SHAH ALAM – Ustaz Ebit Lew agihkan 100 unit tablet kepada pelajar yang memerlukan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara atas talian.
Sinar Harian melaporkan, penceramah bebas itu membantu pelajar yang tidak berkemampuan dan memerlukan tablet untuk meneruskan pembelajaran sepanjang pandemik COVID-19 yang masih aktif.
Melalui akaun Instagram dan Facebook, beliau memberitahu kepada sesiapa yang memerlukan boleh hubungi talian
017-5870294.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WANITA TERBABIT SEBELUM INI DITAHAN SELEPAS GAGAL MEMBAYAR RM58 BERSAMANYA DI SEBUAH PASAR RAYA.
PETALING JAYA: Terkesan dengan tindakan Polis Daerah Petaling Jaya memberi bantuan kepada seorang ibu tiga anak yang ditahan selepas dilaporkan mencuri di sebuah pasar raya, semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, muncul secara mengejut di kediaman wanita berkenaan di Lembah Subang, malam tadi.
Menteri Besar Selangor itu datang secara diam-diam bersama dua pembantunya pada jam 10 malam ketika wartawan dan jurugambar BH sedang membuat liputan di kediaman wanita terbabit di Taman Putra Damai.
Katanya, beliau membuat keputusan melawat keluarga wanita itu selepas kisahnya mencuri pelekat penyejuk demam untuk anaknya yang sakit dan makanan bagi anaknya disiarkan media hari ini.
“Saya tersentuh dengan hal ini apatah lagi di Selangor kita mempunyai program khusus untuk mereka yang memerlukan, Insya-Allah kita akan menguruskan bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), khusus untuk membeli barang keperluan bernilai RM200 sebulan.
“Cuma untuk peringkat awal, ibu ini perlu mendaftar bagi mendapatkan bantuan di Selangor kerana sebelum ini beliau beralamat di negeri Pahang dan segala urusannya akan kita permudahkan dengan segera,” katanya kepada wartawan BH, sebentar tadi.
Wanita terbabit sebelum itu ditahan selepas gagal membayar barang berjumlah RM58 yang ada bersamanya di sebuah pasar raya semalam.
Menyedari kesulitan dialami wanita berkenaan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal bertindak membantu wanita berkenaan dengan membelikan barang yang diperlukan termasuk menutup kes berkenaan daripada tindakan lanjut.
Sementara itu, Amirudin berkata, beliau berterima kasih kepada Nik Ezanee yang bertindak pantas memberikan bantuan selepas menyedari kes berkenaan.
“Saya berterima kasih dan kagum dengan tindakan pantas Tuan Nik Ezanee, yang berusaha memberikan bantuan selepas menyedari kesulitan dialami wanita itu, selain turut menutup kes berkenaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam lawatan itu, Amirudin turut menyampaikan sumbangan peribadi namun enggan mendedahkan butiran sumbangannya.
Selesai ditemubual, Amirudin meninggalkan pangsapuri berkenaan secara senyap-senyap dengan menaiki kenderaan peribadi bagi mengelak kehadirannya diketahui penduduk setempat.
Sementara itu, ketika ditemui, wanita terbabit berkata, dia tidak menyangka Menteri Besar Selangor sudi datang ke rumahnya dan memberi bantuan peribadi.
“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada Menteri Besar yang datang ketika jauh malam untuk mengunjungi kami selepas mengetahui kejadian yang berlaku.
“Saya sedar tindakan saya itu salah dan didorong tanpa fikiran waras disebabkan keadaan anak sakit dan kelaparan di rumah, namun saya berjanji untuk tidak mengulanginya lagi,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TAHNIAH POLIS PETALING JAYA PEKA DENGAN KESUKARAN MASYARAKAT: PERLU KERJASAMA SEMUA PIHAK PANTAU SITUASI SEMASA JIRAN TETANGGA
Terbaca isu ibu muda mencuri penampal penyejuk suhu badan (koolfever) untuk anaknya yang sedang demam dan kek pandan serta sosej kerana anaknya lapar telah mendapat perhatian Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya dan perlu dilihat dari sudut kemanusiaan.
Syabas dan terima kasih kepada Timbalan Polis tersebut yang peka dengan keadaan semasa serta mengugurkan kes tersebut dan turut menghulurkan sumbangan menjadi iktibar kepada pihak lain yang berkaitan.
Pihak tertentu yang berkaitan yang dianggap seperti disindir dengan isu ini, perlu memikirkan cara untuk menghulurkan bantuan di kala pendemik Covid-19, ramai yang gaji dipotong sehingga 50 peratus, malah ada yang diberhentikan kerja.
Dalam keadaan gawat dan kalut, ada pihak yang terkesan pastinya memberi sedikit kesukaran kepada mereka yang bergaji rendah dan tinggal di kawasan bertaraf hidup yang tinggi dan mahal seperti Petaling Jaya.
Saya merasakan pihak pungutan zakat daerah dan negeri perlu memainkan peranan dengan pegawainya membuka mata dan telinga mendapatkan maklumat golongan terkesan.
Pegawai di pejabat pusat zakat harus memainkan peranan dengan memohon bantuan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), pengerusi dan jawatankuasa badan kawasan perumahan, jawatankuasa masjid dan surau dan anggota masyarakat setempat.
Birokrasi yang ketat perlu dihindarkan yang boleh membantutkan pihak yang sangat memerlukan untuk mendapatkan bantuan segera seperti yang berlaku kepada ibu muda yang ditahan pihak pasaraya kerana mencuri.
Pihak masjid, surau, balai raya atau tempat yang sesuai boleh membuka almari bantuan makanan yang disedekahkan atau disumbang oleh orang ramai untuk diambil oleh anggota masyarakat yang sangat terkesan seperti makanan dan keperluan.
Selain itu, setiap bantuan perlu mengelakkan rasa pilih bulu dan fahaman politik kerana banyak yang sudah berlaku sebelum ini.
Pusat zakat negeri perlu memperuntukan beberapa peratus kutipan di daerah-daerah untuk disimpan dan diguna secara serta merta, istilah golongan asnaf harus diketepikan seketika kerana mereka yang sangat memerlukan dan terdesak harus dibela.
Jangan sedih dan malu kemudian hari kalau ada pihak lain terutama daripada golongan bukan Islam yang akan membantu.
Pihak pungutan zakat negeri-negeri jangan berbangga dengan kutipan tertinggi tahunan sedangkan ramai yang memerlukan masih tidak dibela.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KES TIDAK DIAMBIL TINDAKAN SUSULAN SETERUSNYA DITUTUP
KUALA LUMPUR: Polis Daerah Petaling Jaya tampil membantu seorang suri rumah yang ditahan selepas gagal membayar barang makanan dan ubat bernilai RM58 di sebuah pasar raya, semalam.
Barang-barang ditemui bersama wanita terbabit adalah penampal penyejuk suhu badan untuk anaknya yang sedang demam dan kek pandan serta sosej.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata atas dasar kemanusiaan, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil membantu ibu berusia 30-an itu.
“Sebaik menerima laporan kejadian terbabit, saya merasakan ibu muda itu mengalami kesulitan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa ketika ini.
“Justeru kami di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, membeli semula barang yang gagal dibayar ibu berkenaan serta beberapa barang keperluan lain sebelum disumbangkan kembali kepada wanita terbabit,” katanya kepada BH sebentar tadi.
Nik Ezanee berkata, JKM dan IPD Petaling Jaya turut menyampaikan sumbangan berupa beras serta barangan keperluan harian.
“Saya turut mengarahkan supaya kes berkenaan tidak diambil tindakan susulan, seterusnya ditutup.
“Selain itu, saya menasihatkan wanita itu supaya tidak mengulangi kesilapannya serta memohon bantuan kepada pihak sepatutnya seperti Pusat Zakat, cawangan JKM atau masjid dan surau berhampiran, sekiranya menghadapi situasi seperti sedemikian,” katanya.
Nik Ezanee berkata, sekiranya wanita itu masih gagal mendapatkan bantuan dari mana-mana tempat terbabit, dia boleh datang ke balai polis di bawah pentadbiran IPD Petaling Jaya.
Ketika ini, ibu kepada tiga anak itu dilaporkan menghadapi kesulitan selepas suaminya yang bekerja sebagai pembaik pulih lif, tidak mempunyai sebarang pekerjaan susulan pelaksanaan PKP.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEMILIK TERKESAN DENGAN MANGSA YANG DILANDA MUSIBAH BANJIR
TEMERLOH: Sebuah kedai makan yang terletak di Jalan Pak Sako di Temerloh sanggup berkongsi rezeki bersama penduduk yang terjejas dilanda musibah banjir yang berlaku baru-baru ini.
Pemiliknya, Atikah Muklis berkata, bermula kejadian banjir yang besar pada tahun 2014 yang melanda bandar Temerloh, beliau terkesan dengan kesukaran dan kesulitan yang dihadapi oleh mangsa yang banyak kehilangan kemudahan dan keperluan yang dihanyut air, malah ada rumah yang turut musnah.
“Mula dari saat itu, ketika saya mengandung anak sulung berpakat dengan suami untuk membantu mangsa dengan memasak dan mengedarkan kepada mangsa.
“Lebih pilu mendapati ada sahabat saya memaklumkan yang anak mangsa masih tidak menjamah makanan lagi, maka masakan bubur dibuat dan diedarkan kepada semua yang terlibat,” katanya, hari ini.
Katanya, kejadian banjir awal tahun ini berlaku, beliau dan suami turut terpanggil untuk membantu menyediakan makanan dan disumbangkan kepada mangsa.
“Saya membuat satu hantaran melalui platform media sosial baru-baru ini dan ditularkan serta mendapat maklum balas dari sahabat dan orang ramai yang berhasrat untuk turut menyumbang kepada mangsa banjir kali ini.
“Alhamdulillah, ramai yang menyumbang sehingga dapat mengumpul wang lebih RM13,000 untuk membeli bahan makanan untuk dimasak dan diedarkan kepada mangsa,”katanya.
Katanya, sambutan orang ramai khususnya mangsa berterima kasih kerana dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung mereka di saat menghadapi kesukaran, sumbangan terbesar setakat ini dapat menyediakan 400 bungkus nasi lemak dan 800 botol air minuman diedarkan di Kampung Tengah.
“Saya berniat semua sumbangan dan sedekah yang sampaikan itu untuk arwah mertua, ibu dan bapa saya, ini adalah sumbangan saya, rakan serta orang perseorangan yang turut menyumbang yang terbesar setakat ini.
“Kepada yang memerlukan bantuan, sila datang ke kedainya, Insya Allah saya akan cuba membantu,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SANG RIANG BANTU PESAKIT BUAH PINGGANG: SEDIA KEMUDAHAN PENGINAPAN PERCUMA
BERA: Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang yang beroperasi dekat Triang, di sini, menyediakan kemudahan penginapan sementara secara percuma kepada pesakit dan waris mereka yang menjalani rawatan haemodialisis di tempat berkenaan, ketika musim banjir.
Inisiatif terbaru itu adalah bertujuan memberi keselesaan kepada pesakit dan waris mereka, terutamanya ketika musim tengkujuh yang selalunya mengganggu urusan perjalanan pergi dan balik pesakit bagi menjalani rawatan.
“Usaha untuk menyediakan kemudahan ini adalah berdasarkan pengalaman kami selepas melihat kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan haemodialisis datangnya dari kampung tradisi dan FELDA.. jadi, mereka mungkin berdepan masalah kewangan untuk mencari tempat berehat sebelum dan selepas rawatan, ” – Pengasas Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Yap Yoke Mey
Pengasas Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Yap Yoke Mey berkata, dengan adanya kemudahan penginapan itu, dapat mengurangkan kos perjalanan pesakit selain memberi keselesaan kepada waris mereka.
“Usaha untuk menyediakan kemudahan ini adalah berdasarkan pengalaman kami selepas melihat kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan haemodialisis datangnya dari kampung tradisi dan FELDA.. jadi, mereka mungkin berdepan masalah kewangan untuk mencari tempat berehat sebelum dan selepas rawatan.
“Jadi kami sediakan kemudahan ini supaya dapat meringankan beban dan memberi mereka lebih masa untuk berehat kerana selepas rawatan biasanya mereka (pesakit) akan berasa sangat letih dan lesu,” katanya.
Yoke Mey berkata, pesakit juga boleh memilih untuk berehat di tempat penginapan disediakan jika kawasan kediaman mereka dilanda banjir.
Katanya, pihak pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang akan terus menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan berharap lebih ramai mendapat manfaat daripada perkhidmatan disediakan di tempat itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Pernah dihalau gara-gara gagal membayar sewa rumah, itu antara nasib yang menimpa seorang biduanita negara.
Berkongsi apa yang dilaluinya sejak tiga tahun lalu, Uji Rashid memberitahu kehidupan yang dilaluinya ketika ini agak sukar memandangkan terpaksa menjaga anaknya Cico Harahap, 41.
“Hidup kami memang susah, hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Saya, Cico dan cucu, Rindu pernah dihalau dari rumah sewa dalam keadaan sehelai sepinggang. Kami terpaksa menginap di hotel bajet selama berbulan-bulan.
“Namun ada seorang peminat yang baik hati memberi kami tempat berteduh. Tahun lalu, atas bantuan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kami ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya yang membuat pendedahan dalam Program Telekung Talk di platform FACEBOOK Muhayya Momentum semalam.
Berkongsi mengenai keadaan anaknya kini, kata Uji, Cico semakin pulih.
Namun sehingga kini Cico masih gagal bertutur mahupun menulis dengan baik.
Melalui program itu juga, Uji turut mendakwa, Cico sebenarnya diracun kawannya sendiri.
“Sebenarnya Cico bukanlah disihir tetapi diracun oleh rakan-rakannya. Menurut doktor beberapa jenis racun dicampur ke dalam gelas minumannya.
“Difahamkan juga racun itu mampu membunuhnya dalam tempoh empat jam.
“Saya masih ingat Cico muntah-muntah dan wajahnya dipenuhi darah. Berhari-hari dia terlantar sakit di atas katil. Masa itu saya hanya berserah dan memohon petunjuk daripada Allah SWT.
“Satu hari Cico bangun tetapi dia hanya diam apabila ditanya. Dia tidak kenal saya mahupun anaknya sendiri.
“Bila ditanya doktor siapa nama, dia jawab Pikee. Saya difahamkan racun itu memberikan kesan terhadap otak, organ dalaman dan kotak suaranya,” katanya seperti dilaporkan UTUSAN ONLINE.
Turut berada dalam program yang sama Datuk Dr Prof Muhaya yang menitipkan nasihat kepada Uji agar terus bersabar dalam melalui dugaan ini.
Telekung Talk kendalian pengacara Abu Talib Husin diperkenalkan sejak tiga tahun lalu dan pernah menampilkan selebriti popular antaranya Neelofa, Lisa Surihani, Fazura.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
EBIT BANTU KELUARGA GANESH: SEWAKAN RUMAH DAN PERALATAN KELENGKAPAN
GEORGETOWN: Keperitan hidup seorang pengawal keselamatan bersama keluarganya yang terpaksa tinggal di dalam kereta sejak lapan bulan lalu berakhir apabila nasib mereka mendapat perhatian penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew.
Ebit menerusi hantaran di FACEBOOKnya hari ini berkata, beliau amat sedih selepas membaca kisah S Ganesh, 34, isteri, S Parameswary, 32, dan tiga anak mereka berusia antara 6 tahun hingga 8 bulan yang tinggal di dalam kereta selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran, awal April lalu.
EBIT LEW (KANAN) MENEMANI AHLI KELUARGA GANESH MEMBELI BARANGAN KEPERLUAN/FACEBOOK
Menurutnya, beliau mengetahui kisah lima beranak itu ketika berada di Johor Bahru lalu bergegas ke Pulau Pinang untuk menyalurkan bantuan.
“Cuti umum Krismas dari Johor Bahru terus saya ke Pulau Pinang. Menangis sebak semalam masa di Johor Bahru terbaca pasal Ganesh dan isteri, Parameswari serta tiga anak kecil yang tidur lapan bulan di dalam kereta.
“Sedihnya rasa. Saya tidur lena makan sedap, ada orang sampai tinggal dekat bonet kereta. Berpantang baru lepas bersalin hanya dalam kereta,” katanya, lapor SINAR HARIAN.
Dalam hantaran itu juga, Ebit berkongsi beberapa keping gambar beliau membawa keluarga itu membeli barangan keperluan selain rumah baharu yang disewa untuk mereka.
” Saya sewakan rumah cantik selesa ada tiga bilik. Saya akan bayar sewa rumah untuk sebulan sementara mereka dapat rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Dah dua kali mohon semenjak rumah terbakar.
“Tapi jika mereka terus ingin tinggal di situ pun saya akan terus bayarkan dengan gembira. Saya hadiahkan peti ais, mesin basuh, televisyen, RICE COOKER, dapur, kipas, satu katil saiz QUEEN, dua katil SINGLE, barang dapur dan duit belanja. Sayu masa nak belikan barang untuk mereka.
“Baik sangat pasangan ini, tidak berhenti Ganesh dan isteri ucapkan terima kasih dan mereka menangis terharu. Kata mereka, kenapa banyak sangat dan mereka suka sangat tengok rumah, saya gembira dapat tengok senyuman anak-anak comel,” katanya.
EBIT LEW (KANAN) MELAYAN KARENAH ANAK PASANGAN GANESH DAN PARAMESWARY/FACEBOOK
Pada Khamis, media melaporkan kehidupan Ganesh bersama isteri dan tiga anak mereka terpaksa tinggal di dalam kereta Proton Iswara yang berusia kira-kira 20 tahun selepas rumah mereka di Lebuh Carnarvon, di sini musnah dalam kebakaran pada awal April lalu.
Ganesh berkata, setiap hari dia akan membawa kereta tersebut dengan anak dan isteri mencari tempat redup untuk berhenti dan berteduh sementara di sekitar bandar ini dan menggunakan tandas-tandas awam untuk mandi dan sebagainya.
Sementara itu, Parameswary yang bersalin lapan bulan lalu terpaksa menjalani kehidupan berpantang dengan anak ketiganya di dalam kereta tersebut kerana tiada tempat tinggal.
Dia hanya mengharapkan pendapatan suami yang bergaji kecil dan bayinya hanya minum susu badan bercampur susu botol.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BERHASRAT UNTUK JUAL VIOLIN DIMENANGI BERNILAI RM20,000
PETALING JAYA: Seorang pemain violin kelahiran negeri Perak terpaksa menjual violin kesayangannya berjenama OttoJosKlier (OJKlier) bagi mengurangkan bebanan kewangan keluarga untuk membeli sebuah kerusi roda baharu untuk ayahnya.
Ell Zain Hyder atau dengan panggilan Endang Hyder ialah seorang pemain violin profesional dan mendapat pendidikan muzik klasik dari Universiti Queen, di Belfast, Ireland Utara.
Endang mula bermain violin sejak berusia 10 tahun dan pernah mengadakan persembahan secara profesional beberapa tahun lalu di peringkat antarabangsa, tetapi mengambil keputusan untuk bersara bagi memberi sepenuh perhatian menjaga ayahnya yang sakit sejak 2013.
“Ayah saya tidak mempunyai kaki lagi dan tangan kirinya mulai lemah, saya bersyukur dan mujur saya mempunyai sedikit simpanan untuk membeli kerusi roda elektrik untuknya.
“Tetapi demi menjaga kestabilan kewangan keluarga, saya terpaksa menjual violin kesayangan OJKlier kerana (sebagai pemuzik) tidak dapat mengadakan persembahan yang menjadi punca pendapatan sepanjang pandemik ini,” katanya.
Katanya, bukan dia sahaja terkesan malah ramai pemuzik lain turut terjejas, begitu juga kerjaya lain yang pendapatan bulanan dikurangkan, diberi cuti tanpa gaji dan lebih menyedihkan ada yang diberhentikan kerja.
“Saya terpaksa menjual hadiah yang dimenangi dan juga peralatan muzik yang sangat bernilai bagi saya untuk meneruskan kehidupan.. membeli barangan keperluan harian dan mengisi perut sekeluarga adalah benda terpenting ketika ini.
“Saya bukan orang yang ingin meminta-minta sumbangan orang ramai.. jadi pilihan tepat adalah menjual peralatan muzik yang saya ada.. sebelum ini saya juga sudah menjual violin elektrik untuk menampung kos hidup kami sekeluarga,” katanya.
Katanya, ayahnya, Zainuddin Ottok adalah bekas guru dan pensyarah Bahasa Inggeris mengidap penyakit kencing manis dan kaki kiri ayahnya dipotong di paras bawah lutut awal bulan November lalu.
Ibu berusia 34 tahun itu tidak sedih dengan tindakannya melepaskan violin kesayangannya itu demi keselesaan ayahnya.
“Semasa muda, ayah tidak mempunyai pendapatan yang tinggi dan harga sebuah violin agak mahal dan di luar kemampuan kami, maka ayah saya berjimat cermat untuk mendapatkan sebuah violin kerana dia nampak saya sangat berminat dalam muzik.
“Dia telah melakukan yang terbaik dan sentiasa menyokong saya untuk mendapat ilmu dalam bidang muzik.. sekarang tiba masa untuk saya membalas jasa ayah,” kata Endang.
Beberapa tahun lalu, Endang sangat dikenali ramai apabila rakaman persembahan dia memainkan lagu popular menggunakan violin di YouTube berjaya menarik ratusan ribu pengikut di rangkaian YouTube miliknya.
Dia juga pernah menjadi tutor kepada isteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
“Sekarang saya mengadakan kelas bermain alat muzik seperti violin, gitar, piano dan ukulele tetapi hanya tinggal 4 orang pelajar sahaja dan ramai yang membatalkan kelas kerana turut berjimat-cermat ketika berhadapan pandemik ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ebit Lew menghantar 10 tan bantuan keperluan asas ke Sabah hari ini.
Ebit Lew dalam perkongsian di laman Facebooknya sebentar tadi, berkata beliau risau dengan keadaan di Sabah selepas menerima banyak mesej meminta bantuan.
“Saya menghantar tiga lori Elewsmart dari gudang Elewsmart semalam terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.
“Risau ramai mengadu lapar yang memerlukan bantuan makanan asas.
“Sayu malam-malam bila baca tentang sebahagian orang Sabah.
“Ramai sangat mesej saya.Baca berita rasa sedih.
“Saya turut bekerjasama dengan pesawat My Jet Xpress Airlines yang akan menghantar bantuan keperluan asas itu ke Kota Kinabalu,” katanya.
Katanya, beliau bersyukur dapat bekerjasama dengan My Jet Express dan terharu dengan layanan baik Pengerusinya, Mohamed Yunos dan Ketua Pegawai Eksekutif, Azrul Hisham.
“Doakan Sabah ya. Doakan seluruh Malaysia. Doakan seluruh dunia. Jangan ada satu orang pun lapar dan tiada makan minum. Ini ujian untuk kita semua,” tulisnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!