Bayi 15 bulan meninggal terjerut pada buaian
SEREMBAN – Bayi perempuan berusia 15 bulan yang meninggal dunia setelah ditemukan tidak sedarkan diri dengan kepala dan lehernya terjerut pada kain buaian dikatakan sebelum ini tidak pernah tidur dalam buaian.
Bapanya, Yuseri Yusoff, 39, berkata, anak bongsunya itu, Nour Rania Asyifaa Yuseri, berada dalam keadaan baik sebelum dihantar ke rumah pengasuh pada pagi hari kejadian semalam.
“Sebelum ini, anak saya tidak pernah tidur dalam buaian tapi ketika kejadian pengasuh letakkan dalam buaian kerana dia susah hendak tidur.
“Saya terkejut apabila isteri hubungi memaklumkan pengasuh beritahu anak sudah tidak bernafas dan mereka hantar ke Klinik Kesihatan Sendayan pada pukul 3.45 petang, selepas setengah jam doktor beri bantuan pernafasan anak sudah ‘tiada’,” katanya.
Yuseri memberitahu pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, Nour Rania Asyifaa Yuseri, kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Nusari Aman 2, Bandar Sri Sendayan di sini.
Kejadian itu menjadi ujian berganda kepada pasangan berkenaan apabila pernah kehilangan anak kedua mereka ketika masih bayi pada 2020.
Yuseri berkata, dia menghantar anaknya ke pusat jagaan berkenaan sejak setahun lalu malah anak sulung berusia tujuh tahun juga pernah dihantar ke pusat jagaan sama sebelum ini.
“Saya terima kejadian ini kerana perkara sudah berlaku, yang selebihnya saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Pihak pusat jagaan ada meminta maaf kepada kami sekeluarga atas kejadian ini dan difahamkan pihak polis ada merakamkan percakapan ibu bapa lain yang menghantar anak ke pusat jagaan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata bayi tersebut, disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 petang oleh doktor yang bertugas di Klinik Kesihatan Sendayan selepas pengasuhnya mendapati dia gagal bernafas.
Nanda berkata, hasil siasatan awal mendapati selepas bayi itu diberikan susu pada jam 12.30 tengah hari mangsa telah ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik bersama dua kanak-kanak lain.
“Selepas itu pengasuh telah keluar dari bilik pada pukul 2 petang untuk tujuan tugasan lain kemudiannya pada 3 petang pengasuh telah masuk semula ke bilik dan mendapati bayi itu dalam keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.
“Pengasuh terus mengambil bayi itu dari buaian dan menjalankan ujian proses bantuan pernafasan (CPR), tetapi dia gagal bernafas semula dan terus membawanya ke Klinik Kesihatan Sendayan pada jam 3.45 petang sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Nanda, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah teres satu tingkat yang dijadikan rumah penjagaan atau pengasuh kanak-kanak.
“Bayi itu telah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik kedua rumah pengasuh di mana bahagian leher dan kepalanya telah terkeluar daripada buaian dan tergantung pada kain buaian manakala badannya masih berada dalam buai.
“Ketika kejadian, dua pengasuh berada di dalam rumah bersama-sama 15 orang kanak-kanak lain termasuk bayi itu,” katanya yang memberitahu tempat kejadian tidak dipasang kamera litar tertutup (CCTV).
Nanda berkata, rumah pengasuh itu yang dimiliki oleh kedua-dua pengasuh telah beroperasi sejak penghujung tahun 2019 dan menjaga kanak-kanak berusia enam bulan hingga tujuh tahun.
SUMBER-UTUSAN