LIPIS – Seorang jurutera projek maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah treler dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 30, Jalan Lipis–Merapoh berhampiran Kampung Seberang Jelai, Padang Tengku, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Mohd Hafiz Mohd Ghazali, 34, dari Taman Kenali, Kubang Kerian, Kelantan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Volkswagen Jetta 1.4 (A) yang dipandu mangsa dari arah Kuala Lumpur ke Kelantan bertembung dengan sebuah treler di laluan bertentangan.
“Treler terbabit dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun dari Kelantan yang dalam perjalanan menghantar muatan kayu ke Selangor.
“Akibat pertembungan itu, treler berkenaan turut bergesel dengan dua lagi kereta yang turut dalam konvoi sama. Bagaimanapun, dua lagi pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati cuaca ketika kejadian adalah baik dan laluan jalan satu lorong dua hala.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis memohon saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu terutamanya pada waktu malam dan memastikan kenderaan dalam keadaan selamat serta diselenggara dengan baik.
“Pihak IPD Lipis mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
5 sekeluarga maut, 3 cedera dalam nahas ngeri di Jerantut
JERANTUT : Perjalanan sebuah keluarga dari Bota, Perak ke Jerantut bertukar tragedi apabila lima daripada mereka maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Jerantut Feri, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 12.39 pagi itu, sebuah Perodua Bezza yang dinaiki tujuh individu dipercayai sekeluarga bertembung dengan Toyota Alphard yang datang dari arah Pulau Tawar menuju ke Jerantut.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, lima mangsa daripada Perodua Bezza disahkan maut, manakala tiga lagi termasuk penumpang dari Toyota Alphard cedera.
“Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Ikmal bin Ishak, 26; Nur Arfiqah binti Aziz Jaafar, 23; Nurul Hazwani binti Aziz Jaafar, 17; Mohd Azizul Hakimi bin Aziz Jaafar, 19; dan Mohd Zulkifli bin Aziz Jaafar, 21 – semuanya berasal dari Kampung Padang Kunchor dan Teluk Bakong, Bota, Perak.
“Dua mangsa tersepit dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut. Tiga lagi mangsa tercampak keluar dari kenderaan akibat impak kuat,” katanya.
Operasi menyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Hashim bin Daud, bersama lima anggota menggunakan satu jentera FRT. Komander Operasi Kanan ialah Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Raja Mohd Arif bin Raja Shamsudin yang juga Ketua Balai BBP Jerantut.
Tiga mangsa yang cedera – dua lelaki dan seorang wanita dari Toyota Alphard – dihantar ke Hospital Jerantut menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mohd Razam berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.21 pagi dan semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LAPORAN KHAS: IMUNITI DI MAHKAMAH – SATU LANGKAH SILAP PMX?
Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memohon imuniti mahkamah dalam kes saman melibatkan tuduhan skandal seks semakin mencetuskan perdebatan hangat — bukan sahaja di tanah air, malah di pentas antarabangsa.
Tindakan tersebut yang difailkan secara terbuka di Mahkamah Tinggi telah menarik perhatian ramai pihak, khususnya komuniti perundangan serta media antarabangsa, yang mula mempersoalkan prinsip asas kedaulatan undang-undang iaitu “semua orang sama di sisi undang-undang” atau equality before the law.
Bagi sesetengah pihak, langkah itu dilihat sebagai satu kesilapan besar dalam karier politik Datuk Seri Anwar, yang kini menjawat jawatan tertinggi dalam negara. Tindakan tersebut secara tidak langsung telah membuka semula perbincangan mengenai kes yang selama ini dilihat tenggelam dalam lipatan masa.
Isu Yang Mula Tersebar Luas
Kes melibatkan dakwaan seorang lelaki muda bernama Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri itu kini kembali menjadi perhatian — bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara. Media asing mula memberikan liputan terhadap permohonan imuniti itu, malah ada yang membandingkan kedudukan Anwar kini dengan pemimpin-pemimpin lain yang berdepan isu moral di negara mereka.
Lebih membimbangkan, jika Mahkamah Tinggi pada 12 Jun nanti memutuskan untuk melepaskan Yusoff tanpa perlu membela diri, maka timbul persoalan yang lebih besar – adakah dakwaan wujudnya komplot seperti yang didedahkan oleh Yusoff selama ini benar?
Jika ya, siapa pula dalang sebenar di sebalik semua ini?
Kesan Kepada Reputasi Negara
Menurut pemerhati politik, langkah ini bukan sahaja memberi kesan kepada kredibiliti peribadi Perdana Menteri, malah turut mencalar imej Malaysia di mata dunia.
“Selama ini kita bangga apabila pemimpin-pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya mengangkat nama Malaysia ke peringkat antarabangsa. Kini, dengan satu tindakan ini, perhatian dunia diberikan semula kepada negara kita – bukan atas kejayaan, tetapi kerana persoalan integriti seorang pemimpin tertinggi negara,” kata seorang pemerhati politik ketika dihubungi.
Sorotan Imuniti: Perlindungan Atau Persepsi Buruk?
Perlu diingatkan, permohonan imuniti oleh seorang Perdana Menteri adalah sesuatu yang jarang berlaku dan sensitif. Di negara-negara maju, tindakan seumpama ini sering mengundang persepsi bahawa pemimpin cuba berlindung di sebalik kuasa, berbanding berdepan dengan proses kehakiman secara terbuka.
Sementara itu, dalam kalangan rakyat, terdapat kebimbangan bahawa langkah ini mungkin memberi isyarat yang salah kepada sistem keadilan negara.
“Kalau pemimpin sendiri mohon imuniti, apa mesej kepada rakyat biasa? Bahawa ada dua darjat di depan undang-undang?” ujar seorang pengguna media sosial yang memetik kenyataan tersebut di Facebook.
Kesimpulan
Apa jua keputusan Mahkamah pada 12 Jun nanti, kesan tindakan PMX ini sudah pun terasa. Perdebatan tentang kesaksamaan, keadilan dan integriti kini bukan lagi tertumpu di dalam negara — tetapi sudah menjadi perhatian dunia.
Dan semua ini bermula dengan satu permohonan: imuniti.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
“Bapa maut kereta terbabas di Merapoh, anak cedera ringan”
KUALA LIPIS: Hasrat seorang bapa untuk pulang ke kampung bersama anaknya bertukar tragedi apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas sendiri di Kilometer 30, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Cegar Perah, Merapoh, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa, Mohd Ruzi Mohd Yusof, 56, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala anak lelakinya berusia 19 tahun hanya cedera ringan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penumpang hadapan dikenali sebagai Nur Adzilaini Mohd Ruzi, 19, yang juga pelajar Universiti Geomatika Malaysia, hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.
Beliau berasal dari Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Kelantan dan ketika kejadian dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung sempena cuti semester.
“Ketika melalui lokasi kejadian berhampiran Cegar Perah, dipercayai pemandu hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan di kedua-dua arah sebelum terbabas ke dalam longkang di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, polis meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk memandu secara berhemah serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan, terutamanya ketika musim perayaan atau cuti sekolah,” katanya.
Tambahnya, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Jenazah mangsa dijangka dibawa pulang ke kampung halaman untuk urusan pengebumian.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Aubree dan Soyi Park bersama-sama rakan senegara merakamkan kenangan bersama warga emas PJMM selepas mengadakan persembahan kebudayaan negara China dan Korea.
Dua sukarelawan antarabangsa sertai Program CSR di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia
SEMENYIH – Malaysian Relief Agency (MRA) dengan kerjasama AIESEC Taylor’s University membuka lembaran baharu dalam bidang kesukarelawanan apabila menempatkan dua sukarelawan antarabangsa di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor.
Penempatan dua sukarelawan dari China dan Korea Selatan ini merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan memperluaskan fungsi PJMM bukan sekadar sebagai pusat penjagaan warga emas, tetapi juga sebagai pusat pembelajaran dan pembangunan profesional dalam bidang penjagaan kebajikan.
Sukarelawan yang terlibat ialah Aubree, pelajar dari Universiti Zhengzhou, China, dan Soyi Park, pelajar dari Universiti Keio, Korea Selatan. Mereka akan menjalani penempatan selama enam minggu bermula akhir Januari 2025.
Soyi Park dan Aubree membantu menyediakan makan tengah hari untuk warga emas
Menurut Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, pihak pengurusan amat mengalu-alukan kehadiran dua pelajar antarabangsa itu dan menyifatkannya sebagai satu anjakan paradigma dalam dunia kebajikan dan kesukarelawanan di negara ini.
“Pembabitan pelajar luar negara dalam kerja-kerja sukarela secara menetap memberi peluang kepada masyarakat luar memahami secara lebih mendalam sistem penjagaan warga emas di Malaysia,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa inisiatif ini membuka ruang kepada kolaborasi strategik bersama kementerian-kementerian berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pelancongan.
Sepanjang berada di PJMM, kedua-dua sukarelawan didedahkan kepada pelbagai aktiviti seperti membantu penyediaan makanan, pengurusan kebersihan, penjagaan harian warga emas serta pelaksanaan aktiviti riadah dan hiburan.
sukarelawan dari Korea Selatan Soyi Park menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sangat berharga dan pada awalnya beranggapan warga emas di Malaysia berbeza dengan di negaranya, namun selepas beberapa minggu bersama mereka, beliau mendapati terdapat banyak persamaan dari segi sikap dan keperluan emosi.
“Saya sangat gembira melihat warga emas menikmati persembahan budaya Korea yang kami bawakan. Mereka sangat menghargainya walaupun ada halangan bahasa,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan dari China, Aubree pula melahirkan kekaguman terhadap sistem pengurusan PJMM yang beroperasi sepenuhnya atas dasar kebajikan tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada penghuni.
“Di negara saya, pusat jagaan memerlukan bayaran tinggi, tetapi di sini mereka menguruskan semuanya dengan sumbangan dan dana komuniti. Ini sangat mengagumkan,” katanya.
Beliau juga berkongsi pengalaman budaya yang unik seperti warga emas di Malaysia yang mengambil minuman berais dan makanan bergoreng, yang menurutnya berbeza dengan amalan di China yang lebih menekankan diet panas untuk golongan tua.
Muhammad Syafiq turut menegaskan bahawa kolaborasi ini bukan sekadar CSR biasa, tetapi langkah awal untuk menduniakan PJMM sebagai pusat rujukan profesional dalam penjagaan warga emas. Beliau berharap lebih banyak institusi pendidikan, NGO dan agensi kerajaan akan mengambil peluang serupa dalam memartabatkan bidang kebajikan di Malaysia.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Rawatan Bekam Sunnah Al-Fasdu Tarik Perhatian Masyarakat Moden – Ahsanul Hijamah
TEMERLOH , – Terapi bekam yang diwarisi sejak zaman Mesir Kuno kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Islam moden sebagai rawatan alternatif berlandaskan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Menurut pengamal terapi berlesen di bawah jenama Ahsanul Hijamah, Faize Sofian dan isterinya, Nor Asimah Amran, rawatan bekam bukan sahaja bertujuan merawat penyakit, malah berperanan dalam mencegah masalah kesihatan melalui pelancaran sistem peredaran darah.
“Bekam darah ini telah diamalkan sejak zaman Nabi SAW. Ia bukan sekadar kaedah tradisional, tetapi satu amalan sunnah yang memberi kesan besar terhadap kesihatan rohani dan jasmani. Seperti sabda Nabi, mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya.
Beliau menambah, rawatan ini tidak tertumpu kepada penyakit tertentu secara khusus, namun terbukti membantu merawat pelbagai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kolesterol, migrain, masalah kulit dan risiko strok.
“Bekam membantu melancarkan salur darah seluruh badan. Apabila darah mengalir dengan lancar, fungsi jantung juga dapat kembali normal. Selain itu, ia membantu mengurangkan kolesterol jahat (LDL) tanpa menjejaskan kolesterol baik (HDL),” ujarnya.
Faize berkata, pihaknya mengutamakan kebersihan dengan tidak menggunakan semula cawan bekam bagi mengelakkan risiko jangkitan dan penyakit berjangkit.
Di Ahsanul Hijamah, pakej rawatan bermula serendah RM70 bagi rawatan al-fasdu (bekam darah), RM120 untuk rawatan satu badan, dan RM180 bagi gabungan bekam darah serta urutan terapi. Rawatan disediakan untuk lelaki dan wanita melalui temujanji di talian 011-55538042 (Faize Sofian) atau 011-10917099 (Nor Asimah Amran).
Selain manfaat kesihatan dalaman, rawatan berkala juga dilaporkan dapat membantu mencantikkan kulit dan menyingkirkan toksin dalam badan.
“Darah manusia terdiri daripada empat komponen utama – plasma, trombosid (platelet), leukosit (sel darah putih) dan eritrosid (sel darah merah). Bekam membantu menyingkirkan darah kotor serta menggalakkan penghasilan darah baru yang lebih berkualiti hasil daripada pemakanan seimbang,” katanya.
Terapi bekam kini dilihat bukan sekadar amalan tradisi, malah menjadi usaha proaktif masyarakat moden dalam menjaga kesihatan secara semula jadi berpandukan ajaran Islam.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Cili Fertigasi MADANI Lonjak Pendapatan Koperasi Luar Bandar
NEGERI SEMBILAN , – Projek tanaman cili secara fertigasi yang diusahakan oleh Koperasi Padang Lebar Kuala Pilah Berhad di Kampung Anak Air Bulan di sini dilihat berpotensi besar melonjakkan pendapatan ahli koperasi serta menjana ekonomi setempat.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, projek tersebut merupakan hasil manfaat daripada geran RM100,000 yang disalurkan melalui program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
“Saya melihat projek ini sebagai satu langkah bijak koperasi dalam memanfaatkan bantuan kerajaan untuk menjana hasil jangka panjang. Ini contoh terbaik bagaimana koperasi luar bandar mampu bangkit melalui pertanian moden,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke tapak projek hari ini.
Lawatan turut disertai Ahli Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sembilan, Encik Mohd Nazri Rosli bersama kepimpinan koperasi terbabit, Pengerusi Haji Mohd Zubir Haji Zakaria dan Setiausaha, Encik Rahman Haji Bidin.
Menurut Haji Mohd Zubir, projek fertigasi itu bukan sahaja membuka peluang pendapatan kepada anggota, malah menjadi model rujukan koperasi lain.
“Dengan hasil tuaian yang konsisten, kami sedang merancang untuk menambah bilangan polibeg dan meluaskan tapak. Sambutan pasaran juga amat menggalakkan,” ujarnya.
Katanya lagi, koperasi itu juga bakal menjalinkan kerjasama dengan koperasi pengguna dan pemborong bagi meluaskan rangkaian pemasaran cili segar.
Tambah Dr. Abdul Fattah, ANGKASA sentiasa menyokong inisiatif koperasi seperti ini dan akan membantu dari segi latihan, pemasaran serta penjenamaan agar koperasi luar bandar terus berdaya saing dalam pasaran terbuka.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Zaki Bijak Tamat Misi Solo Kayak 550KM Sempena 10 Tahun Cancer Fighter Malaysia
PEKAN – Dengan semangat juang luar biasa sebagai bekas pesakit kanser, Mohd Zaki Yamani Azman, atau lebih dikenali sebagai Zaki Bijak, berjaya menamatkan misi solo mengayuh kayak sejauh kira-kira 550 kilometer dari Cameron Highlands ke Pekan, Pahang, pada Ahad lalu, 1 Jun.
Misi yang mengambil masa selama 10 hari itu dilaksanakan sempena ulang tahun ke-10 penubuhan Cancer Fighter Malaysia, sebagai simbol ketabahan dan harapan kepada semua pejuang serta bekas pesakit kanser di seluruh negara.
Menurut Zaki, misi yang bermula dari Kampung Semoi Baru mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan semasa dua hari pertama perjalanan.
“Alhamdulillah, misi ini berjaya ditamatkan seperti yang dirancang. Saya amat menghargai kerjasama dan sokongan daripada PDRM, Bomba, JPAM, Pengakap Pahang, Majlis Daerah Kuala Lipis, Pejabat Tanah Kuala Lipis, Lipis Geopark dan Tourism Pahang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau turut berkongsi bahawa cabaran utama sepanjang misi itu termasuk keadaan cuaca tidak menentu, arus sungai yang deras serta keletihan fizikal. Namun, semua itu berjaya diatasi dengan semangat kental dan tekad yang tinggi.
“Saya pernah melawan penyakit yang jauh lebih berat. Misi ini saya lakukan bagi membuktikan bahawa kehidupan selepas kanser masih boleh cemerlang dan bermakna. Saya ingin menyampaikan mesej kepada semua pesakit – jangan pernah berputus asa,” ujarnya.
Sepanjang perjalanan, Zaki turut menyeru masyarakat agar lebih prihatin terhadap kesihatan diri serta terus memberi sokongan moral kepada mereka yang sedang berjuang melawan penyakit.
Beliau berharap misi ini dapat menjadi inspirasi dan contoh positif bahawa dengan semangat, disiplin dan keyakinan diri, segalanya tidak mustahil – termasuk untuk bangkit semula selepas mengharungi kanser.
Zaki yang juga pengasas Cancer Fighter Malaysia, menutup kenyataannya dengan mesej yang menjadi pegangan hidupnya: “Kanser Bukan Tiket Untuk Mati.”-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Prospek dibawa melihat koleksi buku yang ada di Perpustakaan Tuankau Bainun yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah
Pendidikan Tanpa Sepadan: Banduan timba ilmu di Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI
TANJONG MALIM – Seramai 20 prospek dari Penjara Kluang, Johor yang sedang mengikuti Diploma Keusahawanan Pelita Suluh Budiman Kohort 2 di bawah Fakulti Pengurusan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), diberi peluang menimba ilmu secara langsung di Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), UPSI.
Prof. Madya Dr Mohd Asri Mohd Noor berkata, program ini dilaksanakan bersempena Program Perkongsian Penubuhan dan Pendaftaran Perniagaan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersama pihak Penjara Kluang.
“Kejayaan kohort pertama yang bergraduat dalam Istiadat Konvokesyen UPSI ke-26 pada tahun 2024 menjadi pendorong kepada kesinambungan program ini.
Prospek bersama kakitangan Penjara Kluang yang melawat Perpustakaan Tuanku Bainun
“Inisiatif ini selari dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi dan KPT untuk menyediakan pendidikan tanpa sepadan kepada semua golongan, tanpa mengira latar belakang,” katanya
Katanya, peserta diberi taklimat khas oleh Pengarah SSM Negeri Perak, Azurah Nor Sarif mengenai pelbagai skim sokongan seperti Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP), Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) dan SSM BIZTRUST.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan, Dr. Suzyanty Mohd Shokor, menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah strategik dalam memperkasa ilmu keusahawanan serta memberi peluang kedua kepada peserta.
“Peserta turut diberi pendedahan tentang penggunaan perpustakaan akademik, teknik pencarian sumber maklumat dalam talian, serta koleksi buku berkaitan bidang perniagaan
“Program ini membuktikan bahawa pendidikan adalah hak semua dan mampu menjadi alat pemulihan serta pembangunan diri – walaupun dari sebalik tirai besi,” katanya.
Ketua Pustakawan PTB, Noriha Muhammad, menyatakan bahawa perpustakaan harus terbuka kepada semua, termasuk golongan prospek, bagi memastikan akses kepada ilmu yang berkualiti untuk pembinaan semula kehidupan.
“PTB percaya bahawa ilmu adalah kunci perubahan hidup dan ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk menjamin akses kepada pendidikan yang inklusif dan berdaya saing,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Permandangan Sekolah Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah di Batu 10, Tanah Merah, Kelantan yang memerlukan sumbangan dana.
Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah Perlu Dana RM150,000 Untuk Baik Pulih Fasiliti Usang
PASIR MAS : Menyampaikan ilmu agama dianggap sebagai satu bentuk jihad di jalan Allah SWT kerana manfaatnya terus mengalir sebagai pahala meskipun setelah kematian, kata Mudir Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah, Baba Affendi.
Menurutnya, penyebaran ilmu agama bukan sahaja satu ibadah mulia, malah menjanjikan ganjaran besar di sisi Allah SWT bagi mereka yang mengajar secara ikhlas.
“Ilmu agama yang diajarkan akan menjadi saham akhirat. Rezeki orang yang menyebarkannya secara ikhlas juga dijamin oleh Allah SWT,” katanya ketika ditemui di pondok berkenaan di sini.
Baba Affendi dan Muhammad Bishrul menunjukkan kelas pengajian yang mengalami kerosakan dan perlu dibaik pulih.
Baba Affendi berkata, beliau memulakan pengajian agama selepas menamatkan persekolahan pada tingkatan tiga pada tahun 1988. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di beberapa sekolah pondok di Kelantan dan Selatan Thailand sebelum menyambung pengajian di Mekah selama lima tahun sehingga tahun 2000.
Sekembalinya ke tanah air, beliau membuka sebuah warung untuk menjual makanan sebagai punca pendapatan, sambil mengajar agama di surau dan sekolah pondok pada waktu malam.
“Beberapa tahun kemudian, seorang penduduk menawarkan sebidang tanah wakaf untuk saya membuka sekolah pondok dan meneruskan aktiviti pengajian agama di kampung ini,” ujarnya.
Sehingga kini, sebanyak 23 pondok kecil berukuran 10 kaki persegi telah dibina dan setiap satunya menempatkan seorang pelajar. Pelajar memasak sendiri makanan, malah hasil infak masyarakat digunakan untuk membekalkan beras dan keperluan asas kepada mereka.
“Sekolah pondok ini tidak menerima bantuan tetap daripada mana-mana pihak. Pelajar hanya dikenakan bayaran RM20 sebulan bagi menampung kos elektrik,” katanya yang kini turut mengikuti pengajian dalam bidang tasawuf di Pondok Kampung Aur Cina, Pasir Mas.
Sementara itu, Pembantu Mudir, Muhammad Bishrul Haafi berkata, banyak pondok pelajar dan wakaf kelas pengajian kini dalam keadaan uzur akibat penggunaan bahan kayu dan papan lapis sejak lebih tujuh tahun lalu.
Katanya, lantai dan struktur pondok mulai mereput menyebabkan proses pembelajaran terpaksa dijalankan di masjid kampung yang dibina beberapa tahun lalu.
“Kami sedang berusaha mengumpul dana sebanyak RM150,000 bagi membaiki pondok yang rosak, membina lima pondok baharu serta menambah baik kemudahan asas seperti atap masjid dan bekalan air,” jelasnya.
Justeru, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan melalui akaun berikut:
Bank Islam: 030540 10034957 (Tetuan Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah)
Maybank: 5530 1062 3251 (Madrasah Al Ulum Al Qomariyyah)
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Baba Affendi di talian 011-1493 7726 atau Muhammad Bishrul Haafi di 011-1797 7287.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!