Dua beranak bersyukur terima bantuan Perkeso
Foto : Menteri Kesuma, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyampaikan sumbngan perkeso kepada Muhammad Sayyid di rumahnya, baru-baru ini.
Dua beranak bersyukur terima bantuan Perkeso
JERANTUT – Dua beranak, Muhamad Sayyid Azinuddin Mohd Zin, 26, dan ibunya, Rosyati Mohd Noor, 54, ditimpa bencana penyakit dan kini cuma mampu bergerak menggunakan kerusi roda dan tinggal di Rumah Kos Rendah Peringkat 3 dan 4, dekat sini.
Muhamad Sayyid Azinuddin berkata, dia terbabit dalam kemalangan motosikal di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur ketika pergi bekerja di sebuah agensi pelancongan di ibu kota pada 2 April lalu.
Muhamad Sayyid Azinuddin Mohd Zin, 26, dan ibunya, Rosyati Mohd Noor, 54
“Selepas terjatuh dalam kejadian kemalangab tersebut, saya tidak sedar dan kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut.
“Kecederaan parah yang saya alami disahkan oleh pegawai perubatan apabila kulit kepala terkoyak, patah tulang pinggul, tulang rusuk patah, manakala sebatang tulang rusuk yang patah tertusuk ke bahagian paru-paru,” katanya di sini hari ini.
Menurut pemuda berkenaan, akibat patah tulang pinggul, dia tidak boleh berjalan dan perlu rawatan untuk menggantikan besi di pinggang bagi memulihkan supaya mampu bangun dan bergerak.
“Mujurlah, majikan saya mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga boleh membantu membiayai rawatan menggantikan besi dipinggul dengan belanja yang agak mahal.
“Saya menghargai dan berterima kasih dengan Perkeso serta majikan tempat bekerja kerana tanggungjawab sosial membantu sehingga mampu meredakan sedikit keadaan penderitaan ini. Namun, saya masih tidak mampu berjalan hanya menggunakan kerusi roda,” katanya.
Muhamad Sayyid Azinuddin yang masih bujang berkata, dia kerap berulangalik ke HKL untuk menerima rawatan kecederaannya agak mengambil masa yang lama untuk pulih dan dalam tempoh ini tidak mempunyai sebarang pekerjaan untuk menyara keluarga.
“Baru-baru ini Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan pegawai Perkeso Pahang datang ke rumah memberi sumbangan bantuan Faedah Hilang Upaya Sementara bernilai RM8,666 dan bolehlah meringankan beban belanja keperluan di rumah, keluarga, kebajikan ibu dan ulang alik menerima rawatan,” katanya.
Manakala ibunya, Rosyati Mohd Noor juga pernah mencarum ketika bekerja sebelum ini telah dibantu oleh Perkeso dengan kemudahan menjalani rawatan fisioterapi penyakit angin ahmar di sebuah hospital di Melaka namun keadaannya tidak berubah malah berlaku apabila penglihatan semakin terjejas.
Katanya, ibunya juga seorang penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 berasaskan pemegang Kad OKU serta barang keperluan dapur dari Majlis Ugama Islam Pahang dan bersyukur dengan inisiatif bantuan kedua agensi tersebut.
Tambahnya, dia masih mengharapkan bantuan daripada pihak berwajib dan dermawan bagi memulihkan penyakitnya termasuk ibunya apabila keluarga itu perlu berbelanja kira-kira RM2,000 sebulan untuk berulangalik membuat rawatan di hospital, keperluan peralatan kebersihan diri, membeli ubat, bil dan sebagainya.
Orang ramai dan dermawan yang berhasrat untuk beramal jariah bolehlah menghubungi Muhamad Sayyid Azinuddin menerusi talian 010 9083447 atau terus ke akaun Bank CIMB bernombor 7618708374 (Muhamad Sayyid Azinuddin) – SAHIH.