KUANTAN: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan berjumlah RM9.3 juta bagi melaksanakan program Bantuan Prihatin Pahang (BBP) COVID-19 Fasa Dua.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu adalah susulan kepada BPP COVID-19 Fasa Satu yang sudah dilaksanakan kerajaan negeri pada 24 Mei lalu.
“Untuk Fasa Satu, kerajaan Pahang memperuntukkan RM7.8 juta yang diagihkan kepada golongan miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.
“Bagi BPP Fasa Dua, kita memberi perhatian kepada pengusaha bot dan pemandu pelancong, operator kantin sekolah dan pekerja mereka; penyedia perkhidmatan penghantaran; pemandu e-hailing dan sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Pahang,” katanya melalui satu kenyataan media di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, pengagihan BPP Fasa Dua juga merangkumi masyarakat Orang Asli dan bantuan itu akan diselaraskan Tok Batin masing-masing.
Katanya, penduduk kampung yang berdepan masalah terjejas sumber pendapatan mereka juga akan menerima manfaat melalui BPP Fasa Dua ini dan pengagihan bantuan akan dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) kawasan terbabit.
Turut menerima manfaat melalui BPP Fasa Dua ialah ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Malaysia serta penggiat seni.
“Seperti BPP Fasa Satu, bantuan kali ini juga akan diberikan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas melalui (penyerahan) bakul makanan.
“Secara keseluruhannya, kerajaan Pahang menyediakan peruntukan berjumlah RM17.1 juta bagi memastikan BPP Fasa Satu dan Fasa Dua dapat dilaksanakan untuk kepentingan rakyat negeri ini,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA –aksi sekumpulan mat rempit terdiri daripada empat pemuda berlumba motosikal dipercayai dirakam di Kuantan, Pahang tular di media sosial sejak semalam.
Video berdurasi 1 minit 47 saat itu dirakam kamera papan pemuka seorang pengguna jalan raya pada 30 Mei 2021 kira-kira pukul 7 petang yang menyaksikan pemuda terbabit menunggang motosikal di tengah-tengah jalan raya sekali gus menghalang kenderaan lain.
Kumpulan pemuda terbabit turut kelihatan tidak membenarkan kenderaan lain memotong mereka selain tidak mengendahkan usaha beberapa pemandu yang cuba memberi teguran melalui amaran hon.
Video yang kemudiannya dimuatnaik di laman Facebook dan Twitter Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Malaysian Crime Watch (MyWatch) dengan aksi berlumba MotoGP itu dikecam ramai netizen yang menyifatkannya sebagai biadap dan membayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Segelintir mat rempit ambil kesempatan jalan lengang untuk berlumba. Lokasi di Kuantan, Pahang,” kata pengendali akaun My Watch, lapor HM online
“Aduh sudahlah perlahan, malulah woi kereta hon begitu saja,” perli seorang netizen
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tumpat: “Saya terpaksa merisikokan bayi sendiri apabila dia perlu dibawa bersama ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebaik saya disahkan positif Covid-19,” kata Noraini Ahmad Razlan.
Noraini, 29, dari Kampung Teluk Renjuna berkata, bayi lelakinya, Ali Rafiki Rostam yang berusia empat bulan tidak dijangkiti virus itu namun terpaksa dibawa kerana masih menyusu badan selain tiada individu yang boleh menjaganya jika ditinggalkan.
“Anak sulung saya berusia lima tahun ditinggalkan di rumah di bawah jagaan kakak ipar manakala suami pula bekerja di Machang.
“Memang rasa risau mengenangkan bayi saya ini berada dalam kelompok kami yang positif di PKRC tapi apa boleh buat, saya serahkan kepada Allah,” katanya ketika ditemui di Jeti Kok Majid di sini, hari ini sebelum diangkut menaiki bot pasukan anggota bomba dari jeti kampungnya menuju ke tanah besar untuk dibawa ke PKRC.
Noraini antara 38 penduduk dari empat kampung dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Sungai Pinang yang dipindahkan dalam operasi pemindahan hari ini.
Selepas tiga hari tiada proses pemindahan, hari ini Jeti Kok Majid kembali ‘meriah’ dengan proses pemindahan yang bermula jam 3 petang tadi membabitkan pesakit berusia sembilan hingga 70 tahun.
Ketua BBP Pengkalan Kubor merangkap Penyelaras Pergerakan Pengangkutan Darat dan Air, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail berkata, setakat ini lebih 270 penduduk yang dikenalpasti positif Covid-19 sudah dipindahkan ke beberapa PKRC ditetapkan, lapor HM online.
Raja Arisan berkata, selain urusan pemindahan pesakit Covid-19, pihaknya juga terbabit dengan penugasan membawa mereka yang selesai dikuarantin di PKRC kembali ke rumah masing-masing.
“Selain daripada penugasan itu, kami juga terbabit secara langsung dengan proses pengebumian mangsa Covid-19,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LANGAT – Polis menyiasat satu rakaman video mengenai seorang wanita dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang melakukan penugasan sekatan jalan raya di Bandar Saujana Putra, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, polis menerima satu laporan berkaitan video tersebut pada Rabu.
“Kita menjalankan siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan pihaknya mengenal pasti wanita itu untuk tindakan lanjut.
Pada Khamis, tular satu rakaman video memaparkan seorang wanita mempertikaikan sekatan jalan raya di kawasan itu dengan hanya membuka satu lorong sehingga menyebabkannya lewat ke tempat kerja, lapor HM online.
Melalui video tersebut, wanita terbabit turut mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap anggota polis yang bertugas.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tanjung Malim: Seorang lelaki warga emas maut dihempap pokok tumbang berdekatan lampu isyarat Taman Universiti, dekat sini petang tadi.
Difahamkan, mangsa berusia 67 tahun dipercayai sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah dari kebun.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 4.41 petang.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan berkenaan.
“Tiba di tempat kejadian mendapati terdapat pokok tumbang yang laluan berkenaan selain terdapat seorang mangsa bersama motosikal jenis Honda EX5 dihempap pokok itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak hospital dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, lapor HM online.
Katanya, anggota bomba dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Muallim melakukan kerja pemotongan dahan pokok bagi pembersihan jalan itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
YAN: Pesawah ditemukan meninggal dunia dipercayai lemas dalam takungan air di bendang di Kampung Singkir Paya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa, Zainol Ariffin, 59, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan tersembam di kawasan sawah padi miliknya pada pukul 9.05 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang tinggal di Kampung Belakang Pondok Fauzi, Sungai Yan di sini pergi ke sawahnya yang terletak lebih kurang empat kilometer dari rumahnya untuk menabur baja.
“Keluarganya turut memaklumkan mangsa pernah beberapa kali mengalami sakit dada dan asma, tetapi, tetap berkeras untuk melakukan kerja-kerja di sawahnya,” katanya di sini, hari ini.
Shahnaz berkata, mayat mangsa ditemukan penduduk kampung itu yang melalui kawasan berkenaan.
Tambahnya, mangsa yang ditemukan lengkap berpakaian dan tiada kesan kecederaan dihantar ke Hospital Yan di sini untuk bedah siasat, lapor Utusan Online.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU – Sebuah premis tanpa lesen perniagaan di kawasan perindustrian Pasir Gudang di sini diserbu sepasukan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Pasir Gudang, hari ini.
JAS negeri Johor berkata, serbuan dilakukan susulan aduan orang awam yang memaklumkan kilang terbabit disyaki membuang sisa industri ke dalam Sungai Buluh.
“JAS telah menjalankan siasatan di sepanjang Sungai Buluh dan mendapati punca sisa minyak hitam dari sebuah premis tanpa lesen perniagaan yang menjalankan aktiviti jual beli produk sawit.
“Hasil siasatan mendapati pelepasan minyak dilepaskan dari satu tangki sebuah lori tangki dalam kawasan premis.
“Sebanyak empat persampelan sisa buangan telah diambil untuk dianalisa Jabatan Kimia Malaysia bagi tindakan penguatkuasaan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu berkata, pihak premis berkenaan diarahkan untuk serta-merta menjalankan pembersihan tumpahan minyak tersebut.
Katanya, kertas siasatan juga akan dibuka untuk membawa pesalah ke muka pengadilan. Kes disiasat di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS)1974.
“JAS akan sentiasa memantau aktiviti premis dan semua pemain industri diingatkan untuk sentiasa mematuhi AKAS 1974 dan tidak melakukan sebarang pencemaran, lapor KOSMO online.
“Sebarang aduan pencemaran alam sekitar orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol JAS 1800882727 atau membuat aduan secara atas talian di eaduan.doe.gov.my,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUAMI, ISTERI NYARIS MAUT KERETA TERHUMBAN TEPI SUNGAI
MACHANG – Pasangan suami isteri nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka terhumban ke kawasan tepi sungai di Kampung Bandar Hilir, Kemubu di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 9 pagi itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang berusia 55 dan 51 tahun mengalami kecederaan pada beberapa bahagian anggota badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.03 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama sembilan anggota.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipercayai terbabas sebelum merempuh penghadang jambatan.
“Siasatan mendapati, insiden itu menyebabkan kereta berkenaan terhumban ke kawasan tepi sungai dengan keadaan bahagian hadapannya tersangkut pada sebatang pokok.
“Terdapat seorang penumpang wanita mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tersepit di bahagian tempat duduk hadapan. Pemandunya pula telah dikeluarkan dengan bantuan orang awam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini, lapor KOSMO online.
Katanya, pemandu kereta itu dihantar ke Hospital Machang di sini manakala isterinya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENJELASAN LGM TERHADAP DAKWAAN MANTAN PENGERUSI LGM
LEMBAGA Getah Malaysia (LGM) ingin menarik perhatian kepada kenyataan yang dibuat oleh mantan Pengerusi LGM, YB Dato’ Ahmad Nazlan Idris (yang berkhidmat daripada 2 April 2020 hingga 14 April 2021) yang telah disiarkan di media sosial pada 31 Mei 2021. Dalam hubungan ini, LGM ingin memberi penjelasan fakta mengenai kenyataan tersebut:
Advertisement
i. LGM Properties Corporation (LGMPC) adalah sebuah perbadanan ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996 (Akta 551) untuk menguruskan hartanah dan menjana pendapatan untuk LGM. Bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan dan prestasi LGMPC, beberapa tindakan telah diambil termasuk menubuhkan tiga Jawatankuasa Khas pada peringkat Lembaga LGM sejak 28 September 2020. Peranan Jawatankuasa berkenaan adalah untuk menilai dan mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang bersesuaian. Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LGMPC yang baharu telah dilantik pada 25 Januari 2021 melalui proses pemilihan dan temuduga yang teratur serta dipersetujui oleh YB Menteri. CEO LGMPC ini telah diberi mandat sepenuhnya untuk membuat penstrukturan operasi LGMPC bagi mengatasi kegagalan tadbir urus dan meningkatkan prestasi keseluruhan yang kurang memberangsangkan sebelum itu.
ii. Dalam hubungan ini, Akta 551 melalui Seksyen 14 menetapkan bahawa Lembaga hendaklah bertanggungjawab kepada YB Menteri dan YB Menteri boleh memberikan arahan yang selaras dengan Akta dan Lembaga hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin, melaksanakan arahan sedemikian. Oleh itu, kenyataan mantan Pengerusi LGM tentang campur tangan YB Menteri dalam urusan LGM atau LGMPC adalah tidak bertepatan dengan kuasa Menteri yang termaktub di dalam akta.
iii. Proses pajakan tanah Lot 20013 (sebelum ini dikenali Lot 76) bagi tempoh 10+5 tahun telah dilaksanakan secara tender terbuka dan telus oleh LGMPC pada Oktober 2020. Lembaga Perolehan LGM membuat keputusan pada 30 November 2020, bahawa syarikat yang berjaya dalam tender tersebut adalah Al Noor Foundation dengan harga bidaan tertinggi RM0.70 sekaki yang selaras dengan kadar penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH), Kementerian Kewangan. Yayasan tersebut adalah syarikat berhad menurut jaminan yang tidak berasaskan keuntungan dengan majoriti pemegang amanahnya adalah rakyat Malaysia dan bukan milik rakyat Turki sebagaimana kenyataan mantan Pengerusi LGM.
iv. Pada 3 Disember 2020, LGM telah menghantar surat kepada YB Menteri untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan akhir bagi keputusan tender tersebut. Walaubagaimanapun, YB Menteri pada 7 Januari 2021 telah mengarahkan tempoh pajakan dilanjutkan kepada 15+10 tahun dan dibuka kembali Request For Proposal (RFP) kepada syarikat-syarikat yang terbabit dengan proses tawaran sebelum ini. Namun, sehingga sekarang perkara ini masih dalam proses tindakan di peringkat LGM dan LGMPC, serta belum dimuktamadkan.
v. Oleh itu, kenyataan mantan Pengerusi LGM bahawa YB Menteri mahukan 5+10+10 tahun adalah tidak tepat. Selain itu, kenyataan bahawa hasil yang boleh diperoleh oleh LGM selepas 25 tahun melebihi RM1 bilion adalah tidak tepat.
vi. Berhubung dengan Lot 20012 (sebelum ini Lot 75), masih tiada cadangan penjualan oleh Lembaga LGM dan belum diangkat kepada Kementerian untuk pertimbangan YB Menteri. Pada masa ini, LGM masih membuat semakan berkaitan dengan JPPH dan Jabatan Warisan Negara.
LGM menegaskan bahawa proses untuk membuat keputusan adalah mengikut tatacara yang telus dan berintegriti melibatkan keputusan Lembaga Pengarah terlebih dahulu, diikuti dengan ulasan oleh Kementerian untuk diangkat sebagai pengesyoran kepada pihak YB Menteri bagi pertimbangan dan kelulusan sebelum dikembalikan kepada Lembaga Pengarah untuk tindakan.
Pihak LGM mengambil berat berhubung maklumat separa matang dan terperingkat milik Lembaga yang disebarkan serta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk tindakan undang-undang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MANILA – Seorang wanita di Filipina mendakwa menu ayam goreng yang dipesan dari sebuah restoran makanan segera rupanya mengandungi tuala goreng ranggup, lapor portal Newsweek semalam.
Alique Perez memuat naik berhubung insiden itu dalam akaun media sosialnya.
Perez memberitahu, dia memesan ayam goreng itu dari restoran makanan segera Jollibee di Taguig, melalui perkhidmatan penghantaran makanan Grab.
Menurutnya, dia sukar Perez memotong makanan yang disangka ayam goreng itu untuk anaknya.
Apabila dia merobek lapisan tepung goreng yang menyaluti permukaan makanan itu, dia sangat terkejut kerana mendapati ia bukanlah isi ayam sebaliknya sehelai tuala pengelap berwarna biru yang disalut tepung dan digoreng.
“Perbuatan ini sangat menjijikkan. Bagaimana anda boleh memasukkan tuala pengelap dalam adunan tepung dan menggorengnya seperti ayam,” tulis Perez di laman Facebook bersama gambar dan video.
“Sebelum ini, saya merasakan semua kejadian kotor yang dilihat di media sosial adalah lakonan semata-mata namun sekarang saya sedar, ia sememangnya boleh berlaku,” katanya.
Tambah Perez, dia tidak dapat membayangkan minyak tuala goreng itu digunakan berulang kali untuk pesanan pelanggan lain dan mungkin mencemari hidangan mereka.
Catatan Facebook wanita itu sehingga kini telah dikongsi lebih 72,000 kali, lapor Agensi.
Bagaimanapun, Perez tidak memberikan sebarang perkembangan mengenai tindakannya selepas menerima pesanan itu atau sama ada pihak Jollibee telah membuat sebarang permohonan maaf dan membayar ganti rugi kepadanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!