Pendaki wanita Gunung Tahan kejang otot kaki tunggu bantuan helikopter JBPM
JERANTUT : Seorang wanita berusia 27 tahun yang mendaki Gunung Tahan mengalami kekejangan otot kaki sebelah kiri ketika mendaki dan tidak dapat bergerak dan sedang menunggu bantuan penerbangan ihsan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membawanya keluar.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Zukri Muhammad berkata, kejadian itu berlaku di Kem Pangkin, Gunung Tahan dekat sini kira-kira jam 9.20 pagi ini.
“Wanita itu, Nurul Shafiqah Norazmi, berusia 27 tahun beralamat di Sentul, Kuala Lumpur bersama 20 pendaki telah melakukan aktiviti pendakian sejak 15 September dan dijangka keluar pada 21 September ini.
“Semasa kejadian seramai 20 orang peserta dan disertai dua orang pemandu pelancong yang mula mendaki pada 15 September melalui Merapoh, Lipis dan dijangka tiba di Kuala Tahan, Jerantut pada 21 September ini,” katanya, di sini hari ini.
Zukri berkata, anggota Pondok Polis Kuala Tahan, Jerantut telah menerima maklumat awal kejadian tersebut pada jam 9.20 pagi ini dan terus melakukan penugasan dengan memasang helipad di Padang Bolasepak Jerantut serta turut memaklumkan pihak Hospital Jerantut bersiap sedia dengan ambulan.
“Pasukan penyelamat memerlukan helikopter untuk sampai di lokasi kejadian dan telah diatur gerak oleh pihak Bomba Kuala Tahan. Mangsa akan dibawa keluar untuk tujuan rawatan.
“Ketika ini, pihak penyelamat di Kuala Tahan sedang menunggu ketibaan helikopter JBPM dari Subang.
Katanya, kumpulan 20 orang itu terdiri 16 lelaki dan empat perempuan yang datang dari Lembah Klang, Putrajaya, Melaka dan Pulau Pinang untuk mendaki Gunung Tahan di hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun itu.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pokok tumbang hempap lima kenderaan di Genting Highlands
BENTONG : Lima buah kenderaan dihempap pokok tumbang , kejadian berlaku di belakang bangunan Hotel Seri Malaysia, Genting Highlands pada jam 5.23 petang semalam.
Penguasa Kanan Bomba (Bahagian Operasi) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, hujan lebat berlaku disusuli dengan angin kuat mengakibatkan pokok tumbang dan menghempap lima buah kenderaan yang diletakkan di tempat parkir kenderaan.
“Seramai empat anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands dengan sebuah jentera FRT bertindak memotong pokok dan turut dibantu oleh tiga anggota Fire Unit Genting Bersama.
“Komander operasi melaporkan keadaan hujan lebat dan jalan licin untuk ke lokasi kejadian menyukarkan operasi,” katanya.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan berlaku semasa kejadian.
“Kenderaan yang terlibat termasuk sebuah teksi, dua buah van dan kereta, bahagian bumbung bangunan tersebut turut terjejas dihempap pokok,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MAAF cakaplah, semakin ramai orang mengatakan bahawa pembangkang di Malaysia sekarang sebenarnya bertaraf longkang.
Mereka tidak berminat pun membangunkan negara mengikut kapasiti mereka sebagai oposisi, sebaliknya berpolitik mengarut sepanjang masa.
Sifat longkang itu dapat kita lihat dengan begitu jelas dalam diri pembangkang apabila mereka mempersoalkan keperluan mengisytiharkan harta.
Itu sebabnya hingga kini pun mereka masih belum ada keputusan mahu terima atau tidak Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada Ahli Parlimen.
Apa masalahnya sampai begitu lama masa diambil untuk buat keputusan itu sekalipun MoU itu memerlukan mereka mengisytiharkan harta?
Penjawat awam setiap tahun kena isytiharkan harta, rata-ratanya tak ada apa-apa masalah pun.
Yang ada masalah hanya penjawat awam yang melanggar garis merah – memiliki harta dengan jalan yang menyalahi undang-undang.
Jadi, apabila Ketua Whip pembangkang – Datuk Seri Takiyuddin Hassan – bercakap hal itu, rakyat bertanya; “Apa yang mahu kamu dan geng kamu sembunyikan?”
Pertanyaan itu betul dan patut diletakkan di dahi pihak yang banyak sangat songelnya!
Sebenarnya, yang takut sangat mengisytiharkan harta ialah orang yang kumpul harta dengan jalan yang meragukan.
Yang lebih teruk, adakah itu juga bermaksud mereka masih mahu intai ruang menyakau jika kesempatan terhidang depan mata?
Lagi satu, geng longkang itu juga sangat takut mahu terima “syarat” berkaitan isu raja, agama, dan kaum (3R).
Maknanya apa itu?
Adakah itu bermakna geng longkang ini masih mahu “mengheret” institusi beraja dalam kegiatan parti politik mereka dengan cara yang salah sebagaimana yang telah berlaku?
Begitukah halnya?
Kalaulah itu benar, maka tentu isu kaum dan agama pun setiap hari sebagaimana yang dilakukan sebuah media sosial paksi kejahatan mereka itu K*p*k Utara.
Perbuatan media sosial – Facebook – paksi kejahatan yang propembangkang itu tidak menggambarkan ajaran Islam kerana kandungannya sangat jauh menyimpang.
Itu baru satu contoh. Banyak lagi akaun media sosial paksi kejahatan berbuat begitu.
Jadi, ya, mungkin jika “mereka” menandatangani MoU tersebut maka mereka tidak boleh aktif sedemikian lagi.
Apa kaitannya paksi kejahatan dengan Ahli Parlimen pembangkang?
Yang ini jika ada orang tidak bersetuju, bolehlah dikatakan bahawa bertambah lagilah seorang ahli geng longkang.
Malang betul Malaysia ada orang sebegini!
Sumber : The Malaysia Press.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ramai yang tak tahu, anak jati Kampung Baru bina hotel mewah di tengah bandar Kuala Lumpur
Ramai yang tak tahu, anak jati Kampung Baru bina hotel mewah di tengah bandar Kuala Lumpur. Berdiri megah di antara Jalan Raja Abdullah dan Jalan Raja Alang, struktur Hotel Tamu & Suites yang setinggi 42 tingkat ini nyata menarik perhatian.
Terletak hanya kira-kira dua kilometer dari Menara Berkembar Petronas (KLCC), hotel patuh syariah ini dibina dengan kos RM200 juta dan dimajukan oleh Zikay Group, sebuah syarikat bumiputera yang diasaskan sejak tahun 1994.
Selain lokasinya yang strategik dan berhadapan Masjid Jamek Kampung Baru, konsep patuh syariah yang diketengahkan oleh hotel bertaraf empat bintang ini turut memiliki elemen penarik tersendiri.
Pengasas dan Pengerusi Zikay Group Berhad, Datuk Mohd Khay Ibrahim, 66, yang berkongsi pandangannya mengenai konsep hotel mesra Muslim, mengakui bahawa tidak banyak hotel bertaraf empat hingga lima bintang di negara ini yang memenuhi kriteria tersebut.
Menurut pemegang Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1979 itu, konsep mesra Muslim berpotensi menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi premis hotel bagi tujuan percutian.
“Pelancong domestik mempunyai ‘kuasa beli’ yang tinggi untuk membuat tempahan percutian, dan peluang ini perlu diberi penekanan oleh pemain dalam industri perhotelan tempatan.
“Majoriti rakyat di negara ini adalah masyarakat beragama Islam, dan ini memberikan peluang pulangan pendapatan yang baik kepada pemain hotel tempatan,” katanya.
Mohd Khay, yang juga menerajui sektor pembangunan hartanah, pembinaan, dan hartanah di bawah kumpulan Zikay Group, menjelaskan bahawa kebanyakan rangkaian hotel enggan menerapkan konsep sedemikian kerana terdapat garis panduan tertentu yang perlu dipatuhi.
Hotel mesra Muslim menerapkan pendekatan seperti tidak menyediakan pub dan bar serta tidak menjual alkohol, selain memastikan penyediaan rangkaian makanan dan minuman (F&B) halal di restoran dan hotel.
“Bagi saya, konsep ini tidak sukar untuk diterapkan dan saya sendiri tidak mahu ada perkara syubhah dalam hotel.
“Saya juga memilih untuk menyediakan peluang pekerjaan dalam industri perhotelan yang mesra syariah,” kata penerima Tokoh Korporat Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Oktober tahun 2022.
Penerima Tokoh Anugerah Khas Individu sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M lalu, berhasrat untuk mengetengahkan jenama hotel sendiri berbanding jenama antarabangsa kerana tidak mahu terikat dengan piawaian yang ditentukan oleh pihak berkenaan.
“Saya meletakkan diri sebagai fundamentalis Muslim dan sering menekankan tiga pegangan utama untuk berjaya, selain perlu bekerja keras mencapai objektif dalam perniagaan.
“Pertama, perlu bersikap amanah, tawaduk, dan tawakal. Bersedekah juga sangat penting sebagai umat Islam kerana dengan ini, kita dapat melangkah lebih jauh,” ujarnya yang berminat dalam sektor perniagaan sejak berusia sembilan tahun.
Menyentuh tentang keunikan hotel berkenaan, anak jati Kampung Baru itu berkata bahawa kedudukan restoran Suasana@27 yang menawarkan 80 peratus panorama Kuala Lumpur dari aras 27 Hotel Tamu & Suites pastinya menjadi salah satu tarikan utama bagi pengunjung.
Pengalaman penginapan di hotel tersebut juga luar biasa kerana setiap bilik menawarkan pemandangan yang tidak terhalang oleh bangunan pencakar langit di sekelilingnya.
Anak ke-12 daripada 14 beradik itu mengakui bahawa konsep kolam renang terbuka yang terdapat di hotel ini turut mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelanggan yang menginap di hotel ala resort di tengah kota metropolitan.
Walau bagaimanapun, kehadiran Hotel Tamu & Suites telah menyebabkan nilai hartanah di kawasan tersebut meningkat sebanyak 50 peratus.
“Sebelum ini, ada yang tidak percaya saya mampu membina hotel di tengah kawasan perkampungan Melayu memandangkan Kampung Baru lebih kepada konsep pemegangan aset dan penyewaan.
“Dengan pengalaman 30 tahun dalam bidang hartanah, saya nekad untuk meneruskan strategi perancangan saya,” katanya yang juga aktif terlibat dalam pelbagai pertubuhan dan acara amal melalui Yayasan ZIKAY.
Menceritakan bagaimana ilham untuk membina hotel ini tercetus, bapa kepada lima cahaya mata—tiga lelaki dan dua perempuan—itu berkata pada awalnya, beliau hanya berhasrat untuk menjalankan operasi syarikat yang dinamakan Bangunan Zikay.
Namun, perancangannya berkembang apabila beliau membeli tanah seluas kira-kira 0.8 hektar yang dimiliki oleh enam beradik untuk membina Hotel Tamu & Suites.
“Saya mahu memberikan perubahan dalam cara berfikir masyarakat dan sekaligus memberikan kesedaran bahawa tanah rizab ini juga boleh dibangunkan menjadi aset bernilai tinggi.
“Kita perlu bekerja keras untuk berjaya. Pada pandangan saya, pemilik tanah rizab boleh cuba membangunkan tanah mereka kerana keuntungannya boleh mencecah ratusan juta ringgit,” katanya, yang turut membangunkan kumpulan Zikay Group bersama adiknya, Datuk Iszhar Ibrahim.
Sumber : Selayang Pandang
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UMNO Jerantut, Ipoh Barat bawa semangat Nenggiri ke Mahkota
KUANTAN – Jentera UMNO dari Jerantut, Pahang dan Ipoh Barat, Perak sudah bersedia menggempur kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, dekat Kluang, Johor.
Mereka yang mula berkampung di situ sejak kelmarin berkata, gerak kerja lengkap sudah siap dirancang bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah.
Setiausaha UMNO Bahagian Ipoh Barat, Mohd Zawawi Mohd Yusof berkata, pendekatan turun padang yang sebelum ini dilakukan pada pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri Ogos lalu, akan digunakan di Mahkota.
“Kami bawa semangat (kemenangan) di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan ke sini dan saya sendiri yakin calon BN mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar dalam PRK kali ini.
“Saya percaya jentera UMNO dari negeri lain juga mempunyai kaedah kempen tersendiri untuk memenangi hati pengundi di Mahkota,” katanya kepada SAHIH .
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, kejayaan BN di Nenggiri sememangnya memberi suntikan semangat kepada semya jentera yang terbabit dalam PRK Mahkota.
Katanya, segala perancangan awal sudah dilakukan dan kelebihan dimiliki Syed Hussien akan membantu BN mengekalkan kerusi DUN berkenaan.
“Seperti yang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi maklumkan semalam, Syed Hussien memiliki kelebihan untuk memenangi hati pengundi Cina di Mahkota memandangkan dia memiliki latar belakang pendidikan sekolah Cina.
“Selain itu, kawasan DUN Mahkota juga dijaga dengan baik oleh wakil rakyat daripada BN sebelum ini, jadi tidak ada banyak isu berbangkit dan jika ada pun, ia boleh diselesaikan dengan berhemah oleh kerajaan negeri Johor,” katanya.
PRK Mahkota menyaksikan satu lawan satu antara BN dan Perikatan Nasional (PN).
BN mempertaruhkan Syed Hussien, manakala PN mencalonkan Mohamad Haizan Jaafar.
Menurut daftar pilihan raya, setakat 2 Ogos terdapat 66,318 pengundi layak di Mahkota merangkumi 61,397 pengundi biasa; 4,510 pengundi tentera dan suami isteri masing-masing; 401 pegawai polis dan 10 pengundi luar negara.
Pengundian awal ditetapkan pada 24 September ini. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ringgit lepasi paras 4.30, cecah paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan berbanding dolar AS
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2975/3050 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3330/3370 pada Khamis. – Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ringgit melepasi paras 4.30 hari ini, mencecah paras tertingginya dalam tempoh 20 bulan berbanding dolar AS apabila para peniaga menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) menurunkan kadar antara 25 dan 50 mata asas, kata seorang pakar ekonomi.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2975/3050 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3330/3370 pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mencatatkan prestasi kukuh hari ini melepasi paras sokongannya pada RM4.3259 dan paras sokongan seterusnya dijangkakan pada RM4.2128.
“Pasaran nampaknya menjangkakan penurunan kadar Fed antara 25 dan 50 mata asas. Melihat daripada kontrak niaga hadapan faedah, Fed Amerika Syarikat mungkin cenderung menurunkan sebanyak 50 mata asas yang akan menjadikan Kadar Dana Fed berada pada 5.00 peratus daripada 5.50 peratus.
“Ini akan mengurangkan jurang dengan kadar dasar semalaman Malaysia pada 3.00 peratus,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mengukuh susulan kelemahan dolar AS menjelang penurunan kadar Fed yang begitu dinanti-nantikan pasaran.
“Fed dijangka mengambil langkah lebih agresif minggu depan berikutan inflasi yang makin mereda dan gesaan oleh bekas presiden Fed New York Bill Dudley agar Fed beralih daripada pendirian bergantung kepada data kepada pendekatan berpandangan kehadapan.
“Peralihan dalam sentimen ini telah mendorong kemungkinan penurunan lebih daripada 50 mata asas yang seterusnya akan mencetuskan penjualan dolar, yang bakal memberi manfaat kepada mata wang serantau seperti ringgit,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.7664/7747 daripada 4.7724/7768 pada Khamis, naik berbanding pound Britain kepada 5.6439/6538 daripada 5.6550/6602 sebelumnya tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.0570/0625 daripada 3.0364/0395.
Ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3098/3159 daripada 3.3190/3224, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 278.9/279.6 daripada 280.6/281.0 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.69 daripada 7.71/7.73 tetatpi turun berbanding baht Thailand kepada 12.8907/9190 daripada 12.8351/8527 sebelumnya.
— BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bentong – Seorang lelaki warganegara tempatan yang berusia 26 tahun bakal berdepan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah melakukan laporan palsu kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berkenaan telah membuat laporan polis mendakwa telah disamun oleh tiga orang lelaki yang tidak dikenali dengan menggunakan sebilah pisau di Genting Highlands dan mengalami kerugian sebanyak RM 20,400 pada semalam, pada jam 11.00 malam semalam.
“Hasil siasatan dan pemeriksaan di tempat kejadian serta menggunakan rakaman litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati mangsa sebenarnya telah berjumpa dengan seorang lelaki.
“Dalam pertemuan itu, lelaki itu telah menjual sebentuk cincin emas, sebuah telefon bimbit serta seutas rantai leher untuk berjudi,” katanya.
Zaiham berkata, susulan dari kejadian tersebut pihak polis telah membuat laporan polis ke atas lelaki berkenaan dan kes disiasat di bawah seksyen 182 kanun keseksaan kerana telah membuat laporan polis palsu.
“Pihak polis memberi amaran dan mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu dan tindakan undang-undang akan diambil kepada yang melakukan itu,” katanya. SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Posting terakhir Raja Petra Kamaruddin sebelum meninggal dunia.
Amaran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terbabit dalam jenayah, mencemarkan nama negara, atau dihukum oleh mahkamah adalah tindakan wajar dalam usaha menjaga status dan maruah Istana Negara.
Inilah antara isu terakhir yang dikupas oleh penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin, dalam hantaran videonya menerusi akaun Malaysia Today di Facebook dua hari lalu. Allahyarham menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong itu sebagai satu tindakan tegas yang perlu dilaksanakan.
“Pada tahun 1970-an, terdapat satu jenaka di kalangan penjara apabila pengarah penjara membuat ucapan di hadapan banduan, beliau akan berkata, ‘Tun, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, Tuan Haji, dan banduan sekalian.’
“Sebabnya, ramai orang yang bergelar Datuk atau Tan Sri, malah ada juga daripada bangsa lain, seperti Cina, dipenjarakan kerana kesalahan jenayah, termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Sultan Ibrahim, dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, memberi amaran bahawa darjah kebesaran, bintang, dan pingat Persekutuan akan ditarik balik daripada penerima yang terlibat dalam jenayah atau yang mencemarkan nama negara serta dihukum oleh mahkamah.
Baginda bertitah, setiap penerima anugerah haruslah bersifat jujur dan amanah kepada pemerintah, menjaga tingkah laku mereka, serta tidak terlibat dalam kegiatan rasuah atau sebarang kesalahan jenayah.
Lebih lanjut dalam hantaran terakhir itu, Raja Petra menyatakan bahawa tindakan menarik balik gelaran yang diberikan adalah wajar kerana mereka yang terbabit dalam jenayah dan menerima hukuman tidak lagi layak memegang gelaran tersebut.
“Jika dipenjara, lebih baik gelaran itu ditarik balik kerana gelaran atau anugerah diberikan sebagai pengiktirafan atas jasa kepada negara dan bangsa. Namun, apabila seseorang telah melakukan jenayah yang mencemarkan status orang bergelar, mereka tidak lagi layak untuk terus menyimpan gelaran itu,” katanya.
Tambahnya, individu yang ditarik balik darjah kebesaran bukan sahaja menanggung malu akibat kehilangan gelaran tersebut, malah akan berdepan dengan kritikan serta pandangan negatif masyarakat.
Raja Petra meninggal dunia malam tadi di United Kingdom (UK). Kematiannya pada usia 74 tahun telah disahkan oleh abangnya, Raja Idris, pagi tadi, menurut portal FMT.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ibu dan anak antara 3 maut, empat cedera dalam kemalangan di Jalan Besar Jengka 3
Maran : Ibu dan anaknya antara tiga yang maut dan empat lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan berlaku di Jalan Besar Jengka 3, kira-kira jam 8.15 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kemalangan berlaku apabila Perodua Alza dalam perjalanan dari arah Bandar Jengka menghala ke Bandar Maran dan tiba di lokasi kejadian dipercayai Toyota Avanza masuk dari arah bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang meninggal dunia, kerani Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka 3 yang memandu Perodua Alza , Noraini Ali (42) yang meninggal di tempat kejadian, manakala anaknya murid SK Jengka 3, Aufa Medina Azuan (7 tahun) yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta meninggal ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Jengka 2.
“Seorang lagi yang meninggal dunia, seorang pelajar Sekolah Menengah (SMK) Jengka 2, Nik Nurien Haziqah Nik Ibrahim (13) yang duduk di bahagian penumpang Avanza meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya
Katanya, mangsa yang cedera, seorang guru yang memandu Perodua Myvi berusia 34 tahun dan pelajar SMK Jengka 2 berusia 13 tahun menumpang kereta Toyota Avanza mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Jengka.
“Dalam kejadian itu, penumpang belakang kiri kereta Toyota Avanza pelajar SMK Jengka 2, berusia 13 tahun dan pemandu kereta sama berusia 28 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh,” katanya.
Katanya, memohon orang awam menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Sek 41 (1) APJ 1987. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
16 kes dilaporkan mengalami gejala ‘Rotavirus’ dari taman rekreasi di Maran
MARAN : Sebanyak 16 kes mangsa yang dilaporkan mengalami gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam setelah mengunjungi Taman Rekreasi Che Minah Sayang, dekat sini yang tular di media sosial pada 5 September lalu.
Mangsa berusia antara dua hingga 11 tahun dan seorang wanita dewasa berumur 27 tahun telah dilaporkan mengalami wabak itu.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dimaklumkan tentang kejadian wabak Kencing Tikus (Leptospirosis) yang berlaku di taman rekreasi itu melalui media sosial.
Katanya, pada 5 September, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran menerima satu notifikasi wabak Acute Gastroenteritis (AGE) yang dialami kanak-kanak dengan gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam.
“Siasatan yang dijalankan oleh PKD Maran dengan melakukan hasil ujian makmal mendapati sebanyak 16 kes yang terdiri daripada kanak-kanak dan seorang wanita dewasa dijangkiti wabak ‘Rotavirus’.
“Manakala, hasil ujian makmal bagi pengesahan penyakit Kencing Tikus (Leptospirosis) adalah negatif,” katanya hari ini melalui kenyataan media.
Katanya, wabak Rotavirus ini berkemungkinan berpunca daripada air sungai yang tercemar dengan sisa buangan lampin pakai buang bayi.
“JKNP menasihat pihak pengurusan Taman Rekreasi Che Minah Sayang untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar taman rekreasi.
“ Ini termasuk memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan bersih dan selamat dan orang awam juga disarankan untuk mengambil cakna dengan tidak membawa anak-anak yang kurang sihat atau warga emas untuk berekreasi di taman rekreasi tersebut,” katanya.
Katanya, semua kanak-kanak terbabit dengan gejala itu dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Jengka, manakala wanita yang merupakan ibu kepada salah seorang kanak-kanak tersebut dirawat sebagai pesakit luar.
“ Jabatan ini akan terus memantau perkembangan wabak ini dari semasa ke semasa,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!