Foto atas : Motosikal RXZ ditukar dengan tanah lot
Pemilik RXZ ‘untung besar’ tukar motor dengan tanah lot
PETALING JAYA – Seorang pemilik sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ Catelyzer dikatakan ‘untung besar’ apabila berjaya membuat pertukaran jual beli dengan memiliki sebidang tanah seluas hampir 500 meter persegi daripada seorang pembeli.
Perkara itu dikongsikan Nik Mohd. Zulkiflee Lee menerusi Kelab Jual Beli RXZ di Facebook hari ini.
2022 sejarah, RXZ catal ‘swap’ dengan tanah lot, Alhamdulillah rezeki,” katanya.
Sehubungan itu, pelbagai reaksi turut diberikan oleh orang ramai dan rata-ratanya menganggarkan harga motosikal tersebut melebih RM18,000.
Sementara itu, ada juga pengguna tampil memuji tindakan bijak pemilik tersebut kerana mengorbankan ‘barang rare’ kepada sesuatu yang lebih menjamin masa depan dengan memiliki tanah sebagai aset bernilai.
Bijak abang kita ini, RXZ ini mungkin satu masa harga akan jatuh dan layak jadi besi buruk, tapi ada tanah harga pasaran makin naik,” ujar Shahrol Malik.
Rasanya pembeli mesti dah lama idam nak ada sebuah RXZ, sebab itu sanggup tukar dengan tanah,” komen Yushairi.
Sumber – KOSMO! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PASIR PUTEH – Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim yang dipandu oleh pemandunya rosak selepas terbabas sebelum merempuh pagar Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) Perpaduan Raja Dagang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, SUV jenis Proton X70 yang dipandu oleh Zainuddin Awang, 59, dipercayai hilang kawalan semasa tiba di selekoh Tok Isa dan terbabas ke pintu pagar tadika berkenaan.
Wan Hassan ketika dihubungi berkata, pemandunya sedang dalam perjalanan ke pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak selepas mengisi minyak di sebuah stesen minyak yang berdekatan.
“Saya tiada di dalam kenderaan itu kerana menunggu ketibaannya di pejabat DUN. Ramai yang menghubungi saya kerana menyangka saya terbabit dalam kemalangan itu.
“Saya bersyukur apabila kemalangan melibatkan SUV itu tidak menyebabkan seramai 25 murid dan guru yang berada di dalam tadika tersebut cedera,” katanya.
Wan Hassan berkata, kemalangan itu menyebabkan Zainuddin mengalami sakit dada dan kepala akibat terhantuk dan dia telah dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini untuk rawatan lanjut.
Sumber – KOSMO! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Terima kasih MDJ – Taman Warisan Bukit Istana dibersihkan
JERANTUT – Seramai 12 orang kakitangan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) telah membersihkan kawasan riadah di sekitar Taman Warisan Bukit Istana, dekat sini bertujuan untuk keselesaan penduduk dan pengiat sukan mendaki bukit di situ.
Pengunjung selesa, kerjasama orang ramai perlu jaga kebersihan
Setiausaha MDJ, Tpr. Mohd. Khasri Abdullah ketika dihubungi menyatakan terima kasih di atas keluhan orang ramai berkaitan kawasan tersebut yang mengganggu keselesaan untuk beriadah.
“Sebagai badan penyelenggara di kawasan itu, pihak kami segera membersihkan kawasan dengan mengarahkan 12 orang kakitangan.
“Sebelum ini keadaan itu terbiar disebabkan mahu menyelenggarakan kawasan lain untuk program di daerah ini,” katanya.
Kakitangan MDJ membersihkan laluan di Taman Warisan, Bukit Istana, Jerantut
Sementara itu, seorang pengunjung yang kerap beriadah di situ bersyukur kerana pihak MDJ membersihkan kawasan itu demu keselamatan dan keselesaan orang ramai.
“Taman Warisan yang terletak di Bukit Istana mula dibina sekitar awal 1990-an pada mulanya menjadi tumpuan pengunjung pada waktu petang dan hujung minggu untuk aktiviti ekstrem selain tempat berehat di pondok bawah teduhan pelbagai jenis pokok hutan.
“Oleh kerana tempat itu tidak diselenggara, maka kehadiran orang ramai mula berkurangan, tetapi selepas dibersihkan diharap orang ramai yang datang ke situ diminta berkerjasama menjaga kebersihan dan jangan membuang sampah merata-rata,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Hulu Selangor menunjukkan demonstrasi memadam api kebakaran pada program Kempen Cegah Denggi, Keselamatan Kebakaran dan Penyerahan Sumbangan Persatuan Penduduk Jalan Kiambangsari (PPJK), Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor.
PPJK berjaya anjur program tertangguh dua tahun kerana Covid-19
RAWANG – Program komuniti Persatuan Penduduk Jalan Kiambangsari (PPJK), Bandar Sungai Buaya, Rawang yang tertangguh hampir dua tahun berjaya dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Hasrat penduduk pelbagai kaum dalam komuniti itu untuk menganjurkan program Kempen Cegah Denggi, Keselamatan Kebakaran dan Penyerahan Sumbangan kepada ibu tunggal serta anak asnaf yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 diadakan baru-baru ini.
Program itu dianjurkan bersama antara PPJK dan Ahli Majlis Hulu Selangor (Zon 22), Marina Jayaseelan yang turut merasmikan majlis kempen berkenaan.
Pengerusi PPJK, Zaharin Md Sah, berkata tujuan program itu diadakan bagi mendidik masyarakat dalam pelbagai perkara penting terutama kempen pencegahan denggi dan keselamatan kebakaran kejiranan terbabit demi kesejahteraan hidup dan menyelamatkan nyawa.
Katanya, di samping itu program berkenaan juga untuk tidak ketinggalan menyantuni ibu tunggal dan anak asnaf yang cemerlang dalam keputusan SPM 2021 lalu memandangkan kehidupan mereka serba kekurangan tetapi tetap mengutamakan pelajaran.
“Sebagai menyahut saranan kerajaan dalam aspirasi Keluarga Malaysia, program berkenaan mampu meningkatkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk pelbagai kaum di komuniti itu apabila membabitkan diri dengan aktiviti sosial ke arah gaya hidup sihat.
“Saya berasa amat bersyukur apabila program ini berjalan lancar dan mendapat sambutan mengalakkan daripada kejiranan Kiambangsari ibarat kemesraan kembali bertaut kerana sebelum ini terpaksa berkurung dalam rumah dalam usaha membantu membanteras wabak Covid-19,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Kali, Harumaini Omar turut hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal dan anak asnaf terbabit. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kenderaan MPV gelongsor masuk sungai, bayi 8 bulan selamat
JERANTUT – Sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard mengelongsor ke dalam Sungai Betong di kawasan tempat letak kereta bersebelahan Warung Warisan Pak Din, Jalan Pasar dekat sini kira-kira jam 11.30 pagi, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, DSP Azman Kamis berkata, semasa pemandu kenderaan itu berusia 34 tahun meletakkan kenderaannya di lokasi terbabit bersama isterinya berusia 30 serta bayi perempuannya berusia 8 bulan yang berada di dalam kenderaan itu.
Kenderaan MPV bergerak ke hadapan dan melanggar penghadang besi dan menjunam ke dalam SUngai Betong, di sini, hari ini
“Semasa meletakkan kenderaan itu, tiba-tiba kenderaan tersebut telah bergerak ke hadapan dan melanggar penghadang besi dan terjatuh ke dalam sungai sedalam 6 meter.
“Dalam kejadian ini, kesemua mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kerja menyelamat telah dijalankan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut.
Katanya, walau bagaimanapun, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Jerantut untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.
“Kenderaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan bumbung. Kejadian disiasat di bawah Seksyen Peraturan 10 LN 166/59,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Budak taska dipercayai kena dera, dipaksa makan biji cili di Kepong
SEORANG pengasuh wanita didakwa melakukan kekasaran terhadap kanak-kanak di sebuah taska di Kepong, Kuala Lumpur dengan memukul serta dikatakan memberi makan biji cili. Kejadian tersebut dikongsikan menerusi dua rakaman video oleh seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa pelaku bertindak memukul dan menyuap sesuatu dipercayai biji cili secara paksa kepada mangsa.
Pemilik Facebook yang menggunakan nama Angel Ng berkata, video itu diperoleh menerusi saudara terdekat dan berharap rakaman itu disebarkan bagi melindungi kanak-kanak di pusat asuhan itu.
“Berapa ramai kanak-kanak yang akan menjadi mangsa jika pelaku masih bekerja di pusat jagaan itu. Adakah wajar kanak-kanak diperlakukan sedemikian?
“Jangan bekerja (pengasuh) jika tiada nilai kasih sayang dan penyabar dalam diri. Orang yang tiada kasih sayang tidak layak menjadi pengasuh,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Ahad.
Pemilik Facebook tersebut bagaimanapun memberitahu kanak-kanak yang menjadi mangsa tersebut bukan anaknya dan tidak pasti jika ibu bapa mangsa sedia maklum dengan kejadian itu.
“Saya harap ibu bapa kanak-kanak tersebut melihat video ini. Ibu bapa kanak-kanak ini pasti sedih kerana menyangka anak-anak gembira belajar dan berkawan tetapi akhirnya dilayan seperti itu,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden itu.
“Jika ibu bapa mangsa membuat laporan, maka kita akan mempertimbangkan untuk membuka kertas siasatan,” katanya.
Sumber – Majoriti
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Murid tahun enam guna telefon sedang dicas maut disambar petir
GUA MUSANG – Seorang murid perempuan tahun enam maut selepas dipercayai disambar petir ketika sedang bercakap menggunakan telefon pintar dengan rakannya di Kampung Baru Sungai Raya Luar di sini hari ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.50 petang itu menyebabkan mangsa, Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi, 12, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Kuala Betis di terbaring di atas tilam bilik tidurnya dengan kesan terbakar pada bahagian lengannya.
Menurut bapa mangsa, M. Nor Zawawi Awang, 54, ketika kejadian, dia baharu selesai solat asar di surau hadapan rumahnya sebelum terdengar bunyi dentuman petir yang kuat.
“Isteri saya memaklumkan Nur Asyqin Qistina yang merupakan anak keempat daripada lima beradik pengsan di tempat tidur dengan tangan kanannya memegang telefon pintar yang sedang dicas.
“Saya melihat tangan kanannya terdapat lecur selain kesam terbakar pada tilam tempat tidurnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Gua Musang di sini.
M. Nor Zawawi berkata, dia segera membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Kuala Betis sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.
Katanya, mayat anaknya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum proses pengebumian.
SUMBER : KOSMO! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ahmad Mustafa, penyertaan di pameran MAHA 2022 adalah kali pertama bertujuan membawa misi pekebun durian Kampung Damak, Jerantut untuk memperkenalkan baka DPK kepada pengunjung di situ.
Inovasi baharu – Pembiakan benih baka kaedah Pantas Cantuman Durian
JERANTUT – Pekebun durian Kampung Damak, Jerantut untuk memperkenalkan baka Durian Premium Kampung (DPK) kepada pengunjung di Pemeran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, yang barakhir baru-baru ini.
DPK, kampung Damak, Jerantut mula digemari penggemar durian di daerah ini dan luar Pahang kerana keenakan dan aroma isinya termasuk tekstur ulasnya sehingga ini sudah berjaya menembusi pasaran secara kompetitif dengan klon atau baka yang sudah dikenali umum.
Bagi pengusaha kebun durian, Kampung Damak, Jerantut, Ahmad Mustafa, 42, penyertaan di pameran MAHA 2022 adalah kali pertama bertujuan membawa misi pekebun durian Kampung Damak, Jerantut untuk memperkenalkan baka DPK kepada pengunjung di situ.
Ahmad berkata, lebih menarik penyertaan buat pertama kali di pameran tersebut untuk memperkenalkan inovasi terbaharu pembiakan benih baka DPK menerusi Kaedah Pantas Cantuman Durian serta jualan benih pokok DPK.
“Pameran serta demontrasi cantuman tunas DPK Damak, Jerantut berkonsepkan ‘Millions Of Seedling’ (MOS) kerana kaedah ini (cantuman) boleh menghasilkan benih pokok durian baka berkenaan yang lebih banyak dan kadar pembesaran pokok lebih cepat untuk mengeluarkan buah.
“Kami berkongsi pengetahuan dan pengalaman penghasilan cantuman MOS kepada pengunjung dalam kalangan pengusaha pertanian yang berminat untuk mencuba dan menerokai penanaman DPK,” katanya di tapak Pavilion Negeri Pahang, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), baru-baru ini.
Katanya, dia mula membuat percubaan cantuman benih DPK sejak 20 tahun lalu setelah memperoleh kursus kemahiran asas daripada Jabatan Pertanian Pahang (JPP) dan kemudiannya mula memfokuskan baka durian Kampung Damak yang kebanyakan pokok yang ditanam sudah berusia lebih 30 tahun.
“Saya yakin segala usaha yang dirintis menerusi cantuman pantas (MOS) boleh menghasilkan buah (durian) yang bermutu tinggi setanding baka popular pada masa ini.
“Hasil komitmen dengan kerjasama rakan pekebun di Damak, kita telah berjaya mengeluarkan serta memperkenalkan baka DPK malahan sudah menembusi pasaran sejak lima tahun lalu sehingga ini sudah ada penggemar dan pelanggan setiap kali musim raja buah ini,” katanya.
Ahmad berkata, antara buah durian yang berjaya serta dikenali menerusi Kaedah MOS, iaitu, Damak King, MAS Konggo, Mas Hijau, Durian Katak, Naga Emas dan Kepala Gajah yang kesemuanya baka ‘asli’ DPK daripada Kampung Damak, Jerantut.
“Sebagai contoh, DPK Mas Hijau dan Naga Mas mempunyai isi yang enak termasuk aromanya serta tekstur ulasnya seperti ‘aiskrim’ menjadi perhatian pelanggan setiap kali musim buah malahan kebanyakan penggemar luar lebih awal membuat tempahan termasuk DPK jenis lain.
“Pengunjung boleh membuat tempahan baka DPK Damak yang dijual antara RM20 hingga RM30, tetapi penghantaran boleh saya lakukan sekiranya dalam kuantiti yang banyak,” katanya.
Jelasnya, pekebun dan pengusaha pertanian yang ingin mempelajari kaedah cantuman pantas (MOS) atau membuat tempahan benih DPK bolehlah menghubungi Ahmad Mustafa menerusi talian 011 13210544.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Taman Warisan Bukit Istana, Jerantut wajar diselenggara
JERANTUT – Penduduk dan pengunjung yang gemar melakukan kegiatan riadah di sekitar Taman Warisan Bukit Istana, dekat sini merayu kepada Majlis Daerah Jerantut menyelenggara kawasan itu dengan menjaga kebersihan dan keceriaan.
Taman Warisan yang terletak di Bukit Istana mula dibina sekitar awal 1990-an pada mulanya menjadi tumpuan pengunjung pada waktu petang dan hujung minggu untuk aktiviti ekstrem selain tempat berehat di pondok bawah teduhan pelbagai jenis pokok hutan.
Kini, kawasan itu menjadi tumpuan yang digemari untuk mendaki dan jogging dan diharapkan kemudahan di taman itu dipulihkan semula terutama trek jogging dan berjalan kaki, melabelkan nama pokok hutan, pondok rehat serta penjagaan kebersihan dengan menyediakan tong sampah.
Selain itu, penuntut dalam bidang perhutanan dan botani juga kerap singgah ketika taman itu mula dibuka untuk kajian serta mengenali pokok hutan tropika berasaskan label nama tumbuhan dipasang setiap batang pokok.
Laluan yang bersemak mengundang bahaya haiwan berbisa kepada pengunjung.
Seorang penduduk di sini yang ditemui berkata, dia mahukan pihak berkaitan membersihkan trek jogging yang mula dipenuhi semak dan daun kering, berlumut di kawasan bertangga, label nama pokok hutan sudah rosak dan jatuh ke tanah, pondok berehat rosak dan kotor dicemari sampah-sarap termasuk di beberapa ‘pit stop’ laluan berkenaan.
“Saya dan rakan termasuk ramai pengunjung kerap berjalan kaki di kawasan trek yang disediakan hampir satu kilometer naik turun kawasan berbukit di sini.
“Hari ini, suasana landskap taman di sini jauh berubah apabila keadaan tidak terurus, semak-samun malahan kebanyakan tempat kotor dan trek simen dipenuhi lumut serta licin,” katanya.
Katanya, taman ini tidak diuruskan dengan baik dan kami dalam kalangan warga emas terpaksa beriadah di tempat lain sedangkan kawasan ini amat sesuai dan selesa untuk semua pengunjung.
“Dalam keadaan semak yang tebal bimbang juga kalau ada haiwan berbisa, oleh itu sewajarnya kawasan bersemak ditebas demi keselamatan orang ramai.
“Sesuai dengan bandar Jerantut yang dipilih oleh kerajaan sebagai ‘Projek Showcase Healthy City’ sudah sewajarnya Taman Warisan Bukit Istana dipulihkan semula sebagai sandaran menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong luar,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anggota Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi pada jam 5.24 petang , semalam
Tiga pendaki terperangkap akibat kepala air
Hulu Langat: Tiga lelaki yang melakukan aktiviti mendaki di Air Terjun Sungai Gabai, di sini, terperangkap dalam kejadian kepala air, petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi kejadian pada jam 5.24 petang .
Menurutnya, tiga lelaki berusia 20-an itu melakukan aktiviti mendaki bukit terperangkap di bukit dengan anggaran ketinggian 50 meter akibat berlaku kejadian kepala air di kawasan itu.
“Ketika anggota bomba sampai di lokasi, air sudah surut yang mana kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan.
“Anggota bomba bertindak membawa turun kesemua mangsa ke kaki bukit dengan selamat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sumber : HarianMetro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!