Murid sekolah menengah keluar rumah selama enam hari masih tidak pulang
JERANTUT : Polis di sini sedang mengesan seorang remaja perempuan, Nur Farahana Abdullah berusia 17 tahun beralamat di Taman Sri Pedah, Jerantut Feri dekat sini.
Superintenden Zukri Muhammad
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, polis menerima laporan kehilangan remaja itu daripada ahli keluarganya pada 31 Oktober lalu berikutan mangsa keluar dari rumah pada 30 Oktober lalu.
“Remaja seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Temin, Jerantut mempunyai ketinggian 160 sentimeter, berat badan 50 kilogram, berbadan kurus dan berkulit putih.
“Ketika keluar rumah mangsa berpakaian baju T berbelang putih, seluar slack warna hitam, tudung hitam, berselipar dan beg sekolah,” katanya, di sini hari ini.
Katanya, orang ramai yang mengenali dan mengetahui remaja perempuan ini berada atau terjumpa diminta menghubungi IPD Jeantut menerusi talian 09 2662222.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KELOK Sembilan atau Kelok 9 adalah jalan yang berkelok atau berselekoh yang terletak kira-kira 30 kilometer (KM) sebelah timur dari Kota Payakumbuh, Sumatera Barat menuju Provinsi Riau.
Jalan ini sepanjang 300 meter di Jorong Ulu Air, Kecamatan Harau, Kabupaten Lima Puluh Kota, Sumatera Barat merupakan sebahagian dari jalur jalan penghubung Lintas Tengah Sumatera (LTS) dan Pantai Timur Sumatera (PTS).
Jalan ini memiliki selekoh yang tajam dan kelebaran sekitar 5 meter, berbatasan dengan jurang dan diapit oleh dua perbukitan di antara dua cagar alam iaitu Cagar Alam Air Putih dan Cagar Alam Harau.
Jambatan Kelok 9 iaitu jalan dan jambatan dibina dan dikelola oleh PT Waskita Karya (Persero) Tbk sepanjang 2.7 kilometer.
Jambatan ini menggantikan jambatan lama yang berusia 120 tahun yang dibina pada tahun 1904.
Di sekitar Jalan Kelok 9 turut ini dibangunkan jambatan layang sepanjang 2.5 km. Jambatan ini membentang menyusuri dua dinding bukit dengan tinggi tiang-tiang beton bervariasi mencapai 58 meter.
Binaan jambatan ini sebanyak enam kali menyeberangi bolak balik bukit dan dirasmikan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada Oktober 2013.
Pada awalnya, berdasarkan beberapa rujukan, diketahui bahawa saiz jalan di Kelok Sembilan jika direntang lurus hanya sepanjang 300 meter dengan lebar jalan 5 meter yang dibina oleh kerajaan kolonial Belanda pada tahun 1908-1914 untuk memudahkan pengangkutan dari Pelabuhan Teluk Bayur di barat Sumatera hingga ke kawasan timur.
Apabila masa berlalu, orang ramai dan kepadatan meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi. Bagaimanapun, pertumbuhan ini tidak seimbang dengan kemudahan jalan raya sedia ada.
Ini berikutan keadaan jalan yang bercerun curam dan selekoh tajam, dan berbahaya kepada pengguna kerana banyak lori besar dengan muatan berat gagal mendaki bukit.
Selain itu, masa perjalanan semakin lama dan sibuk kerana laluan masih sempit menyebabkan sukar untuk memotong kenderaan di hadapan oleh itu Pemerintah Republik Indonesia pada masa itu mula membangunkan jalan dan jambatan ini.
Kementerian Kerja Raya mula melaksanakan pembinaan Jambatan Kelok Sembilan pada 2003 berkonsepkan pembinaan hijau atau mesra alam memandangkan lokasi itu berada di kawasan rizab alam semula jadi.
Projek ini menelan belanja kira-kira Rp 580.8 miliar yang dilakukan dalam dua tahap pembangunan dan memerlukan jangka waktu penyelesaian selama sepuluh tahun.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dua pesara guru terima sijil teknologi automatif di usia emas.
Jerantut : Dua pesara guru tidak mahu menjadikan usia warga emasnya tepu selepas bersara dari perkhidmatan dan mengisi masa usia emasnya dengan dengan mengikuti kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang teknologi automotif selama enam bulan di Pusat Giat Mara Rompin.
Guru tersebut, Mohd Aziz Saad berusia 61 tahun yang telah memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Pendidikan khas pada tahun 1998 dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan ijazah sarjana dalam bidang pengkhususan kepimpinan dan kepengetuaan Universiti Malaya pada tahun 2008.
Beliau yang telah berkhidmat dalam bidang pendidikan dan bersara pada tahun 2019 tidak mahu terlepas peluang mengikuti sijil kemahiran membaiki motosikal dan kereta
“Sebenarnya saya mengambil peluang belajar kursus ini kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu dan berlainan dari bidang pendidikan yang dilakukan selama kira-kira 30 tahun.
“Apa salahnya, saya mencuba yang baharu dan boleh juga dimanfaatkan untuk diri sendiri, keluarga atau membantu orang yang memerlukan bantuan awal sebelum ke bengkel,” katanya ketika ditemui selepas majlis graduasi Giat Mara di Kuantan, baru-baru ini.
Beliau yang juga pernah memegang jawatan sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Vokesional (SMKV) Jalan Sungai Lembing, Kuantan , mahu menunjukkan kepada generasi muda agar terus belajar tanpa mengira usia.
“Kepada generasi muda jangan jadikan alasan untuk terus berjaya, saya berbangga dengan SKM yang diperolehi demi menyahut seruan kerajaan ke arah kepentingan TVET demi pembangunan Negara,” katanya.
Seorang lagi pesara guru yang mengikuti kursus yang sama, Sh Khadri Sh Ibrahim (64) , mahu mengikuti kursus itu kerana minat dalam bidang automatif sudah lama ada di dalam dirinya.
“Jujurnya, saya memang meminati bidang automotif sejak sebelum menjadi guru lagi dan semasa usia remaja, saya sering ke bengkel motosikal kawan di kampung dan turut membantu melakukan kerja-kerja ringan membaiki motosikal pelanggan.
“Selepas berjaya mengikuti latihan perguruan, minat itu terhenti sejak saya mula berkhidmat di menjadi guru,” katanya.
Beliau memiliki ijazah sarjana muda Pendidikan khas dari UKM pada tahun 2002 dan tempat bertugas terakhir dan bersara pada tahun 2018 di SMK Gudang Rasau, Kuantan.
“Diharapkan generasi muda mengambil peluang mengikuti kursus kemahiran yang banyak ditawarkan seperti di Kolej Giat Mara, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan beberapa kolej lain.
“Kalau golongan muda gagal melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi awam, terdapat pelbagai kursus kemahiran boleh menjadi pilihan untuk terus berjaya dengan bermula kursus peringkat sijil dan diploma malah boleh dilanjutkan ke peringkat ijazah,” katanya.
Katanya, tiada syarat ketat untuk belajar di Giatmara, cuma memerlukan minat, menguasai 3M dan sihat tubuh badan serta tiada had usia..- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ada pihak perkecilkan peranan kerajaan Pahang kononnya tidak Islamik
JERANTUT – Ada pihak memperkecilkan peranan kerajaan negeri Pahang kononnya kerajaan sekarang tidak Islamik untuk meningkatkan syiar Islam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kesal tohmahan pihak tertentu itu menyatakan beliau dan bersama rakan kerajaan negeri ini tidak berperanan begitu Islamik berbanding dengan pihak mereka.
Katanya, kerajaan sekarang sangat komited untuk meningkatkan syiar Islam bersama semua umat Islam tanpa mengira perbezaan latar belakang, fahaman politik atau pangkat.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri mengeluarkan RM10,000 kepada 5,000 masjid dan surau bagi memperkukuhkan peranan institusi keagamaan itu.
“Selain itu, turut menyumbang sebanyak RM 2,000 kepada 200 Pusat Maahad Tahfiz yang ada di negeri ini,” katanya ketika menyampaikan Bantuan Prhatin Masjid dan Surau, hari ini.
Katanya, seramai 8,800 pelajar pusat Tahfiz juga tidak terkecuali dengan menerima sumbangan sebanyak RM100 setiap seorang.
“Golongan mualaf turut menerima sebanyak RM 200 setiap seorang yang seramai 5,000 orang.
“Bantuan dan sumbangan yang disampaikan itu menunjukkan kerajaan negeri sangat prihatin dengan meningkatkan Syiar Islam di negeri ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Motosikal yang ditunggang seorang lelaki yang meninggal dunia.
Penunggang motosikal meninggal dunia dan pembonceng kanak-kanak cedera dalam kemalangan melibatkan lori
MARAN : Seorang lelaki dewasa yang menunggang motosikal meninggal dunia dan seorang kanak-kanak lelaki yang membonceng tercedera dalam kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah lori yang berlaku di Persimpangan Ulu Luit, dekat sini pada jam 7.39 malam, hari ini
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM).
“Manakala, kanak-kanak lelaki yang membonceng motosikal tercedera telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM, pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
“Enam anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran menyerhkan mayat mangs kepada pihak polis tindakan selanjutnya,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pekerja kilang wanita maut dalam perjalanan ke tempat kerja
JOHOR BAHRU – Seorang gadis maut dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motosikal ditunggangi dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu warga asing di Jalan Masai Lama di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, semasa kejadian pada jm 10.30 pagi itu, mangsa sedang menuju Taman Perindustrian Desa Cemerlang di sini.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba mangsa berusia 22 tahun yang menaiki motosikal Yamaha Ego Avantiz dilanggar sebuah MPV Naza Citra.
“MPV itu dipandu lelaki warga asing berusia 39 tahun datang dari arah bertentangan yang masuk ke laluan motosikal kerana sedang memotong kereta lain di jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, akibat perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.
“Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang hadir di tempat kejadian sebelum mayat mangsa dibawa ke HSI untuk dibedah siasat,” katanya.
Menurut beliau, lelaki warga asing itu ditangkap dan hasil ujian saringan air kencing mendapatinya bebas daripada pengaruh dadah.
Mohd Sohaimi memberitahu, permohonan reman akan dilakukan di Mahkamah Majistret di sini.
Sumber : Malaysia Gazzette
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Konvensyen Barisan Nasional (BN) Pahang di Temerloh, semalam adalah tepat pada masa.
Idea menubuhkan Sekolah Politik UMNO itu juga dilihat sebagai persiapan awal parti berdepan cabaran pada PRU16.
AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, melalui Sekolah Politik UMNO itu dapat membentuk calon yang bersedia untuk membawa cabaran parti apabila PRU diadakan.
“Itulah yang sebaiknya, siapkan awal-awal calon UMNO-BN supaya mereka dapat turun ke bawah berjumpa dengan pengundi.
“Sekaligus dapat membina hubungan baik dari awal dengan masyarakat setempat yang akan memberi kelebihan kepada calon dan parti,” katanya.
Dia juga yakin dengan kemampuan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang dipilih sebagai ‘pengetua’ bagi Sekolah Politik itu.
Katanya, kebijaksanaan Wan Rosdy ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan di Pahang sudah terbukti dan bakal memberi kelebihan kepada bakal calon yang menyertai Sekolah Politik berkenaan.
“Sebagai pemimpin nombor satu Pahang dan Naib Presiden UMNO, saya percaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sudah menilai kemampuan Datuk Seri Wan Rosdy sebelum dipilih sebagai ‘pengetua’.
“Saya percaya Datuk Seri Wan Rosdy akan menggunakan segala kemahiran yang ada untuk menjayakan pembentukan Sekolah Politik UMNO,” jelasnya.
Razak juga berharap setiap pemimpin pelapis dapat memberi kerjasama rapat kepada Wan Rosdy bagi memastikan perjalanan Sekolah Politik itu kelak dapat memenuhi hasrat Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Program Sukan Tahunan Kali Ke-31 bagi Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Jengka 24, dekat sini, berlangsung meriah.
Pelbagai acara diadakan sepanjang program berlangsung di padang sekolah itu, minggu lalu.
Penyertaan daripada ibu bapa dan penjaga memeriahkan lagi program berkenaan.
Sukan tahunan itu dirasmikan Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud dan hadir sama adalah guru besar sekolah berkenaan, Mohamad Banjirudin Ibrahim.
Selain membuka penyertaan kepada semua yang hadir, program itu yang bermula jam 8 pagi berjaya merapatkan lagi hubungan penduduk setempat dan kakitangan sekolah. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud menyatakan rasa bimbang dengan perkembangan semasa di beberapa sekolah rendah sekitar FELDA Wilayah Jengka.
Antara isu paling merisaukan ketika ini adalah kekurangan murid berikutan makin ramai generasi kedua FELDA memilih untuk berhijrah bagi mencari peluang pekerjaan lebih baik.
“Ada beberapa isu membabitkan kekurangan murid berlaku dan perkara seperti ini wajar dicari jalan penyelesaian.
“Ini kerana kebanyakan sekolah rendah dalam kawasan FELDA adalah anak-anak kepada generasi kedua tanah rancangan, manakala generasi ketiga pula sudah ramai berhijrah,” katanya.
Razak memaklumkan perkara itu berlaku disebabkan masalah hak milik tanah dan isu kawasan untuk membina kediaman sendiri yang terhad.
Katanya, satu inisiatif boleh diambil pihak FELDA dengan menawarkan tanah untuk dijadikan tapak rumah supaya anak peneroka dari generasi ketiga akan kekal dalam kawasan tanah rancangan.
“Kalau isu ini boleh diselesaikan, saya percaya jumlah penduduk dalam kawasan FELDA akan bertambah.
“Ramai yang mahu kekal dalam kawasan tanah rancangan, namun mereka tidak ada tempat (tanah) untuk dijadikan kediaman..
“Saya bimbang jumlah murid sekolah akan terus merosot pada tahun mendatang jika perkara ini tidak ditangani dengan cermat oleh pihak berkaitan,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Dr Zambry Abd Kadir (tengah) bergambar bersama pengurusan tertinggi UPSI dan barisan kepimpinan MPP Sesi 2023/2024.
Mahasiswa manfaat minggu suai kenal
MINGGU Suai Kenal tetap akan diadakan di universiti kerana manfaatnya yang besar kepada mahasiswa yang baru melangkah masuk ke Menara Gading.
Program seumpamanya memberi peluang kepada mahasiswa baharu saling mengenali dan sangat membantu dalam meneruskan pengajian.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir ketika berkongsi pengalaman silamnya ketika memasuki universiti sempena program ‘Catching Up with Doc Zam’, di Dewan Muallim di Scholar Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, baru-baru ini.
“Ketika saya belajar dahulu, ada rakan daripada keluarga susah yang memiliki sifat malu yang tinggi, saya lihat dia pergi kantin membeli nasi dan kuah sahaja kerana kesusahan.
“Oleh itu, melalui suai kenal boleh membantu kita kenal mengenali sesama sendiri dan boleh membantu serba sedikit dari kehidupan seharian dan juga dalam pengajian,” katanya.
Katanya, kisah benar itu mendorong beliau merancang pelbagai pendekatan kebajikan untuk membantu mahasiswa daripada keluarga susah dengan pelbagai pendekatan.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewujudkan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi membantu mahasiswa yang berada dalam kesusahan dan menjaga kebajikan mereka di seluruh negara.
“Diakui UPSI adalah antara universiti yang paling aktif menjayakan program mobiliti pelajar dan ini antara perkara utama dari aspek pengantarabangsaan universiti.
“Selain itu memberikan peluang kepada mahasiswa memahami hala tuju pendidikan negara, malah memupuk hubungan lebih rapat antara pemimpin pendidikan dan generasi masa depan,” katanya.
Katanya, seperti Program ‘Catching Up with Doc Zam’ menjadi medan untuk mahasiswa meluahkan pandangan dan isu yang mereka hadapi sewaktu belajar.
Amirul Haiqal Amiruddin Baki mewakili Majlis Perwakilan pelajar (MPP) menerima Geran Aktiviti MPP bernilai RM20,000 sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti pelajar di UPSI selain bantuan pendidikan berjumlah RM25,000 untuk pelajar yang memerlukan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan zakat berjumlah RM400,000 oleh Pengarah PLUS, Datuk Nik Arina Nik Jaafar dan RM350,000 disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman, iaitu sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR Zakat) untuk program pembangunan pelajar UPSI.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapan aluannya, berkata kegigihan Dr Zambry daripada anak seorang nelayan mengharungi pengajian hingga berjaya dalam dunia politik perlu menjadi contoh kepada mahasiswa UPSI.
Prof Md Amin berkata, itu adalah simbol komitmen korporat terhadap pendidikan dan kebajikan mahasiswa, menzahirkan sinergi antara sektor pendidikan dan industri.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!