PEMANDU JENGKAUT TERTIMBUS BONGKAH BATU DI KUARI
BAU, Sarawak: Seorang pemandu jengkaut, Anthony Kanna, 48 dilaporkan tertimbus selepas bongkahan batu dianggarkan sebesar 20 meter menghempap jentera berat itu di sebuah kawasan kuari di Jalan Tanjung Durian, Kampung Tanjung Durian, Bau, Sarawak, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Tawang Lingem, yang juga Komander Operasi berkata jentera penebuk digerakkan ke lokasi insiden bagi menebuk batuan besar untuk memasang bom bertujuan memecah batu-batu ke lokasi batu besar yang menghempap mangsa.
Ketika ini, mangsa belum ditemui, operasi bersambung semula pada 5.30 petang selepas ditangguhkan sementara pada 4.45 petang susulan hujan lebat di lokasi dan juga atas faktor keselamatan.
“Sebuah jentera penebuk digerakkan bagi menebuk batuan yang besar untuk memasang bom bagi memecah batu-batu ke lokasi batu besar yang menghempap mangsa,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.
Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar 3.18 petang.
“Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak terima panggilan daripada MERS 999 mengenai kes di alamat berkenaan dan telah menggerakkan keluaran jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi.
“Maklumat awal daripada pemanggil mengatakan kuari tersebut telah roboh dan menimbus sebuah jengkaut serta pemandu,” katanya.
Mengulas lanjut kejadian itu, katanya jengkaut terbabit yang dikatakan membuat kerja meratakan tapak batu telah tertimbus disebabkan runtuhan batu di kuari tersebut.
“Terdapat seorang mangsa (operator) bersama jentera telah tertimbus dihempap batu yang dianggarkan sebesar 20 meter,” katanya.
Katanya, aktiviti mengebom bagi memecahkan batuan di kawasan kuari dilakukan sebuah syarikat kuari pada sebelah pagi menyebabkan struktur batu tidak stabil dan telah runtuh.
Menurutnya, pada masa ini terdapat empat jengkaut dan jentolak milik syarikat berkenaan sedang membuat kerja pembersihan di tapak untuk ke lokasi jengkaut yang tertimbus dianggarkan 50 meter dari pos kawalan tempat kejadian (PKTK).
“Pihak bomba hanya membuat pemantauan keselamatan di lokasi bagi memastikan keselamatan daripada runtuhan susulan ketika kerja menyelamatkan mangsa dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, komander operasi melaporkan kerja pembersihan tapak ditangguhkan serta-merta pada 4.45 petang susulan hujan lebat di lokasi dan juga atas faktor keselamatan.