BENTONG – Bagi memastikan keselesaan kepada penduduk di sekitar Pelangai sepanjang Aidilfitri, Datuk Amizar Abu Adam menyediakan perkhidmatan sembilan jana kuasa elektrik tambahan.
Dia yang juga ADUN Pelangai berkata, jana kuasa elektrik tambahan itu ditempatkan di lokasi strategik untuk kemudahan penduduk di kawasan berkenaan.
“Saya dimaklumkan akan berlaku sedikit gangguan bekalan elektrik di Pelangai ketika penduduk sedang sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Jadi, saya ambil inisiatif menghulurkan bantuan dengan kerjasama menyediakan jana kuasa elektrik tambahan ketika proses naik taraf bekalan elektrik dilakukan pihak Tenaga Nasional Berhad.
“Mudah-mudahan dapat membantu warga Pelangai yang menghadapi gangguan bekalan elektrik buat masa ini,” katanya.
Amizar yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang berkata, antara lokasi penempatan jana kuasa elektrik tambahan itu adalah di FELDA Kemasul, FELDA Chemomoi dan Loji Air Jawi-Jawi.
Turut ditempatkan jana kuasa letrik tambahan adalah di Agropolitan Chemomoi, Simpang Pelangai dan Bukit Indah, Pelangai.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Penyediaan bahan mentah dan rencah membuat bubur lambuk dilakukan komuniti secara bergotong-royong.
Tidur di sekolah untuk masak bubur lambuk
BIMBANG bubur lambuk tidak dapat dimasak pada masa ditetapkan dan akan membantutkan pula proses agihan sebilangan bapa daripada komuniti Kampung Sungai Serdang membuat keputusan untuk tidur di Sekolah Kebangsaan Sungai Serdang (SKSS), Selangor.
Tindakan mereka menzahirkan rasa terharu Guru Besar SKSS, Hazlina Ali dalam menjayakan program Bubur Lambuk Ramadan 2024 sekolah itu yang dilaksanakan secara bergotong-royong membabitkan ibu bapa, guru dan kakitangan sokongan baru-baru ini.
Bubur lambuk diagihkan Agihan kepada murid SKSS
Hazlina berkata, dia berasa amat terharu dengan pihak komuniti kampung yang sanggup tidur di sekolah semata-mata bagi memastikan penyediaan bubur lambuk dapat disiapkan pada masa ditetapkan sebanyak 1,500 bungkus untuk diagihkan kepada 680 murid, guru dan kakitangan (58) serta komuniti setempat (742).
“Mereka mula menyediakan bahan-bahan serta rencah bersama-sama guru selepas solat tarawih dan mula memasak ketika waktu sahur untuk membolehkan kelancaran agihan dapat dilaksanakan seawal 11.30 pagi kepada semua murid dan mereka terbabit.
“Objektif penganjuran program itu adalah antara usaha SKSS menghidupkan Ramadan Al-Mubarak dengan aktiviti yang tersusun bagi melahirkan masyarakat beriman, bertaqwa, berakhlak dan beramal soleh,” katanya.
Katanya, program anjuran Panitia Pendidikan Agama Islam dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSS itu turut mendapat sokongan serta kerjasama rakan strategik Yayasan Kossan yang diaktifkan oleh Komuniti Sungai Serdang iaitu O’Otai FC, Cabin Cartel, Tebuan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Tebuan Carom.
“Dengan usaha ini kita akan meraih keberkatan dan fadilat yang ada dalam bulan Ramadan malah berkongsi rezeki pula dengan warga sekolah dan komuniti sekali gus menceriakan ketika waktu berbuka puasa bersama ahli keluarga,” ujarnya.
“Paling penting program berkenaan meningkatkan lagi ikatan silaturahim dalam kalangan warga sekolah, komuniti penduduk dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) rakan strategik dalam menghayati keberkatan bulan Ramadan.
Katanya, keceriaan dan semangat bergotong-royong yang ditunjukkan oleh mereka yang terbabit ini secara tidak langsung membukti sekolah antara salah satu platform terbaik dalam mewujudkan serta membina ikatan ukhuwah erat komuniti setempat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Gabungan Masjid Wilayah Jengka prihatin kebajikan orang Asli
JERANTUT – Seramai 150 penduduk saudara baharu perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Bangkong dekat ini teruja dan tidak sabar menyambut Hari Raya Aidil Fitri sederhana tetapi meriah.
Pengerusi Gabungan 35 Masjid Felda Wilayah Jengka Razak Daud berkata, badan masjid menjalankan tanggungjawab sosial ( CSR) menyantuni di kampung Orang Asli Sg Bangkong, Kg Sungai Jempol membantu Masyarakat menyambut Aidilfitri.
Sambil kita membantu orang Asli beragama Islam, kita juga menyapa dan menyantuni yang bukan Islam dengan harapan mereka tertarik memeluk agama Islam.
“ Menyapa tentang masyarakat asli yang belum lagi islam ini bertepatan dengan titah sultan pahang bahawa kita tiada paksaan lah dalam manganuti agama islam tetapi kita ada usaha usaha ke arah itu kita akan membuat penerangan atau pun tak kirah kepada penduduk” , katanya
Menurutnya, penduduk sebagaimana penganut Islam menjalani ibadah puasa, solat tarawih, membuat kuih raya dan membeli baju baharu.
Razak berkata, Badan Gabungan Masjid Jengka akan mengadakan program santai menyantuni Masyarakat Orang Asli sebanyak 3 kali setahun bagi menarik mereka mencintai Islam.
Seramai 150 orang daripada 212 penduduk beragama Islam hasil gerakan dakwah pelbagai pihak Majlis Agama Islam Pahang, Jabatan Kemajuan Orang Asli ( JAKOA) dan Badan Bukan Kerajaan ( NGO).
Semua penduduk juga mengucapkan terima kasih kepada Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka menyumbang bakul makanan dan duit raya kepada saudara Baharu kampung ini,“ katanya kepada pemberita selepas memberi sumbangan adilfitri di Kg orang Asli Sg Bangkong Jerantut ,Pahang.
Menjelang Hari Raya Aidil Fitri suri rumah seperti isteri, turut menukar langsir baharu dan membersihkan Kawasan rumah bagi menanti kehadiran tetamu di pagi hari Raya Aidil Fitri.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Moh lah weh deme balik belaka..!!, kempen anak perantauan pulang ke Felda Jengka 24 sambut Aidilfitri
JERANTUT – Pengurusan Felda Jengka 24 bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) mengadakan kempen bagi mengajak kira-kira 1,000 anak perantauan pulang ke tanah rancangan itu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, kempen itu turut melibatkan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW).
“Bagi anak-anak perantau yang sudah lama tidak pulang ke Jengka 24 kerana kesibukan kerja dan halangan Covid-19 sebelum ini, pulanglah beraya pada Aidilfitri kali ini.
“Ingatlah bahawa masa lalu (ketika berada di Felda Jengka 24) membawa pelbagai kenangan yang tidak akan dilupakan.
“Setiap Aidilfitri, kenangan lama datang kembali. Begitu mengusik jiwa. Sesungguhnya, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Baliklah wahai perantau,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Razak turut mengingatkan, supaya anak perantau Jengka 24 berhati-hati semasa memandu pulang ke kampung.
“Hal ini bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
“Jaga juga anak-anak kecil, kesihatan dan jangan terdedah di bawah panas terlalu lama kerana dibimbangi terkena strok haba, demam dan lain-lain penyakit,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Kerajaan Pahang menyampaikan sumbangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari Kampung Baris dan Kampung Jawi-jawi semalam.
Penyampaian sumbangan itu dilakukan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam di Masjid Kampung Baris, dekat sini.
Amizar yang juga ADUN Pelangai kemudiannya berbuka puasa di masjid berkenaan.
“Saya cukup teruja dan gembira dapat berbuka puasa di Masjid Kampung Baris.
“Saya lihat ada 24 menu berbuka puasa dihidangkan secara ‘pot luck’ dan semuanya disediakan oleh orang kampung di sini.
“Lauk-pauknya sedap-sedap belaka,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Dia turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan OKU serta asnaf warga emas.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH – Bandar Temerloh bukan hanya terkenal dengan jolokan bandar ikan patin apabila nama bandar itu disenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini.
Ia mendapat pengiktirafan dari MBOR selepas berjaya menganjur majlis iftar atau berbuka puasa terpanjang di Malaysia.
Perkara itu disahkan wakil MBOR yang turut sama dalam majlis berkenaan.
Berdasarkan rekod Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), kira-kira 5,000 pengunjung ke daerah itu untuk bersama-sama berbuka puasa di sepanjang Sungai Pahang.
Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man dan Yang Dipertua MPT, Suris Mihat.
Mohammad Fakhruddin dalam pada itu berkata, pencapaian MPT perlu dijadikan contoh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Pahang. “Mungkin usaha MPT ini boleh diperluaskan ke PBT di daerah lain di Pahang selepas ini.
“Saya percaya setiap daerah di Pahang mempunyai keunikan tersendiri, jadi terpulang kepada PBT itu sendiri mencari jalan mempromosikan kawasan pentadbiran mereka,” katanya.
Sijil pengiktirafan diarahkan oleh wakil MBOR, Lee Pooi Leng kepada Suris pada majlis itu. Mohammad Fakhruddin dalam pada itu memaklumkan pihak MPT sedang merancang untuk mengadakan satu lagi program mega menjelang pertengahan tahun ini.
Program memasak ikan patin serentak secara beramai-ramai itu juga dijangka bakal menarik perhatian pihak MBOR.
Pada Disember lalu, MPT memperoleh pengiktirafan oleh MBOR di atas penganjuran Pasar Pagi Terpanjang di Malaysia.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tak adil ambil tindakan bila kemudahan belum lengkap
LIPIS – Kerajaan Pahang belum berhasrat mengenakan sebarang tindakan kepada pengguna jalan raya yang membuang sampah di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya berpandangan adalah tidak adil mengenakan tindakan sedangkan kerajaan tidak menyediakan kemudahan sepatutnya, termasuk hentian rawat dan rehat (R&R).
“Kalau kita sediakan kemudahan dan mereka tidak patuh maka boleh kita kenakan tindakan.
”Tetapi ini kita tidak sediakan kemudahan, jadi kalau ada anak-anak yang nak terkencing sebab menempuh perjalanan jauh, macam mana hendak buat.. dan mereka tidak ada pilihan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis, hari ini.
Wan Rosdy berkata, masalah sampah sarap memenuhi laluan LTU setiap kali musim perayaan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan tindakan tertentu harus diambil sementara menunggu R&R siap – yang akan mengambil sedikit masa.
Katanya, isu itu juga telah dibangkitkan kepada Kementerian Kerja Raya serta Lembaga Lebuhraya Malaysia dan yakin ianya dalam proses tindakan.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Peserta Agropolitan Chemomoi dekat sini menerima ‘durian runtuh’ menjelang Aidilfitri.
Pihak RISDA mengumumkan pengagihan dividen RM346,000 kepada peserta agropolitan itu.
Majlis penyerahan dividen dilakukan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, semalam.
Amizar yang berkongsi berita gembira itu melalui laman sosial Facebook miliknya berkata, pengagihan dividen berkenaan adalah tepat pada masa.
“Rezeki tatkala menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi buat seluruh penduduk Kampung Agropolitan Chemomoi.
“Alhamdulillah, keseluruhan peserta menerima dividen dengan jumlah keseluruhan RM346,000 yang diumumkan pihak RISDA.
“Seperti yang saya katakan dalam ucapan saya, inilah hadiah buat orang yang sentiasa meletakkan kesyukuran di dalam setiap pemberian dan anugerah dari Allah SWT,” katanya.
Amizar yang juga ADUN Pelangai kemudiannya menyertai penduduk di situ berbuka puasa sejurus selesai penyampaian dividen.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Jasa dan pengorbanan petugas di pusat dalam komuniti (PDK) Pelangi, dekat Simpang Pelangai sentiasa mendapat perhatian kerajaan Pahang.
Semalam, mereka diraikan ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam yang menyampaikan sumbangan ‘sekali bayar’ daripada kerajaan Pahang.
Selain petugas, pelatih di PDK Pelangi turut menerima sumbangan sama.
Amizar dalam hantaran di Facebook memaklumkan, PDK Pelangi adalah antara tempat yang sering dikunjunginya apabila mempunyai keluangan waktu.
“Anak-anak orang kurang upaya (OKU) di sini adalah antara golongan yang dekat di hati saya.
“Hari ini (semalam) saya ke sini bagi menyampaikan sumbangan ‘one-off’ kerajaan negeri Pahang kepada petugas dan pelatih PDK dan sedikit sumbangan hari raya kepada anak-anak di sini.
“Terima kasih Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam hari ini bersama penduduk di Kampung Agropolitan Chemomoi.
Beliau meluangkan masa menziarahi beberapa kediaman penduduk di situ.
Kunjungan Amizar adalah antara rutin dilakukan beliau setiap kali pulang ke kawasan diwakilinya.
Dalam program Ziarah Kasih Ramadan itu, beliau menyerahkan cek sumbangan kerajaan Pahang kepada keluarga yang memerlukan.
“Sambil ziarah, bertanyakan khabar dan persiapan hari raya, saya mengambil kesempatan menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang.
“Cek sumbangan ini adalah permohonan daripada mereka yang memerlukan melalui ketua kampung dan pihak saya telah mengusulkan (permohonan) kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Alhamdulillah ia telah diluluskan dan besar hati saya menyampaikan cek sumbangan ini kepada penerima mewakili Menteri Besar Pahang,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang merakamkan ucapan penghargaan kepada Wan Rosdy dan kerajaan Pahang yang sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!