Foto atas : cubaan culik kanak-kanak (gambar hiasan)
KGMMB puji sekolah ambil langkah proaktif bendung kes culik kanak-kanak
JERANTUT – Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) memuji langkah proaktif yang diambil pihak pentadbiran sekolah tanpa menunggu arahan pihak atasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengeluarkan surat rasmi mengingatkan waris murid sekolah berkenaan berkaitan kes culik yang semakin berleluasa sekarang.
Presiden KGMMB, Jasni Md Kechik
Presidennya, Jasni Md Kechik memaklumkan beberapa sekolah telah mengeluarkan surat berkenaan memohon kerjasama waris turut serta menangani membenteras kejadian yang menakutkan.
“Saya puji ada sekolah sudah bergerak pantas dengan memberi ingatkan kepada waris sekolah berkaitan untuk bersama membendung kejadian tidak berulang lagi.
“Banyak kes cubaan culik sedang berlaku dan terkini, murid Sekolah Kebangsaan Jeram Landak, Lipis berjaya meloloskan diri daripada cubaan itu, “ katanya ketika dihubungi.
Katanya, banyak berlaku kes penculikan dilaporkan ada yang didedahkan warga maya melalui media sosial dan terbaharu, seorang lelaki yang didakwa cuba menculik seorang kanak-kanak perempuan berjaya dicekup orang ramai dalam kejadian pada Isnin malam.
Katanya, isu ini sangat serius dan perlu diambil langkah tertentu supaya keselamatan kanak-kanak sentiasa terhindar daripada ancaman culik.
“Kes begini, pihak perlu mengambil tindakan untuk mengahalang kejadian culik berlaku dalam kalangan murid sekolah khususnya sekolah rendah.
“Di samping menghantar peringatan kepada waris supaya sentiasa mengawasi anak masing-masing, pihak sekolah perlu mengawal ketat pergerakan waris atau orang awam yang masuk ke kawasan sekolah,” katanya.
Jasni memaklumkan, pentadbir perlu memastikan pengawal keselamatan sekolah menjalankan tugas dengan baik dan sentiasa mematuhi dan meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak sekolah.
“Bagaimanapun kes culik yang sedang viral semuanya berlaku di luar kawasan sekolah. Justeru, waris, penduduk tempatan serta orang ramai perlu sentiasa mengambil tahu hal keselamatan anak-anak yang berada di luar rumah atau di luar sekolah.
“Mereka perlu sentiasa menasihati anak masing-masing tidak bergerak sendirian dan jika terdapat situasi yang mencurigakan mereka segera melaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis supaya keselamatan anak-anak terjaga,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Peluang ‘ubi muda’ dalam arena politik atau veteran, Ahmad Nazlan dipilih semula
JERANTUT : Beberapa orang jawatan kuasa UMNO bahagian Jerantut disebut-sebut oleh pemerhati politik di sini layak serta berkemungkinan diberi peluang oleh pucuk pimpinan BN Pahang dan Pusat untuk mengisi kerusi Parlimen bahagian itu pada PRU15 ini.
Penyandang Ahli Parlimen Jerantut , Datuk Ahmad Nazlan Idris
Hal ini mungkin berlaku sekiranya Barisan Nasional (BN) Pahang dan mahukan muka baharu yang dipercayai sebagai ‘winnible candidate’ untuk mengisi jawatan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menggantikan pemimpin yang lama.
Mereka berkenaan, iaitu Datuk Ridzuan Mansor, Haris Saleh Hamzah, Datuk Zulkarmi Abu Bakar, Rozilan Salleh dan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Nazri Ngah antara tokoh penting dan muka baharu di Jerantut untuk memimpin peringkat Parlimen.
Namun penyandangnya, Datuk Ahmad Nazlan Idris, 64, yang sudah dua penggal sebagai Ahli Parlimen Jerantut masih berpeluang sekiranya pucuk pimpinan BN negeri dan Pusat mahukan perkhidmatannya sepenggal lagi.
Perbualan hangat dalam kalangan pemerhati di kedai kopi bandar ini masing-masing mempunyai pelbagai andaian dan pendapat tersendiri mengenai kewibawaan tokoh tersebut dan masih berteka-teki siapakah calon baharu yang bakal dipilih untuk mengisi kerusi Parlimen dan DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Turut disebut-sebut bakal mebrtanding untuk PArlimen Jerantut, Datuk Nazri Ngah (kiri) dan Datuk Zulkarmi (kanan).
Namun sejak dua bulan ini, di peringkat Parlimen, ramai pemerhati di sini memfokuskan dua orang sebagai ‘ubi muda’ dalam politik sedang mencongak nasib serta peluang dipilih untuk menduduki kerusi Parlimen.
Kedua ubi muda politik dalam UMNO bahagian, iaitu Datuk Ridzuan Mansor dan Haris Saleh Hamzah masing-masing sudah bekerja keras sejak lama mendampingi penduduk menerusi program kemasyarakatan yang diatur atau dijemput oleh penduduk di kawasan Parlimen di sini.
Ridzuan, 48, kelahiran Kampung Bukit Nikmat, Pulau Tawar merupakan seorang usahawan berkelulusan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) antara disebut-sebut oleh pemerhati politik di sini antara tokoh berpeluang memimpin di peringkat Parlimen.
Beliau yang lebih dikenali penduduk kawasan ini sebagai Pak Cik Prihatin kini menjawat Naib Ketua UMNO bahagian serta memangku Timbalan Ketua UMNO bahagian, setelah Allahyarham Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak meninggal dulu pada September, 2018 dan Ahli Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan peringkat negeri.
Namun rakannya, iaitu Bendahari UMNO bahagian, Haris Salleh Hamzah, 43, seorang peguam lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berasal dari Kampung Koi, Damak juga sama difokus oleh pemerhati politik di sini mempunyai kreadibiliti untuk mengisi jawatan berkenaan.
Haris Salleh juga seorang ahli MDJ, Ahli Malaysian bar Council, Pengerusi Persatuan Solidariti Nasional Pahang selain membuka firma khidmat guaman di Jerantut dan Kuala Lumpur.
Kedua ubi muda ini sejak akhir ini lebih kerap turun ke cawangan dan aktif menyertai pelbagai program kemasyarakatan serta usaha kebajikan terhadap penduduk yang memerlukan.
Bagaimanpun ada pemerhati yang sama juga memfokuskan Datuk Zulkarmi Abu Bakar selaku Setiausaha UMNO bahagian dan bekas wartawan dan Setiausaha Media mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rozilan Salleh juga mempunyai ketokohan berpeluang untuk jawatan Parlimen atau peringkat DUN.
Pemerhati politik di Jerantut juga berpandangan tidak mungkin Ketua UMNO bahagian Datuk Nazri Ngah bertanding kerusi Parlimen pada PRU15 ini kerana beliau difahamkan lebih menfokuskan kawasan DUN Pulau Tawar yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan juga sebagai salah seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, penyandang sekarang, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Lan’ masih tidak goyah dan mempunyai sokongan yang kuat dalam kalangan pengundi.
Beliau sudah dua penggal sebagai Ahli Parlimen setelah memenangi PRU13 dengan mengalahkan calon Pas, Dr Hamzah Jaafar dengan undi sebanyak 26,544, manakala calon Pas, Dr Hamzah Jaafar dengan undi sebanyak 26,544, manakala lawannya cuma mendapat 22,012 undi membolehkan BN memperoleh majoriti 4,532.
Cikgu Lan sekali lagi memenangi dalam PRU14 dengan pemperoleh 22,640 undi setelah mengalahkan calon Pas, Yohanis Ahmad (16,732 undi) dan calon PKR, Wan Mohd Shaharir Wan Adul Jalil (10,877 undi) dengan majoriti 5,908 undi.
Dalam perkembangan yang sama, seorang veteran politik Jerantut, Ramli Awang Sulong, 73, berkata, semua barisan kepimpinan UMNO bahagian yang disebut memang ada ketokohan dan kredibiliti masing-masing cuma tuah dan nasib mereka berkenaan akan ditentukan oleh BN negeri dan Pusat menjelang PRU15 nanti.
“Saya berpandangan dalam kalangan Jawatan Kuasa UMNO di sini masih muda dan baharu kecuali Nazri, Zulkarmi dan penyandang, Ahmad Nazlan yang sudah lama berkecimpung serta berpengalaman dalam kancah politik.
“Daripada cakap-cakap politik yang didengar dari mulut penduduk di Jerantut, ramai yang masih menyokong dan mahukan penyandang (Ahmad Nazlan) terus bertanding, tetapi tidak menolak sekiranya beberapa tokoh bergelar ‘ubi muda’ dipilih sebagai calon baharu demi kekuatan parti (UMNO) dan perpaduan Melayu di sini,” katanya.
Hal yang sama juga disuarakan oleh Ketua Cawangan UMNO Kampung Pedah, Rahimi Malik, 63, juga berpandangan Ahmad Nazlan masih tetap masih ada ‘aura’ tersendiri serta mendapat sokongan ramai pengundi Jerantut.
“Cuma beliau (Ahmad Nazlan) tidak ada dalam jawatan kuasa UMNO bahagian, tetapi segala kemungkinan boleh berlaku sekiranya khidmat beliau di Parlimen ini masih diperlukan di peringkat atasan.
“Tentangan kerusi Parlimen dan DUN pada PRU15 ini dijangka berlaku lebih sengit daripada Pas sekiranya UMNO bergerak solo (tidak ada lagi Muafakat Nasional) termasuk PKR dan parti lain yang sudah beria-ria mencongak nasib di kawasan Parlimen dan DUN di sini,” katanya.
Berasaskan kenyataan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN negeri untuk memenangi 14 kerusi Parlimen dan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) BN perlulah berfikir di luar kotak.
Dalam kenyataan Wan Rosdy itu, sememangnya BN perlu lebih berani memperkenalkan amalan politik baharu dan semasa yang tidak lagi terikat dengan tradisi politik usang.
“Sepatutnya pemilihan calon dalam pilihan raya tidak terikat dengan kuota parti sebaliknya yang perlu diutamakan adalah calon boleh menang dan diterima rakyat,” ujarnya.
Pemerhati politik kedai kopi, pengundi lama dan difahamkan kira-kira seramai 20,000 orang pengundi muda yang mencapai usia 21 tahun di kawasan Parlimen Jerantut, tepuklah dada, tanya selera.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Wanita Pakistan dihadapkan di mahkamah kes tular culik di Genting Highlands
RAUB – Seorang wanita warga Pakistan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Raub di sini hari ini berkaitan kes tular seorang kanak-kanak yang didakwa hampir menjadi mangsa culik.
Jika sabit kesalahan, tertuduh, Bibi Nasihat, 42 tahun, boleh didakwa mengikut Seksyen 350 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan dan dihukum di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, kertas pertuduhan tidak dapat dibaca di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya berikutan ketiadaan jurubahasa dan tertuduh tidak memahami Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya S Punitha mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin warganegara.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minima.
Menurutnya, tertuduh yang sudah berumahtangga dan mempunyai seorang anak berusia 12 tahun baharu sebulan tiba di negara ini.
“Tertuduh tidak bekerja, datang ke negara ini kerana mengikut suaminya yang telah menetap di sini sejak tahun 2013. Suami tertuduh bekerja di sebuah kedai perabot dengan pendapatan RM1,600 sebulan.
“Kami mohon agar wang jaminan dapat dikurangkan dengan mengambil kira latar belakang tertuduh, selain turut mengalami kesukaran untuk mendapatkan dua penjamin warganegara.
“Kami juga bersedia mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ahmad Faizadh membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin pemastautin tetap, dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 1 Nov ini bagi mendapatkan jurubahasa Pakistan dan fakta serta hukuman.
Isnin lalu, satu video berdurasi satu minit 20 saat melalui akaun TikTok milik @alfitry_azmi52 menjadi tular selepas dimuat naik di Facebook ‘Daily Traffic Report’.
Menerusi video itu, seorang kanak-kanak didakwa hampir menjadi mangsa culik seorang wanita warga asing di Genting Highlands.
Susulan itu, pihak keselamatan Genting Highlands membuat laporan polis pada Isnin lalu.
Sumber : Astro Awani
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Muhammad Thaqif (tengah) raih tempat pertama dalam Historical Bow Modern Material Category Male Junior bagi acara Zoltan Levente Archery Day 2022.
Pemanah tradisional harum nama Malaysia di kejohanan dunia
Pemanah tradisional dari Malaysia mencipta kejayaan membanggakan di Kejohanan Memanah Tradisional Dunia yang turut disertai atlet dari 21 negara dan dianjurkan oleh HDH International Archery Association (HDH-IAA) kali ketiga bertaraf dunia, berlangsung di Gyula, Hungary, baru-baru ini.
Dhia Darwisya dan Muhammad Thaqif Hifzhan mengharumkan nama negara pada pada Kejohanan Memanah Tradisional Dunia Kali Ketiga di Gyula, Hungary.
Delegasi atlet Malaysia melakar sejarah apabila memenangi tempat ketiga dan keempat bagi kategori lelaki dewasa, tempat kedua dan keempat bagi kategori wanita junior, tempat keempat bagi kategori lelaki junior, tempat keempat bagi kategori berkumpulan dan sepuluh terbaik bagi kategori veteran.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Malaysia ke Hungary, Slovenia dan Macedonia Utara, Francisco Munis turut hadir untuk menyampaikan sokongan beliau kepada delegasi memanah tradisional Malaysia pada kejohanan berkenaan.
Beliau melahirkan rasa bangga dengan pencapaian atlet memanah Malaysia yang melakar sejarah dengan mencatat beberapa kemenangan, sekali gus menyuntik semangat atlet memanah negara yang lain untuk gigih berusaha sehingga mampu mewakli negara nanti.
“Saya berasa amat teruja untuk menyaksikan kesungguhan atlet memanah tradisional negara, dengan berbusana penuh berlatarbelakangkan lokasi bersejarah di Hungary sebagai tapak pertandingan, saya yakin kita juga mampu pergi lebih jauh sekiranya setiap aspek penganjuran dipatuhi.
“Saya akan terus menyokong usaha anak-anak tempatan untuk beraksi dalam kejohanan memanah tradisional ini pada masa akan datang kerana dengan cara itu juga secara langsung rakyat negara asing dapat mengenali Malaysia,” katanya.
Pasukan memahan tradisional negara merakam kenangan pada kejohanan yang diadakan di di Gyula, Hungary.
Penganjur kejohanan itu, HDH International Archery Association (HDH-IAA) turut mengiktiraf seorang hakim memanah tradisional antarabangsa sulung dari Malaysia dan rantau Asia.
Langkah itu bertujuan untuk mengembangkan sukan berkenaan di Malaysia dan serantau serta memastikan pematuhan undang-undang sukan memanah tradisional bertaraf antarabangsa.
Dalam kategori lelaki dewasa, Saharuddin Mohd Hassan, 34, mencatat 292 markah menjadi pemenang tempat ketiga manakala Ahmad Alrafaei, 44, meraih markah kedua tertinggi kejohanan dengan 318 markah yang menobatnya untuk tempat keempat berdasarkan sistem pemarkahan baharu yang diperkenalkan oleh pihak penganjur.
Saharuddin melahirkan rasa terharu dengan kejayaannya itu walaupun terpaksa bersaing dengan pemanah dunia yang terhebat dengan menggunakan anak panah kayu atau semula jadi dan menggunakan busur yang berat daya beban tarikannya.
“Namun begitu busur buatan tempatan yang digunakan saya dan rakan-rakan juga mampu bersaing dengan busur dari Eropah itu,” katanya.
Siti Nur Aisyah Yusup, 17, yang memenangi tempat kedua dalam acara jarak jauh, berkata dia hampir hilang kelayakan bertanding atas sebab busur yang tidak mematuhi spesifikasi pertandingan namun tetap bersemangat untuk terus berjuang.
“Bagaimanapun saya bernasib baik serta berasa amat terharu kerana diberi peluang untuk membetulkan kesilapan itu, jika usaha ini gagal dilakukan maka saya tidak dapat memenuhi impian Allahyarham bapa yang mahukan saya bertanding dan berjaya pada peringkat antarabangsa.
Bagi Dhia Darwisya, 16, dan Thaqif Hifzhan, 14, mendapat tempat keempat dalam kategori masing-masing tetap berasa bangga dan gembira kerana sudah berlatih bersungguh-sungguh walaupun hanya berjaya merangkul tempat keempat.
“Pencapaian ini antara terbaik di dunia manakala kami hanya bermula dengan panah yang mempunyai daya tarikan ringan dan sekarang pula terpaksa menggunakan panah mempunyai daya tarikan setanding dengan pemanah dewasa,” kata mereka.
Walaupun menjadi pemanah veteran antara sepuluh terbaik di dunia dengan mendapat tempat kesembilan perkara itu sedikit pun tidak mematahkan semangat Ismail Abd Kadir, 60.
“Saya mula berlatih memanah tradisional beberapa bulan lalu dan berasa risau dalam usia lanjut untuk bertanding dengan juara-juara dunia. Alhamdulillah dengan latihan yang berterusan di bawah seliaan ahli pasukan yang lain saya mampu mencapai impian. Usia tidak menghalang saya kerana kekuatan ada dalam memanah,” ujarnya.
Manakala hakim antarabangsa rasmi untuk memahan tradisional di bawah HDH-IAA dan Setiausaha Persatuan Pemanah Tradisional Malaysia (Pertama), Anuar Faiq Mat Saat, berkata semua pihak terbabit seharusnya memastikan pemanah tempatan mematuhi undang-undang dan syarat bertaraf antarabangsa.
“Ini selaras hasrat saya untuk memastikan kualiti atlet memanah tradisional negara muncul bertaraf dunia.
“Dengan kepimpinan dan sokongan yang jitu, kita mampu mencapai kejayaan berterusan seperti sebelum ini dengan Ahmad Alrafaei (Fateh Kupasi, Turki, 2019), Dhia Darwisya (Bhutan, 2019), Thaqif Hifzhan (Bhutan, 2019) dan yang terkini, pasukan memanah tradisional Malaysia ISG Konya Pertama (Turki, 2022),” terang beliau.
Pasukan atlet panahan tradisional mendapat sokongan daripada Adabi, Persatuan Pemanah Tradisional Malaysia (Pertama) dan Ahmad Alrafaei disokong secara peribadi oleh Majlis Bandaraya Johor Bharu (MBJB), Rumah Tenun Pahang, Ismail Holding serta Dato’ Seri Zuri Abdullah. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lima pelancong warga British yang hilang ditemui di Kampung Pagi, Ulu Tembeling
JERANTUT – Seramai lima orang pelancong warga British berusia antara 22 hingga 62 tahun dipercayai hilang di hutan Kampung Pagi ditemukan oleh pasukan pencari dan penyelamat di Sungai Relok berdekatan Kampung Pagi, Ulu Tembeling dekat sini hari ini.
Pelancong berkenaan terdiri daripada sekeluarga, iaitu Rhys William Woodfield, 30, seorang pengacara dan penerbit bebas, Siaw Woodfield), 25, Owen Woodfield, 22, serta dua orang warga emas, James Woodfield, 62, dan isterinya, Rachel Anne Woodfield, 60.
Keluarga tersebut yang tiba di pusat peranginan hutan tropika Taman Negara pada 25 September 2022 lalu dan menginap di Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur pada 27 September 2022 (semalam) dan dijangka tiba pada jam 11.30 pagi.
Superintenden Mazlan Hassan
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mazlan Hassan berkata, isteri salah seorang mangsa, Haigbrown Woodfield yang berusia 30 tahun, yang beralamat di Danau Impian Condo, Taman Desa Jaya, Kuala Lumpur telah membuat laporan polis di sini berikutan kehilangan ahli keluarganya.
“Kita memperoleh maklumat daripada isteri mangsa, percaya lokasi terakhir suaminya, Rhys William Woodfield serta keluarganya berada di kawasan hutan Kampung Pagi, Ulu Tembeling.
“Seramai tiga orang pegawai, 14 anggota polis dibantu lima kenderaan terus membuat penugasan mencari di sekitar Kampung Pagi pada 2.30 pagi hari ini melibatkan bantuan Pengusaha Eco Rimba Taman Negara Kuala Tahan dan anggota Pondok Polis Kuala Tahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mazlan (2 dari kiri) bersama warga British yang dilaporkan hilang ditemui di Sungai Relok berdekatan Kampung Pagi, Ulu Tembeling dekat sini hari ini.
Menurut Mazlan, operasi mencari menyelamat turut dilakukan oleh anggota Pondok Polis Kampung Bantal dengan membuat rondaan dari Kampung Bantal hingga ke Kampung Pagi pada jam 2.35 pagi.
Beliau berkata, agansi lain yang terbabit operasi mencari dan menyelamat, iaitu anggota bomba dan penyelamat Jerantut seramai enam orang dan dua buah kenderaan pacuan empat roda, Angkatan Pertahanan Awam alaysia (APAM) (8 orang), Jabatan Perhilitan dan Taman Negara (4 orang), Pasukan Gerakan Udara (5 orang) dan 20 orang orang penduduk setempat serta tujuh buah motosikal.
“Operasi mencari dan menyelamat disambung pada pukul 8 pagi hari ini dan kita membuka pusat operasi dibuka pada jam 10 pagi hari ini di Balai Raya Kampung Pagi,” katanya.
Mazlan berkata, semua mangsa hilang kemudiannya berjaya ditemui dalam keadaan selamat di kawasan Sungai Relok berdekatan Kampung Pagi pada jam 1.10 petang hari ini dan keluarga warga British itu segera dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Tahan untuk pemeriksaan kesihatan.
“Saya berterima kasih kepada semua agensi tugas mencari dan menyelamat termasuk penduduk di sini kerana bertindak pantas dan cekap sehingga menemukan keluarga British ini dengan selamat,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Laluan kanak-kanak nyaris diculik kira-kira 200 meter dari Sekolah Kebangsaan Jeram Landak pada 25 September.
LIPIS – Seorang kanak-kanak gagalkan cubaan penculikan terhadap kawannya ketika dalam perjalanan balik ke rumah selepas bermain bola di padang Sekolah Kebangsaan Jeram Landak di sini, pada 25 September.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor mengesahkan kejadian itu berlaku pada 25 September kira-kira jam 7.15 petang yang turut ditularkan di media sosial.
“Ibu (pengadu) kepada kanak-kanak yang berjaya membantu menggagalkan cubaan itu telah membuat laporan polis pada 26 September kira-kira jam 1.50 petang.
“Sorotan kejadian itu yang berlaku berhampiran sekolah tersebut dan didakwa suspek dipercayai memandu kereta Proton Wira berwarna merah dan tidak dapat mengecam nombot plat kereta itu,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, pengadu memaklumkan kereta itu didakwa datang dari arah bertentangan dan memasang lampu besar, kemudian kereta itu terus berhenti dan cuba menarik pergelangan tangan kanan kanak-kanak tersebut melalui tingkap kereta.
“Anaknya menolong menarik dan merentap tangan kawannya daripada lelaki tersebut sehingga mereka berdua terjatuh ke dalam semak, kereta itu terus memecut meninggalkan tempat tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan iaitu menculik dari penjagaan yang sah dan perlu dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan iaitu cuba melakukan kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan melaporkan dengan segera jika ada sebarang maklumat atau individu yang mencurigakan berada di kawasan kejiranan.
“Sebarang maklumat boleh terus disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibupejabat Polid Daerah Lipis di talian 09- 3121999 atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Husin Daud di talian 011-65426136,” katanya.
Sumber : Astro Awani
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto hiasan : Laluan Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak
TEMERLOH – Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) akan memulakan kerja-kerja fasa satu projek pengurusan banjir (flood mitigation) di LPT1, mulai 1 Oktober ini.
Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, projek itu yang akan melibatkan 11 kawasan kritikal sepanjang Lebuhraya LPT1 dan sebahagian komitmen berterusan syarikat dan kerajaan bagi mempertingkatkan tahap keselesaan dan keselamatan para pengguna LPT1 terutamanya di musim tengkujuh.
“Fasa pertama melibatkan jaringan di KM124 dan dijangka mengambil masa selama 12 bulan dan laluan itu akan menutup laluan kecemasan arah ke Kuala Lumpur di lokasi itu selama enam bulan bermula dari Oktober 2022 sehingga April 2023.
“Manakala laluan kecemasan KM124 arah ke Kuantan pula akan ditutup bermula dari bulan Mei sehingga November 2023, “ katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, ANIH mengambil beberapa langkah penting termasuklah menjalankan kajian banjir secara terperinci dan komprehensif di sepanjang LPT1 bagi mengenalpasti komponen tebatan banjir yang akan dilaksanakan demi mengurangkan risiko kejadian banjir dari berulang.
“Syarikat ini sebelum ini telah bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan termasuk menilai cabaran semasa bagi melengkapkan cadangan rekabentuk dan proses kerja projek tersebut.
“Antara kajian utama yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) termasuklah semakan dan penilaian data kajian lampau berkaitan isu banjir, termasuk analisis dan penilaian hidrologi, hidraulik serta kajian kesesuaian tanah (Soil Investigation),” katanya.
Menurutnya, keseluruhan projek pengurusan banjir ini dijangka akan mengambil masa selama dua tahun.
“Selain menutup laluan kecemasan, ANIH Berhad juga akan mengaktifkan laluan kontra di kawasan terbabit bagi memastikan impak lalulintas berada pada tahap minimum sepanjang tempoh tersebut.
“Para pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda keselamatan sepanjang projek pengurusan banjir ini dijalankan,” katanya.
Tambahnya, ANIH Berhad juga telah mengaktifkan semua saluran YouTube syarikat itu, ANIH TV bagi memastikan para pengguna sentiasa mendapat maklumat tepat dan terkini mengenai projek tersebut.
“Segment ANIH Menjawab yang bakal disiarkan pada setiap hari Rabu bermula 12 Oktober, para pengguna akan dimaklumkan tentang perkembangan terkini projek tersebut termasuk informasi laluan sementara sepanjang tempoh tersebut.
“Selain itu, para pengguna juga boleh mendapatkan informasi lanjut, tepat dan terkini, melalui laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT – Line di 1-700-818- 700,” katanya.
Sumber : Astro Awani
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Seorang pemandu lori berusia 61 tahun ditahan polis kerana melakukan samun dan mencederakan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) Lembam, pada 20 September kira-kira pada jam 10.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, mangsa berusia 52 tahun telah disamun dompet dan wang tunai sebanyak RM500 serta turut dipukul oleh suspek di tepi jalan dalam ladang sawit Felda Sungai Tekam.
“Sebelum menyamun mangsa, suspek mengajak masa menaiki kenderaan dan telah merampas beg duit yang mengandungi wang tunai berjumlah RM500 setelah mangsa enggan memberi beg duit.
“Mangsa turut dipukul menggunakan botol di bahagian mata dan kepala beberapa kali sehingga mangsa mengalami kecederaan,” katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, mangsa telah di bawa ke Hospital Jerantut oleh kakitangan Felda Sungai Tekam kerana mengalami kecederaan di bahagian kedua-dua mata dan kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) , Temerloh untuk proses CT Scan, kini mangsa dalam keadaan sedar dan stabil.
“Mangsa adalah seorang orang kurang upaya (OKU) kategori lembam dan susah untuk bercakap melainkan dengan orang yang rapat dengannya sahaja,” katanya.
Kereta yang digunakan suspek untuk samun OKu lembam.
Katanya, suspek mempunyai 9 rekod lampau semasa melakukan samun dan turut memandu dalam keadaan merbahayakan kepada pengguna jalan raya yang lain dan telah di viralkan di media sosial.
“Suspek ditahan reman sehingga 26 September di Mahkamah Temerloh.
“Kes di siasat di bawah Sek 394 Kanun Keseksaan yang mendatangkan kecederaan dan Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTATAN – Tiga ratus ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Warisan Sabah di kawasan Parlimen Putatan menghantar borang permohonan masuk ke UMNO.
Borang permohonan itu diserahkan kepada Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohammad oleh wakil kumpulan itu, Sulaiman Salleh dalam majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin di Putatan pada Sabtu.
Majlis penyerahan itu disaksikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Menurut Mahdzir, parti itu sentiasa terbuka menerima permohonan ahli baharu dan bekas ahli yang ingin kembali bersama perjuangan UMNO.
“Apa yang saudara-saudari buat malam ini (memohon menyertai UMNO), saya sebagai Naib Presiden sangat berterima kasih, kita tidak ada sebarang permusuhan, kita tidak ada apa-apa yang nak digaduh, kenapa tidak cari jalan, jadi sekarang kita sudah cari jalan untuk kembali bersama-sama dengan keluarga besar kita.
Tidak ada masalah sama sekali, jangan kata kamu lain, kita lain, kita sama juga itulah orangnya sama ada Bumiputera, orang Cina, India, orang Kadazan, Dusun, Murut atau apa sahaja etnik, kita adalah Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Tambah beliau yang juga Pengerusi Biro Keahlian UMNO Malaysia, keutamaan pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional adalah untuk membawa kestabilan politik menerusi sokongan majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.
“Kalau politik ini huru-hara, empat tahun ini politik huru-hara, bergaduh sebab Pakatan Harapan, duduk tak duduk dalam empat tahun ada tiga Perdana Menteri.
Sekali kita mengundi pada 2018, tiga Perdana Menteri kita dapat, ada orang kata kepada saya baguslah itu, tapi huru-hara negara kita, jadi apa yang kita nak adalah kestabilan dan kebaikan untuk semua,” kata Mahdzir.
Sementara itu menurut Jeffrey Nor, sebelum ini 630 orang ahli BERSATU dan Warisan Putatan juga telah menyerahkan borang permohonan menyertai UMNO.
“Ini merupakan kumpulan kedua ahli-ahli BERSATU dan Warisan yang telah menyerahkan borang permohonan untuk menyertai UMNO kerana kekecewaan mereka yang merasakan tertipu dengan pelbagai janji manis parti tersebut.
Ini bukan gimik menjelang PRU15, permohonan ini adalah perkara yang tulen di mana mereka sendiri mahu kembali menyertai UMNO yang sebelum ini mereka tinggalkan kerana termakan hasutan,” kata Jeffrey.
Sumber – Portal BBC
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Kumpulan Gamelan SMK Inderapura menyambut kehadiran Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, semalam
JERANTUT – Ahli Parlimen Jerantut mengingatkan ibubapa menapis dahulu berita yang dibawa anak masing-masing ke rumah berkaitan sesuatu yang berlaku di sekolah agar tidak dikeruhkan lagi keadaan yang boleh merosakkan keharmonian sekolah.
Datuk Ahmad Nazlan Idris
Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, banyak perkara yang sering diputar belitkan oleh anak-anak pelajar yang sepatutnya boleh diselesaikan di peringkat sekolah serta ibubapa tetapi dirosakkan sehingga membawa tindakan undang-undang.
“Sebagai ibubapa perlu selidik kesahihan berita dibawa anak masing-masing dan menghubungi pihak sekolah untuk mendapat kepastian terutama zaman serba canggih yang maklumat di hujung jari.
“Janganlah jadi ibarat tikus membaiki labu kerana perkara yang kecil dan boleh diselesaikan menjadi terus kecuh besar dengan menjejaskan keharmonian sekolah dan masyarakat,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibubapa ke- 16, Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura, di sini, semalam.
Katanya, ibubapa perlu menyokong perancangan aktiviti yang dilaksanakan oleh PIBG demi kemenjadian anak masing-masing.
“Pelaksanaan perancangan sekolah lakukan sebagai salah satu menyokong akademik melalui kegiatan kokurikulum dan kokoria.
“Ibubapa wajar menjadi ‘guru’ kedua di rumah dengan memantau pergerakan dan aktiviti anak masing-masing agar tidak terjerumus ke dalam aktiviti tidak bermoral,”katanya.
Katanya, pendidikan anak-anak sememangnya diberi perhatian oleh kerajaan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan persekutuan kepada Kementerian Pendidikan.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah peningkatan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 untuk setiap murid yang layak, berbanding RM100 sebelum ini, sejumlah RM450 juta telah diperuntukkan yang memanfaatkan 3 juta murid-murid.
“KPM merupakan kementerian yang menerima peruntukan terbesar, kerana kerajaan sentiasa mengambil berat tentang pendidikan anak-anak kita,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!