LELAKI DITEMUI LEMAH DI PAYA BAKAU DIKENAL PASTI WARGA MYANMAR
KEMAMAN – Identiti lelaki yang terperangkap dalam lumpur paya bakau sedalam kira-kira 0.3 meter di Kampung Injin Gergaji, Chukai pada kelmarin dikenalpasti sebagai Kyi Htut Naing, 37.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa merupakan warga Myanmar yang bekerja di sebuah kedai tayar di bandar Chukai di sini.
“Pengecaman telah dilakukan majikannya setelah fotonya yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia tersebar di media sosial.
“Berdasarkan keterangan majikan mangsa, lelaki itu sudah dua hari tidak bekerja dan pulang ke rumah pekerja yang disediakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, Htut Naing didakwa mengalami masalah kemurungan beberapa hari sebelum menghilangkan diri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, mangsa yang ditempatkan di Unit Rawatan Hospital Kemaman masih belum sedarkan diri.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang pemancing terkejut selepas terserempak dengan seorang lelaki tidak bermaya dan hanya berseluar dalam di dalam lumpur tebal di kawasan paya bakau tersebut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GUA MUSANG – Selepas 24 jam nahas melibatkan sebuah treler balak terbalik ke dalam tasik di Kilometer 47, Jalan Lojing-Gua Musang di sini, mayat pemandunya ditemui tersepit di ruang penumpang kenderaan berat itu hari ini.
Mangsa, Kamarulzaman Sallehuddin, 33, yang berasal dari Padang Rengas, Perak ditemui dalam kenderaan itu kira-kira pukul 2.30 petang tadi.
Sebelum itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu telah berjaya membawa naik bahagian kepala treler balak berkenaan menggunakan dua buah kren bermula pukul 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas.
Katanya, anggota bomba yang bertugas mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang dipercayai terperangkap di bahagian tempat duduk penumpang hadapan, lapor KOSMO online.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KPDNHEP RAMPAS RM274,111.40 PENIAGA GAGAL PATUH PERATURAN
JERANTUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Pahang telah melakukan 18,781 pemeriksaan ke atas premis perniagaan di seluruh negeri ini sejak 1 Januari tahun ini.
Sebanyak 345 kes telah dikesan dan melibatkan rampasan bernilai RM 274,114.40 dan kompaun berjumlah RM89,000. Selain itu turut menerima 230 pelbagai aduan dan 211 aduan telah selesai disiasat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, tempoh berkuat kuasa bagi pemantauan Skim Harga Maksimum musim perayaan Hari Raya Puasa 2021 selama 30 hari.
Datuk Nazri Ngah (2 dari kanan) dalam lawatan pemantauan skim harga maksimum bersama Pegawau Daerah Jerantut Khairun Nissa Aris (2 dari kiri) dan Timbalan Pengarah KDNHEP Pahang, Normaswari Nordin (kiri sekali)
“Pemantauan ini dijalankan 22 hari sebelum sambutan hari raya Aidil Fitri, sehari pada hari perayaan dan tujuh hari selepas sambutan hari raya.
“Skim pemantauan ini dapat menyekat aktiviti pengambilan untung melampau dan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak beretika di kala negeri ini masih berusaha memerangi penularan wabak Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 Peringkat Negeri Pahang di sebuah pasaraya di Jerantut, hari ini.
Katanya, kepada peniaga individu yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini boleh dikenakan denda sehingga RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun RM 50,000.
“Manakala syarikat yang terlibat dengan kesalahan yang sama akan didenda RM 500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.
Turut hadir, Timbalan Pengarah KDNHEP Pahang, Normaswari Nordin dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.
“Selain itu, kesalahan gagal mempamerkan tanda harga berwana merah jambu bagi barangan kawalan, individu akan dikenakan RM 10,000 atau kompaun sehingga RM 5,000, manakala syarikat yang terlibat akan dikenakan denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM 10,000,”katanya.
Selain itu, beliau berpuas hati prosedur operasi standard (SOP) yang dipatuhi oleh orang ramai dan peniaga di seluruh negeri Pahang dan setakat ini tiada ada berlaku rungutan daripada orang ramai berkaitan dengan harga jualan di bazar Ramadan.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
POLIS BENTONG SERBU DAN RAMPAS MERCU SERTA BUNGA API
BENTONG: Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis (IPD) Bentong di sebuah rumah di bandar ini menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan berjumlah RM50,000 pada jam 12.30 tengah malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, ketika serbuan, mendapati seorang lelaki warganegara tempatan berusia 38 tahun setelah memeriksa bahagian ruang tamu rumah itu dan menjumpai bahan tersebut.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar
“Suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran memiliki dan menjual mercun serta bunga api.
“Pihak polis membuat tangkapan ke atas suspek dan merampas semua bahan terlarang itu ke balai polis untuk siasatan lanjut,”katanya.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek baru menerima bekalan bahan itu sebelum dijual kepada orang awam, pihak polis akan menyiasat bagaimana sumber itu didapati.
Mercun dan bunga api yang ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di bandar bentong, semalam.- Foto PolisBentong.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan tanpa sebarang lesen yang sah, sabit kesalahan akan dihukum penjara tidak lebih 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, orang ramai dilarang menjual atau bermain mercun tanpa permit termasuk mengubahsuai bahan tersebut kerana perbuatan itu adalah berbahaya dan menyalahi di sisi undang-undang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KEGEMBIRAAN BERKELAH BERAKHIR DUA PELAJAR UMP LEMAS
KUANTAN: Kegembiraan sebelas orang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkelah di Air Terjun Sungai Pandan berakhir dengan dua daripadanya lemas kira-kira jam 1.45 petang, semalam.
Dua mayat penuntut UMP yang lemas itu A Sharvin Ananth, 24, berasal dari Skudai, Johor, 24 dan Goobi, 23, dari Karak, Bentong, Pahang, masing-masing ditemui pada jam 3.10 petang dan 3.37 petang.
Dua mayat pelajar UMP yang ditemukan lemas di Air Terjun Sungai Pandan di Kuantan, Pahang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian lemas di air terjun itu pada jam 1.45 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati dua mangsa mandi di air terjun sebelum itu gagal timbul di permukaan bersama Sembilan lagi rakannya.
“Mayat mangsa itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota polis dengan bantuan 14 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas serta lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sementara menunggu bantuan Unit Selam Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang tiba.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA SELANGOR – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga yang menghadapi tekanan dalam pembelajaran nekad terjun daripada tingkat tiga bangunan sekolahnya di Tanjong Karang di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, pelajar berusia 15 tahun itu patah tulang belakang dan kaki kanannya.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati pelajar itu hadir ke sekolah pukul 7 pagi dengan kelasnya berada di tingkat tiga bangunan tersebut.
Katanya, setengah jam kemudian remaja itu telah keluar kelas dan melompat melalui koridor bangunan.
“Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini mempunyai tekanan dalam pembelajaran dan tidak mampu menahan tekanan itu lagi sebelum nekad terjun.
“Tiada sebarang unsur jenayah berlaku berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi,lapor KOSMO online.
Ramli menambah, pelajar itu yang patah tulang belakang dan kaki kanan dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB).
Ujar beliau, remaja itu kini masih berada di unit kecemasan HSB telah disimen di bahagian pinggul sehingga dada selain menjalani pemeriksaan ujian imbasan (CT-Scan).
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri,” jelasnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KEMAMAN – Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap dalam lumpur paya bakau sedalam 0.3 meter di Sungai Kemaman, Kampung Enjin Gergaji di sini pada Rabu.
Mangsa berusia awal 20-an dan hanya berseluar dalam dijumpai terlentang dalam keadaan menggigil akibat kesejukan oleh penduduk kampung yang hendak menangguk udang di lokasi berkenaan.
Difahamkan, individu yang menjumpai mangsa ternampak lambaian tangan mangsa dari jauh yang pada mulanya disangkakan biawak, sebelum menghubungi pasukan bomba.
Ketua BBP Kemaman, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Hasbullah Halipah berkata, seramai lapan anggota bomba termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.46 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, kelihatan mangsa yang dibaluti lumpur seluruh anggotanya dalam kepenatan dan sedang menggigil mungkin kesejukan.
“Kita sukar untuk mendapatkan kerjasama daripada mangsa semasa itu kerana dia memang tidak boleh bercakap dan seolah-olah dalam kebingungan serta trauma.
“Melihat keadaan mangsa ketika itu, kita percaya mungkin dia sudah terperangkap di lokasi lebih dua jam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Mohd Hasbullah yang merupakan ketua operasi berkata, anggaran jarak antara lokasi mangsa terperangkap dengan kawasan darat adalah lebih kurang 50 meter sahaja.
“Kita dimaklumkan oleh penduduk setempat yang lokasi berkenaan hanya dikunjungi penduduk yang hendak menjalankan aktiviti mencari lokan, udang dan lain-lain hidupan dalam paya bakau.
“Penduduk setempat dan kampung berhampiran turut memberitahu mereka tidak mengenali mangsa. Jadi kita percaya mungkin mangsa adalah orang luar atau kampung lain yang berhampiran,” ujarnya.
Jelas Mohd Hasbullah, mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum dibawa ke Hospital Kemaman bagi rawatan susulan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, identiti sebenar lelaki itu masih belum dikenal pasti kerana mangsa masih tidak sedarkan diri dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kemaman, lapor HM online.
“Saya memohon kerjasama kepada orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang ada maklumat mangsa agar tampil ke balai untuk membantu siasatan.
“Saya difahamkan gambar mangsa juga sudah ditularkan di laman sosial selepas penemuannya sejak malam Rabu untuk mencari sesiapa sahaja yang mengenali mangsa,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KLANG – Gara-gara bunyi ekzos motosikal yang bising, seorang remaja dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di kawasan Menara Maju Klang di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu berlaku semasa remaja berusia 16 tahun yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss ditahan oleh seorang lelaki di lokasi terbabit.
“Mangsa ditampar dan dipukul. Beberapa rakan lelaki terbabit turut datang dan memukul remaja berkenaan menggunakan kayu serta topi keledar.
“Mangsa menghubungi ayahnya untuk meminta bantuan, namun setelah sampai, ayah mangsa turut dipukul oleh kumpulan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan remaja berkenaan cedera di badan dan kepala manakala ayahnya luka di tangan.
GAMBAR HIASAN
Susulan itu, sepasukan polis yang diketuai Ketua Polis Balai Klang, Inspektor Ahmad Afiq Rusli menahan enam lelaki berusia 17 hingga 45 tahun yang terlibat dalam kes terbabit kira-kira jam 11 malam di sekitar Klang, keesokan hari nya, lapor BH Online.
“Soal siasat mendapati punca kejadian itu disebabkan remaja terbabit membunyikan ekzos motosikal dengan kuat,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANTUAN KHAS AIDILFITRI UNTUK PENJAWAT AWAM DAN PESARA
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.
Kepada pesara kerajaan pula, bantuan RM250 akan disalurkan.
Pejabat Perdana Menteri berkata, pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini.
“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 6 Mei 2021.
“Bantuan khas tersebut akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara,” kata pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan yang diedarkan pada Khamis.
Kenyataan itu turut memaklumkan, pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal daripada tahun-tahun sebelum atas keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat persiapan awal menjelang Hari Raya Aidilfitri, lapor ASTRO Awani.
“Kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” jelas kenyataan itu lagi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BUTTERWORTH : Lelaki yang memandu secara melawan arus hingga bertembung dengan kenderaan dinaiki tiga beranak di kilometer (KM) 13.0 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) arah Bagan Ajam, di sini pada Rabu minggu lalu, dilaporkan meninggal dunia tengah malam tadi
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata lelaki berusia 43 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam selepas seminggu menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).
“Berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan punca kematian lelaki itu disebabkan kecederaan parah dan kegagalan pelbagai organ berfungsi ekoran impak kemalangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 8.20 malam Rabu minggu lalu, lelaki itu yang memandu Honda City secara melawan arus merempuh sebuah kereta Toyota Corolla Altis yang dinaiki tiga beranak dan sebuah motosikal.
Kemalangan berkenaan menyebabkan wanita atau penumpang Toyota Corolla Altis berusia 31 tahun meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di HSJ.
GAMBAR HIASAN
Suami dan anak wanita itu pula dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Georgetown untuk rawatan lanjut.
Penunggang dan pembonceng motosikal yang turut terbabit dalam kemalangan sama tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, Noorzainy berkata, keadaan lelaki atau pemandu Toyota Corolla Atlis berusia 35 tahun dilaporkan stabil manakala anak perempuannya berusia tiga tahun sudah dibenarkan keluar wad, lapor BH Online.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!