PETALING – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Petaling sedang mencari waris seorang kanak-kanak lelaki yang ditinggalkan di dalam kotak perlindungan bayi (baby hatch) di Petaling Jaya pada November 2018.
Kanak-kanak tersebut adalah Muhammad Nur Iman yang kini berusia dua tahun.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling, P Nithiah berkata, pihaknya telah memohon kepada mahkamah untuk meletakkan kanak-kanak tersebut dalam jagaan penjaga sementara pada 2019 selama dua tahun.
Menurutnya, siaran akhbar dilakukan bagi mengesan ibu bapa atau waris kenak-kanak tersebut memandangkan tempoh jagaan itu telah tamat.
“Keluarga kandung kanak-kanak itu tidak pernah tampil. Usaha mengesan dilakukan untuk memberi maklum balas sebelum Perintah Kebenaran Pengangkatan dikeluarkan oleh mahkamah, ” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai di bahagian Pelindung Kanak-Kanak, JKM Petaling, Nor Asmanizah Ahmad di talian 03-78422584/87.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
YANGON: Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, dilaporkan berada dalam keadaan sihat, walaupun kini sudah dua bulan berada dalam tahanan.
Perkara itu disahkan pasukan peguamnya, hari ini, ketika tekanan diplomatik terhadap tindakan rampasan pasukan tentera semakin meningkat.
Suu Kyi yang berusia 75 tahun, tidak muncul di khalayak ramai sejak beliau digulingkan oleh tentera dan ditahan, pada awal 1 Februari lalu.
Anggota pasukan perundangannya, Min Min Soe, dipanggil ke balai polis di ibu kota Naypyidaw untuk sidang video, hari ini.
Suu Kyi berdepan pertuduhan jenayah dan sabit kesalahan boleh mengakibatkan beliau dilarang daripada memegang jawatan politik.
“Keadaan fizikal DASSK (Suu Kyi) dilihat baik berdasarkan kelibatnya di skrin video,” katanya melalui kenyataan.
GAMBAR IHSAN AFP
Menurut kenyataan itu, Suu Kyi maklum dalam pertemuan itu, pegawai polis turut berada bersama peguam dengan pengawal yang menjaga nya, lapor AFP.
Pemenang Nobel itu sempat bertanya sama ada kehadiran polis ketika ditemu bual oleh peguam dibenarkan dalam undang-undang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GENEVA: Dua vaksin buatan China, Sinovac dan Sinopharm selamat dengan tahap keberkesanannya baik, namun lebih banyak data diperlukan bagi tujuan itu.
Perkara itu dinyatakan pakar vaksin dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini, hasil daripada analisis sementara membabitkan data percubaan klinikal.
Sinovac dan Sinopharm, vaksin yang kini digunakan di beberapa negara sudah menyerahkan data untuk permohonan lampu hijau, senarai penggunaan kecemasan oleh WHO.
Agensi Kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu Kumpulan Penasihat Strategik Imunisasi (SAGE) berkata, pihaknya sudah mengkaji data itu sehingga kini.
Pihaknya mendapati kedua-dua vaksin itu menunjukkan tahap keselamatan dan keberkesanan yang baik, menentang simptom COVID-19
Bagaimanapun, pihaknya memberi amaran kedua-dua vaksin itu masih mengalami kekurangan data, membabitkan kumpulan penerima lebih berusia atau seseorang yang mempunyai penyakit atau masalah kesihatan lain.
“Pasca pengenalan keberkesanan vaksin dan kajian keselamatan diperlukan untuk melihat kesan terhadap kumpulan berkenaan,” menurut SAGE melalui inti pati penting yang disiarkan, selepas mesyuarat minggu lalu untuk membincangkan mengenai pembangunan vaksin melawan pelbagai penyakit.
Dua vaksin itu antara empat yang dibangunkan oleh China dan diluluskan oleh pihak berkuasa negara itu, sehingga kini namun SAGE menyifatkan ia belum melepasi badan pengawalan yang ketat, seperti ditakrifkan WHO.
SAGE yang menasihati WHO terhadap dasar imunisasi berkata, pihaknya tidak akan mengeluarkan cadangan mengenai penggunaan vaksin dari China, sehingga panel pakar meluluskan permohonan senarai penggunaan kecemasan.
GAMBAR IHSAN AFP
Senarai penggunaan kecemasan oleh WHO membuka jalan bagi negara di seluruh dunia untuk meluluskan dan mengimport vaksin dengan kadar segera, bagi tujuan edaran.
Ia juga membuka ruang untuk vaksin itu menyertai skim perkongsian vaksin dunia, COVAX yang menyasarkan untuk menyediakan akses sama rata di seluruh dunia, khususnya negara miskin.
“Sehingga kini, kita mendapat maklumat vaksin ini selamat dan masih dalam proses untuk menentukan analisis akhir bagi menunjukkan keberkesanannya yang akan digunakan dalam kelulusan senarai penggunaan kecemasan,” kata pengerusi SAGE, Alejandro Cravioto.
“Setelah ia diluluskan, kita dapat membuat cadangan yang diperlukan bagi penggunaannya,” katanya, lapor AFP.
Sehingga kini, WHO memberikan lampu hijau senarai penggunaan kecemasan kepada vaksin COVID-19 oleh Pfizer/BioNTech, AstraZeneca/Oxford dan Johnson & Johnson.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTRAJAYA: Individu yang sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19, masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan semasa kebelakangan ini menunjukkan varian baharu virus SARS-CoV-2 muncul di luar negara.
Justeru, beliau berkata, ia dikhuatiri akan mengganggu keberkesanan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang dijalankan di negara ini.
“Pengembara dari luar negara, terutama dari negara dengan kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi, berisiko meningkatkan penularan penyakit ini ke dalam negara.
“Sehubungan itu, kerajaan telah menetapkan beberapa langkah pencegahan. Misalnya, kawalan sempadan negara, saringan COVID-19 di semua pintu masuk antarabangsa dan pelaksanaan perintah kuarantin wajib di tempat kediaman atau stesen kuarantin bagi seluruh pengembara.
“Ia terus dijalankan walaupun individu berkenaan sudah mendapat vaksin COVID-19 yang lengkap di negara asal sebelum berlepas.
“Kita menasihati individu terbabit supaya terus mematuhi semua SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham turut menjelaskan, perkara itu selaras pendirian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan agar vaksin COVID-19 tidak dijadikan ‘pasport imuniti’ memandangkan program imunisasi masih pada peringkat awal.
“Berdasarkan maklumat terkini, pengambilan vaksin COVID-19 yang lengkap boleh mengurangkan komplikasi penyakit itu, selain membantu mengurangkan penularan dalam masyarakat, lapor BH ONLINE.
“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau dan meneliti perkembangan penyelidikan vaksin dijalankan di seluruh dunia serta Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan demi menjamin kesejahteraan awam.
“Perkara ini akan disemak dari semasa ke semasa mengikut perkembangan data dan pandangan terkini WHO,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Polis Johor menegaskan siasatan dijalankan berhubung kes Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid adalah telus dan tiada istilah layanan istimewa kepada mana-mana pihak.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ia susulan tular isu surat peguam yang dikatakan dihantar kepada pihaknya sudah tersebar.
Katanya, hasil semakan mendapati surat yang tersebar itu sebagaimana didakwa peguam menerusi siaran langsung Facebook (FB), tidak pernah berlaku dan ia bukan daripada pihak polis.
“Polis mengambil maklum berkenaan surat permohonan itu, namun disebabkan kes Long Tiger masih dalam perbicaraan di mahkamah, dikhuatiri perkara ini akan mengganggu dan mempengaruhi proses perbicaraan.
“Atas faktor kekangan masa dan perlu memberi perhatian khusus kepada kes lebih serius, polis terpaksa menolak permohonan itu.
“Bersabit kes yang dilaporkan, polis Johor bertindak secara profesional dengan melayan dan menyiasat semua sembilan aduan yang dibuat oleh Long Tiger dan isterinya, malah ada antara kes itu sudah dituduh serta dijatuhkan hukuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan dikeluarkan sebagai mengulas dakwaan peguam Long Tiger menerusi FB Live semalam, yang menyebut terdapat pegawai polis yang menjalankan siasatan kes anak guamnya sengaja melewat-lewatkan siasatan kes, sedangkan bukti kejadian telah dikemukakan.
Dalam siaran sama, peguam itu turut menyatakan kekesalan kerana surat permohonan pihaknya untuk bertemu Ayob Khan telah ditularkan di media sosial, sehingga menyebabkan mereka dituduh makan duit selain turut membangkitkan soal integriti polis, lapor BH Online.
Ayob Khan berkata, pihaknya mengingatkan isu itu tidak akan berakhir selagi pihak berkaitan masih tidak berhenti menuduh antara satu sama lain dalam media sosial masing-masing.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA KINABALU: Seorang lelaki patah tujuh gigi serta cedera di kepala dan tangan selepas dibelasah akibat menegur pemandu lain di lampu isyarat dalam kejadian di Jalan Kolam, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa berusia 21 tahun yang memandu Honda S660 dikatakan berselisih dengan Perodua Alza.
Bagaimanapun, ketika berada di lampu isyarat, mangsa dikatakan menegur pemandu kenderaan bersebelahan kerana tidak memberikan isyarat untuk masuk ke lorong laju.
Akibat daripada kejadian itu, keadaan menjadi tidak terkawal sehingga pemandu Perodua Alza terbabit dikatakan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa dengan menggunakan batang besi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mengikut laporan yang diterima, suspek turut dikatakan memukul mangsa di kepala dan tangan menggunakan batang besi berkenaan.
Katanya, suspek kemudiannya masuk semula ke dalam kenderaannya dan terus meninggalkan lokasi kejadian.
“Mangsa yang cedera kemudiannya dibantu orang awam untuk keluar dari kenderaan. Mangsa kemudiannya menghubungi ahli keluarga sebelum dibawa mendapatkan rawatan di hospital berhampiran, lapor Harian Metro.
“Setakat ini, suspek berusia 36 tahun itu sudah dikenalpasti dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MIRI: Seorang individu yang masih belum dikenalpasti identitinya ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah kereta di Jalan Nasturium, Taman Yung Fah di sini, jam 1.12 tengah hari tadi.
Jurucakap berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian, jam 1.30 tengah hari.
“Tiba di lokasi, kami mendapati seorang individu dalam keadaan rentung di tempat duduk pemandu.
“Api dapat dipadamkan setengah jam kemudian,” katanya.
Menurut jurucakap, hasil maklumat awal, kereta terbabit memang di parkir di tepi jalan berkenaan, lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, jurucakap berkata, tidak dapat dipastikan sama ada mangsa memarkirnya di lokasi itu sebelum ia terbakar atau sebaliknya.
Mayat dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat manakala siasatan berkaitan sama ada kematian berpunca daripada perbuatan jenayah atau sebaliknya akan dijalankan oleh polis.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU: Seorang buruh dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang wanita, Khamis lalu.
Tertuduh, Amran Abdullah, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Hamzah, Lorong Limau Manis, dekat sini, 9.40 pagi pada 25 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Amran didakwa menunggang motosikal di lokasi kejadian dan apabila tiba dari arah belakang wanita itu, dia bertanyakan mangsa sama ada mahu berkahwin dengannya atau tidak.
GAMBAR HIASAN
Bagaimanapun, wanita itu menolak pelawaan tertuduh sebelum dia beredar selepas sebuah kereta kebetulan lalu di kawasan itu.
Selepas itu, tertuduh datang semula menyekat wanita berkenaan dan menyentuh punggung mangsa sebelum terus beredar.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.
Terdahulu, Siti Edabayu meminta hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh mempunyai empat rekod lampau bersabit kes sama sebelum ini, lapor BH Online.
Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman minimum dikenakan kerana tertuduh perlu menanggung kedua ibu bapanya yang sudah uzur.
“Tertuduh juga sudah menerima hukuman daripada masyarakat kerana kes ini sudah tular di media sosial,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara selama setahun bermula tarikh ditangkap.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARANG: Peribahasa kecil-kecil cili api sesuai buat pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Agama Marang ini yang berani dan menyertai pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Pantai Jambu Bongkok di sini, hingga ditemui.
Kemampuan Muhammad Norman Haikal Mazlan, 14, atau mesra dipanggil Norman mengendalikan jet ski bersama bapanya, Mazlan Mamat, 58, ternyata membantu pasukan penyelamat yang ketika itu berdepan kesukaran berikutan laut yang bergelora.
Keberanian Norman melayakkan dia menjadi antara penerima sijil penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 peringkat Marang yang disampaikan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris, 25 Mac lalu.
Norman berkata, langsung tidak terlintas di fikirannya, SAR pada 25 Disember tahun lalu itu dihargai sedemikian rupa kerana niatnya hanyalah mahu membantu pasukan penyelamat yang sukar menggunakan bot disebabkan laut bergelora.
“Saya bersama ayah turun dengan niat untuk tolong tetapi apabila dimaklumkan menjadi salah seorang penerima sijil, memang rasa teruja dan terharu.
“Sebenarnya, ayah yang selalu turut serta dalam operasi SAR sekiranya berlaku kejadian lemas, namun pada hari kejadian, ayah mengajak saya untuk bersama-samanya membantu.
“Ini pengalaman pertama saya dan tempoh tiga hari bersama pasukan penyelamat, memberi satu pengalaman baharu kepada saya, malah saya kagum dengan kegigihan mereka yang berusaha mencari mangsa tanpa mengira masa,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Norman yang mahir mengendalikan jet ski sejak berusia enam tahun, penghargaan itu membuatkan dia lebih bersemangat untuk membantu orang yang memerlukan.
Sementara itu, Mohd Zain berkata, kemampuan pelajar terbabit mengendalikan jet ski bersama bapanya membantu pihaknya menamatkan misi mencari mangsa lemas pada hari ketiga operasi SAR, lapor Harian Metro.
Katanya, Norman bersama kumpulan jet ski yang terdiri daripada Polis Marin dan orang awam menjumpai mayat mangsa kira-kira 500 meter dari pesisir Pantai Jambu Bongkok di sini, pada jam 6.30 petang, 27 Disember 2020.
“Dalam keadaan laut yang bergelora dan ombak kuat pada musim tengkujuh, pelajar ini sanggup menggadaikan nyawa untuk turut serta dalam operasi SAR ini.
“Sikap ini wajar dicontohi anak-anak muda dan saya berharap lebih ramai anak muda dapat menabur bakti kepada masyarakat dan negara tanpa mengharapkan balasan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LGM SEDIA LATIH PEKERJA INDUSTRI SARUNG TANGAN GETAH
LANGKAWI: Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedia melatih 10,000 pekerja tempatan di Akademi Hevea Malaysia Langkawi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri sarung tangan getah negara.
Pengerusi LGM, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata akademi tersebut yang lengkap dengan pusat latihan dan penginapan mampu memenuhi keperluan itu dalam beberapa bulan akan datang.
Katanya, anak anak muda tempatan lepasan sekolah boleh mengikuti kursus dua bulan yang ditawarkan oleh LGM iaitu sebulan teori dan sebulan pratikal di kilang berkaitan dan mereka yang mengikuti kusrus turut diberi elaun.
“Apa yang menarik semua pelatih tempatan itu akan ditawarkan bekerja di kilang sarung tangan terbabit dengan gaji permulaan RM 1600 sebulan selain disediakan kemudahan tempat tinggal.
” Anak tempatan lepasan sekolah dan belia menganggur perlu merebut peluang ini terutamanya ketika pandemik Covid 19 ini kerana industri memerlukan 25,000 pekerja tambahan, susulan permintaan tinggi di seluruh dunia di tengah-tengah penularan COVID-19 yang belum berakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program Sembang Getah Di Warung bersama pekebun kecil getah di Pulau Tuba hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.
Beliau berkata, LGM turut mendapat kerjasama Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan Majlis Getah Malaysia (MRC) bagi menyokong keperluan 34.7 peratus tenaga kerja baharu tempatan dalam industri sarung tangan getah negara.
Ahmad Nazlan berkata, LGM terus komited untuk membantu industri sarung tangan getah negara dengan melatih lebih ramai anak muda di akademi miliknya, memenuhi keperluan lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah.
Katanya, produk sarung tangan getah menyumbang hampir 90 peratus kepada pendapatan eksport barangan getah negara, dengan sarung tangan Malaysia menguasai lebih 60 peratus pasaran dunia.
“Penularan pandemik sejak tahun lalu telah memberi kesan positif industri sarung tangan getah apabila eksport barangan getah Malaysia sepanjang tahun lalu telah meningkat 73.9 peratus dengan sumbangan sebanyak RM40.97 bilion kepada pendapatan negara,” katanya.
Katanya kita mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor hiliran getah terutama untuk sarung tangan getah,” katanya.
Ketika ini, Malaysia menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia dan dijangka akan terus kekal sebagainya pengeluar utama.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!