Pakar bedah rancang pindah rahim kepada lelaki transgender untuk hamil
NEW DELHI – Seorang pakar bedah cuba membuktikan kebolehannya dengan merancang untuk memindahkan rahim kepada seorang lelaki yang menjalani pembedahan wanita transgender supaya dapat merasai nikmat kehamilan.
Memetik Daily Mail, Pakar bedah itu, Dr. Narendra Kaushik berkata, pembedahan yang berisiko itu akan melibatkan pengambilan organ pembiakan daripada penderma yang meninggal dunia.
Pakar bedah itu, Dr. Narendra Kaushik berkata, pembedahan yang berisiko itu akan melibatkan pengambilan organ pembiakan daripada penderma yang meninggal dunia.
Bagaimanapun cubaan menjadikan wanita transgender yang hamil bakal menjadi kejayaan besar dan memerlukan rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) dan pembedahan caesarean (C-section) kerana mereka tidak mempunyai faraj yang berfungsi sepenuhnya.
Dr. Kaushik berkata, pemindahan itu sebagai memahami naluri wanita transgender yang mahu menjadi wanita termasuk menjadi seorang ibu.
“Cara untuk menuju ke arah itu adalah dengan menjalani pemindahan rahim sama seperti buah pinggang atau mana-mana organ lain.
“Inilah masa depan, kita tidak boleh meramalkan dengan tepat bila perkara ini akan berlaku tetapi ia akan cuba supaya dapat direalisasikan tidak lama lagi,” katanya.
Dr. Kaushik bagaimanapun tidak mendedahkan penerima atau memperincikan butiran lanjut mengenai pembedahan yang akan dijalankan.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya sudah mempunyai rancangan dan sangat optimis mengenai pembedahan berkenaan.
Katanya lagi pembedahan sukar tersebut melibatkan pemindahan rahim yang menelan kos perbelanjaan besar sekitar 50,000 pound (RM270,200), manakala satu kitaran rawatan IVF boleh mencecah lebih 5,000 pound (RM27,020).
“Memang benar, tetapi belum tentu pembedahan berkenaan tersebut berjaya.
“Bagaimanapun sebelum ini, terdapat satu kes dilaporkan mengenai rahim dimasukkan ke dalam wanita transgender,namun, wanita transgender itu meninggal dunia akibat komplikasi beberapa bulan kemudian,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dua maut libat tiga kenderaan di Jalan Jerantut-Kuala Tembeling
JERANTUT – Dua maut dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di KM16, Jalan Jerantut-Kuala Tembeling berdekatan Bukit Atap pada jam 7.55 petang, semalam.
Mangsa yang maut itu, seorang lelaki, pesara Jabatan Pemetaan berusia 68 tahun dari Indera Mahkota Kuantan yang memandu Honda City meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Jerantut.
Seorang lagi yang maut, penumpang lelaki berusia 23 tahun, yang duduk di bahagian hadapan kereta Honda Jazz, dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kuala Tembeling cedera di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, siasatan awal kejadian, pemandu kereta Honda City dari arah Jerantut memotong kereta Proton Waja yang berada di hadapannya.
“Ketika sedang memotong, Honda Jazz yang datang dari arah hadapan menghala ke Jerantut mengakibat berlaku pertembungan secara berhadapan di antara kedua-dua kenderaan, dua kenderaan ini remuk di bahagian hadapan.
“Akibat kemalangan ini, pemandu Honda City meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Jerantut dan penumpang Honda Jazz telah maut di tempat kejadian, bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca kematian, ” katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan.
Katanya, pemandu dan penumpang kereta Proton Waja, masing-masing, lelaki berusia 25 tahun dan kakak iparnya, 34 tahun dari PAKR Kuala Tembeling tidak mengalami kecederaan.
Manakala pemandu lelaki kereta Honda Jazz, berusia 26 tahun dari PAKR Kuala Tembeling, cedera di bahagian dada dan dirawat di Hospital Jerantut.
Katanya, di kawasan kemalangan itu jalan lurus dan berbukit, satu lorong dua hala serta garisan putih berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi lorong dan cuaca baik, permukaan jalan kering dan gelap tanpa lampu jalan.
“Diminta pengguna lain yang menggunakan jalan berkenaan sentiasa berhati-hati kerana jalan yang bengkok dan berbukit itu kerap mengundang kemalangan. Kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, ” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Duda anak empat antara tiga penerima rumah baharu YASA daripada Yang di-Pertuan Agong di Raub
RAUB – Seorang duda empat orang anak, Hassan Hitam, 65 tahun, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana menyampaikan bantuan pembinaan sebuah rumah baharu di Kampung Temau, Raub, hari ini.
Beliau seorang pesara yang pernah berkhidmat di Muzium Negara itu berkata, kediaman baharu dibina berikutan rumah pusaka telah rosak setelah dua kali diancam banjir yang menenggelamkan rumah itu hampir keseluruhan bumbung pada bulan Disember, 2021 dan Februari 2022.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut melawat kediaman baharu tersebut di Kampung Temau, Raub.
“kejadian sedih itu mendapat perhatian pengurusan Jawatan Pembangunan Keselamatan Kampung, Penghulu Mukim dan wakil rakyat untuk mengajukan permohonan projek itu kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dan hari ini saya menerima kunci daripada baginda setelah kediaman ini siap bulan lalu.
“Saya amat berbesar hati dan menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah dan anakandanya, Tengku Hassanal kerana dapat melapangkan masa menziarahi kami penduduk di sini dengan menyampaikan sumbangan barang makanan dan duit raya,” katanya.
Jelasnya, kediaman baharu itu dibina tinggi itu untuk mengelak dari ancaman banjir, beliau menyifatkan rumah baharu itu sebagai rahmat sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini dan juga hadiah persaraannya.
Sementara itu, ketibaan baginda disambut serta diiringi anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang, Datuk Abd Aziz Mat Kiram dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab.Moin
Projek rumah baharu YASA untuk penduduk yang kurang berkemampuan di tiga buah kampung tersebut masing-masing sebuah bernilai RM100,000 melibatkan kos pembinaan termasuk alat perabot.
Al-Sultan Abdullah telah menyampaikan replika kunci rumah baharu YASA serta beramah mesra dengan penerimanya, Hassan Hitam, 65,termasuk menyumbangkan barang keperluan dapur dan duit raya kepada seramai 15 orang penduduk yang kurang berkemampuan di Kampung Temau dekat sini.
Baginda dan Tengku Hassanal turut berkenan meninjau rumah setingkat berkeluasan 660 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik, dua bilik air selain dilengkapi ruang makan yang selesa dan disertakan perabot.
Titah baginda, penerima rumah baharu sumbangan YASA wajar mendiami rumah baharu dan menjaganya serta memulakan penghidupan baharu kerana yayasan tersebut sudah menyediakan tempat tinggal yang selesa serta dilengkapi kemudahan alat perabot.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Gambar hiasan di dalam sebuah ladang sawit.
Penduduk Felda Jengka 24 cadang guna dron cegah curi sawit
JERANTUT – Penduduk di kawasan Felda Jengka 24 bercadang menggunakan dron untuk memantau pergerakan individu yang mencurigakan terutama di sempadan ladang bagi mencegah berlaku kecurian buah sawit yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Cadangan itu ekoran penduduk Felda di Wilayah Jengka mengalami kerugian disebabkan kejadian curi sawit yang berleluasa dilakukan oleh orang yang tidak bertanggung jawab.
Pengerusi Biro Sosial Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka, Razak Daud
Pengerusi Biro Sisial, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, beliau mencadangkan semua kawasan Felda mengambil Langkah pencegahan yang bersesuaian untuk mengatasi berlaku kecurian buah sawit.
Katanya, di Felda Jengka 24 telah melantik biro ladang untuk melakukan rondaan pada setiap malam serta mengali parit di laluan yang disyaki digunakan oleh individu yang mencuri buah sawit.
“Usaha pasukan rondaan cegah curi sawit di Felda Sungai Retang telah berjaya mendapatkan kembali kira-kira 60 tandan sawit seberat kira-kira dua ton yang benilai hampir RM 3,000.
“Selain itu memasang palang di setiap pintu masuk utama ke ladang selain memohon pihak anggota Ikatan Sukarelawan (Rela) meronda pada setiap malam.
“Diharap kawasan Felda lain turut melakukan kaedah yang sama dan bekerjasama dengan pengurusan Felda dengan menghadkan pergerakan lori keluar masuk ke ladang sehingga jam 6 petang sahaja,” katanya.
Pengerusi Biro Ladang Felda Jengka 24, Azmi Saad (60) berkata, kejadian curi buah sawit semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini kerana harga komoniti itu semakan mahal.
Katanya, Felda Jengka 24 dapat mencegah kes kecurian buah sawit dengan menubuhkan pasukan rondaan setiap malam yang dilakukan oleh peneroka sendiri.
“Malah, ada peneroka yang bermalam di ladang masing-masing sambil melakukan intipan bagi pencegahan dengan bayaran imbuhan saguhati.
“Modus operandi pencuri sawit menggunakan kereta atau motosikal yang mengakibatkan sukar dicam oleh penduduk setempat dan dilakukan antara jam 12.00 tengah malam sehingga awal pagi.
Katanya, kes curi itu semakin sukar dipantau kerana dipercayai dilakukan oleh orang luar dalam kumpulan kecil dan mempunyai kelengkapan yang cukup melakukan operasi curi di dalam gelap di samping masa yang sukar diramal.
“Oleh itu, penduduk Felda sewajarnya bekerjasama melakukan intipan dan maklumkan kepada pengurusan Felda dan ladang bagi memastikan tiada berlaku jenayah curi buah sawit itu yang semakin berharga,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kerajaan Pahang peruntuk RM115,200 skim galakan vaksinasi kanak-kanak 5 hingga 12 tahun
TEMERLOH – Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM115,200 Pelaksanaan Insentif Skim Galakan Sekolah-Sekolah Negeri Pahang menerusi Program Vaksinasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) berusia 5 hingga 12 tahun di negeri ini.
Pelaksanaan skim ini telah turut melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah-sekolah dan pra-sekolah yang berjaya meningkatkan peratusan vaksinasi murid bagi program vaksinasi tersebut.
Jabatan Pendidikan Negeri Pahang turut melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri, PPD, sekolah-sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa untuk menerangkan kepentingan vaksinansi murid yang berusia antara 5 hingga 12 tahun di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (tengah)
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, selain itu, kerajaan negeri turut berkerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi meningkatkan vaksinansi di kalangan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
“Pelaksanaan insentif ini telah dimulakan pada 1 Mei bagi menggalakkan seramai mungkin kanak-kanak sekolah menerima vaksinasi ini, ketika ini seramai 52,449 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah mendapatkan suntikan vaksin di Pahang menerusi PICKids sehingga 30 Mac lalu.
“Secara keseluruhannya, liputan ini masih rendah walaupun hampir dua bulan PICKids berlangsung di negeri ini dengan daerah Rompin merekodkan liputan 18 peratus, diikuti 16 peratus di Pekan, manakala Maran pula 16.1 peratus,” katanya di Majlis Silaturahim dan Jamuan Aidil Fitri di Dewan Seri Ketumbit, Kerdau, malam tadi.
Katanya, insentif galakan itu melibatkan PPD, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK )Cina, SJK Tamil dan sekolah yang majoriti murid Orang Asli di negeri ini.
“PPD yang berjaya meningkatkan bilangan murid menerusi PICKids akan menerima ganjaran sebanyak RM10,000; tempat kedua (RM7,000) dan ketiga sebanyak RM4,000.
“Manakala kategori Sekolah Kebangsaan, sekolah tertinggi meningkatkan galakan vaksinansi akan menerima RM3,500 dan hadiah galakan ini akan diberi sehingga ke tempat ke-60, katanya.
Katanya, SJK Cina turut menerima RM3,500 sehingga ke tempat ke-6 dengan ganjaran serendah RM1,300. SJK Tamil pula menerima RM3,500 sehingga ke-3 bakal menerima RM2,500.
“Tidak diterkecuali sekolah yang majoriti murid Orang Asli turut menerima ganjaran RM3,500, kedua RM3,000 dan ketiga menerima RM2,500; pra-sekolah turut menerima RM1,000 sehingga ke tempat ke-13 akan menerima sebanyak RM500,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri akan menjalankan promosi dengan menyediakan poster, papan iklan dan pelabgai usaha berbentuk ingatan mesra untuk meningkatkan kepentingan vaksinasi kanak-kanak.
“Setakat ini, sebanyak 40 peratus kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun telah divaksinasi berbanding sewaktu PICKids mula dilaksanakan, oleh itu progam skim galakan ini akan mempercepatkan bilangan yang bakal menerima vaksinasi,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PBT digesa kaji elak banjir kilat berlaku di bandar Jerantut
JERANTUT- Penduduk di bandar Jerantut merayu kepada kerajaan Pahang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Jerantut mencari jalan penyelesaian bagi mengelak berlakunya kejadian banjir kilat di kawasan bandar di daerah itu.
Rayuan itu dibuat kerana penduduk setempat kerana bimbang kejadian sama mungkin berulang sekiranya berlakunya hujan lebat seperti yang berlaku petang semalam.
Penduduk Taman Inderapura, Mohd Nor Izzat Mohd Johari, 37 tahun berkata, mengakui bimbang dengan fenomena banjir kilat setiap kali hujan lebat yang mengundang kesukaran kepada penduduk di taman perumahan di situ dan juga penduduk sekitar.
Katanya, beberapa lokasi di bandar ini mula dinaiki air secara mendadak dalam tempoh setengah jam hujan lebat yang mengejutkan orang ramai.
“Banjir kilat dipercayai berpunca sistem pembetung tersumbat dengan sampah sarap di sekitar kawasan bandar Jerantut dan dipercayai longkang sedia ada tidak mampu menampung kapasiti air hujan lebat,” katanya.
Stesen minyak Petronas di bandar ini turut dinaiki air, petang semalam.
“Isu banjir kilat semalam telah berulang kali berlaku di lokasi-lokasi lain, antaranya di persimpangan Taman Wawasan, Taman Perdana, Taman Inderapura dan di hadapan stesen minyak Caltex,” katanya.
Katanya, diharapkan pihak berkaitan dapat terus merangka pelan pembangunan yang lebih mampan, dan seeloknya, mengawal penerokaan kawasan tertentu untuk pembangunan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastrutur dan Lalu Lintas Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Datuk Ridzuan Mansor berkata, hujan sangat lebat dan luar biasa menyebabkan banyak laluan di bandar ini dinaiki air terutamanya di hadapan stesen minyak Caltex dan di hadapan Restoran Kopi Putih, Jalan Jerantut-Temerloh, dekat sini.
“Paras kedalaman longkang utama telah terlalu maksima disebabkan air dari longkang-longkang kecil dari bangunan dan rumah yang sepatutnya mengalir terus ke longkang utama tersekat menyebabkan berlaku limpahan.
“Diharapkan Sungai Nahar dapat menampung aliran keluar air ke sungai dan tidak mengalami sebarangan gangguan seperti sekatan daripada sampah sarap,” katanya ketika dihubungi.
Katanya satu kajian menyeluruh perlu dilakukan berkaitan aliran air dari kawasan perumahan sekitar kawasan industri Jerantut yang menuju ke pembetung di hadapan Restoren Kopi Putih untuk dialirkan ke Sungai Gegar di Kampung Pedah.
Seorang penduduk Taman Inderapura, Rahmat Mohd Yusoff (50) juga mahu pihak PBT Jerantut mencari satu kaedah terbaik bagi atasi masalah banjir kilat.
“Penduduk sentiasa bersiap sedia setiap kali hujan lebat kemungkinan berdepan musibah banjir setiap kali berlakunya hujan lebat
“Kita harap kerajaan dan PBT dapat lakukan sesuatu untuk memastikan masalah banjir kilat dapat dielakkan. Kita akui fenomena alam tidak boleh diubah, tetapi kita boleh atasi dengan pengurusan betul semua sistem pembetungan dan perparitan,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Laluan ke bandar Jerantut berhadapan stesen minyak Caltex digenangi air sedalam kira-kira 0.5 meter dalam banjir kilat petang ini.
Pengguna jalan raya di bandar Jerantut cemas, laluan dinaiki air
JERANTUT – Hujan lebat yang turun mengakibatkan beberapa tempat di bandar ini digenangi air kerana berlaku hujan lebat bermula kira-kira jam 5.15 petang, hari ini.
Kejadian banjir kilat itu mengundang kesesakan jalan raya di samping terdapat beberapa kenderaan tersekat dan berjaya diselamatkan.
Laluan yang paling teruk ditenggelami air di jalan menghala ke bandar Jerantut berhadapan dengan stesen minyak Caltex ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 meter.
Turut ditenggelami air di stesen minyak Petronas, kawasan premis dan Taman Inderapura berdekatan Jalan Jerantut – Temerloh menyebabkan beberapa buah kereta terperangkap dalam air dan aktiviti perniagaan ditamatkan lebih awal.
Bagaimanapun, air surut begitu cepat dalam tempoh 20 minit selepas hujan lebat berhenti pada jam 5.45 petang tadi.
Penduduk Taman Koperasi dekat sini, Basir Ramli berkata, kebanyakan kereta bergerak perlahan dan pemandu berhati-hati ketika melalui beberapa laluan ditenggelami air.
“Saya bimbang ketika balik ke rumah selepas datang dari rumah adik di Taman Inderapura untuk berhari raya, mulanya agak cemas bimbang kereta terkandas, tetapi mujurlah selamat.
“Mungkin sistem pembetung yang kecil, cetek atau tersumbat dengan sampah sarap di kawasan bandar ini yang boleh mengakibat berlaku banjir kilat,” katanya.
Seorang penduduk Taman Inderapura, Rahmat Mohd Yusoff berkata, ketika itu dia berada di rumah, hujan lebat berlaku disusuli dengan petir yang kuat.
Sebuah rumah nyaris terbakar berpunca litar pintas yang dipanah petir di bahagian suis utama rumah tersebut di Taman Inderapura pada jam kira-kira jam 5.30 petang.
Katanya, sebuah rumah nyaris terbakar berpunca litar pintas yang dipanah petir di bahagian suis utama rumah tersebut di Taman Inderapura pada jam kira-kira jam 5.30 petang.
Katanya, mujur tuan rumah bertindak pantas dengan membuat panggilan kecemasan ke Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastrutur dan Lalu Lintas Majlis Daerah Jerantut, Datuk Ridzuan Mansor berkata, hujan sangat lebat dan luar biasa menyebabkan banyak laluan di bandar ini dinaiki air terutamanya di hadapan stesen minyak Caltex dan Restoran Kopi Putih, iaitu jalan menghala ke Temin.
“Saya mengakui pembetong sedia ada tidak dapat menampung jumlah air yang banyak ketika hujan lebat dan menyebabkan kerap berlaku banjir kilat.
“Alhamdulillah dalam tempoh 15minit hingga 20 minit air surut dan sedikit air yang bertakung,” katanya ketika ditemui di lokasi banjir di hadapan stesen minyak Caltex bandar ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Salah sebuah rumah yang terkesan dengan banjir kilat yang berlaku di Kampung Pulau Santap, semalam
PM simpati kepada penduduk yang terkesan dengan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di Janda Baik
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersimpati terhadap Keluarga Malaysia yang terlibat dalam tanah runtuh disebabkan kejadian banjir kilat dan kepala air di Janda Baik, Bentong, semalam.
Beliau berkata, kerajaan akan memberi bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga bagi meringankan beban akibat kerosakan peralatan rumah.
“Bantuan itu akan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama-sama Setiausaha Politik saya semasa mereka melawat mangsa nanti.
“Saya kini berada di Amerika Syarikat untuk menghadiri tugas rasmi iaitu Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Washington D.C.,” katanya melalui kenyataan media.
Katanya, beliau difahamkan kejadian berlaku akibat hujan lebat pada awal pagi semalam di kawasan hulu (kawasan gunung Nuang) mengakibatkan fenomena kepala air.
“Saya bersyukur, penduduk terbabit dalam keadaan selamat dan ramai yang sudah pulang untuk mengemas rumah.
“Saya menasihatkan agar penduduk di sekitar itu sentiasa berhati-hati kerana walaupun keadaan air sungai sudah kembali surut namun ia masih agak mengalir deras dan keruh. Terima kasih kepada agensi penyelamat yang menghulur tenaga membantu mangsa,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Kejadian di sekitar Janda Baik memberikan kesan besar kepada sektor ekopelancongan dan pemain inap desa serta resort yang berlaku sekali lagi awal pagi semalam.
Sekali gus akan merencatkan aktiviti pelancongan kepada pengunjung untuk menikmati suasana nyaman dan persekitaran kampung tradisional di kawasan itu yang terletak di Banjaran Titiwangsa.
Pengerusi Sahabat Alam Tampik, Janda Baik, Rohaimi Anuar berkata, di kawasan Janda Baik menjadi tumpuan pelancong luar dan dalam negara yang inginkan ketenangan dan kedamaian di hutan tropika yang terletak di atas banjaran.
Pengerusi Sahabat Alam Tampik, Janda Baik, Rohaimi Anuar
“Di kawasan khususnya di Kampung Pulau Santap yang mempunyai persekitaran yang cantik dan nyaman musnah sekali lagi setelah berlaku banjir pada Disember lalu.
“Operator inap desa dan aktiviti lasak di sini sudah mula membersih segala kekotoran yang dibawa arus deras air Sungai Santap untuk meneruskan perniagaan masing-masing kini berlaku sekali lagi dan mengecewakan penduduk dan pengusaha di sini,” katanya.
Katanya, banjir kilat dipercayai berpunca pembangunan berdekatan dan berharap kerajaan perlu mengambil langkah drastik untuk mencegah sebelum kejadian berulang semula dan bertambah buruk di masa depan.
“Diharap pihak kerajaan terus merangka pelan pembangunan yang lebih mampan untuk pencegahan kejadian ini pada masa akan datang dan seeloknya mengawal penerokaan kawasan tertentu untuk pembangunan,” katanya.
Seorang penduduk dan operator sebuah inap desa, Mohd Rozaha Mohd Noor berkata, kejadian banjir Disember 2021 yang berlaku telah menelan belanja yang besar untuk membaikpulih dan membersih sekitar rumah inap desa di Kampung Pulau Santap.
Seorang penduduk dan operator sebuah inap desa, Mohd Rozaha Mohd Noor
“Banjir sekali lagi hadir pagi semalam yang membawa lumpur, pasir dan berton-ton batu-batan yang masuk ke dalam premis serta berselerakkan di kawasan ini dan memerlukan jentera dan tenaga kerja untuk membersihkan semula sebelum boleh beroperasi semula.
“Kami terpaksa membatalkan tempahan yang telah dibuat pengunjung kerana proses pembersihan mengambil masa yang panjang,” katanya ketika ditemui.
Pengusaha sewaan sukan bermotor ATV, Mohd Zaimi Mustaffa, 43 tahun berkata, banjir kali ini berlaku lagi dengan 25 buah kenderaan sukan lasaknya yang dihanyutkan air deras dalam kejadian banjir kilat yang berlaku kira-kira jam 4 pagi semalam.
Mohd Zaimi Mustaffa, hanya sempat selamatakan 10 buah ATV sahaja dalam kejadian banjr kilat semalam.
“Baru nak berkira-kira akan beroperasi semula hujung minggu ini selepas sebulan berpuasa dan cuti hari raya tetapi 25 buah ATV dan motorcross telah dihanyutkan air.
“Saya anggarkan kerugian hampir RM200,000 termasuk peralatan alat ganti dan bengkel penyimpanan ATV turut rosak, tidak termasuk kerugian yang saya alami pada banjir Disember lalu” katanya ketika ditemui, semalam.
Seorang penyelia sebuah resort di kampung itu, Fauziah Akib berkata, resort tempat dia berkerja telah terhenti operasi sejak banjir Disember lalu dan dalam proses membaikpulih yang menelan belanja yang sangat besar.
“Banyak bangunan di resort ini perlu dibaiki sebelum dibuka semula kerana dibimbangi membahayakan pengunjung, kejadian banjir kali ini menyebabkan kerugian bertambah dan perlu menangguhkan dahulu pengoperasian semula.
“Kesan banjir kilat ini memungkinkan sektor ekopelancongan dan hospitaliti yang baharu sahaja pulih selepas ancaman pandemik kembali merosot dengan kerugian yang perlu dihadapi oleh pemain industri pelancongan di sini,” katanya.
Seorang penduduk yang rumahnya turut terkesan, Dewi Melati Mohd Aroff, dia berharap pihak berkaitan jangan lagi membuka penempatan baharu di bahagian sensetif bagi menghalang kejadian banjir berlaku lagi.
“Penduduk di sini sedih, terpaksa menanggung kerugian dan kesukaran setiap kali berlaku banjir kilat dan perlu membersihkan rumah yang dimasukki lumpur dan sampah sarap yang dibawa air deras.
“Selain itu, pengusaha rumah inap desa sudah tidak aman dan sering berjaga-jaga setiap kali hujan lebat berlaku, sewajarnya pihak tertentu mengambil inisiatif melakukan perancangan pencegahan banjir kilat,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GANGGUAN APLIKASI PAHANGGO PUNCA KERALATAN TEKNIKAL PARKING DIGITAL
KUANTAN – Gangguan terhadap aplikasi PahangGo ekoran perlaksanaan penambahbaikan sistem dalaman yang melibatkan migrasi sistem ke server baharu merupakan punca keralatan teknikal bagi sistem parking digital menerusi aplikasi terbabit.
Pengerusi Pahang Go Sdn Bhd, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pihaknya telah menghebahkan perlaksanaan penambahbaikan berkenaan melalui laman sosial rasmi PahangGo pada 28 April 2022 sebagai makluman awal untuk pengguna PahangGo.
Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff
“Pada 2 Mei hingga 4 Mei 2022 (sempena cuti Hari Raya Aidilfitri), kami telah melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem dalaman yang melibatkan migrasi sistem ke server yang baru.
“Pada 5 Mei 2022 terdapat keralatan teknikal berlaku pada awal pagi mengakibatkan sebahagian kecil aplikasi Penguatkuasa mengalami gangguan semasa membuat semakan parking digital, namun kami telah berjaya menangani ralat teknikal tersebut pada jam 11.40 pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya bagi menjawab kepada artikel yang telah diterbitkan oleh akhbar Sin Chew Daily bertarikh 7 Mei 2022 dan dipetik oleh beberapa laman blog berkenaan kompaun yang dikeluarkan terhadap pengguna parking digital aplikasi PahangGo.
Pada 5 Mei 2022, seramai 24 pengguna daripada 3,823 pengguna yang juga menggunakan parking digital telah terjejas dan proses permohonan pembatalan telah dimulakan.
Pihaknya turut menafikan tidakselarasan sistem antara agensi menjadi punca masalah tersebut sebagaimana yang dilaporkan oleh media memandangkan sistem penguatkuasaan yang digunakan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) turut dibangunkan oleh PahangGo.
PahangGo juga memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami dan berharap pengguna dapat menggunakan parking digital melalui aplikasi PahangGo versi baharu yang bakal dilancarkan demi kemudahan dan pengalaman yang lebih baik.
Bagi sebarang aduan dan permasalahan boleh hubungi melalui saluran rasmi Facebook Messenger PahangGo iaitu m.me/pahango atau talian 09-5730492.
Sumber- PAHANGMEDIA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!