‘Perahu dan Roda’ dekatkan murid suku Bateq dengan sekolah
‘Perahu dan Roda’ dekatkan murid suku Bateq dengan sekolah
JERANTUT – Program Perahu dan Roda yang berlangsung di Jeti Kuala Tahan, Taman Negara semalam memberi pengalaman berharga kepada murid suku Bateq apabila mereka diraikan dalam satu acara khas penuh simbolik.
Program bertemakan “Datangmu Seiring, Pulangmu Ku Iring” itu menghimpunkan 23 murid sekolah rendah dan menengah dari Kampung Sungai Yong serta Kampung Tanjung yang merupakan peserta khas Chup Badui Sikulah (CBS) atau Mari ke Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah (SMKJPSHAS).
Penyelaras program, Hamizan Hamzah yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu berkata, inisiatif berkenaan diadakan bagi meningkatkan kehadiran murid ke sekolah selain memupuk hubungan erat antara pelajar, guru dan komuniti setempat.

“Selain memberi penekanan kepada pembelajaran, aspek keselamatan murid ketika berulang alik menggunakan bot turut dipantau dengan sokongan guru dan agensi berkaitan,” katanya.
Turut hadir Timbalan PPD Jerantut, Tuan Haji Ahmad Rahimi Bahaudin (Sektor Pembangunan Murid), Timbalan PPD Jerantut, Khairulnizam Harun (Sektor Pengurusan Sekolah), Pegawai JAKOA Jerantut, Mohd Shahrul Hafizam Mustafa serta wakil penjaga murid, Puan Sarina.
Beliau berkata, jarak perjalanan menaiki bot kira-kira 20 minit sehala menjadi cabaran utama murid untuk hadir ke sekolah setiap hari.
“Namun dengan penglibatan ibu bapa, guru dan agensi seperti JAKOA, murid lebih bersemangat untuk datang ke sekolah,” katanya.

Program itu disertai lebih 50 warga sekolah termasuk kaunselor, guru CBS dan penjaga murid suku Bateq yang komited memastikan anak-anak mereka tidak tercicir daripada arus pendidikan.-SAHIH