KUALA LUMPUR: Laman media sosial Twitter dipenuhi hashtag #KitaMintaLima sejak malam tadi.
Difahamkan, hashtag itu adalah antara luahan netizen yang kurang senang dengan pendekatan kerajaan ketika ini dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat COVID-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali kedua sejak 22 Januari lalu.
HASHTAG #KITAMINTALIMA TRENDING DI LAMAN SOSIAL TWITTER SEJAK MALAM TADI
Tindakan netizen turut menarik perhatian ramai pengguna Twitter memberikan sokongan kepada semua yang retweet hashtag berkenaan.
Sehingga lewat malam tadi, kira-kira 25,000 tweets menggunakan hashtag #KitaMintaLima sudah dipaparkan pada timeline media sosial Twitter.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PAHANG SUMBANG RM10,000 UNTUK 19 PELAJAR DIKUARANTIN
KUANTAN: Nasib 19 pelajar bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikuarantin di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau melakukan lawatan ke pusat kuarantin itu pagi tadi bagi memantau keadaan pelajar berkenaan dan memastikan semua kemudahan diperlukan 12 pelajar lelaki dan tujuh pelajar perempuan dapat disediakan sebaik mungkin.
Dalam lawatan itu juga, Wan Rosdy turut meluluskan peruntukan segera berjumlah RM10,000 kepada pelajar terbabit bagi tujuan membeli barangan peribadi mengikut keperluan masing-masing.
GAMBAR IHSAN FACEBOOK RASMI WAN ROSDY WAN ISMAIL
“Pelajar ini ditempatkan di sini berikutan ibu bapa atau penjaga mereka disahkan positif COVID-19.
“Untuk memastikan persediaan pelajar ini tidak terganggu memandangkan peperiksaan SPM juga sudah semakin hampir iaitu pada 22 Februari ini, jadi kita bawa mereka ke sini untuk memudahkan proses ulang kaji pelajaran.
“Saya berpuas hati dengan kemudahan disediakan pihak KUIPSAS dan saya harap semua pelajar terbabit dapat menumpukan dan fokus kepada pelajaran mereka sepanjang ditempatkan di sini,” katanya dalam sidang media selepas melawat pusat kuarantin berkenaan.
Wan Rosdy berkata, sumbangan kerajaan negeri itu adalah untuk meringankan bebanan pelajar terbabit bagi membeli peralatan tulis dan barangan penjagaan kebersihan diri mereka.
Beliau turut menggalakkan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan ahli keluarga mereka disahkan positif COVID-19 untuk datang ke pusat kuarantin KUIPSAS serta ditempatkan di sini sehingga peperiksaan SPM berakhir.
“Saya dimaklumkan bahawa setiap pelajar diberikan satu bilik dan secara keseluruhan boleh memuatkan sehingga 200 pelajar untuk satu masa.
“Kita akan tambah peruntukan RM10,000 ini jika tidak mencukupi dan saya diberitahu juga tadi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang diberi tanggung jawab untuk memastikan keperluan makan, minum kepada pelajar mencukupi serta bilik disediakan juga dalam keadaan baik dan selesa,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG: Seorang warga asing melakukan cubaan memberi rasuah kepada anggota polis di Bukit Tinggi di Bentong untuk mendapatkan kebenaran perjalanan merentas sempadan antara negeri hari ini.
Lelaki berusia 28 tahun itu, cuba menawarkan RM200 kepada anggota polis untuk mendapatkan dokumen kebenaran perjalanan, ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Raub.
Suspek ditahan kerana cuba memberi sogokan sebanyak RM200 di Balai Polis Bukit Tinggi, Bentong, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku ketika suspek tiba di Balai Polis Bukit Tinggi kira-kira jam 9.40 pagi untuk mendapatkan kebenaran perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Setelah permohonannya berserta dokumen sokongan ditolak, tiba-tiba, lelaki itu mengeluarkan sejumlah wang tunai dan menyerahkan RM200 kepada empat anggota polis termasuk ketua balai polis yang berada di kaunter.
“Suspek memohon pihak polis untuk memberi kelulusan dokumen perjalanan.
“Lelaki itu ditahan dan kemudian diserahkan kepada SPRM cawangan Raub untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Zaiham menasihati orang ramai agar tidak cuba memberi sogokan kepada anggota polis untuk mendapatkan kebenaran perjalanan merentas negeri atau daerah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa sekarang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Depoh pelupusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Sungai Besi, di sini, musnah dalam kebakaran, malam ini.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 malam.
Susulan itu, katanya, 45 anggota menaiki lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, BBP Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sentul serta BBP Wangsa Maju, selain lima jentera DBKL dikerahkan ke lokasi kejadian, lapor BH Online.
“Depoh pelupusan itu terbakar 80 peratus manakala kebakaran berjaya dikawal dan dipadam masing-masing jam 10.50 malam serta 11.09 malam,” katanya.
“Sejurus tiba di lokasi terbabit, anggota bomba mendapati kebakaran kawasan longgokan barangan lama simpanan DBKL.
“Teknik padam kebakaran dilakukan secara agresif dan berhati-hati oleh anggota untuk mengawal kebakaran daripada merebak.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA BANTU MANGSA KEBAKARAN
MARAN: Selepas rumah ditenggelami banjir baru-baru ini kini sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Jengka 8 petang semalam.
Seorang mangsa, Fadilah Saari,48, berkata, kejadian kira-kira pukul 5 petang itu difahamkan bermula di ruang tamu rumah ketika seorang anaknya berumur enam tahun bermain pemetik api.
GAMBAR IHSAN GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA
“Ketika api sudah marak anak saya yang berkumur 14 tahun yang berada di tandas tersedar dan berlari keluar melalui pintu dapur sebelum orang ramai mencari dan menyelamatkan bapa mentua saya.
“Semasa dalam keadaan kelam kabut itulah orang ramai menyatakan anak saya yang berusia enam tahun berada di dalam rumah tetapi nasib baik dia telah pun berlari keluar mengikut pintu dapur,”katanya ketika ditemui di Jengka 8 di sini, hari ini.
Menurut Fadilah semasa kejadian dia berada di ladang kelapa sawit bagi menguruskan lembu manakala isterinya keluar ke bandar bagi membeli barangan keperluan.
Katanya, akibat kejadian menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas lebih 90 peratus rumahnya musnah bersama sebuah motosikal yang baru dibelinya empat bulan lalu.
GAMBAR IHSAN GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA
“Pada mulanya memang saya hendak menaiki motosikal baharu ke ladang tetapi saya menukar menaiki motosikal lama menyebabkan motosikal baharu musnah terbakar, kereta saya juga mengalami kerosakan akibat kebakaran.
“Saya reda dengan ujian ini meskipun baru sahaja menggantikan barang-barang selepas rumah ditenggelami air banjir baru-baru ini tetapi kini semuanya musnah dalam kebakaran,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, pada masa ini keluarga mangsa ditempatkan sementara di rumah inap desa Masjid Jengka 8 sehingga rumah baharu dibina.
PENGERUSI GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA, RAZAK DAUD
Katanya, Gabungan Masjid Wilayah Felda bersama pemimpin setempat, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta telah tampil menghulurkan bantuan.
“Semua masjid di Felda Wilayah Jengka juga membuat kutipan bagi membantu membina semula rumah mangsa membolehkan mereka kembali hidup seperti biasa,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
CALIFORNIA: Instagram bertindak menyahaktifkan ratusan akaun dikaitkan dengan kumpulan penggodam yang mencuri dan menjual semula akaun berkenaan termasuk untuk tujuan jenayah.
Anggota kumpulan itu, yang dikenali sebagai OGUsers, sudah diberi surat supaya menghentikan kegiatan mereka oleh Instagram dan Facebook, yang turut bekerjasama dengan pihak penguatkuasa undang-undang.
Kumpulan terbabit menyasarkan nama pengguna yang luar biasa dan mempunyai kurang lima abjad seperti @h4ck atau @sick, yang bernilai untuk dijual semula dalam pasaran sekunder untuk akaun Instagram.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Facebook menjangkakan OGUsers, yang beroperasi sejak 2017, bertanggungjawab dalam urus niaga bernilai jutaan dolar, yang mana setiap akaun boleh dijual pada harga mencecah ribuan atau puluhan ribu dolar, lapor Agensi.
Pengumuman yang dibuat kelmarin itu adalah tindakan yang pertama kali dilakukan oleh pihaknya secara terbuka bagi menyahaktif sejumlah besar akaun Instagram yang digodan dan dijual semula.
Pasukan keselamatan bimbang OGUsers dan kumpulan lain seperti itu akan menjadi lebih aktif serta menggunakan taktik lebih mengancam untuk mendapatkan apa yang mereka cari.
Dengan mendedahkan proses penggodaman, Facebook turut berharap pihaknya dapat membuatkan akaun terbabit kurang menarik untuk dibeli.
Kebiasaannya, akaun seperti itu diperoleh secara serangan phishing, di mana penggodam mengirim e-mel yang kononnya dihantar Instagram, bagi mendapatkan kata laluan atau pertukaran kad SIM.
Mereka kemudian menyamar menggunakan nombor telefon individu lain itu untuk melepasi proses pengesahan identiti.
Malah, baru-baru ini Facebook mendapati penggodam menggunakan bahan seperti maklumat sensitif atau gambar lucah dalam akaun Instagram pemilik untuk memeras ugut atau supaya mereka menjual akaun bernilai komersial tinggi.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Apabila sesuatu akaun Instagram menjadi komersial kerana ramai pengikut, tinggi, lencana pengesahan atau nama pengguna yang popular itu menjadi lebih bernilai untuk dijual semula.
Amalan itu bertentangan dengan syarat perkhidmatan Instagram, namun ia sukar dikesan kerana mangsanya tidak mahu menanggung malu.
Menurut Instagram, pihaknya cuba memulangkan akaun kepada pemilik asal, namun berdepan masalah untuk mengesahkan pemilik asalnya kerana penggodam selalu membuat tuntutan meyakinkan terhadap akaun yang tidak mereka miliki.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Puluhan warga Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, ditahan ketika mendarat di perairan Malaysia dengan bot baru-baru ini, selepas melarikan diri dari sebuah kem pelarian di Indonesia.
Menurut pihak polis hari ini, hampir 400 etnik minoriti Islam dari Myanmar itu tiba dengan bot di Lhokseumawe tahun lalu, selepas melalui perjalanan berbahaya.
GAMBAR IHSAN AFP
Dianggarkan, kini hanya tinggal 100 warga Rohingya di kem pelarian terbabit berbanding lebih 400 ketika mereka diselamatkan kira-kira tiga bulan lalu.
Dipercayai, ramai yang kembali mendapatkan khidmat penyeludup bagi menyusup masuk ke Malaysia dengan merentasi laut, kebanyakannya wanita yang mahu menemui pasangan masing-masing di sini.
Secara amnya, Malaysia dengan majoriti penduduk beragama Islam menjadi destinasi utama warga Rohingya yang melarikan diri daripada penderitaan di kem pelarian di Bangladesh.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar, memberitahu AFP bahawa sebuah bot berjaya dipintas bulan lalu.
“Ia membawa 36 orang iaitu 31 warga Rohingya serta lima rakyat Indonesia dan dipintas ketika ketika mendarat di pantai barat Malaysia pada 6 Januari lalu.
“Mereka memasuki Malaysia dengan bot dari Tanjung Balai (di pulau Sumatera, Indonesia) dan mendarat di pantai di sini,” katanya.
Pendatang etnik Rohingya itu termasuk 17 wanita, tujuh lelaki, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
GAMBAR IHSAN AFP
Menurut Abdul Rahim, kesemua mereka ditahan dan 21 orang didakwa memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah manakala dua orang lagi didakwa di bawah undang-undang anti pemerdagangan manusia.
Berita mengenai pendaratan bot seiring dengan rekod pihak bertanggungjawab di kem pelarian Rohingya di Indonesia, yang memberitahu AFP minggu ini bahawa sejumlah wanita diseludup ke Malaysia.
Menurut kumpulan hak asasi manusia dan kebajikan Rohingya, ada yang ditahan dan ada yang dipercayai berjaya masuk ke negara ini untuk bertemu dengan pasangan mereka.
Dianggarkan hampir satu juta warga Rohingya tinggal di kem pelarian di Bangladesh yang diwujudkan ekoran tindakan keras oleh tentera Myanmar pada 2017 yang mendorong mereka lari dari negara miskin di Asia Selatan itu.
Selama bertahun-tahun, ramai yang mencuba untuk melarikan diri dengan menaiki bot ke Malaysia dan sanggup berdepan penderitaan mengerikan selain perjalanan berbulan lamanya.
Difahamkan, lebih 100,000 warga Rohingya tinggal di Malaysia dan berdaftar sebagai pelarian tetapi tidak dibenarkan bekerja, sekali gus memaksa mereka bekerja secara haram dan dibayar gaji rendah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA: Seorang wanita kesal selepas akaun Facebooknya digunakan oleh suaminya untuk memberi komen berbaur lucah di siaran langsung Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri semalam.
Perkara tersebut menjadi tular selepas komen berkenaan dikecam teruk oleh ramai pengguna Facebook.
Bagaimanapun, pemilik sebenar akaun tersebut yang dikenali sebagai Dilla, telah memuatnaik satu hantaran status bagi menjelaskan keadaan sebenar.
“Akaun Facebook itu milik saya, Puan Dilla.
“Tiada kata-kata untuk saya ungkapkan sebagai seorang perempuan yang beragama islam, seorang guru, seorang anak, seorang isteri.
“Apa tindakan saya sebagai seorang isteri yang bila mana suami menggunakan akaun Facebook saya meluahkan kata-kata seperti itu.
“Walaupun saya telah padam, benda dah tersebar. Dan saya rasakan ini ujian bagi saya. Allahuakbar,” katanya.
Beberapa jam selepas kenyataan pemilik akaun sebenar itu dimuat naik, seorang lelaki yang mendakwa dirinya merupakan suami kepada wanita terbabit telah memuatnaik sebuah klip video pengakuan dan memohon maaf.
GAMBAR IHSAN RTM
“Saya sebenarnya yang menulis komen itu menggunakan telefon isteri saya tanpa pengetahuannya. Sebenarnya, komen itu ditujukan kepada pihak kerajaan agar segera tamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya tidak berpuas hati dengan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan. Jadi, saya minta abaikan komen tersebut.
Saya akui status itu tidak elok dibaca oleh orang ramai,” jelasnya dalam sebuah video berdurasi lapan minit.
Menurutnya, komen itu telah dipadam kira-kira sepuluh minit kemudian tetapi sempat dirakam oleh pengguna lain.
Difahamkan, akaun Facebook milik kedua-dua pasangan suami isteri itu kini telah dinyahaktif.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
AUSTRALIA ANUGERAH UNCLE HASHIM ORDER OF AUSTRALIA
KUALA LUMPUR: ‘Uncle Hashim’ bukan sebarangan ‘uncle’. Beliau adalah rakyat Malaysia yang berkhidmat secara sukarela kepada komuniti Islam dan rakyat Malaysia yang berada di Canberra, Australia.
Abdul Rahman Hashim, 79, dikenali di Canberra menghulurkan khidmat sukarela sehingga dianugerahkan Pingat Order of Australia (OAM) semasa sambutan Hari Australia.
Abdul Rahman Hashim, 79, dikenali Uncle Hashim
Uncle hashim tiba di Australia pada tahun 1969 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains komputer.
Selepas tiga tahun berhijrah ke Australia, Uncle Hashim menubuhkan Persatuan Rakyat Malaysia Australia sebagai inisiatif menyatukan dua rakyat berbeza di Canberra.
Hashim kemudian menghabiskan 26 tahun sebagai penjawat awam di Australia, dan memperoleh jawatan diplomatik senior di Indonesia dan Filipina sebelum bersara pada tahun 1998.
Menurut sumber, masalah utama di sana ialah tiada daging halal. Uncle Hashim dan rakan-rakannya berbincang dengan kerajaan persekutuan untuk menjadikan perusahaan penyembelihan daging halal sebagai sesuatu yang sah.
Uncle Hashim menjadi sukarelawan di hospital, menjaga pesakit Islam bermula ketika isterinya menjalani rawatan kanser, aktif membaca al-Quran dan melakukan upacara pengebumian.
Menurut Australian Muslim Times, Uncle Hashim menerima anugerah tertinggi Rotari iaitu Fellow Paul Harris pada 1987 semasa beliau menganggotai Kelab Rotari Bandaraya Canberra dan diiktiraf sebagai Perkhidmatan Awam Australia.
Akhbar tempatan menjelaskan anugerah tersebut diberikan oleh Gabenor Jeneral Australia kepada Uncle Hashim sebagai mengiktiraf semangat dan usaha beliau membantu komuniti Islam di negara tersebut.
Dianugerahkan Order Of Australia
Beliau terlibat dengan pertubuhan persatuan termasuk Majlis Pelajar Luar Negara Canberra, Persatuan Pelajar Malaysia, Persatuan Pelajar Islam Canberra dan Persatuan Rakyat Malaysia Australia semasa zaman mudanya di Universiti Canberra.
Terkini, Uncle Hashim berjaya melancarkan Australian Muslim Aged and Respite Care, saluran bantuan kepada komuniti Islam di Canberra yang menggunakan perkhidmatan kebajikan yang dibayar oleh kerajaan untuk menyediakan tempat selesa kepada warga emas beragama Islam dengan penjagaan perubatan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Firdaus Ramlan merupakan hakim majistret di Kelantan apabila kes rasuahnya terbongkar lebih satu dekad lalu.
Dalam satu temu bual dengan Malaysiakini, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kini berusia 39 tahun itu menceritakan kisah hidupnya agar menjadi pengajaran kepada orang lain.
Firdaus melakukan kesalahan itu ketika berkhidmat sebagai majistret di Mahkamah Majistret Gua Musang.
BEKAS MAJISTRET, FIRDAUS RAMLAN/GAMBAR IHSAN MALAYSIAKINI
Sebelum itu, dia pernah bertugas sebagai penasihat undang-undang untuk Majlis Bandaraya Klang dan pendaftar kanan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
“Sistem yang korup tu dah ada. Saya mewarisinya. Ini merupakan rahsia terbuka,” tambahnya.
Mengakui bahawa dia tidak dipaksa untuk menerima rasuah, Firdaus berkata broker adalah antara mereka yang menyambutnya ketika dia melaporkan diri sebagai hakim.
“Ini adalah orang tengah antara saya dan penjahat. Ketika saya melapor bertugas untuk pertama kalinya, mereka membayar makanan saya dan menyediakan tempat untuk saya tinggal,” tambahnya.
Gaji permulaan Firdaus bagi jawatan gred L41 adalah sebanyak RM1,500 sebulan.
“Sistem yang korup tu dah ada.. saya mewarisinya. Ini merupakan rahsia terbuka,” kata bekas majistret, Firdaus Ramlan
Bagaimanapun, bekas majistret itu berkata dia tidak menyentuh satu sen pun gaji berkenaan kerana boleh mendapat sehingga RM10,000 bagi setiap kes.
“Bayangkan berapa banyak yang akan saya dapat sekiranya ada tiga atau empat kes dalam sehari?” katanya sambil mengatakan godaan itu terlalu besar untuk dihindari.
Firdaus menceritakan dia menggunakan wang itu untuk membeli barangan mewah seperti jam tangan dan kasut berjenama.
“Ketika dah buat duit, giliran kamu melayani broker. Saya juga kirimkan wang kepada ibu bapa saya, ”tambahnya.
Pada tahun 2009, Firdaus mengendalikan kes melibatkan pesalah dadah yang sebelumnya didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
GAMBAR HIASAN
Pada masa itu, dia dikenali di kalangan orang tertentu sebagai majistret yang korup.
Tertuduh menawarkan untuk membayar RM5,000 untuk dibebaskan dengan bon bagi mengelakkan dipenjara.
Menceritakan bagaimana ia disepakati, Firdaus berkata tertuduh akan menyatakan hasratnya kepada anggota polis yang bertugas di mahkamah.
Anggota polis kemudian akan menyampaikan mesej itu ketua inspektor yang akan mendekati tertuduh untuk mengesahkan kesepakatan itu.
Setelah perkara itu disahkan, ketua inspektor, yang bertemu majistret setiap pagi, akan menyampaikan tawaran itu kepada Firdaus.
Sekiranya disepakati, tertuduh akan mengupah peguam untuk merayu hukuman yang lebih ringan di hadapan majistret.
Namun, dalam kes ini, tertuduh tidak menjelaskan bayarannya dan ini menyebabkan rasuah itu terbongkar.
“Ketua inspektor mengugut tertuduh bahawa dia akan mengemukakan rayuan dan mengembalikan hukuman penjara. Oleh itu, tertuduh buat laporan polis dan dedahkan kami semua.
“Tertuduh dilindungi di bawah Akta SPRM sebagai pemberi maklumat,” tambah bekas hakim itu.
Firdaus ditangkap pada 11 Oktober 2009 ketika isterinya mengandung anak pertama mereka.
Ketika perkara itu didengar di Mahkamah Rayuan, Firdaus mengaku dia cuba melarikan diri.
“Saya tahu ia dah berakhir.
“Saya melihat nama panel hakim termasuk Abdul Wahab Patail dan Jeffrey Tan. Peguam saya sudah bersedia tapi kes ini kuat. Para hakim tak akan tertipu, ” katanya.
“Mayat ibu saya rentung.. saya tak dapat berhenti daripada memikirkan bahawa saya telah memberi makan keluarga saya dengan hasil haram,”
Firdaus menceritakan dia mengambil kunci keretanya dan keluar dari bangunan mahkamah melalui pintu belakang ketika bertemu peguamnya.
“Dia tanya ke mana saya nak pergi. Saya beritahu saya nak lari. Tapi dia nasihatkan saya untuk berdepan masalah ini dan saya mendengar nasihat dia.
“Seperti dijangka, para hakim mengekalkan hukuman. Saya masih ingat wajah sedih isteri dan ibu mentua saya,” tambahnya.
Firdaus berkata dia masih meratapi kematian ibu, ayah tiri dan adiknya yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.
“Mayat ibu saya rentung. Saya tak dapat berhenti daripada memikirkan bahawa saya telah memberi makan keluarga saya dengan hasil haram,” tambahnya.
Firdaus dijatuhi hukuman tiga tahun penjara tetapi dibebaskan dengan parol selepas 19 bulan.
Pada bulan Jun 2014, Firdaus bertemu pegawai SPRM yang menyiasat kesnya.
“Saya nampak dia di sebuah restoran. Dia kenal saya ketika saya perkenalkan diri sebagai majistret korup.
“Saya beritahu dia bahawa saya ingin berkongsi pengalaman saya dengan pegawai kerajaan yang lain untuk mengelakkan mereka mengalami nasib yang serupa,” tambahnya.
Dengan bantuan pegawai itu, Firdaus menemui pengarah SPRM negeri untuk mengemukakan cadangan tersebut.
“Pengarah setuju dengan idea itu. Sesi perkongsian pertama saya adalah di institut perguruan di Kota Bharu.
“Di situlah ia bermula. Inilah apa yang saya lakukan sekarang,” tambahnya.
Ketika ditanya apakah dia merindui profesion perundangan, Firdaus menjawab:
“Jika saya dapat mengundurkan waktu, saya akan menjadi majistret yang menegakkan keadilan, bukan majistret yang korup.”
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!