SHAH ALAM – Cadangan dua Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali sebagai RUU355 dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sudah bersedia untuk dibawa ke rundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Melalui hantaran itu, Ahmad Marzuk memaklumkan bahawa satu Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Bil 159 telah berlangsung pada 9 hingga 11 Mac lalu.
“Saya juga sempat hadir sebentar untuk mengikuti perkembangan perbincangan ahli jawatankuasa.
“Saya yakin mereka telah mencurahkan sepenuh usaha bagi memastikan RUU ini lengkap dan bersedia untuk dibawa ke peringkat seterusnya,” katanya.
Pada 26 November tahun lalu, Ahmad Marzuk dilaporkan berkata, RUU 355 perlu dirunding dengan negeri sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
AHMAD MARZUK SHAARY
Katanya, langkah itu bertujuan mendapatkan pandangan kerajaan negeri berhubung RUU berkenaan, lapor Sinar Harian.
Dalam hantarannya juga, Ahmad Marzuk turut mengucapkan tahniah kepada tiga lagi ahli jawatankuasa yang baru dilantik iaitu peguam, Nik Bahrum Nik Abdullah dan Ahmad Jailani Abdul Ghani serta Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nurhafilah Musa
“Semoga kehadiran mereka akan melancarkan lagi proses penggubalan perundangan syariah utama mengikut Roadmap Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah 2020-2025 yang kita sasarkan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: DAP menggugurkan keahlian tujuh ahlinya di Perak selepas mereka menerima jawatan yang ditawarkan oleh Perikatan Nasional (PH).
Ketujuh-tujuh mereka dikatakan menerima jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung di kampung masing-masing.
GAMBAR HIASAN
Mereka adalah Wong Chee Ming, Choo Kok Cheng, Liew Kee Ho, Loh Kok Weng, Cheng Kai Meng, Khor Ah Lak dan Wong Chee, lapor Malaysiakini.
Keanggotaan seorang lagi yang dikenali sebagai Chan Fook Ching ditamatkan selepas didapati berkhidmat sebagai pembantu wakil rakyat Malim Nawar, Leong Cheok Keng.
Keahlian Leong digugurkan pada 19 Januari kerana didakwa menjadi ahli MCA.
GAMBAR HIASAN
Dalam satu kenyataan, ketua jawatankuasa tatatertib DAP, Chong Chien Jen berkata semua anggota parti tidak dibenarkan menerima jawatan yang ditawarkan PN tanpa kebenaran daripada pucuk pimpinan parti.
“Jangan korbankan integriti parti dan kehormatan diri untuk jawatan atau faedah peribadi yang ditawarkan oleh PN.
“Ini bukan hanya tindakan khianat kepada parti tetapi juga pengkhianatan kepada rakyat,” katanya.
Leong adalah antara tiga ADUN DAP yang keluar parti sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu tumbang tahun lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohamed Azmin Ali memberi bayangan lebih ramai pemimpin pembangkang akan menyokong Perikatan Nasional (PN).
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu memberi bayangan melalui akaun Twitternya, hari ini, susulan keputusan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti itu, pagi tadi.
“1+1+1+…… dan seterusnya. Alhamdulillah. Kekal tenang,” kata Mohamed Azmin.
Xavier mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta, serta menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN sebagai Ahli Parlimen Bebas.
MOHAMED AZMIN ALI
Jelasnya, faktor dia berbuat demikian adalah kerana kerajaan ketika ini memerlukan sokongan bipartisan dalam usaha memerangi wabak COVID-19, usaha vaksinasi dan memulihkan semula ekonomi.
Xavier berkata, beberapa insiden yang berlaku sepanjang tahun ini, khususnya membabitkan usaha mendesak pilihan raya diadakan segera, menyebabkan beliau kecewa dan nekad meninggalkan satu-satunya parti yang pernah disertai sepanjang kerjaya politiknya, lapor BH Online.
Tegasnya, usaha mendesak pilihan raya diadakan segera bukan keutamaan ketika ini dalam keadaan negara masih berdepan gelombang ketiga COVID-19, sebaliknya menyokong usaha kerajaan mengekang penularan pandemik itu, mencipta peluang pekerjaan dan mendapatkan dana untuk memulihkan ekonomi negara.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatan Naib Presiden PKR dan keluar parti itu, hari ini.
Selaras pengumuman untuk keluar PKR yang disertai sejak parti tertubuh pada 1998, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai Ahli Parlimen Bebas.
Jelasnya, faktor beliau berbuat demikian adalah kerana kerajaan ketika ini memerlukan sokongan bipartisan dalam usaha memerangi wabak COVID-19, usaha vaksinasi dan memulihkan semula ekonomi, lapor BH Online.
“Sehubungan itu, saya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan ahli PKR berkuat kuasa serta-merta.
“Saya akan terus berkhidmat di kawasan saya dan menyokong kerajaan sebagai Ahli Parlimen Bebas dan saya yakin akan dapat terus menunaikan janji pilihan raya kepada penduduk Kuala Langat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
GAMBAR IHSAN MALAYSIAKINI
Xavier berkata, beberapa insiden yang berlaku sepanjang tahun ini, khususnya membabitkan usaha mendesak pilihan raya diadakan segera, menyebabkan beliau kecewa dan nekad meninggalkan satu-satunya parti yang pernah disertai sepanjang kerjaya politiknya.
Tegasnya, usaha mendesak pilihan raya diadakan segera bukan keutamaan ketika ini dalam keadaan negara masih berdepan gelombang ketiga COVID-19, sebaliknya menyokong usaha kerajaan mengekang penularan pandemik itu, mencipta peluang pekerjaan dan mendapatkan dana untuk memulihkan ekonomi negara.
“Sekurang-kurangnya 18 bulan diperlukan hanya untuk melengkapkan program vaksinasi dan lebih dua tahun untuk ekonomi pulih sepenuhnya.
“Ini memerlukan sokongan bipartisan untuk memastikan kejayaan usaha kerajaan. Rakyat perlukan kestabilan dan menghidupkan semula sektor ekonomi yang semakin lumpuh.
“Untuk memastikan usaha ini berjaya, kita perlu bekerja bersama-sama, bukan menentang satu sama lain,” kata bekas menteri ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu, Xavier turut menyatakan pendiriannya sebagai Ahli Parlimen Bebas menerusi satu surat bertarikh 12 Mac 2021 kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.
Dalam surat itu, Xavier memaklumkan beliau membuat keputusan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan, berkuat kuasa semalam.
“Saya, Dr Xavier Jayakumar Arulanandam, Ahli Parlimen Kuala Langat ingin memaklumkan bahawa mulai 12 Mac 2021, saya membuat keputusan untuk menjadi seorang Ahli Parlimen Bebas yang menyokong blok kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin,” katanya.
Pengumuman Xavier itu dibuat 14 hari selepas dua wakil rakyat PKR iaitu Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon mengumumkan keluar parti dan menyokong PN dan Muhyiddin, pada 28 Februari lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah melabelkan PAS sebagai pelacur politik yang perlu ditewaskan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal itu berkata tindak-tanduk PAS dalam pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan parti itu tidak boleh dipercayai.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Di (pilihan raya kecil) Tanjung Piai, ketika mereka dah bersama dengan kita, PAS tidak mengundi kita, mereka ada 3,000 ahli di Tanjung Piai tapi tidak sampai 1,000 yang undi kita. Mereka bukan rakan kongsi yang jujur. Begitu juga di Semenyih.
“PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46,” kata bekas presiden Semangat 46 itu merujuk kepada parti yang pernah dipimpinnya pada penghujung 1980 -an sebelum kembali menyertai UMNO pada tahun 1996.
Ku Li mengasaskan Semangat 46 setelah tewas dalam pemilihan UMNO pada 1988 apabila dia mencabar Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden UMNO.
Pada masa itu kumpulan Ku Li mendakwa terdapat cawangan UMNO tidak berdaftar, yang kemudiannya menyaksikan parti itu diharamkan oleh mahkamah.
GAMBAR HIASAN
Semangat 46 kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan PAS di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bagi menghadapi pilihan raya umum 1990.
Ku Li berkata isu PAS mengganggu UMNO bukan perkara baru.
“Dah lama kita lawan PAS. Bukan baru semalam, tapi sejak 1951, PAS mengacau UMNO sejak itu, sampai sekarang, bukan benda baru,” katanya.
Justeru Ku Li turut menolak idea kerjasama antara UMNO dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.
“Kita tak boleh setuju kerana macam mana nak lakukan stategi setuju tiga penjuru di sini tapi satu lawan satu di tempat lain.
“Saya sokong kita lawan PAS (dalam pilihan raya umum akan datang),” kata pengerusi lembaga penasihat UMNO itu.
UMNO sebelum ini mengumumkan parti itu akan menentang BERSATU pada PRU15.
Bagaimanapun setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan pada Rabu lalu berkata rundingan kerusi dengan PAS sedang berlangsung untuk mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti.
‘Di Gua Musang, BERSATU cuma ada 5 ahli’
Selain itu, Ku Li menegaskan bahawa UMNO tidak akan memberikan kerusi mereka kepada BERSATU dalam pilihan raya umum akan datang.
“BERSATU parti baru, tidak ada pengikut. Di Gua Musang mereka hanya ada empat ke lima orang ahli.
“(Setiausaha Agung BERSATU) Hamzah Zainuddin juga tidak ada tempat sebab itu kita beri di Larut kerana dia tidak boleh bertanding di Ipoh.
“(Ahli Parlimen Jeli) Mustapa Mohamed pula kita akan ambil balik kerusi itu. PAS kuat di sana tapi kita pernah kalahkan mereka.
“Lawan BERSATU lebih mudah daripada PAS tapi mereka mahu PAS tolong mereka, mereka juga harap UMNO pun tolong.
“Kalau UMNO tolong mudahlah (bagi BERSATU), tapi saya tak rasa kita akan tolong pengkhianat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan gaya bahasa yang digunakan Ku Li sehingga menggelarkan PAS sebagai pelacur.
“Ini bukan adab yang baik. Sudah pasti ramai yang tak senang.
“Politik yang kita perlu bawa ialah politik yang sihat dan bertamadun. Gelaran pelacur sama sekali tidak wajar digunakan,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEKAN: Mesyuarat rasmi pertama membabitkan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS dan GERAKAN Pahang akan diadakan 26 Mac ini.
Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pemilihan tarikh itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada pimpinan PAS dan GERAKAN negeri susulan dua pertemuan tidak rasmi diadakan sebelum ini.
SAIFUDDIN ABDULLAH
“Pertemuan tidak rasmi bersama PAS dan GERAKAN sudah diadakan dua kali, termasuk hujung minggu lalu dan hasilnya sangat memberangsangkan dan berlangsung dengan baik.
“Jadi, kita harap mesyuarat dirancang pada 26 Mac ini dapat membuka jalan kepada penubuhan Perikatan Nasional (PN) di Pahang,” katanya, lapor Utusan Online.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program Malaysia Prihatian anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai ketiadaan wakil UMNO dalam mesyuarat itu, Saifuddin berkata, pertemuan itu hanya membincangkan perkara berkaitan gabungan antara BERSATU, PAS dan GERAKAN dan tidak membabitkan perkara di luar kawalan, termasuk kerjasama dengan UMNO.
“UMNO yang buat keputusan itu (untuk tidak bersama dengan BERSATU) dan kita faham apa yang berlaku dalam Muafakat Nasional (MN).
“Itu hak masing-masing dan kita mahu memperkukuhkan PN, terutamanya di Pahang,” katanya lagi.
Sementara itu ditanya mengenai kemungkinan PN akan menggantikan Barisan Nasional (BN), beliau berkata setiap gabungan parti politik mempunyai kelebihan dan juga persamaan, namun tidak bermakna gabungan berkenaan boleh menggantikan mana-mana gabungan lain.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TIDAK MUSTAHIL KERJASAMA ‘TIDAK RASMI’ PH, BN PADA PRU15
SHAH ALAM – Kerjasama tidak rasmi antara Pakatan Harapan (PH) dan parti blok kerajaan terutamanya Barisan Nasional (BN) tidak mustahil berlaku di beberapa kawasan dan negeri tertentu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, PH bersedia mempertimbangkan strategi pilihan raya berkenaan sekiranya pendekatan itu mampu memastikan kemenangan blok pembangkang dan tidak menjejaskan mesej reformasi pentadbiran negara kepada rakyat.
Bagaimanapun, Khalid memberi amaran strategi itu hanya boleh dicapai sekiranya blok pembangkang berjaya membentuk koalisi perdana dengan proses perundingan perlu diatur sendiri oleh calon-calon bertanding.
“Tidak mustahil di tempat-tempat dan negeri tertentu terutama di kawasan lokal, calon-calon (PH) sendiri yang kena berunding dengan parti musuh (bagi menjalinkan kerjasama tidak rasmi).
“Kalau kita mahu lawan PN (Perikatan Nasional) dan BN di lokasi tertentu, sekiranya diletakkan calon PN, pastinya orang BN tidak setuju. Maka mungkin (BN) ada kerjasama tidak rasmi dengan PH…mungkin satu atau dua kerusi, mungkin juga satu negeri.
“Bagi saya, secara umumnya, PH dan pembangkang lain kena bersatu baru strategi pilihan raya ini boleh dilaksanakan,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kemungkinan berlaku kerjasama tidak rasmi di antara PH dan BN bagi menghadapi PRU15, menyamai strategi dipraktikkan kerajaan BN dipimpin bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak bersama Pas pada PRU14.
Pada 4 Mac lalu, Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan mengesahkan pendirian UMNO untuk menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 berdasarkan keputusan sebulat suara Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.
Terkini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim melalui catatan di laman Facebook mencadangkan UMNO menggantikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU15.
Ujarnya, PH memerlukan strategi sama digunakan ketika memenangi PRU14 pada tahun 2018 iaitu mengikat kerjasama dengan parti Melayu yang kuat seperti UMNO.
Zaid turut yakin UMNO mempunyai kemampuan mempengaruhi pengundi Melayu dan bersama-sama PH akan berupaya memperoleh lebih banyak kerusi seperti ketika Barisan Nasional (BN) menguasai sebelum ini.
Merujuk mesej disampaikan Zaid, Khalid mengakui penyertaan BERSATU ke dalam PH terbukti merupakan strategi ampuh bagi menangkis taktik BN yang cuba menggunakan PAS bagi memecahkan undi PH pada PRU14.
“Analisis PRU14 sebenarnya agak menarik kerana UMNO dan BN sebenarnya cuba memperalatkan PAS, bukan benar-benar bekerjasama dengan mereka.
“Melalui pertembungan tiga penjuru, BN menjangkakan mereka mampu menguasai kerusi di Pantai Barat kerana undi PAS tidak bersama PH. Bahkan senario lebih teruk, mereka sebenarnya mahukan PAS kalah di Pantai Timur apabila undi penyokong PAS lari kepada PH.
“Namun, PH bernasib baik dapat menangkis strategi BN dengan memujuk BERSATU menyertai kami.
“Ironinya, BERSATU memastikan sebahagian undi penyokong UMNO dan PAS kembali kepada PH,” katanya.
Khalid turut mendedahkan bukan semua ahli Parlimen BN dan UMNO mempunyai liabiliti dan terdiri kluster mahkamah.
“Sekiranya Perdana Menteri, Muhyiddin (Yassin) hilang keabsahan pada sidang Parlimen akan datang, kita cuma perlukan enam, tujuh ahli Parlimen UMNO untuk bentuk kerajaan baharu.
“PH tiada masalah bekerjasama dengan sesiapa sahaja selagi mana mereka boleh menerima prinsip dan wawasan dibawa PH,” katanya.
Sementara itu, Zaid sewaktu dihubungi mengakui toleransi UMNO dan PH mampu memastikan kedua-dua blok itu kembali ke Putrajaya sekiranya saling bekerjasama pada PRU15.
Jelas beliau, kerjasama itu memastikan usaha penubuhan kerajaan stabil dengan kemungkinan perolehan kerusi majoriti lebih besar bagi mentadbir negara.
“Siapa yang perintah dan jadi Perdana Menteri bukan penting kerana perkara itu perlu dipilih berdasarkan siapa dapat kerusi lebih.
“Paling mustahak, kedua-duanya (UMNO dan PH) boleh mendapat majoriti besar dan boleh mentadbir lebih baik. Tetapi saya tidak tahu siapa yang memerintah nanti,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Tiada sebab untuk UMNO memberi kata dua kepada PAS yang memilih untuk bersama BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.
Jelas Ahmad, UMNO dan PAS terlebih dulu menjalinkan kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN).
GAMBAR HIASAN
“Itu hak PAS untuk bersama BERSATU tiada kaitan dengan UMNO yang ingin memperkuatkan hubungan dengan PAS.
“Hubungan PAS dan UMNO bermula lebih awal berbanding hubungan PAS dengan BERSATU dalam PN.
“Jadi tak ada sebab kenapa kami perlu beri kata dua,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat UMNO, malam ini.
UMNO dan PAS malam ini bermesyuarat bagi membincangkan agenda berkait MN.
Hubungan dua parti itu mencuri perhatian khususnya selepas PAS membuat keputusan menjadi komponen PN.
AHMAD MASLAN
UMNO dan PAS menjalinkan kerjasama selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan membentuk MN.
Manakala PAS menyertai PN selepas parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan PN.
Bagaimanapun pada 26 Februari lalu, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menghantar surat memaklumkan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 19 Februari untuk memutuskan kerjasama dengan BERSATU.
MT UMNO bagaimanapun memutuskan ahli Parlimen parti itu akan terus menyokong kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen.
Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan yang UMNO akan memastikan tiada pertembungan dengan PAS dalam PRU-15 nanti.
Bagaimanapun, kata Ahmad, soal pertembungan dengan BERSATU akan diputuskan kemudian.
“Antara UMNO dan PAS kita harap tak ada pertembungan tetapi antara UMNO dengan BERSATU itu kita KIV (tangguh untuk bincangkan) dulu.
“Setakat ini memang kita tidak ada hubungan dengan BERSATU,” katanya lagi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KLANG – Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel) akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menetapkan kuota sebanyak 67 kerusi Parlimen untuk calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengasas Comwel, Zuraida Kamaruddin yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, cadangan tambahan kerusi untuk wanita itu bagi mencapai sasaran penyertaan 30 peratus wanita dalam Parlimen.
“Inisiatif yang akan kita buat ialah mencadangkan kepada Pengerusi SPR untuk mempertimbangkan kerusi untuk wanita dalam pilihan raya akan datang.
“Ia tidak sukar untuk dilakukan kerana kita hanya perlukan 30 peratus daripada 222 keseluruhan kerusi Parlimen atau 67 kerusi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Comwel yang disempurnakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun yang juga Penaung Comwel di sini pada Isnin.
Pada majlis sama, buku tulisan Zuraida bertajuk Wanita Berdaya, Harapan Negara turut dilancarkan.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azalina Othman Said dan Mohd Rashid Hasnon.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, cadangan itu akan dihantar secepat mungkin untuk tindakan SPR.
Beliau berkata, cadangan itu dibuat berikutan pembabitan kaum wanita dalam politik di negara ini jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara lain.
“Kita berada di belakang Indonesia, Thailand dan negara-negara lebih mundur lain dari segi pencapaian politik wanita dalam negara.
“Memandangkan Malaysia negara yang akan maju dan sedang membangun, jadi kita harus letakkan lebih ramai wanita dalam kedudukan membuat keputusan, khususnya dalam Parlimen dan juga Kabinet dalam negara,” katanya.
Sementara itu, Zuraida berkata, Comwel ditubuhkan bagi menghimpunkan kepimpinan wanita Malaysia dalam memperjuangkan agenda pemberdayaan wanita dan pengarusperdanaan gender secara sistematik dan holistik, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, Comwel merupakan satu pertubuhan yang bergerak melangkaui batasan politik dan dianggotai oleh pemimpin wanita daripada pelbagai latar belakang politik, agama dan bangsa.
“Keanggotaan Comwel juga terbuka kepada semua wanita termasuk pemimpin wanita daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perkhidmatan awam dan sektor swasta,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan yang akan dihantar Comwel, Azhar Azizan berkata, walaupun kerajaan mempunyai kekangan perlembagaan dan perundangan untuk melaksanakan cadangan itu tetapi terdapat langkah lain boleh dilakukan.
“Perwakilan wanita di dalam Dewan Rakyat boleh ditambah baik kerana sekarang hanya ada 14 peratus atau 33 ahli Parlimen wanita sahaja.
“Langkah-langkah tambahan yang boleh dibuat kerajaan ialah dengan memberikan insentif kepada parti politik yang mencalonkan lebih ramai wanita,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan boleh memberikan insentif kepada parti politik, umpamanya dalam bentuk kewangan untuk pembangunan wanita parti politik berkenaan dan ia boleh dilaksanakan segera.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANWAR TIDAK TOLAK KEMUNGKINAN KERJASAMA DENGAN UMNO
PETALING JAYA – Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pada Isnin mendedahkan bahawa Pakatan Harapan (PH) sudah memulakan proses rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PH turut mengambil kira kerusi untuk parti-parti sekutu lain termasuk cadangan yang dikemukakan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO).
“Majlis Presiden PH telah putuskan beberapa perkara termasuk kerjasama jentera pilihan raya dan untuk memulakan rundingan kerusi melibatkan parti komponen PH terutamanya, dan juga mengambil kira peruntukan untuk parti rakan yang lain.
“Ada juga cadangan daripada Presiden UPKO, (Datuk Seri) Wilfred Madius Tangau dan ia akan diambil kira. Tetapi pada tahap ini, kita akan lantik seorang jurucakap,” katanya ketika sidang akhbar di ibu pejabat PKR di sini pada Isnin.
Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut berkenaan cadangan UPKO yang merupakan parti pembangkang tetapi tidak termasuk dalam gabungan PH.
Sementara itu, Anwar juga tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRU15.
Ia susulan kata dua UMNO pada minggu lalu untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRU15.
“Soal kerjasama dengan mana-mana pihak tak berbangkit setakat ini. Walaupun jelas kita dukung siapa saja yang boleh terima kita (PH) untuk dukung tadbir urus yang baik, tolak rasuah, tolak segala bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa, dan jaga (hak) orang Melayu, bumiputera dan semua kaum,” kata Anwar, lapor Sinar Harian.
Anwar sebelum itu merasmikan pelancaran inisiatif baharu PKR bagi membantu wanita yang berdepan masalah sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di sini pada Isnin.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!