran berada di paras waspada manakala Sungai Yap, di Jerantut dan Sungai Lepar, di sini di paras amaran.
Empat lagi sungai berada di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut; Sungai Pahang di Lubuk Pasu, Temerloh; dan Sungai Belat serta Sungai Kuantan di sini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENDUDUK TERJEJAS BANJIR DIBENARKAN PULANG KE RUMAH
KUANTAN : Dewan Sungai Ular di sini yang menempatkan lima keluarga penduduk terjejas banjir ditutup pada jam 11.30 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Ular, Shamshul Azlin Abdul Wahid berkata, kesemua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air banjir semakin surut ekoran hujan yang tidak berterusan sejak malam tadi.
Shamshul Azlin
Beliau berkata, mereka dibantu semua agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Pejabat Kesihatan daerah dan Polis Diraja Malaysia Pahang.
Barang dan peralatan penduduk terjejas banjir di PPS dimasukkan ke dalam trak bomba untuk di bawa ke rumah mereka.Kanak-kanak juga kelihatan gembira kerana dibenarkan pulang ke rumah mereka.
“Mereka telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing di Kampung Sungai Bujuk Darat.
“Sebelum ini mereka dipindahkan memandangkan keadaan air sungai berhampiran rumah mereka dinaiki air dan berlaku limpahan sehingga masuk ke kediaman.
“Justeru, kami mengambil inisiatif memindahkan mereka ke Dewan Orang Ramai Sungai Ular dan hari keempat mereka dibenarkan pulang,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENGGUNA DINASIHATKAN GUNA JALAN ALTERNATIF JALAN KUALA KUBU
RAUB: Jalan Tranum-Gap (FT 55), Seksyen 40.70 ditutup bagi kedua-dua arah ekoran berlaku tanah runtuh bersama bongkah batu besar berdekatan Bukit Telaga, kejadian berlaku kira-kira jam 6.00 pagi, hari ini.
Runtuhan pertama telah berlaku pada 19 Disember lalu yang melibatkan pokok tumbang dan tanah runtuh serta pembersihan telah dilaksanakan oleh pihak kontraktor jalan tersebut dengan memasang tanda amaran pembersihan.
Jalan Tranum-Gap ditutup
Laporan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub, selepas itu berlaku runtuhan kali kedua di tempat yang sama yang melibatkan bongkah batu besar yang jatuh bersama gelinciran tanah pagi ini.
Luas kawasan berlaku runtuhan di laluan itu dianggarkan sepanjang 12 meter dan setinggi 10 meter, jalan tersebut ditutup dan pengguna jalan raya perlu menggunakan jalan alternatif melalui Jalan Kuala Kubu.
Kini, pihak berkaitan sedang bergegas ke tempat kejadian untuk membersihkan laluan, pemantauan dan penilaian akan dilakukan untuk mengalih bongkah batu besar tersebut dengan menggunakan jentera bersesuaian.
Sumber : JKR Raub dan Roadcare (M) Sdn Bhd
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN : Jumlah penduduk terjejas banjir di dua daerah di Pahang masih kekal dengan 38 orang terdiri daripada enam keluarga setakat, 8 pagi tadi.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di daerah Kuantan, seramai 25 orang daripada empat keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Sungai Ular.
Sementara di daerah Jerantut merekodkan seramai 13 orang terdiri daripada dua keluarga di tempatkan di Sekolah Kebangsaan Teh.
Menurut infobanjir.water.gov.my setakat 6 pagi tadi, bacaan di dua sungai di daerah Jerantut menunjukkan penurunan.
Sungai Tembeling di Stesen Kuala Tahan merekodkan bacaan pada 65.72 meter iaitu berada pada paras waspada berbanding semalam berada pada paras amaran iaitu melebihi 66 meter.
Sungai Pahang di Stesen Sungai Yap pula merekodkan bacaan pad apras 51.25 meter iaitu berada pada paras amaran ; berbanding semalam berada pada paras bahaya iaitu melebihi 52 meter.
Sungai Jelai di Stesen Jeram Bugor pula menunjukkan peningkatan, menghampiri paras waspada iaitu 57.35 meter ; hanya berbeza 0.65 meter ke paras 58 meter yang merupakan paras waspada.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Tertekan kerana menghidap kanser tiroid tahap empat dipercayai punca seorang lelaki bertindak terjun dari tingkat empat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, lelaki berusia 55 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga petani ditemui dalam keadaan meniarap di atas tanah berhampiran lobi hospital pada 2.25 petang.
“Mangsa dipercayai terjun dari tingkat empat bangunan HTAA yang menyebabkan kecederaan di kepala, tengkuk, mulut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Harian Metro melaporkan, hasil siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dikesan. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Forensik HTAA untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan laporan, mangsa dari Kampung Sri Jaya, Maran menerima rawatan dan berada di wad hospital sejak 16 Disember lalu.
Katanya, isteri mangsa memaklumkan bahawa suaminya menghidap kanser tiriod tahap empat sejak setahun lalu dan sering ke hospital untuk menjalani rawatan kemoterapi.
“Mangsa juga mengadu kepada isterinya ingin mati kerana tidak tahan dengan kesakitan di bahagian kepala,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KERAJAAN PAHANG AKAN BINA 8,000 UNIT RUMAH MAKMUR SECARA BERPERINGKAT
LIPIS: Kerajaan Pahang akan membina kira-kira 8,000 unit Rumah Makmur di seluruh negeri ini secara berperingkat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Datuk Abd Rahim Muda berkata jumlah tersebut melibatkan 11 buah projek secara keseluruhan.
PahangMedia melaporkan, 11 buah projek Rumah Makmur ini akan dijalankan di seluruh negeri ini dengan pecahan sebuah daerah, satu projek Rumah Makmur.
“Cadangan pembinaan adalah sama di setiap tempat iaitu jenis rumah teres setingkat dengan keluasan 850 kaki persegi dan berharga RM80,000 seunit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas mewakili Menteri Besar Pahang merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perumahan Makmur Tanjung Jambu dan Penyerahan Kunci Rumah Rakyat Pahang Daerah Lipis di Kampung Tanjung Jambu , di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata permintaan yang diterima juga adalah sangat menggalakkan setakat ini terhadap projek-projek Rumah Makmur yang dibuka kepada orang ramai.
“Untuk hari ini sahaja, dalam tempoh tidak sampai dua jam program ini, kita dimaklumkan terdapat hampir 70 orang yang hadir untuk memohon rumah ini.
“Jumlah ini tidak termasuk yang memohon melalui atas talian dan sebelum ini lagi, sedangkan rumah yang akan dibina adalah sebanyak 90 unit sahaja dan dijangka siap dibina pada hujung tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata pembinaan Rumah Makmur ini merupakan projek keempat Rumah Makmur yang dijalankan di negeri ini.
“Ini (projek Kampung Tanjung Jambu) adalah selepas Kampung Tiram, Tanjung Gahai dan Benta.
“Bermula tahun hadapan, kita (Kerajaan Pahang) akan menjalankan lebih banyak lagi projek Rumah Makmur bagi menampung permintaan orang ramai yang menginginkan rumah mampu milik di negeri ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!