Kebelakangan ini cuaca tidak menentu. Sekejap panas sangat, hujan lebat, berangin dan macam-macam berlaku dalam satu hari.
Cuaca yang tidak menentu ini berpunca daripada Bumi pusat di geometri cakera Matahari iaitu kedudukan Matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.
Matahari berada di garisan khatulistiwa menyebabkan Malaysia mengalami hari-hari yang amat panas terik.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sukarelawan menyusun pelbagai barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kampung Sekayu dan sekitarnya yang diinfak menerusi aktivis masyarakat dan Kumpulan ZIG.
Penduduk Apartmen Taman Zapin, Inang dan Ghazal, Taman Impian Ehsan, Balakong, Selangor terus menabur bakti kepada penduduk yang ditimpa musibah.
Kumpulan ZIG mengambil inisiatif mengumpul dana daripada sumbangan pelbagai pihak khusus penduduk yang menetap di apartmen berkenaan bagi membantu mangsa banjir di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Ahli Jawatankuasa Kumpulan ZIG, Saharani Abdullah, berkata sebaik mendapat maklumat dan berita yang tersiar di media sosial mengenai banjir menimpa penduduk di kampung berkenaan beliau mengadakan mesyuarat dengan beberapa ahli untuk mengambil tindakan bagi menghulurkan bantuan.
Sebahagian sukarelawan di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu membungkus barangan keperluan asas yang diinfak pelbagai pihak termasuk daripada Kumpulan ZIG sebelum diagihkan kepada mangsa banjir baru-baru ini.
Menurutnya, hasil keprihatinan penduduk dan beberapa pihak yang dimaklumkan usaha itu, Kumpulan ZIG berjaya mengumpul dana untuk membeli pelbagai keperluan penting seperti dapur gas, tuala mandi, pampers, peralatan membersih rumah serta barangan makanan asas seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, teh, susu dan sebagainya dalam beberapa hari sahaja.
“Setiap barangan ini direkodkan bagi memastikan tidak berlaku perulangan atau terbeli barang yang sama jika penduduk yang dibantu masih memerlukan bantuan dan Kumpulan ZIG akan berusaha demi keikhlasan membantu mereka ditimpa musibah.
“Kebiasaannya kami akan mengesan terlebih dahulu aktivis masyarakat atau NGO di satu-satu kawasan yang boleh berkongsi maklumat mengenai keperluan penduduk serta turut membantu membuat agihan barangan yang diinfak,” katanya.
Sukarelawan Samsudin Husin (kanan) menyampaikan sumbangan dapur gas infak orang ramai kepada mangsa banjir Mazlan iaitu bekas bilal Masjid Kampung Padang Setar.
Beliau berkata, semua barangan itu akan dihantar ke rumah seorang penduduk di kampung berkenaan yang secara sukarela menjadi tempat menerima infak orang ramai sebelum diagihkan kepada mangsa banjir yang dikenal pasti.
Menurutnya, usaha membantu mereka yang ditimpa musibah itu bukanlah perkara baharu kepada Kumpulan ZIG kerana sudah lama melakukan kerja amal berkenaan termasuk meringankan bebanan keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Walaupun ahli kami sibuk dengan tugas hakiki di tempat kerja tetapi ada antara mereka yang sanggup mengambil cuti untuk turun padang bagi membantu mangsa banjir serta mengagihkan barangan keperluan ini.
Seorang mangsa banjir menerima bantuan dapur gas dan barangan makanan keperluan asas yang disampaikan sukarelawan Nor Afifi Abdul Razab (kanan).
“Kami Kumpulan ZIG sudah sepakat untuk ringan tulang seperti ahli NGO lain bagi membantu penduduk ditimpa musibah yang secara tidak langsung dapat mengimarahkan konsep Keluarga Malaysia yang dicetuskan pemimpin negara, “ katanya.
Sementara itu jurucakap sukarelawan yang menjadi tempat mengumpul barangan infak di kampung berkenaan memaklumkan mereka menerima pelbagai barangan makanan asas, ubat-ubatan, kain selimut, kain pelikat, pakaian terpakai, peralatan persekolahan yang dihantar oleh orang ramai termasuk aktivis masyarakat seperti Oh Fatimah, Batu Buruk, Rakiah Kuala Berang, Cikgu Nasir, Engku Haripah dan ZZ Heritage.
“Barang-barang ini kami akan bahagi sama rata mengikut keperluan mangsa banjir manakala yang keuzuran atau tiada pengangkutan untuk datang mengambilnya beberapa sukarelawan akan tolong menghantar ke rumah mereka.
“Terbaharu kami menerima infak pelbagai barang keperluan harian termasuk peralatan yang digunakan di rumah seperti penyapu disumbangkan oleh NGO Kampit Rezeki dari Perak diketuai Qolbin Salim Sulaiman yang datang sendiri menyampaikan barangan berkenaan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Seorang penghuni sebuah rumah anak yatim maut dibelasah rakannya di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di kuantan.
Difahamkan mangsa, Muhammad Hafdan Qurbani Azhar,11 tahun yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Soi telah disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri di surau kompleks rumah anak yatim dan miskin berkenaan hanya kerana disyaki mengambil duit sebanyak RM4.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah dibawa tiga pelajar lain yang merupakan penghuni asrama berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri ke rumah penyelia asrama.
Penyelia asrama yang mengesyaki mangsa mengalami sawan membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia dan pengadu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Seorang pelajar berumur 16 tahun ditahan reman selama 7 hari bagi membantu siasatan.
Menurut Wan Mohd Zahari, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk dibedah siasat dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Dr Narita (kanan) mengiringi Dr Mohamad Isa memotong riben sebagai menandakan perasmian Mizwalah atau Jam Matahari di IPGKDRI.
INSTITUT Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI), Kuala Nerus, Terengganu, IPG pertama menempatkan jam Matahari atau Mizwalah bagi tujuan memantapkan pembelajaran siswa guru di IPG berkenaan.
Pengarahnya, Dr Narita Mohd Noor, berkata pembinaan Mizwalah di dataran itu adalah sebahagian item yang ada di Galeri Warisan Islam yang sudah diwujudkan di IPGKDRI dengan mendapat kerjasama penuh daripada Persatuan Falak Syar’i Malaysia dan Jabatan Ukur Negeri Terengganu dalam mendapatkan Mizwalah yang tepat untuk kegunaan warga IPG.
Dr Mohamad Isa (kanan) melihat mizwalah atau jam matahari pada majlis perasmian di IPGKDRI, Kuala Nerus, Terengganu, baru-baru ini.
Menurutnya, idea untuk membina galeri itu timbul apabila pensyarah menghadapi masalah untuk menunjukkan istilah berkaitan dengan waktu solat, kedudukan istiwa berdasarkan kedudukan matahari, Gantang Baghdad, Gantang Madinah dan Istilah Dua Kolah.
“Yang Dipertua Persatuan Falak Syar’i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, memaklumkan IPGKDRI merupakan institusi pendidikan pertama yang mempunyai Mizwalah.
“Tuan Syed Kamarulzaman berharap supaya ilmu mengenai Mizwalah dapat dikembangkan kepada seluruh orang Islam di negara ini dan langkah IPGKDRI membina Mizwalah merupakan satu langkah terbaik kerana guru nanti akan bertugas di seluruh negara dan diharapkan ilmu tentang Mizwalah akan terus tersebar luas,” katanya.
Perasmian dataran berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Rektor, Hal Ehwal Pelajar, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr Mohamad Isa Azis bersempena Majlis Tilawah, Tafsir dan Hafazan Al-Quran (MTTHQ) Peringkat Kebangsaan yang diadakan di IPGKDRI, baru-baru ini.
Dalam ucapan pada majlis perasmian dataran itu, Dr Narita melahirkan rasa bersyukur kehadrat Ilahi kerana hadirin dapat berkumpul di dataran Pusat Islam Al Muttaqin (PIAM) itu. Pusat berkenaan dinaik taraf sebagai Pusat Islam berikutan peranannya semakin besar dan mencabar.
Sementara itu, Dr Mohamad Isa dalam ucapan perasmiannya, mengucapkan tahniah kepada IPGKDRI kerana berjaya membangunkan Galeri Warisan Islam di kampus itu selain berasa amat teruja dengan kesungguhan IPGKDRI membangunkan dataran berkenaan kerana ia bukan satu usaha yang mudah.
Katanya, dia amat menghargai komitmen yang ditunjukkan warga IPGKDRI dalam membangunkan galeri berkenaan dan berharap kandungan galeri itu bukan semata-mata replika, tetapi replika yang mendapat pengiktirafan daripada pihak yang berautoriti kerana ilmu Islam itu terlalu luas, istilah yang digunakan oleh ulama sejak dahulu sebenarnya tidak lapuk ditelan zaman.
“Semoden mana sekalipun kehidupan kita, amalan membayar zakat tetap disandarkan kepada sukatan gantang, sama ada Gantang Baghdad atau Gantang Madinah dan majoriti kita hanya boleh menyebut kedua-dua jenis gantang ini, tetapi warga IPGKDRI dapat mempamerkan sukatan gantang yang disebut dalam kitab yang muktabar.
“Adanya sistem perpaipan moden menyebabkan kita tidak kenal dengan “kolah” termasuk istilah dua kolah. Saya percaya, ukuran dua kolah ini pun ramai di antara anak didik kita yang tidak tahu. Walaupun kita tidak mengambil wuduk dengan air kolah, namun ukuran dua kolah sewajarnya menjadi satu pengetahuan yang wajib dikuasai orang mukmin,” katanya.
Katanya, beliau tertarik dengan jam matahari atau Mizwalah Ilmu mengenai falak, penentuan waktu solat, kedudukan matahari dan bulan merupakan ilmu yang hampir pupus. Idea menghasilkan binaan Mizwalah di IPGKDRI sewajarnya diperluaskan ke semua IPG negara kita.
“Ilmu berkaitan dengan ilmu falak syar’i merupakan ilmu yang amat menarik. Ilmuan Islam yang berkaitan dengan ilmu falak semakin dipinggirkan dan saya berharap warga IPGKDRI , khususnya guru pelatih dapat memanfaatkan galeri ini bagi memantapkan pengetahuan dalam dalam ilmu warisan Islam,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pelajar keluarga susah terima komputer riba sumbangan YRS
Foto atas : Wakil Third Force Jerantut, Mariana Abdul Rahim menyampaikan alatan di kediaman pelajar tersebut.
JERANTUT – Third Force Jerantut di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS) menyampaikan sumbangan kemasyarakatan sebuah komputer riba kepada pelajar Pra-Universiti, Semester Dua, Sekolah Menengah Kebangsaan Temin dekat sini, semalam.
Pelajar tersebut, Muhammad Isqandar Isma Putra Muhamad Isa, anak sulung daripada 4 beradik daripada keluarga asnaf menerima gajet tersebut setelah membuat permohonan kepada YRS.
“Saya amat bersyukur kerana mendapat sumbangan komputer riba dan mesin pencetak yang saya terima memudahkan saya melakukan tugasan pelajaran yang diberi.
Muhammad Isqandar Isma Putra Muhamad Isa menerima sumbangan komputer riba dan mesin pencetak daripada wakil YRS
“Selama ini, saya terpaksa meminjam dan mencetak di kedai komputer di bandar, dengan adanya peralatan ini memberi semangat kepada saya serta boleh berkongsi dengan adik-beradik nanti,” katanya.
Wakil Third Force Jerantut, Mariana Abdul Rahim berkata, pelajar ini memohon melalui YRS dan layak menerima kerana dalam golongan B40 dan di samping itu adik keduanya belajar di sekolah sama di tingkatan 2, adik ketiga tahun 3 bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi dan adik ke-4 berusia 4 tahun.
“Ibunya seorang surirumah dan mempunyai masalah kesihatan dan manakala bapanya bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Perjuangan pengasas YRS hanya satu, iaitu untuk mengajak semua orang untuk menjadi orang baik-baik yang menaungi kerja-kerja kemanusiaan,” katanya.
Katanya, The 3rd Force menjadikan pengasasnya, Raja Shamri sebagai ikon Orang kurang Upaya (OKU) yang memperjuangkan isu-isu kemanusiaan bukan sahaja bersifat domestik malah menyeluruh ke seluruh negara.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tengku Mahkota Pahang ‘terpukau’ landskap ‘The Red Forest’ yang merah
Foto atas: Tengku Hassanal (tengah) bersama Mohd Sharkar Shamsudin (depan, 2 dari kanan) bersama sebahagian pendaki ketika berada di puncak setinggi 371 meter Bukit Merah, Jerantut, Pahang hari ini.
JERANTUT – Pemangku Sultan Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah terpukau dengan keistimewaan puncak Bukit Buluh ditumbuhi pokok Kelat Gelam yang mewarnai landskap kawasan di situ dengan warna merah kerana batang dan ranting tumbuhan liar berkenaan berwarna merah sehingga dikenali dalam kalangan pelawat sebagai ‘The Red Forest’.
Baginda (tengah) ketika bersiar menikmati kemerahan pokok Kelat Gelam bersama pendaki di puncak setinggi 371 meter Bukit Merah, Jerantut, Pahang hari ini.
Baginda yang pekenan mendaki bukit tersebut mengambil masa 21 minit sahaja berbanding tempoh yang lazimnya dilakukan oleh pengunjung antara 40 hingga 50 minit serta diiringi 75 orang pendaki mewakili pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memulakan pendakian pada jam 8.10 pagi, hari ini.
Ketibaan baginda di kaki bukit itu pada jam 8 pagi hari ini disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.
Salah satu pemandang berwan merah di Bukuit Buluh
Baginda pekenan berangkat mendaki bukit tersebut sempena pelancaran Program Hiking Day di Jerantut hari ini.
Baginda turut meluangkan masa selama 20 minit bersama pendaki dan pengunjung yang memenuhi cuti hujung minggu di puncak itu sambil berkenan bergambar bersama pengunjung di bukit tersebut.
Program yang sama juga diadakan serentak di lokasi terpilih setiap daerah Pahang membabitkan lintasan secara langsung di 13 buah lokasi melalui platform media sosial Facebook Tourism Pahang dan Kerajaan Pahang.
Sultan Hassanal teruja melihat keindahan persekitaran yang berwarna merah dan memuji usaha Pejabat Daerah Jerantut dan Jabatan Perhutanan menjadikan kawasan bukit itu sebagai tarikan pengunjung bagi kemudahan berekreasi dan beriadah pada waktu petang dan hujung minggu.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy ketika ditanya media, kerajaan negeri akan mewartakan Bukit Buluh sebagai destinasi baharu dalam Kalendar Pelancongan Pahang mulai tahun ini dan berharap Tourism Pahang, Pejabat Daerah Jerantut serta semua penggiat dan pengusaha pelancongan giat mempromosi tempat tersebut.
“Saya terpukau dengan landskap bukit ini diwarnai kemerahan sebab pokok Kelat Gelam berwarna merah, malahan tidak ditemui di tempat lain negeri ini selain Mossy Forest di Brinchang, Cameron Highlands yang terkenal dengan hutan dipenuhi lumut yang juga antara tarikan ramai pelawat.
“Bukit ini cuma 17 kilometer dengan bandar Jerantut antara pakej terbaharu pelancongan di daerah ini dan boleh disinggahi pengunjung dalam perjalanan ke Taman Negara Kuala Tahan atau destinasi lain di sini,” katanya selepas mengiringi lawatan Tengku Hassanal hari ini.
Dalam pada itu, penggiat pelancongan Taman Negara, Sabri Abdullah menambah, pengunjung ke Taman Negara tidak akan melepaskan peluang singgah mendaki Bukit Buluh semasa dalam perjalanan pergi atau balik daripada pusat peranginan hutan tropika taman tersebut.
“Kita akan terus menggiatkan promosi lokasi The Red Forest kepada pelancong antarabangsa selepas sempadan negara dibuka mulai 1 April ini sebagai lokasi transit sebelum atau selepas melawat Taman Negara,” katanya.
Jelasnya, usaha Tourism Pahang, Pejabat Daerah Jerantut dan Jabatan Perhutanan membuka lokasi tersebut amat dipuji sekali gus menambah sebuah lagi destinasi berasaskan tumbuhan liar yang unik serta ketinggian The Red Forest yang boleh didaki pelbagai peringkat usia.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Polis beri amaran orang ramai jangan buat spekulasi dan komen rasis FB ‘Pengutip Besi Buruk’
Foto atas : FB yang ditularkan
BENTONG – Orang ramai cuba elakkan membuat sebarang komen negatif yang berunsur perkauman dan spekulasi berhubung gambar tular yang dimuatnaik dalam laman sesawang Facebook milik ‘Pengutip Besi Burok’.
Ketua Polis Daerah, Suprinteden Zaiham Mohd Kahar
Ketua Polis Daerah, Suprinteden Zaiham Mohd Kahar menjelaskan gambar tular dalam sesawang tersebut melibatkan seorang lelaki tempatan yang berusia 40 tahun merupakan pengadu menyatakan ketika dia berhenti di sebuah stesen untuk mengisi minyak berhampiran Tol Bentong dari arah Tol Gombak telah didatangi oleh empat orang lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 42 tahun.
“Pengadu memberitahu, dia dimaklumkan oleh keempat orang lelaki berkenaan belum lagi melunaskan pembayaran ansuran bulanan kereta miliknya.
FB – Pengutip Besi Burok
“Pengadu menafikan perkara tersebut sambil meminta surat penarikan kenderaan daripada pihak bank. Sebaliknya, keempat orang lelaki berkenaan tidak dapat menunjukkan bukti surat tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, polis telahpun menerima laporan kedua belah pihak dan telahpun merakamkan percakapan mereka.
“Sehingga ini, siasatan masih dijalankan berasaskan maklumat yang diperoleh daripada percakapan kedua pihak berkenaan.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen berkaitan insiden ini di samping elakkan daripada membuat komen berunsurkan perkauman,” ujarnya.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden yang dipaparkan menerusi laman sesawang tersebut hendaklah terus menghubungi IPD Bentong menerusi talian 09 2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Masjid Camlica dibuka kepada umum pada tahun 2019, setelah dibangun selama enam tahun di Istanbul dan menjadi ikonik masakini sebagai masjid di bawah pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Bahagian sisi masjid yang mempunyai halaman yang luas dan terletak di atas Bukit Camlica.
Masjid ini di kawasan seluas 15,000 meter persegi di atas bukit tertinggi Istanbul, Bukit Camlica, Uskudar, Istanbul, mulai pembinaannya pada 2013 yang dibawa kendalian dua orang arkitek wanita, Bahar Mizrak dan Hayriye Gul Totu dengan kos dianggarkan AS$110 juta.
Di bahagian utama masjd yang mempunyai mimbar yang tinggi.
Namun pembinaan senibinanya masih mengikut gaya arkitektur Ottoman-Seljuk dan mudah dilihat dari setiap sudut kota.
Selain itu dilengkapi teknologi tinggi, eskalator dan juga alat bantuan audio dan imej kepada jemaah yang memiliki masalah pendengaran.
Bahagian dalam masjid dihiasi dengan kemasan yang cantik.
Masjid ini memiliki enam menara, dua di antaranya lebih dari 100 meter dan kubah utama setinggi 72 meter serta terdapat hiasan masjid terbesar di dunia yang panjangnya 7.70 m dan berat sekitar 4 ton boleh menampung 60.000 jamaah.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Bungkusan air ketum yang ditemui dalam dua buah tong ais dan bungkusan daun ketum yang dimiliki oleh suspek dalam serbuan di sebuah kedai Chegar Medang, Bentong, semalam.
BENTONG – Pihak polis Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menyerbu ‘pusat’ memproses air ketum yang terletak di bahagian dapur belakang sebuah kedai di Chegar Medang, dekat sini, semalam.
Hasil pemeriksaan di situ pihak polis menjumpai dua buah tong ais berwarna oren yang setiap satunya berisi bungkusan cecair berwarna hijau dipercayai cecair ketum.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, turut menjumpai sebanyak 109 bungkusan cecair anggaran berat 136.25 liter dan enam bungkus plastik warna hitam berisi daun warna hijau disyaki daun ketum anggaran berat 46.5 kilogram (kg).
“Hasil siasatan awal dapati daun ketum tersebut dibeli oleh suspek di mentakab dengan harga RM 30.00 untuk 10 kg daun ketum.
“Suspek akan membeli daun ketum seminggu sekali dengan seorang lelaki warga negara tempatan di Mentakab,” katanya.
Katanya, usaha untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan, suspek juga dipercayai terlibat dengan kegiatan memasak, membungkus dan menjual daun ketum secara kuantiti yang banyak sejak awal tahun 2022.
“Suspek telah menyewa rumah kedai tersebut bermula dari bulan disember 2021 untuk dijadikan ‘pusat’untuk kegiatan memasak daun ketum dan membungkus air ketum sahaja.
“suspek dipercayai menjual air ketum ini dengan kenalan terdekat sahaja dengan harga RM10.00 sebungkus,” katanya.
“Sekiranya disabit kesalahan, hukuman penjara maksimum selama empat tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya sekali, hasil saringan ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif,” katanya.
Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari mulai 18 mac 2022 sehingga 21 mac 2022 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30 (3) Akta racun 1952.
Barang rampasan, daun ketum 46.5 kg bernilai rm 2,325; 109 bungkusan cecair anggaran berat 136.25 liter bernilai RM1,090; dua buah tong ais berwarna oren dan sebuah penimbang berwana hijau.
Bungkusan air ketum yang ditemui dalam dua buah tong ais untuk dijual kepada kenalan suspek antara barang yang dirampas dalam serbuan di sebuah kedai Chegar Medang, Bentong. – Foto IPD Bentong.
Zaiham menasihati orang ramai agar menjauhkan diri dari penyalahgunaan dadah dan daun ketum serta bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah dan dadah kepada bilik gerakan IPD Bentong di talian 09-2222222. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UCAPAN TAHNIAH KEPADA YS PENGARAH JBPM NEGERI PAHANG ATAS PENERIMAAN DARJAH INDERA MAHKOTA PAHANG YANG MEMBAWA GELARAN DATO’
PEKAN- Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Darul Makmur sempena memuliakan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan KDYMM Sultan Pahang turut menjadi tarikh bersejarah buat Bomba Pahang khususnya penerima darjah kebesaran dan pingat Negeri Pahang. Istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang telah berkenan berangkat menyempurnakan istiadat hari ini.
KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan limpah dan kurnianya perkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ kepada YS Pengarah Bomba Pahang.
Dengan penuh takzim dan rasa bangga seluruh warga Bomba dan Penyelamat Pahang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YS Dato’ Ir. Dr. Haji Wan Mohammad Zaidi bin Wan Isa, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang atas kurniaan tersebut. Seluruh warga Bomba merasa bangga di atas pengurniaan ini.
Semoga dengan pengurniaan ini dapat meningkatkan lagi semangat dan moral seluruh warga kerja Bomba Pahang dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia dan di negeri Pahang khususnya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!