ANGKASA Kongsi Inovasi di Bengkel Antarabangsa di China
ANGKASA Kongsi Inovasi di Bengkel Antarabangsa di China
BEIJING – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus memperkukuh peranannya di peringkat antarabangsa apabila berkongsi inisiatif inovasi koperasi dalam Bengkel Pembangunan Mampan dan Peningkatan Keupayaan Koperasi anjuran International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP) bersama All China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC), hari ini.
Presiden ANGKASA , Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah yang mengetuai delegasi Malaysia berkata, penyertaan itu bertepatan dengan sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 dan menjadi platform penting untuk memperkukuh jaringan strategik antara koperasi serantau.
Menurutnya, kerjasama koperasi di rantau Asia Pasifik perlu dipertingkat bagi memperkasa pembangunan kapasiti serta memperluas perdagangan antara koperasi atau konsep cooperative-to-cooperative (C-2-C), khususnya dalam bidang inovasi dan pendigitalan.
![]()
“Penguasaan teknologi serta perkongsian kepakaran dapat meningkatkan keupayaan koperasi untuk bersaing dalam pasaran global.
“Kita juga mahu memperluas penempatan produk dan perkhidmatan koperasi tempatan ke pasaran luar menerusi strategi pemasaran dan pengukuhan jenama koperasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Fattah yang juga Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) dan Naib Presiden ICA-AP turut menegaskan bahawa keterlibatan aktif dalam bengkel sebegini mampu memacu transformasi koperasi kepada entiti ekonomi moden yang lebih berdaya saing.
![]()
Bengkel itu menghimpunkan lebih 100 perwakilan koperasi dari negara Asia Pasifik termasuk pakar pembangunan koperasi, usahawan sosial dan pembuat dasar yang membincangkan cabaran serta hala tuju koperasi dalam era pasca pandemik.-SAHIH
