10 RUMAH ATAS AIR MUSNAH TERBAKAR
10 RUMAH ATAS AIR MUSNAH TERBAKAR
KOTA KINABALU: Sebanyak sepuluh buah rumah atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke kediaman lain sekitar penempatan berkenaan dalam tempoh singkat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang dikerah ke lokasi kejadian sebelum tiba lima minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak sehingga memusnahkan 10 rumah berstruktur kayu atas air.
“Pasukan bomba yang turut dibantu penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan menyelamatkan sebahagian lagi rumah berdekatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor BH ONLINE.
Affendy berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat.
Pada 25 Mei lalu, di lokasi berdekatan sebanyak 25 rumah di atas air, Kampung Tanjung Aru, turut musnah dalam kebakaran.