SEBERANG PERAI: Seorang lelaki yang dikhuatiri terjatuh dari bot ketika memancing di Sungai Muda, Tasek Gelugor di sini semalam ditemui meninggal dunia malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mayat Md. Johari Mat Isa, 40, ditemui kira-kira pukul 10.50 malam.
“Mayat mangsa yang ditemui pasukan mencari dan menyelamat kemudiannya dihantar ke Hospital Kepala Batas bagi tujuan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, mayat ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
KOSMO!Online semalam melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing di Sungai Muda.
Mangsa dikatakan keluar dari rumah sejak pukul 8 pagi kelmarin sebelum bapa mangsa yang keluar mencari menemui bot gentian kaca miliknya di tengah sungai kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANGKOK: Facebook bertindak menutup halaman True New kendalian perkhidmatan maklumat junta tentera Myanmar alasan kandungannya menggalakkan keganasan.
Jurucakap Facebook berkata, laman Pasukan Maklumat Berita Tepat Tatmadaw ditutup kerana melanggar Standard Komuniti ditetapkan khususnya menggalakkan keganasan dan kekejaman.
Gergasi media sosial itu menyekat ratusan halaman berkaitan tentera sejak beberapa tahun lalu, selepas dikritik kerana gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap hantaran status jelik di negara itu.
Kebanyakan kandungannya mensasarkan minoriti Islam etnik Rohingya menyebabkan kira-kira 750,000 etnik itu melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh susulan tindakan kejam tentera pada tahun 2017.
Tentera Myanmar ketika ini meningkatkan tindakan kekerasan terhadap kempen bantahan rakyat besar-besaran yang mendesak pembebasan pemimpin digulingkan, Aung San Suu Kyi.
GAMBAR HIASAN
Pemenang Hadiah Nobel itu ditahan bersama sekutu politik awal bulan ini, tetapi rejim tentera menegaskan mereka mengambil alih kuasa secara sah.
Tentera menggunakan Facebook bagi mendakwa kemenangan pilihan raya Suu Kyi, November lalu, dicemari penipuan dan mengeluarkan amaran terhadap penunjuk perasaan yang mendesak tentera melepaskan kuasa.
Facebook turut menghapuskan akaun Ketua Junta, Min Aung Hlaing dan pemimpin tertinggi tentera Myanmar susulan siasatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengesyorkan mereka didakwa bagi tuduhan keganasan pembunuhan beramai-ramai.
Media sosial terkemuka itu turut menyekat akaun kumpulan pemberontak di sempadan dan kumpulan sami Buddha yang dituduh menghasut keganasan terhadap umat Islam.
Kebanyakan rakyat Myanmar membantah penggulingan Suu Kyi pada 1 Februari lalu dan mereka menyertai demonstrasi jalanan di bandar besar dan kawasan luar bandar.
Semalam, dua orang terbunuh apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah orang ramai di pusat bandar Mandalay, lapor AFP.
Junta tentera turut memotong liputan internet setiap malam dan menyekat platform media sosial termasuk Facebook dalam usaha menamatkan kempen penunjuk perasaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SELEBRITI INSTAGRAM BANTU PENJENAYAH SIBER KOREA UTARA
WASHINGTON: Seorang selebriti media sosial Nigeria membantu penggodam Korea Utara menggubah wang dicuri dari sebuah bank di Malta, kata pegawai Amerika Syarikat (AS).
Ramon Olorunwa Abbas dikatakan membantu penipuan siber dilakukan tiga pengaturcara komputer yang dituduh memeras wang tunai dan mata wang kripto lebih AS$1.3bilion (RM5.25bilion), kata Jabatan Kehakiman AS Khamis lalu.
Abbas, yang lebih dikenali sebagai Hushpuppi, kini berada dalam tahanan AS sementara menunggu perbicaraan dan mempunyai 2.5 juta pengikut di Instagram di mana dia kerap menyiarkan gambar bersama kereta mewah dan menaiki jet peribadi.
Ketua Bahagian Keselamatan Nasional Jabatan Kehakiman AS, John Demers, berkata penggodam dari Korea Utara itu adalah perompak bank terkemuka di dunia.
Demers bertanggungjawab membongkar kes tiga pegawai perisikan tentera Korea Utara, Jon Chang-hyok, Kim Il dan Park Jin-hyok, yang terbabit dalam jenayah siber mencuri mata wang kripto dan wang tunai dari pelbagai bank serta sasaran lain.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Ketiga-tiga penjenayah itu terbabit dalam penggodaman Sony Pictures Entertainment Inc pada 2014 dan cubaan mencuri hampir AS$1bil (RM4 bilion) dari bank pusat Bangladesh pada 2016.
Menurut pendakwa raya AS, baru-baru ini, kumpulan itu beralih kepada pencurian mata wang kripto.
Penggodam itu juga kini beralih ke rangkaian selebriti media sosial termasuk Abbas untuk menggubah wang dari hasil rompakan siber dilakukan Korea Utara dari sebuah bank Malta yang tidak dikenali sejak Februari 2019.
Pegawai Jabatan Kehakiman AS mendakwa warga Nigeria itu dipercayai bekerja dengan seorang warga Kanada, Ghaleb Alaumary, bagi mencuci berjuta-juta wang yang dicuri.
Difahamkan, mereka melakukannya dengan menggodam mesin juruwang automatik, termasuk dari Bank Islami di Pakistan dan sebuah bank di India.
Alaumary, 37, mula bekerjasama dengan pihak berkuasa AS pada Oktober 2019 dan secara diam-diam menandatangani perjanjian pengakuan pada November lalu, berdasarkan surat mahkamah yang dimeterai di Los Angeles pada 17 Februari.
Abbas diekstradisi ke AS pada Julai tahun lalu dari Dubai, di mana dia kini menghadapi tuduhan jenayah kerana bersekongkol untuk mencuri ratusan juta dolar menerusi penipuan e-mel perniagaan dan kes penipuan lain.
Gal Pissetzky, bekas peguam Abbas, memberitahu majalah Forbes Julai 2020 bahawa Abbas sama sekali tidak bersalah atas tuduhan itu dan tidak mengambil bahagian dalam sebarang kes penipuan.
Bagaimanapun, Pissetzky dan peguam lain yang mewakili Abbas sudah berhenti membelanya sejak Januari lalu, lapor Agensi.
Pihak berkuasa AS mendakwa warga Nigeria itu adalah sebahagian daripada kumpulan yang didakwa menipu beberapa peguam dari sebuah firma guaman AS, yang kononnya dibayar hampir AS$923,000 (RM3.7 juta) pada Oktober 2019.
Abbas dan rakannya juga dituduh merancang mencuri £100 juta (RM504.87 juta) dari sebuah kelab bola sepak yang tidak dinamakan dalam Liga Perdana Inggeris.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TAIPEI: Angkatan tentera udara Taiwan dikerah berkawal dua hari berturut-turut selepas berbelas pesawat tempur dan pengebom China melakukan latihan dekat pulau dikuasai Taiwan di Laut China Selatan.
Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, China berulang kali mengadakan latihan tentera di perairan sempadan berdekatan zon pertahanan udara Taiwan, terkini di kawasan berhampiran Kepulauan Pratas.
Jumaat lalu, sembilan pesawat tentera udara China terbang berhampiran Kepulauan Pratas dan Kementerian Pertahanan Taiwan memberitahu mereka mengesan 11 pesawat semalam, lapor Agensi.
Ia termasuk lapan jet pejuang, dua pengebom H-6 dengan kuasa nuklear dan sebuah pesawat anti-kapal selam, yang dilihat berhampiran pulau berdekatan.
Mereka turut mendakwa pasukan tentera laut China terbabit tetapi tidak memberikan perincian lanjut.
Tentera Udara Taiwan memberi amaran kepada pesawat China untuk meninggalkan kawasan itu dan kini sedang mengatur sistem peluru berpandu bagi memantau kegiatan mereka.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Bagaimanapun, China masih belum memberikan sebarang komen mengenai kegiatan selama dua hari itu.
Sebelum ini, Beijing memberi alasan latihan ketenteraan itu adalah sebagai tindak balas terhadap komplot Taipei dan Washington, bagi melindungi kedaulatan China.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) semalam mengulangi gesaan supaya Beijing menghentikan tekanan ketenteraan, diplomatik dan ekonomi terhadap Taiwan.
Kepulauan Pratas terletak di bahagian atas Laut China Selatan selama ini menjadi pertikaian banyak pihak dan kini turut dituntut China.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEMUA YANG LAYAK DIHARAP DAFTAR SEBAGAI PENERIMA VAKSIN
KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin berharap rakyat Malaysia yang layak mendapat suntikan vaksin COVID-19, mendaftar sebagai penerima apabila pendaftaran dibuka dalam waktu terdekat dan mendapatkan suntikan seperti dijadualkan.
Perdana Menteri berkata vaksinasi penting untuk memastikan sasaran Malaysia membentuk imuniti berkelompok berjaya dicapai, apabila sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia menerima vaksin berkenaan.
“Ini secara langsung dapat membendung penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih teruk,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia akan melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula Rabu ini melalui tiga fasa, dengan fasa pertama membabitkan kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan yang dijadualkan sehingga April depan, lapor BH Online.
MUHYIDDIN YASSIN
Fasa kedua pula, katanya, dikhususkan untuk 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU), yang dijadualkan antara April hingga Ogos depan.
Beliau berkata, fasa ketiga yang akan bermula Mei ini hingga Februari tahun depan adalah kepada penduduk di Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing, dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.
“Bagi mereka yang diklasifikasikan dalam fasa dua dan tiga, saya harap anda boleh bersabar dan terus menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini, sementara proses pemberian vaksin untuk kumpulan fasa satu dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada kementerian dan pihak yang terbabit dalam memastikan ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 ke Malaysia.
“Alhamdulillah, kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech selamat tiba pada jam 10 pagi hari ini, 21 Februari 2021, di Advanced Cargo Centre (ACC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), melalui penerbangan MH604 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn Bhd (MASKargo).
“Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan semua pihak serta agensi yang terbabit, khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airlines Berhad untuk pastikan bekalan vaksin selamat tiba di Malaysia,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian hari ini berada di tahap 0.90, dengan Perak mencatat Rt tertinggi pada 1.93.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi infografik yang dikongsikan di akaun Twitter beliau memaklumkan, Kelantan merekodkan nilai Rt kedua tertinggi pada 1.13 diikuti Negeri Sembilan (1.03) dan Kedah (1.0), lapor Bernama.
Negeri lain yang mencatat bacaan di bawah satu ialah Sarawak (0.99), Johor (0.91), Selangor dan Pulau Pinang (masing-masing 0.89), Perlis (0.86), Putrajaya (0.84), Terengganu (0.83), Kuala Lumpur (0.82), Sabah (0.79), Pahang (0.76), Labuan (0.66), manakala Melaka (0.65).
Hari ini, kes baharu positif pandemik COVID-19 merekodkan empat angka dengan 3,297 kes, selain lima kematian dilaporkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KANOWIT: Seorang lelaki maut selepas dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan senapang patah ketika memburu di kawasan Hutan Latong, Machan, di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika mangsa berusia 30 tahun keluar memburu bersama tiga lagi rakannya.
Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong, berkata siasatan awal mendapati sejurus tiba di lokasi mangsa yang membawa senapang patah berjalan di hadapan diekori rakannya di belakang.
“Selepas beberapa minit memasuki hutan, secara tiba-tiba rakan mangsa terdengar bunyi letupan senjata api dari arah mangsa pada jarak kira-kira 10 meter di hadapan.
“Mereka kemudian mendapati mangsa berada dalam keadaan berlumuran dengan kesan tembakan di bahagian perut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH Online.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kanowit untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan kira-kira jam 11.15 malam.
“Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan pemilihan parti itu tetap diadakan tahun ini.
Beliau berkata, walaupun tarikh pemilihan parti belum ditentukan, namun ia akan diadakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“Perhimpunan agung parti wajib diadakan setiap tahun, namun Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang sepatutnya diadakan, terpaksa ditangguhkan berikutan COVID-19.
“Kita merancang untuk mengadakannya pada 31 Januari lalu, namun itu pun terpaksa ditangguhkan. Maka keutamaan ketika ini adalah untuk mengadakan PAU 2020 terlebih dahulu.
“Tetapi saya sudah berjanji dan memberi jaminan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan nasional akan tetap diadakan tahun ini,” katanya dalam satu program buat bicara hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak akan menggadaikan prinsipnya untuk mengadakan kerjasama politik dengan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata, bukan sahaja DAP malah UMNO tidak pernah berhasrat untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang, setakat ini.
“Di luar sana (ada sangkaan) seolah-olah UMNO mahu bersekongkol dengan parti yang didoktrinasi oleh pemimpin selama 22 tahun yang sangat bencikan parti terbabit dan akhirnya pemimpin itu berpelukkan penuh erat dengan parti itu, lapor BH Online.
“Terlalu awal untuk menyatakan kita mahu bergabung dengan parti itu atau parti ini. Kita tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan secara formal atau tidak formal.
“Tetapi kedinamikan politik itu tidak boleh dinafikan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA: Satu rangka manusia yang masih lengkap memakai baju berwarna merah ditemui di kawasan semak di sebuah tanah kosong di Jalan Kerayong, Kuala Lumpur di sini, semalam.
Rangka berkenaan ditemui seorang pengurus syarikat kira-kira pukul 12.30 tengah hari sebelum meminta pengadu membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota polis segera ke lokasi dan mendapati rangka tersebut terpisah antara badan dengan kepala dalam jarak kira-kira tiga kaki (0.9 meter).
“Butiran dan identiti mangsa masih belum dapat dipastikan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian.
“Cuma kita mengesan mangsa memakai kemeja berwarna merah jenama Seven Saints,” ujarnya dalam kenyataan hari ini, lapor KOSMO! Online.
GAMBAR IHSAN PDRM
Jelasnya, pasukan Forensik, Unit Anjing Pengesan (K9) dan ahli patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut hadir di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
“Kita dapati tiada televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi membantu siasatan dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR),” ujarnya.
Katanya, orang awam yang mempunyai rekod saudara mara atau ahli keluarga hilang diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 0322979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 032115 9999 atau hadir di mana-mana balai polis yang berdekatan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEPANG: Kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech selamat tiba di Advanced Cargo Centre (ACC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH604 dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo) pada jam 10 pagi, hari ini.
Malaysia akan mula melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 24 Februari 2021 melalui tiga (3) fasa iaitu Fasa 1 (Februari – April 2021) untuk untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang, Fasa 2 (April – Ogos 2021) kepada kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi serta OKU melibatkan 9.4 juta orang.
Vaksin Covid-19 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini
Pada suntikan vaksinasi Fasa 3 (Mei 2021 – Februari 2022) untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Ismail Mohamad Said berkata, beliau berharap orang ramai menerima suntikan vaksinasi sebagai pelindung kepada diri sebagai memerangi Covid-19 yang menular dan hampir melumpuhkan negara di dunia sejak tahun lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Ismail Mohamad Said
“Dari segi keselamatan penjagaan keselamatan vaksin yang tiba, pihak kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa menjaga dengan meletakkan pasukan keselamatan agar tidak diusik atau dicuri.
“MKN sudah mahir dan bersiap sedia sejak dulu lagi, bukan untuk pengurusan penjagaan vaksin tetapi sebaliknya sudah terbukti dalam menangani bencana seperti banjir berlaku baru-baru ini, “ katanya di Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan dan Ziarah Mangsa Banjir oleh MYAngkasa Amanah Berhad di Kuala Krau, hari ini.
Datuk Ismail menerima sumbangan daripada Datuk Abdul Fattah, hari ini.
Katanya, orang ramai jangan ragui dengan penyimpanan vaksin yang diterima seperti tercemar yang boleh mememudaratkan, pasukan MKN dan pasukan keselamatan telah merangka pengawasan yang cukup teliti dan rapi.
“Diharap semua yang layak diberikan suntikan vaksin mendaftar segera apabila pendaftaran dibuka dalam waktu yang terdekat dan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing seperti yang dijadualkan.
“Vaksinasi ini penting untuk kita semua bagi membentuk imuniti berkelompok (herd immunity) dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia menerima vaksin dan secara langsung dapat membendung penularan jangkitan COVID-19 ini daripada menjadi lebih teruk,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!