Balai Bomba baharu Kuala Krau bantu panggilan kecemasan di bawah tempoh 10 minit
KUALA KRAU – Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di Pekan Kuala Krau melegakan warga Kuala Krau yang selama ini bergantung kepada khidmat Balai Bomba Temerloh, Jengka dan Jerantut yang kesemuanya terletak kira-kira 40km dari pekan ini.
Balai Pekan Kuala Krau yang telah siap dibina pada April tahun ini adalah Balai Bomba dan Penyelamat ke-28 di negeri Pahang berharga RM 3 juta.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, balai bomba baharu itu dengan lokasi yang cukup baik pastinya mampu memberi khidmat terbaik kepada masyarakat setempat, terutama dalam mencapai sasaran ‘response time’ terhadap panggilan kecemasan di bawah tempoh 10 minit.
Turut hadir bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina MericanTimbalan Menteri Dalam Negeri 1 Merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
“Selama ini, masyarakat di sini hanya bergantung kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Rumpun Makmur dan Kuala Krau untuk memberi khidmat kebombaan awal sebelum tiba pasukan bomba dari Jerantut, Temerloh atau Bandar Jengka.
“Terima kasih dengan sokongan bantuan awal diberi PBS Rumpun Makmur dan Kuala Krau yang bertindak sebagai sokongan dan tulang belakang bomba di kawasan sebelum ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Penyanyi rock legenda, Amy Search atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman (64) kini memasuki senarai terkini golongan anak seni tanah air yang bergelar Datuk.
Beliau menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk merupakan antara penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-73 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Penghibur yang sudah 42 tahun mendedikasikan hidup terhadap arena seni itu sekali gus menjadi satu-satunya penggiat seni yang menerima darjah kebesaran pada majlis berkenaan.
Seramai 883 individu dalam senarai penerima anugerah kebesaran didahului oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikurniakan gelaran Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM), membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Darjah Kebesaran Melaka diberikan kepada kakitangan awam negeri dan Persekutuan, ahli politik, tokoh korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal media massa dan ahli-ahli badan sukarelawan.
Istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran dijalankan tiga sesi iaitu pada 24 Ogos dan 27 Ogos, istiadat pengurniaan darjah kebesaran Melaka itu berlangsung di Dewan Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Sementara itu, meninjau akaun Instagramnya, belum ada sebarang perkongsian mahu pun kenyataan berhubung penerimaan darjah kebesaran tersebut.
Namun isterinya, Datin Norhasniza Hassan menerusi Instagramnya @qasander memuat naik gambar Amy dalam persalinan rasmi dalam InstaStory.
SUMBER – KOSMO! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bank sengaja lepas tangan, lindungi dalang scammer ?
KUALA LUMPUR- Puluhan ribu pendedahan mangsa kes scammer online sudah pun dipaparkan di semua platform media, di dada akhbar dan disiarkan di televisyen, malah semakin menjadi-jadi setiap tahun dengan kerap mengubah modus operandi.
Tidak mustahil, kemungkinan seluruh rakyat negara ini boleh terjerat sekali kerana tiada pihak yang berupaya menghentikan dalangnya sehingga hari ini.
Umum mengetahui, majoriti mangsa adalah pemilik akaun yang diperdayakan scammer untuk aktiviti penipuan online seperti macau scam, belian jualan dalam talian, pinjaman wang tidak wujud dan love scam.
Sudah tentu, mangsa sudah membuat laporan polis dan memaklumkan penama sekian yang terlibat dalam kegiatan penipuan ini.
Jelas di situ, apabila melibatkan belian jualan atau pinjaman wang dalam talian atau sewaan akaun bank, sudah tentu membabitkan pihak bank.
Tempoh dua minggu berlaku transaksi tanpa pengetahuan mangsa, pastinya pihak bank mengetahui proses aliran keluar masuk akaun pemegang akaun dan penama pelaku.
Negara sendiri sibuk menilai kes pendakwaan berprofil tinggi membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tentang siapa penerima dan siapa pelaku transaksi, bagaimana pula dengan kes ‘ikan bilis’.
Ini bermakna, ‘money trail’ transaksi bank boleh dikesan oleh pihak bank untuk melihat pelaku sebenar, sama seperti 1MDB boleh tahu siapa penerima dan siapa pelaku.
Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini dipetik berkata, pemilik akaun dengan transaksi mencurigakan perlu bersiap sedia dengan dokumen sokongan untuk menjelaskan tentang sumber kewangan berkenaan atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Ia bagi mengulas laporan mengenai kebanjiran hantaran yang mempromosikan wang mudah kepada orang ramai yang hanya perlu menyewakan akaun serta kad bank milik mereka untuk digunakan individu lain.
BNM berkata, institusi kewangan telah diberi panduan yang antara lain turut menggariskan indikator berkaitan jenayah keldai, tipologi terbaharu jenayah penipuan, trend dan cara pelaksanaannya.
Bagi individu yang gagal memberi penjelasan mengenai transaksi ‘mencurigakan’, bank akan menghantar Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) kepada BNM untuk membolehkan siasatan lanjut di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) dilakukan.
Transaksi mencurigakan ini termasuklah penerimaan deposit pada jumlah yang agak luar biasa atau penerimaan deposit pada jumlah yang kecil namun pada kekerapan yang sedikit luar biasa berbanding dengan corak transaksi akaun tersebut pada sebelumnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, dipetik berkata, seramai 9,646 individu ditahan disyaki terlibat kes penipuan Macau Scam pada tahun 2021.
Beliau mendedahkan, mangsa yang dihubungi oleh sindiket akan dimaklumkan bahawa akaun bank mereka sedang disiasat dan wang mereka akan dibekukan atau hilang.
Bagi mengelakkan perkara ini, mangsa akan diminta untuk membuka akaun bank baharu dan mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon yang diberikan oleh pihak sindiket.
Setelah mangsa mengikut semua arahan yang diberikan, mangsa akan mendapati wang dalam akaun berkurangan, katanya.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon pula berkata, tidak dapat memberikan penjelasan berhubung modus operandi scammer berkaitan bank.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon pula berkata, tidak dapat memberikan penjelasan berhubung modus operandi scammer berkaitan bank.
“Saya dimaklum bank tidak mahu memberi maklumat diminta oleh pegawai siasatan atas alasan ia melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya.
Malah ketika ditanya adakah wujud kartel bank, beliau tidak jelas dengan perkara itu.
Persoalannya, bagaimana sindiket ini boleh mengetahui akaun bank mangsa sedang disiasat selepas mangsa mengesahkan akaun yang dipegangnya.
Adakah pihak bank juga tidak tahu transaksi daripada pelaku yang terlibat dalam kes penipuan online atau mengambil sikap tutup sebelah mata demi untuk mengaut keuntungan semata-mata kerana seolah kesalahan diletakkan kepada mangsa yang juga pemegang akaun.
Bagaimana pula kes 1MDB boleh diketahui siapa penerima dan pelaku transaksi tetapi sejumlah kes mangsa ini pihak tidak pula mendedahkan siapa pelakunya?
Di mana keadilan untuk puluhan ribu mangsa ini jika tidak disiasat di peringkat transaksi online oleh pihak bank?
Sumber – Mediavariasi
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IPOH – Program Intergrasi dan Khidmat Sosial Belia Malaysia-China bersama Kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) di Kelas Pendidikan Khas Sekolah kebangsaan Sungai Rokam (SKSR) meningkatkan jalinan persahabatan antara dua negara.
Program itu juga memupuk semangat prihatin belia negara tersebut terhadap keperluan sosial dan masyarakat di samping memperkenalkan budaya dan cara hidup rakyat Malaysia .
Guru Besar SKSR, Yusri Mohamad Abdul dengan salah seorang pelajar China, Jiang Chengao (kanan).
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Rokan (SKSR), Yusri Mohamad Abdul berkata, beliau berbesar hati dengan Persatuan Persahabatan Malaysia – China (PPMC) yang sudi memilih sekolahnya untuk mengadakan program kemasyarakatan yang amat bermakna kepada warga sekolah tersebut.
Katanya, tujuan utama program seperti ini adalah untuk mengenali dengan lebih dekat berkaitan proses perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak istimewa seramai 73 orang serta melihat sendiri daya usaha 23 orang guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) yang berkhidmat di kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah ini.
“Penganjuran program sebegini menjadikan SKSR dikenali oleh pihak luar di samping memberi peluang kepada murid PPKI menjalani program yang bermanfaat selain turut mempromosi tarikan pelancongan di negeri Perak,”katanya di program itu semalam.
Penyerahan peralatan komputer , alat penghawa dingin dan bahan bacaan disampaikan oleh Zulkifli Datuk Zakaria (2 dari kiri) kepada Guru Besar SKSR (2 dari kanan).
Katanya, beliau juga berterima kasih kepada Pertubuhan Wanita Prihatin Perak dan Sekretariat Wanita Perak yang bersama di dalam program ini.
Wakil kumpulan Belia China yang turut serta, Jiang Chengao berkata, beliau dan peserta yang lain amat gembira dengan pelbagai program yang diadakan seperti demonstrasi permainan ‘Stacking Cup’ dan Petanque serta kelas masakan dan sesi ramah mesra bersama warga PPKI SK Sungai Rokam pada hari itu.
Murid PPKI SK Sungai Rokan (baju ungu) melakukan demonstrasi masakan di program tersebut.
Sementara itu, Ketua penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPNP), Puan Eni Zanifah Mohd Jaberi berkata, JPNP menghargai jalinan serta jaringan yang berjaya dilaksanakan, khusus untuk program yang melibatkan anak-anak OKU di Sekolah Pendidikan Khas, khusus di sekolah itu.
“Pihak jabatan sentiasa mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak dalam usaha memperkasakan lagi kecemerlangan tadbir urus dan kemenjadian murid di negeri Perak ini yang sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran khususnya melalui pendidikan digital.
“PPMC mewakili China Construction Bank turut memberikan sumbangan berupa 2 unit penghawa dingin, 6 unit komputer dan bahan bacaan kepada sekolah dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang terpilih,”katanya.
Pegawai Pengiring PPMC, Ts. Abdul Aziz How Abdullah, menyatakan rasa terharu dan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pihak sekolah kepada pelajar antarabangsa dari China yang hadir pada hari itu.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kes jumpa mayat perempuan di Bukit Ibam polis tahan 3 Orang Asli
KUANTAN – Susulan penemuan mayat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Bukit Ibam, Rompin, Pahang pada Ahad, polis Kuantan menahan tiga lelaki Orang Asli pada Isnin.
Ketiga-tiga lelaki Orang Asli itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mangsa yang juga merupakan Orang Asli dipercayai dibunuh dan remaja itu ditemukan di lereng bukit berhampiran rumahnya di Bukit Ibam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis memperoleh perintah reman daripada Mahkamah Majistret Rompin untuk menahan ketiga-tiga suspek berusia 22, 29 dan 38 tahun, sehingga 29 Ogos ini.
“Semua suspek dipercayai merupakan kenalan mangsa dan berasal dari kawasan penempatan yang sama,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang, pada Selasa.
Beliau juga mengesahkan semua suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, mangsa yang difahamkan tidak bersekolah ditemukan oleh sepupunya dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala sebelum laporan polis dibuat pada 2.45 pada Ahad.
“Mangsa difahamkan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada malam sebelumnya, menyebabkan bapa mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum mayatnya ditemukan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mayat mangsa yang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan akan dibedah siasat pada Selasa, bagi mengetahui punca kematian.
Mohd Azahari meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi polis di 09-4145999 atau Pegawai Penyiasat Asistan Superintenden Abdul Khaliq Mustopa di 019-9999769.
SUMBER — Bernama
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Parit: Punca kematian lelaki yang ditemukan dengan kesan luka di leher di hadapan rumahnya di Kampung Merua di sini, semalam adalah kerana kehilangan darah yang banyak disebabkan serangan haiwan.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, punca kematian itu diperoleh hasil bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh jam 9.15 pagi tadi.
Katanya, luka pada mangsa berpadanan dengan haiwan seperti anjing atau seumpamanya.
Menurutnya, kematian mangsa juga didapati berpunca daripada jangkitan Covid-19 dan saluran darah tersumbat.
“Pemeriksaan luaran mangsa mendapati ada luka di bahagian muka kiri dan leher serta beberapa helai bulu haiwan di sekeliling luka berkenaan.
“Pemeriksaan dalaman menunjukkan dua saluran darah jantung mangsa sudah tersumbat dengan keadaan yang teruk. Mangsa juga mengalami jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Justeru katanya, kes itu yang sebelum inu dilaporkan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, diklasifikasikan semula sebagai mati mengejut.
Semalam media melaporkan, Norzi Jaafar, 58, ditemui meninggal dunia dalam keadaan terlentang dengan kesan luka di leher dipercayai dilibas senjata tajam di hadapan rumahnya.
Sumber : harianmetro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ALOR GAJAH – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), menyediakan dana sebanyak RM800 ribu untuk Skim Bantuan Pendidikan Yayasan RISDA tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dana itu meliputi Skim Insentif Pelajar RM500 secara one-off, Bantuan Sara Hidup Pelajar RM450 sebulan sepanjang pengajian dan Biasiswa Pelajar RM6,800 hingga RM13,800 setahun kepada pelajar Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).
“Melalui yayasan yang sama, RISDA turut menyediakan Skim Bantuan komputer riba UCAM secara one-off dan Anugerah Yayasan RISDA berbentuk dermasiswa bernilai RM2,000 kepada pelajar cemerlang.
Saya yakin, dengan inisiatif yang disediakan ini, ianya dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda anak-anak pekebun kecil RISDA untuk terus menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi serta dapat membantu dalam melancarkan pengajian mereka di UCAM.”
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di sini hari ini.
Turut serta, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.
RISDA kata Mahdzir, memberi fokus kepada bidang pendidikan sejak 65 tahun lalu lagi dengan melalui pelbagai evolusi selaras dengan perkembangan sistem pendidikan dan keperluan tenaga kerja dalam sektor pertanian negara khususnya perladangan getah.
Bermula dengan Sekolah Latihan Getah pada tahun 1957, RISDA kini mempunyai Kolej Universiti Agrosains Malaysia atau UCAM yang merupakan satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), khusus dalam bidang pertanian.
“Saya difahamkan UCAM setakat ini telah berjaya melahirkan lebih daripada 10 ribu orang graduan yang bukan hanya berkhidmat di dalam agensi pertanian dan perladangan kerajaan serta swasta, malah tidak kurangnya ada juga yang kini bergelar usahawan dan jutawan.”
Sementara itu pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara pihak UCAM dan tiga rakan industri iaitu GrasiCili Plt, Uwais Cendawan Agrotech Enterprise dan Bitara Emas (M) Sdn. Bhd.
MOU itu berkaitan program latihan industri dan penempatan kerja graduan UCAM, latihan profesional, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama komersial.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan operasi menyelamat sebelum dua mayat ditemui malam tadi.
Dua mangsa lemas dihanyut arus Sungai Triang ditemui
BERA – Dua mayat mangsa yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus di Sungai Triang berhampiran Kampung Kerayong ditemui di dua tempat berasingan.
Mayat pertama yang berusia 15 tahun ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat di Sungai Triang berhampiran jeti Pasar Ayam Kerayong kira-kira 70 meter dari tempat kejadian dengan tempat mayat ditemui pada jam 10.25 malam, semalam.
Manakala mayat kedua berusia 11 tahun ditemui pada jarak 300 meter dari tempat kejadian pada jam 1.40 pagi, hari ini.
Dua mayat tersebut ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada anggota pasukan polis, jabatan bomba dan penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Pegawai Pertahanan Awam Bera, Kapten (PA) Ahmad Azmi Hanfiah berkata, kedua-dua mangsa sebelum kejadian mandi di kawasan berpasir dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pada hari Selasa.
“Berdasarkan makluman awal, seorang daripada mereka dihanyutkan arus, sebelum seorang lagi rakan cuba menyelamatkannya, bagaimanapun, kedua-dua mereka kemudian hilang akibat dibawa arus deras,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, N. Kumaran berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa bersama enam lagi rakan ke kawasan itu sekitar jam 3.30 petang hari Selasa.
“Mangsa dipercayai mandi menggunakan pelampung tayar, tetapi pelampung itu dikatakan terlepas daripada pegangan mereka berikutan arus deras.
“Ada yang melihat mangsa terkapai-kapai dihanyutkan arus sebelum dipercayai lemas sekitar jam 4.30 petang hari tersebut,” katanya.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Nik Ikmal Shah Ismail, 15 dan Muhammad Danial Isryad Norazlan, 11, yang masing-masing merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lima lelaki ceroboh dan serang pusat tahfiz dijatuhi hukuman penjara dan denda
LIPIS – Lima lelaki yang menceroboh, menyerang dan mencederakan seorang guru dan pelajar pusat tahfiz di Jalan Chenerang, dekat sini dijatuhi hukuman penjara dan denda di Mahkamah Majistret Lipis di sini, hari ini.
Tertuduh, Wan Haris Wan Ismail, 38, Zulkifli Mohd Nasir, 27 dan Azraen Che Mat Noor, 43, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.
Kelima-lima lelaki yang menceroboh, menyerang dan mencederakan guru dan pelajar dijatuhi hukuman di Mahkamah Majistret Lipis, hari ini.
Tiga tertuduh itu, didapati telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26, yang merupakan seorang guru di pusat itu.
Ketiga-tiga mereka dituduh di bawah Sesyen 323 Kanun Keseksaan di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.
Siti Aisyah kemudiannya menjatuhkan hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh lapan bulan penjara dan denda RM1, 000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Dua lagi yang dituduh, Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, Rizuwan Hazmi, 47 turut mengaku bersalah.
Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima tertuduh didapati bersalah dengan niat telah melakukan pencerobohan di kawasan Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Jalan Cheneras di sini jam 5.10 petang, 11 Ogos lalu.
Dalam penghakimannya, Siti Aisyah turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara daripada tarikh mereka ditangkap.
Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara maksimum 3 tahun atau denda maksimum RM5, 000 atau kedua-duanya.
Siti Aisyah kemudiannya menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara dan denda RM2,000 serta tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda kepada kelima-lima tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam Fariha Nuzuruhan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Kejadian itu juga telah menimbulkan rasa takut, trauma dan mendatangkan ancaman kepada institusi pendidikan khususnya kepada pelajar serta guru.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Warganegara asing maut, seorang ditahan untuk bantu siasatan dalam pergaduhan di kebun sayur
BENTONG – Seorang lelaki warganegara asing berusia 27 tahun meninggal dunia akibat mengalami cedera parah dalam kejadian pergaduhan di kawasan kebun sayur di Lebu, dekat sini, pada jam 2.50 pagi, hari ini.
Sepasukan pihak polis dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah bergegas ke tempat kejadian setelah menerima maklumat berkaitan kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong berkata, siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki warganegara asing berusia 27 tahun merupakan pekerja kebun telah mengalami cedera parah dalam kejadian tersebut.
“Pihak polis turut menahan seorang lelaki warganegara asing berusia 26 tahun di kawasan kebun sayur tersebut dan merampas sebilah pisau berukuran kira-kira 12 inci dipercayai digunakan dalam pergaduhan bagi membantu siasatan.
“Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 23 ogos 2022 dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan” katanya.
Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan bantuan kecemasan dan rawatan, namun telah meninggal dunia kira-kira jam 5.40 pagi.
“Punca pergaduhan dan punca kematian mangsa belum dapat dikenalpasti. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Temerloh untuk dibedah siasat.
“Pihak polis memohon saksi yang melihat dan mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC), IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!