Santuni warga emas melalui fisioterapi menjadi kepuasan
Foto atas: Zulhisham (baju putih) menunjukkan cara melakukan latihan fisioterapi.
PULAU PINANG – Seorang pemuda lepasan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Arau, Perlis, Muhammad Zulhisham Abu Hassan, 26, mendampingi warga emas sebagai Penolong Jurupulih Anggota (Fisioterapi), di Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan, Pulau Pinang sejak tiga tahun lalu.
Beliau yang masih bujang selain meminati bidang fisioterapi juga ingin melihat penghuni di pusat berkenaan kekal cergas dan aktif walaupun berusia lanjut yang dianggapnya sebagai bapa atau ibu sendiri yang perlu disantuni dengan baik.
“Dengan tubuh badan yang sihat, dapatlah mereka ini melakukan amal ibadat dan aktiviti harian dengan sempurna.
“Di samping itu, saya ingin mencari bekalan akhirat, semoga khidmat saya di sini menjadi asbab dapat masuk ke syurga,” ujar beliau yang lebih senang disapa Zulhisham sahaja.
Katanya, menyantuni warga emas di pusat itu bukanlah suatu yang mudah, kerana dia perlu banyak bersabar dan tidak jemu atau bosan malah berasa seronok melayani warga emas terbabit.
“Tugas sebagai ahli fisioterapi di pusat jagaan ini ialah memulih dan mengekalkan fungsi fizikal warga emas pada tahap yang optimum. Ahli terapi akan merancang program dan teknik yang berkesan untuk memulihkan pesakit berdasarkan masalah dihadapi.
“Mengendalikan pesakit warga emas bukan sesuatu perkara yang mudah, paling utama ahli terapi harus peka dengan keadaan fizikal pesakit kerana mereka mungkin mudah untuk terjatuh, ditambahkan lagi jika seseorang itu menghadapi lemah anggota badan serta masalah sendi,” katanya.
Katanya, di pusat jagaan berkenaan kemudahan alatan fisioterapi yang hampir lengkap memudahkan lagi aktiviti terapi terutama melibatkan kes yang memerlukan pesakit untuk mengaktifkan semula anggota badan yang bermasalah seperti sakit sendi, strok, arthritis, sakit belakang, kekurangan mobiliti dan sakit lutut.
“Tambahan pula saya mendapat kerjasama yang amat baik daripada petugas asrama bertugas serta kakitangan lain pusat ini kerana sokongan mereka memudah dan melancarkan lagi aktiviti terapi dilakukan.
“Sebelum melakukan rawatan dan senaman, saya akan menerangkan apakah jenis senaman dan teknik yang akan dilakukan kepada warga emas itu dan langkah kedua akan menunjukkan demonstrasi senaman untuk mereka lebih faham dan jelas,” katanya.
Tambahnya, beliau akan meminta warga emas itu untuk melakukan senaman secara berdikari sambil dibantu olehnya bagi memastikan mereka terus kekal fokus dan bersemangat, sebagai ahli terapi dia akan meniupkan kata-kata semangat.
Zulhisham berkata, bagi warga emas terlantar dia akan memberikan rawatan dan senaman di bilik terlebih dahulu dengan mengajar senaman yang boleh dilakukan di atas katil.
“Apabila berkhidmat di Darul Hanan ini saya berasa amat teruja dan gembira untuk membantu warga emas selain beranggapan seperti berada di sebuah gudang pahala, semua tugasan yang dilakukan di sini sudah pasti akan dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah SWT.
“Melihat perubahan pesakit yang kembali sihat dan boleh melakukan aktiviti harian setelah selesai mendapatkan sesi fisioterapi membuatkan saya berasa puas hati dan gembira,” katanya.-SAHIH.