2,000 penduduk Kampung Tanjung Kerayong mohon jambatan baharu
MENTAKAB – Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Tanjung Kerayong dekat sini memohon kerajaan segera membina semula jambatan lama yang runtuh dengan menggantikan jambatan baharu untuk kemudahan penduduk di situ dan kampung sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tanjung Kerayong, Abdul Mubin Ismail berkata, jambatan konkrit yang dibina kira-kira 15 tahun lalu, pada awalnya telah patah di bahagian tengah dan kemudian runtuh sepenuhnya pada tahun 2021.
Jambatan lama itu sepanjang kira-kira 50 meter yang merentangi Sungai Semantan runtuh sepenuhnya ketika banjir akibat banyak kayu besar yang hanyut merempuh tiang dan gelegar jambatan ini.
“Jambatan lama itu sepanjang kira-kira 50 meter yang merentangi Sungai Semantan telah runtuh sepenuhnya ketika banjir pada tahun itu akibat banyak kayu besar yang hanyut merempuh tiang dan gelegar jambatan ini.
“Saya sebagai pengerusi JPKK kampung ini merayu kepada pihak kerajaan membina jambatan baharu demi memudahan dan keselesaan penduduk di situ,” katanya.
Katanya, jambatan itu turut digunakan penduduk di Kampung Gantuk Hulu, Kampung Paya Mentakab dan kampung Seberang Mentakab untuk berurusan di bandar Mentakab serta penempatan yang bakal dibuka di Kamping Bukit Kuin.
Penduduk yang mempunyai kebun getah di seberang Sungai Semantan tidak dapat melakukan kerja-kerja kebun sejak jambatan runtuh.
Seorang penduduk, Norehan Ismail (65) berkata, di seberang sungai itu ada tanah perkuburan Islam Kampung Tanjung Kerayung.
“Sejak jambatan runtuh, jenazah yang dibawa untuk dikebumikan di tanah perkuburan itu terpaksa mengguna jalan jauh kira-kira 7 kilometer melalui Kampung Gantuk.
“Walhal, jarak dari kawasan perumahan kampung ini hanya sekitar 500 meter sahaja,’’ Katanya.
Penduduk yang mempunyai kebun getah di seberang Sungai Semantan itu, Ghazali A Rahman (63) berkata, kebanyakan penduduk di kampung itu masing-masing memiliki kebun di seberang sungai tetapi tidak dapat melakukan kerja-kerja kebun sejak jambatan runtuh.
“Tanah seluas kira-kira 400 hektar kebun penduduk di sini tidak dapat mengusahakan kebun dan mengalami kerugian tidak dapat memasarkan hasil pertanian masing-masing..
“Saya sendiri sudah hampir setahun tidak ke kebun, kebun saya tinggal terbiar dan bersemak, oleh kerana tidak dapat pergi menoreh pokok getah di seberang sana, serba sedikit menjejaskan mata pencarian saya,” katanya.
Katanya, penduduk yang mempunyai kebun getah, kelapa, durian dan rambutan tidak dapat mengeluarkan hasil masing-masing sejak jambatan itu runtuh.
“Perkara jambatan runtuh ini telah dibawa ke peringkat berkaitan tetapi tiada sebarang tindakan susulan dilakukan sehingga hari ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jalan baharu Kg Mat Daling – Kg Pasir Raja beri impak besar kepada Jerantut dan penduduk
JERANTUT : Pembinaan jalan baharu dua lorong (single carriageway) sepanjang kira-kira 50 kilometer dari Kampung Mat Daling ke Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu akan memberi impak besar kepada daerah Jerantut dan penempatan tradisional sepanjang pesisir Sungai Tembeling.
Jalan yang dibina dengan kelebaran 6.5 meter (20 kaki) serta berturap bakal memberi limpahan kepada ekonomi tempatan, pelancongan dan sosial.
Salah satu papan tanda yang menunjukkan arah ke Kampung Pasir Raja.
Kira-kira 5,000 orang penduduk Kampung tradisional di pesisiran Sungai Tembeling, Kampung Kuala Tahan, Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling bakal mengecapi kemudahan jalan raya serta peluang menjana pendapatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan kampung (JPKK) Kampung Mat Daling, Wan Mohd Suhaimi Wan Ishak berkata, pengguna jalan baharu ini bakal menikmati pemandangan indah di sepanjang jalan dengan kawasan tinggi berbanjaran yang menghijau serta air sungai yang cantik seperti kawasan perkelahan Jeram Perahu yang terletak berdekatan Kampung Mat Daling.
“Kemungkinan pengguna laluan akan berhenti menghirup udara segar dan juga mandi manda bersama anak masing-masing sebelum meneruskan perjalanan di tempat yang menarik.
“Banyak tempat menarik dengan anak sungai dengan aliran air sungai yang jernih, tempat ini yang selama ini tidak diketahui umum kecuali orang kampung yang sering ke tempat tersebut,” katanya.
Katanya, penduduk di kawasan Mukim Hulu Tembeling menyambut baik dan bersyukur projek pembinaan jalan dari Kampung Mat Daling ke Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu bakal memberi impak besar kepada penduduk tempatan yang sudah lebih 50 tahun menunggu kemudahan seperti jalan raya ini.
Antara lalauan di Kampung Mat Daling menghala ke jalan utama ke Jalan Mat Darling-Kampung Pasir Raja yang sedang dibina.
“Sebelum ini, penduduk di kawasan Hulu Tembeling terutama penduduk di Kampung Mat Daling mempunyai pertalian kekeluargaan dan persaudaraan di Kampung Pasir Raja, Dungun.
“Sebelum tiada jalan raya sebelum tahun 1980an, penduduk di Kampung Mat Daling berjalan kaki melalui denai hutan yang mengambil masa 2 hari satu malam untuk menziarah keluarga mereka di sana begitu juga sebaliknya,” katanya.
Penduduk bandar Jerantut, Rosmadi Sulaiman (60) berkata, orang ramai yang bakal menggunakan laluan itu daripada bahagian Pahang Barat dan Pahang Selatan, meliputi daerah Bera, Temerloh, Bentong, Lipis, Raub dan Jerantut akan menjadikan daerah Jerantut sebagai persinggahan sebentar sebelum meneruskan perjalanan.
“Mereka (pengguna laluan) akan berhenti berehat, minum dan makan malah turut mengisi minyak di stesen minyak di bandar ini sebelum meneruskan perjalanan dan bakal melonjakkan ekonomi tempatan.
“Selain itu, penduduk di sepanjang laluan ini seperti penduduk Felda Padang Piol, Felda Sungai Retang dan juga penduduk di Tembeling Tengah termasuk Kuala Tahan boleh membuka gerai makan masing-masing di tempat yang sesuai di sepanjang jalan.
“Begitu juga penduduk di kampung-kampung berkaitan boleh merebut peluang berniaga dan menjadikan mata pencarian baharu mereka selain pertanian yang mereka lakukan sejak zaman- berzaman itu,” katanya.
Aktivis pelancongan, Sabri Abdullah berkata, laluan baharu ini akan sibuk menjelang musim perayaan dan cuti sekolah kerana pengguna akan mengambil jalan pintas terutama ke arah daerah Dungun dan sebaliknya, seterusnya ke daerah berdekatan di Terengganu dan Kelantan.
“Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1 ) dan LPT2 menghala ke pantai timur akan ‘lega’ kerana ada jalan pintas sebagai pilihan baharu, pengguna akan keluar dari lebuh raya LPT1 dan masuk ke jalan persekutuan ke bandar Jerantut.
“Manakala, pemain industri pelancongan pula akan turut menerima kesan besar dengan bilangan kehadiran pengunjung tempatan sekiranya laluan ini siap sepenuhnya,” katanya.
Katanya, sebagai contoh, kalau dahulu untuk ke Cameron Highlands hanya ada satu laluan sahaja melalui pekan Tapah, tetapi kini ada empat penjuru dari daerah Lipis melalui Sungai Koyan, Gua Musang, Simpang Pulai (Perak) dan Tapah menyebabkan bilangan pengunjung bertambah.
“Kepada pengusaha, inap desa, chalet dan perhotelan di Kuala Tahan dan di kampung berdekatan perlu bersiap sedia akan turut meraih pertambahan bilangan pengunjung khususnya di musim cuti panjang,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anak, cucu dan cicit Allahyarham Kiyai Salleh Abdul Syukur berkumpul pada Program Perjumpaan Keluarga di rumah pusaka yang terletak di Kampung Parit Kaseh Sayang, Senggarang, Batu Pahat, Johor pada 1 Julai lalu.
Anak, cucu,cicit Kiyai Salleh berkumpul di Batu Pahat
TIDUR berselerak dan bergelimpangan di ruang tamu seperti dahulu di atas rumah pusaka mengamit banyak kenangan silam kepada anak, cucu dan cicit Allahyarham Kiyai Salleh Abdul Syukur dalam program perjumpaan keluarga yang diadakan pada 1 Julai lalu.
Program itu berlangsung di Kampung Parit Kaseh Sayang, Senggarang, Batu Pahat, untuk menghimpunkan semula lebih 250 waris Allahyarham Kiyai Salleh sehingga generasi keenam yang berada di seluruh negara termasuk dari Selangor, Melaka, Pahang dan juga Johor.
Majlis bacaan yasin dan tahlil turut diadakan pada program itu.
Cucu Allahyarham Kiyai Salleh, Harolhanam Mohamed Wahid, berkata program julung kali itu diadakan atas inisiatif bapa saudara beliau iaitu Muslimin Salleh yang merupakan satu-satunya anak Allahyarham datuknya yang masih hidup daripada lapan adik-beradik.
Menurutnya, bersempena Hari Raya Aidiladha, bapa saudaranya itu memaklumkan supaya diadakan satu perjumpaan buat semua waris Allahyarham Kiyai Salleh di atas rumah pusaka berkenaan bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga di samping dapat mengimbaukan semula kenangan masa kecil dahulu.
“Selepas mendapat persetujuan semua waris bersetuju program diadakan di rumah pusaka ini walaupun kecil kami tidak kisah kerana masih kanak-kanak pernah tidur berhimpit-himpit dengan disaksikan oleh Allahyarham datuk penuh sayu,” katanya.
Sempena program berkenaan, telah diadakan majlis bacaan Yasin serta tahlil untuk Allahyarham Kiyai Salleh dan ahli keluarga yang sudah meninggal dunia diikuti pelbagai aktiviti seperti sukaneka, cabutan nombor bertuah disamping jamuan ringan bagi memberi peluang semua waris bersua muka untuk bertanya khabar.
Waris ahli keluarga Allahyarham Kiyai Salleh beramah mesra sambil menjamu selera dalam majlis jamuan yang diadakan.
Harolhanam berkata, mereka tidak memilih hotel sebagai lokasi perjumpaan itu kerana bagi memberi peluang kepada cucu serta cicit mengingatikan kembali tempat Allahyarham bersujud menunaikan solat, mengaji, tidur atau berbaring ketika hayatnya.
Menurutnya, bagi sesetengah cucu apatah lagi cicit tidak berkesempatan untuk bermanja dengan Allahyarham ketika hidupnya dan mereka hanya mendengar cerita daripada orang terdekat atau melihat gambar dalam album sahaja.
Tambahnya, mendapat gelaran Kiyai, Allahyarham cukup menitikberatkan didikan agama kepada anak-anaknya yang selalu diingati supaya perkara itu terus disebarkan atau diberi asuhan kepada cucu serta cicit beliau.
Terkesan program itu jelasnya, dalam kesibukan ‘rewang’ menyiapkan jamuan untuk waris semua, antara kami berpandangan sayu apabila dapat hadir dan berkumpul di dalam rumah pusaka kerana masih kekal dengan binaan asal rumah tradisional menjangkau usia 100 tahun yang masih wujud di kampung berkenaan.
“Masih jelas pada ingatan waris semua di halaman rumah inilah tempat kami bermain berkejar-kejaran apabila pulang bersama ahli keluarga pada musim cuti sekolah atau menyambut hari raya dan sebagainya.
“Allahyarham masih itu tidak petah untuk melayani semua anak atau cucu kerana terlalu gembira apabila kami pulang menjenguknya walaupun menetap jauh dari kampung sanggup datang menyantuni dia.
“Sebelum bersurai kami semua bersetuju untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan supaya waris yang menetap di kampung ini khusus bapa saudara kami Muslimin tidak berasa kesunyian kerana masih ada anak saudara serta cucu sedia menyantuninya,” ujar Harolhanam. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sukarelawan dan penduduk kampung memotong daging dan tulang sebelum dimasukan ke dalam plastik untuk diagihkan.
200 sukarelawan jaya program korban Aidiladha 2023
SERAMAI 200 sukarelawan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk Kampung Sungai Purun turun bergotong-royong menjayakan Program Korban Hari Raya Aidiladha 2023 Pusat Jagaan Mahmuda Malaysia (PJMM), di Semenyih, baru-baru ini.
Mereka yang datang dengan membawa peralatan seperti pisau untuk melapah dan kapak untuk memotong tulang lembu berjaya melancar urusan penyembelihan enam ekor lembu dan dua ekor kambing yang berakhir sebelum masuk waktu solat Zuhur.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman, berkata kehadiran sukarelawan NGO dan penduduk kampung terbabit amat dialu-alukan dalam memupuk budaya kesepakatan serta persaudaraan menjayakan program komuniti termasuk menyempurnakan ibadat korban itu.
Ahli sukarelawan dan penduduk kampung bergotong-royong melapah lembu pada Program Korban Hari Raya Aidiladha 2023 Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum bergotong-royong melaksanakan ibadat korban itu mereka yang hadir terlebih dahulu menunaikan solat sunat Aidiladha di surau PJMM, bersarapan bersama kemudian mendengar taklimat ringkas mengenai syarat penyembelihan korban termasuklah kaedah mengumpul daging korban.
Tambahnya, langkah itu penting bagi memastikan longgokan daging lembu yang siap dilapah termasuk tulang yang dipotong itu tidak bercampur dengan lembu lain sebagaimana ditetapkan dalam ibadat korban.
“Walaupun baru kali pertama bertemu pada program itu mereka yang hadir mampu berkomunikasi serta bekerjasama dengan baik bagi melancarkan urusan penyembelihan korban dan tidak tergendala disamping menggembirakan hati semua,” katanya.
Sukarelawan dan penduduk kampung turut bersama-sama melapah dua ekor kambing.
Azman berkata, daging lembu yang dikorban itu termasuk daripada penyertaan individu dan NGO diagihkan kepada pusat tahfiz, rumah anak yatim, keluarga asnaf atau miskin dan pusat jagaan sekitar Semenyih untuk sama-sama menikmati daging sembelihan korban.
Menurutnya, daging korban itu juga diagihkan kepada sukarelawan dan ahli NGO yang turun padang membantu menyempurnakan urusan sembelihan haiwan korban serta melapah dan memotong daging korban di samping sebelum bersurai turut menikmati jamuan ringkas daripada menu daging korban.
Penasihat 1 PJMM, Mohiadin Bahado, berkata program korban itu berlangsung dalam suasana kombinasi terbaik apabila mendapat kerjasama daripada sukarelawan pelbagai NGO dan penduduk kampung sekitar PJMM.
Jelasnya, selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) wabak Covid-19 lebih tiga tahun lalu, program korban itu merupakan pengumpulan terbesar orang ramai khususnya sukarelawan di PJMM untuk melaksanakan aktiviti komuniti.
“Pembabitan daripada orang ramai dalam program kemasyarakatan atau komuniti juga menjadi usaha PJMM untuk menyemai budi pekerti mulia apabila mereka diberi peluang menyantuni warga emas yang hidup tanpa waris atau disisih keluarga,” katanya.
Timbalan Yang Dipertua Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (Badim), Azhar Yop, pula berkata Badim berasa bertuah kerana diberi peluang untuk menyertai program korban berkenaan kerana dapat mengagihkan daging korban kepada pusat tahfiz, rumah anak yatim dan keluarga asnaf.
Jelasnya, dengan cara ini pengagihan daging korban akan bertepatan sebagaimana yang disyaratkan dalam syariat Islam supaya mereka yang jarang atau amat sukar untuk menikmati daging kali ini berpeluang merasainya.
“Di samping itu program ini berjaya memupuk silaturahim mereka yang hadir mewakili pelbagai NGO dan penduduk kampung bergading bahu melaksanakan ibadat korban dan mengambil iktibar daripada kisah ibadat korban yang menjadi sunat dilakukan umat Islam,” ujarnya.
Sementara itu, bersempena menyambut Hari Raya Aidiladha 1444H ini, 60 belia dari Taman Delima, Kajang, Selangor mencurah keringat dan tenaga berganding bahu bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Batu 13, sebelum sambutan hari raya Aidil Adha.
Mengetuai program itu, Mohd Khairi Rahman, berkata bagi mengukuhkan ikatan ukhuwah antara remaja di taman berkenaan mereka bersepakat pula mengadakan sembelihan korban seekor lembu.
“Sebagai tanda kesyukuran dan memenuhi tuntutan ibadat korban kami agihkan daging itu kepada penduduk sekitar taman di samping kepada keluarga remaja terbabit,” ujarnya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) merakamkan kenangan selepas mengadakan Program Khidmat Komuniti di asrama sementara PEWARIS di Kampung Lahar, Mukim Malau, Jitra, Kedah, baru-baru ini.
PEWARIS sewa rumah lama untuk bela warga emas
KOMITMEN yang teguh untuk membuka pusat jagaan bagi membela nasib warga emas tanpa waris, disisih keluarga dan terbiar menjadi gelandangan mendorong Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (PEWARIS) beroperasi sementara di Kampung Lahar, Mukim Malau di Jitra, Kedah bermula 15 Jun 2023 lalu.
Usaha dan komitmen PEWARIS membuka asrama sementara pusat jagaan warga emas sering mendapat perhatian NGO untuk berkongsi rezeki.
Bagi tujuan itu PEWARIS menyewa sebuah rumah yang dibaik pulih semula untuk menjadi asrama sementara bagi menampung 14 penghuni dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti tangki air, penapis air, bilik berfungsi sebagai wad sementara, bilik kaunseling, surau dan dewan terbuka sebagai tempat pengajian agama.
Setiausaha PEWARIS, Azmi Mat Napiah, berkata langkah itu turut mendapat sokongan serta dorongan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara apabila turut menghulurkan sumbangan seperti katil hospital, barangan makanan keperluan asas dan sebagai bagi meringankan bebanan PEWARIS.
Menurutnya, walaupun asrama berkenaan bertaraf sementara untuk menunggu kutipan dana atau wakaf mencukupi bagi tujuan pembinaan bangunan kekal iaitu sebuah kompleks pusat jagaan di Kampung Bukit Napai, Mukim Binjai, daerah Kubang Pasu di Jitra, Kedah yang dijangka menelan perbelanjaan RM4.9 juta, bermacam aktiviti akan diatur di pusat jagaan itu.
Katil-katil untuk kemudahan penghuni keuzuran turut dikongsikan oleh beberapa pusat jagaan sebagai sokongan kepada PEWARIS.
Tambahnya, di asrama sementara itu PEWARIS sudah merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti harian termasuklah latihan kerja kemahiran seperti membuat bedak sejuk, telur masin, semaian serta jahitan di samping kelas agama iaitu pengajian hadis, tafsir al-Quran, amali solat, bacaan al-Quran dan mukaddam dengan bimbingan guru agama bertauliah.
Jelas Azmi, umpama pusat jagaan yang sudah lama beroperasi, menu makanan disediakan mengikut jadual ditetapkan, manakala penghuni uzur atau menghidap penyakit penyediaan makanan akan mematuhi nasihat pegawai perubatan hospital atau klinik kesihatan tempat mereka dirujuk untuk mendapatkan rawatan.
“PEWARIS akan menyantuni warga emas ini ibarat sebagai seorang bapa atau ibu yang memerlukan kasih sayang, perhatian untuk dijaga dengan sempurna sebagaimana amanah yang menjadi taruhan dan tidak akan sekali-kali melakukan secara sambil lewa.
“Buat permulaan PEWARIS akan menerima warga emas dalam kalangan asnaf, fakir miskin, gelandangan dan terbiar tanpa waris untuk di tempatkan di asrama sementara ini yang mendaftar secara percuma namun begitu mereka terbabit akan direkodkan latar belakang bagi memudahkan urusan jika berlaku kecemasan atau perkara tidak diingini,” ujarnya.
Azmi berkata, pembukaan asrama sementara itu juga akan dijadikan tempat sukarelawan PEWARIS mempraktik tugasan serta menimba pengetahuan cara menyantuni warga emas dan keperluan yang perlu pada seseorang itu dalam mengurus atau melayani penghuni dengan cara yang betul
Menurutnya, tanpa pengalaman atau pengetahuan asas sudah tentu akan melahirkan sikap kurang sempurna atau mungkin mudah bosan ketika menyantuni warga emas berkenaan kerana pelbagai karenah serta permasalahan akan berlaku terutama dalam mengurus selia mereka yang uzur.
Jelasnya, tugas sukarelawan juga penting dalam membantu PEWARIS mengurus tadbir asrama itu supaya mampu beroperasi dengan lancar dan perkara berkenaan akan dipraktikan semula apabila bangunan kekal sebagai kompleks siap dibina dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas yang lebih baik selain mampu menampung jumlah penghuni dijangka melebihi 50 orang.
Tambah beliau lagi, walaupun sebagai asrama sementara PEWARIS mempelawa pelbagai pihak termasuk NGO untuk hadir bagi menjalankan aktiviti amal kebajikan atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) sambil menghulurkan sumbangan bertujuan sama-sama berkongsi rezeki membela nasib warga emas.
“Saya sebelum ini bersama-sama ahli jawatankuasa PEWARIS sudah mengunjungi beberapa pusat jagaan dan rumah kebajikan dalam menjalinkan kolaborasi serta kerjasama bagi menimba pengetahuan mengenai kaedah atau cara terbaik mengurus tadbir warga emas serta pelbagai kelengkapan dan kemudahan asas yang perlu disediakan,” katanya.
Mengenai bangunan kekal yang akan dibina sebagai kompleks itu, Azmi berkata, PEWARIS akan berusaha sebaik mungkin untuk menyiapkannya semata-mata bagi ambil peduli mereka ditimpa musibah termasuk dalam kalangan asnaf, miskin, ibu tunggal khususnya warga emas terbiar diuruskan dengan sempurna termasuk memberi bimbingan ilmu ibadat dan latihan kemahiran supaya dapat berdikari.
Menurut beliau, apabila siap dibina nanti, kompleks itu akan berada dalam persekitaran suasana perkampungan berdusun kerana kawasan tanah seluas 20 ekar yang bersempadan giat ditanam pokok durian dan akan dijadikan dusun agropelancongan dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk inap desa (rumah inap).
Tambahnya, kompleks itu juga akan dengan dilengkapi prasarana yang cukup sempurna seperti dua blok bangunan asrama setingkat yang boleh menampung 40 hingga 50 penghuni dengan kemudahan bilik mandi, tandas, membasuh, bacaan, tempat berehat, ruang menonton televisyen dan sebagainya selaras kehendak Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Katanya, di samping prasarana berkenaan kompleks itu juga akan dilengkapi beberapa bangunan seperti asrama warden, tukang masak, pentadbiran, bilik mesyuarat, wad sementara, kemahiran vokasional, latihan kesihatan, kantin, surau, dewan ilmu, rumah kawalan keselamatan dan rumah inap untuk disewa.
“Sebagai NGO, PEWARIS mempunyai sumber kewangan yang terhad dan kini sudah mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada pihak berkenaan bagi melakukan aktiviti mengumpul dana daripada pelbagai pihak dan berharap syarikat besar dapat berganding bahu dengan menghulurkan sumbangan,” ujar Azmi.
Kepada pelbagai pihak atau mereka yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi PEWARIS menerusi nombor telefon Azmi 012-429 7510. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sekumpulan kanak-kanak Orang Asli suku Mendriq yang merupakan generasi baru suku itu menyejukkan badan dengan mandi di dalam tangki simpanan air ketika ditemui Bernama di Kampung Kuala Lah baru-baru ini.
Gua Musang: Suatu ketika dulu, ucapan ‘kerjak kuet untuk derik bek belak, ba masak ba senge bek,” (bekerja kuat untuk diri sendiri, demi masa depan awak) menjadi satu kemestian yang dituturkan oleh masyarakat Orang Asli suku Mendriq kepada ahli keluarga yang mahu memulakan sebarang aktiviti seperti memburu atau bercucuk tanam.
Namun sejak tahun-tahun belakangan ini, ucapan berunsur nasihat itu yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi, semakin jarang kedengaran dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Lah, di sini.
Orang Asli Mendriq, Tijah Latif, 60, melakukan proses meraut buluh untuk menghasilkan bahan utama ayaman tikar perhiasan bagi menambah sumber pendapatan ketika ditemui Bernama di Kampung Kuala Lah baru-baru ini.
Malah, rata-rata mereka, terutama golongan muda, tidak lagi mengutamakan bahasa Mendriq, sebaliknya lebih selesa berbahasa Melayu loghat Kelantan dalam percakapan seharian.
Situasi itu meresahkan golongan tua yang tidak mahu melihat identiti suku mereka hilang ditelan masa, lebih-lebih lagi komuniti mereka juga semakin mengecil, iaitu hanya sekitar 600 orang sekarang.
Pakar yang membuat kajian tentang bahasa Orang Asli di negara ini menjangkakan bahasa Mendriq berpotensi pupus dalam tempoh 20 tahun akan datang jika tidak ada langkah pemeliharaan diambil oleh pihak yang berkenaan.
Ini bermakna negara bakal kehilangan satu lagi warisan budaya.
Mendriq merupakan subkumpulan Orang Asli Negrito dan hanya ditemukan di Kelantan. Pada masa ini mereka menetap di tiga lokasi iaitu Kampung Lah di Gua Musang dan Kampung Pasir Linggi serta Sungai Tako di Kuala Krai.
(Di Semenanjung Malaysia, terdapat tiga kumpulan Orang Asli, iaitu Senoi yang merangkumi 55.09 peratus, Melayu Proto (41.97 peratus) dan Negrito (2.94 peratus). Di bawah keluarga Senoi ada suku Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semoq Beri dan Mah Beri, sementara Melayu Proto dibentuk oleh etnik Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kanaq, Orang Seletar dan Orang Kuala. Kumpulan Negrito pula terdiri daripada Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Lanoh dan Bateq)
Penulis yang menjejaki suku kaum itu di Kampung Lah, diberitahu oleh penduduk bahawa ramai daripada mereka, termasuk di dua buah kampung lagi, berkahwin campur terutama dengan Melayu. Malah, majoriti orang Mendriq beragama Islam.
Orang Asli Mendriq Kamarul Jelok, 55, bersama keluarga tidak lagi tinggal di rumah asal masyarakat mereka ketika ditemui Bernama di Kampung Kuala Lah baru-baru ini.
Menurut penghulu kampung itu Ali Lateh, perkembangan kahwin campur tersebut berlaku secara ketara sejak awal 1990-an.
“Disebabkan pasangan tidak tahu berbahasa Mendriq, maka bahasa Melayu digunakan. Dari sinilah secara perlahan-lahan bahasa Mendriq mula dipinggirkan,” katanya kepada Bernama.
“Memang saya cukup sedih apabila anak-anak muda kami semakin kurang menggunakan bahasa Mendriq, dan saya kira bahasa ini akan pupus dan hilang dari dunia sekiranya tidak ada usaha daripada masyarakat kami sendiri dan pihak kerajaan,” tambah beliau.
Pemerhatian penulis sepanjang berada di kampung itu mendapati rata-rata penduduk, khususnya generasi muda, fasih berbahasa Melayu sesama sendiri.
“Tidak ada masalah jika anak-anak Mendriq boleh berbahasa Melayu kerana itu bahasa kebangsaan, tetapi saya harap pihak kerajaan tidak meminggirkan bahasa kami dan usaha-usaha memelihara bahasa Mendriq perlu dipandang serius,” kata seorang penduduk, Kamarul Jelok, 50.
Ali yang bercerita lanjut tentang amalan kahwin campur etnik berkenaan, berkata kini semakin sukar untuk menemukan orang Mendriq dengan kriteria ‘asal’ mereka, iaitu berambut kerinting, berkulit gelap dengan wajah bulat lebar, hidung leper dan dagu pendek.
“Kalau adapun sekarang ini tidak sampai 10 orang (dengan fizikal dan rupa paras asli suku Mendriq) disebabkan ramai berkahwin campur dan anak-anak pun berwajah kacukan,” katanya, menambah terdapat kira-kira 380 penduduk di Kampung Lah dan merupakan komuniti terbesar suku Mendriq.
Mengulas tentang nasib bahasa Mendriq, Prof Madya Dr Fazal Mohamed Sultan, pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata berdasarkan kajiannya sejak 2007, kemungkinan besar bahasa itu akan pupus dalam tempoh 20 tahun lagi.
Apatah lagi ketika ini tidak ada sebarang tindakan daripada pihak berwajib bagi menjaga bahasa Mendriq, ataupun bahasa Orang Asli yang lain, katanya.
Menurutnya, setakat ini Kementerian Pendidikan (KPM) hanya memperkenalkan subjek bahasa Semai di sekolah yang mempunyai ramai pelajar daripada etnik itu.
“Kerajaan, KPM, Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) telah melaksanakan langkah terbaik bagi meningkatkan taraf hidup golongan ini, antaranya melalui pendidikan termasuk pengambilan khas pelatih perguruan Orang Asli yang dibuat oleh Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (di Pahang).
“Cuma saya melihat ada keperluan program ini diperluas kepada semua suku Orang Asli, terutama Negrito, kerana setahu saya, setakat ini kebanyakan guru Orang Asli adalah daripada kumpulan Melayu Proto dan Senoi. Negrito langsung tidak ada,” katanya.
Menyifatkan hal itu sebagai satu masalah besar dan membimbangkan, Fazal Mohamed berkata KPM perlu bertindak memandangkan kajiannya juga mendapati dasar tersebut bukan sahaja mengancam kelestarian bahasa suku minoriti seperti Mendriq tetapi juga prestasi pendidikan mereka.
Menurutnya, ini kerana setiap kumpulan Orang Asli terbabit adalah berbeza antara satu sama lain.
Justeru, amat penting setiap suku mempunyai guru daripada etnik sendiri bagi meningkatkan kefahaman mereka dalam pelajaran selain memupuk minat untuk belajar.
“Berdasarkan kajian, didapati prestasi pendidikan mereka (anak Orang Asli kumpulan etnik Negrito termasuk Mendriq) tercorot, jauh di belakang berbanding kumpulan anak Orang Asli lain. Sifat anak Orang Asli Mendriq ini pemalu dengan orang luar, dan kerana itu penting mempunyai guru daripada kaum mereka sendiri untuk tarik minat anak ini belajar,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, Malaysia diakui sebagai negara yang serius menjaga kepentingan Orang Asli apabila mempunyai jabatan khusus untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan kumpulan itu, namun tidak ada penekanan diberikan terhadap pemeliharaan bahasa suku kaum terbabit.
“Dasar yang ada ketika ini setakat melindungi hak, kebajikan, mendapatkan pendidikan sama rata buat mereka, tetapi pihak berwajib lupa bahawa bahasa asal juga perlu dipertahankan.
“Kita perlu sedar bahasa melambangkan budaya, dan budaya itu juga melambangkan sesuatu bangsa. Justeru, amat penting bahasa dipertahankan dan dilestarikan, bukan sahaja demi kelangsungan generasi masa depan sesuatu kaum tetapi juga sebagai khazanah berharga negara,” katanya.
Ditanya tentang langkah yang boleh diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani ancaman kepupusan bahasa Orang Asli, beliau berkata antara pendekatan terbaik ialah mengarkibkan semua bahasa Orang Asli yang ada di negara ini.
Sumber : Harian Metro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tengkorak manusia berusia 10,000 tahun ditemui di Perlis
Fosil tulang dan tengkorak manusia berusia sekitar 5,000 tahun hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, di Perlis pada Oktober 2021 lalu. Penemuan itu membuktikan Perlis pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat prasejarah ribuan tahun dahulu.
Selain tengkorak manusia, hasil eksplorasi Jabatan Warisan, Kerajaan Negeri Perlis dan Persatuan Pendaki Negeri Perlis turut menemui lukisan dinding gua zaman proto sejarah di Gua Semadong.
Fosil tulang dan tengkorak manusia berusia sekitar 5,000 tahun hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, di Perlis pada Oktober 2021 lalu. Penemuan itu membuktikan Perlis pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat prasejarah ribuan tahun dahulu.
Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohd Azmi Mohd Yusof, berkata penemuan itu adalah penemuan sejarah yang terbaharu, selain penemuan bahan sejarah lain seperti candi Lembah Bujang di Kedah serta di Kelantan.
“Ini adalah penemuan terbaharu dari negeri Perlis dan satu penemuan yang amat baik bagi kita untuk merangka kronologi sejarah. Daripada lukisan ini, kita dapat lihat lukisan berbentuk binatang seperti lembu, gajah, ular, mawas serta manusia.
“Kita percaya ia mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi, berdasarkan kajian lalu yang dibuat di sekitar gua di Perlis, kawasan gua di Bukit Chuping, Bukit Tunku Lembu.
“Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul pula digunakan sebagai tapak penempatan dan pengkebumian masyarakat paleolitik dan neolitik berdasarkan penemuan artifak pelbagai jenis alat batu dan tembikar tanah.
“Kita percaya kawasan ini bukan sahaja didiami oleh masyarakat prasejarah, malah pernah dihuni oleh masyarakat zaman proto sejarah berdasarkan artifak seperti kalam semah (votive tablet) yang turut ditemui di kawasan itu,” katanya selepas melakukan eksplorasi arkeologi di Bukit Keteri dan Gua Semadong pada 14 Oktober tahun lalu.
Mohd Azmi berkata, penemuan itu amat penting dalam merangka kronologi sejarah. Dia juga berharap semua masyarakat, sama-sama menjaga warisan tersebut supaya mereka dapat membuat kajian lanjut.
“Apa yang penting sekarang, adalah untuk mewartakan tapak penemuan ini sebagai lokasi sejarah supaya ia tidak diceroboh atau dimusnahkan oleh orang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon agar orang ramai mematuhi perundangan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWK 2005) (Akta 645) dengan melaporkan segera sebarang jumpaan bersejarah kepada Pegawai Daerah atau Pesuruhjaya Warisan seperti yang termaktub dalam Seksyen 47 AWK 2005.
Sumber : Sengatdaily
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Seri Wan Rosdy menyantuni murid Orang Asli di Karnival Buku Sungai Koyan di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan dekat sini.
Tingkat amalan membaca masih rendah -MB Pahang
LIPIS – Amalan membaca di kalangan rakyat negara ini dianggap masih rendah sekali gus agak sukar mengeluarkan idea atau pendapat yang baik dalam membantu membangunkan negara sebagai satu kuasa dunia.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, budaya gemar membaca buku dalam kalangan rakyat negeri ini perlu dipertingkatkan untuk menggelakkan risiko negeri dan negara kurang berilmu dan sukar mengeluarkan idea atau pendapat yang baik
“Walaupun tidak mempunyai statistik yang lengkap tahap amalan membaca masih rendah, tidak dinafikan amalan ini hanya memperuntukan masa yang singkat dengan membaca akhbar, majalah dan buku teks bagi pelajar.
“Amalan membaca dalam kalangan dewasa agak rendah kerana kesibukan tugas dan sebagainya, di era sekarang dan masing-masing memiliki peralatan gajet untuk memperoleh maklumat serta mengisi masa bersantai,” katanya di Karnival Buku Sungai Koyan di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan dekat sini.
Katanya, kecualikan kepada pelajar yang berusia antara 15 hingga 17 tahun, mereka membaca bertujuan untuk menghadapi peperiksaan.
“Gajet elektronik boleh diperloleh pelbagai maklumat menerusi membaca, tetapi buku sejak sebelum ini mempunyai keistimewaan serta kelebihan seperti padat dengan fakta sesuatu tajuk dan dilengkapkan dengan fakta, mudah diperoleh di perpustakaan atau kedai, murah dan disimpan di rumah untuk rujukan keluarga.
“Sehingga ini mengikut kajian purata rakyat membaca buku antara enam hingga tujuh muka surat sehari dan anggaran 15 buah buku setahun termasuk membaca al-Quran,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai meminta rakyat negeri menghidupkan budaya Iqra selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan masyarakat berpengetahuan serta dapat menyampaikan pendapat dan buah fikiran yang bernas dan kritis.
“Membaca buku juga kita dapat menjangkau pengetahuan daripada masa lalu, memahami dunia persekitaran kita dan membayangkan apa yang berlaku pada masa akan datang atau futuristik.
“Ibu bapa di rumah merupakan teladan yang terbaik untuk mencanai minat anak membaca buku bukan sahaja untuk lulus pepriksaan, tetapi menambah pengetahuan termasuk mendalami al-Quran untuk menguatkan iman dan takwa,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Azli (kanan) sekali bersama kanak-kanak Orang Asli Kampung Benchah Kelubi dan juga anggota polis wanita.
Polis Lipis santuni masyarakat Orang Asli Kampung Benchah Kelubi
LIPIS : Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menyantuni masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kampung Benchah Kelubi, Merapoh, dekat sini, hari ini.
Tujuan program tersebut diadakan sebagai satu usaha menyampaikan maklumat pencegahan jenayah serta berkongsi permasalahan isu jenayah semasa kepada masyarakat itu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, lebih penting bahawa masyarakat itu turut diberi peranan menyalurkan maklumat kepada PDRM sekaligus mereka juga sebagai mata dan telinga di kawasan tersebut.
“Selain itu peluang bertemu dan berdialog bersama Tok Batin dan masyarakat Orang Asli melalui komunikasi dua hala bertanyakan cadangan, pandangan dan isu-isu semasa permasalahan berkaitan jenayah dalam mencapai kesepakatan bersama ke arah usaha penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan pasukan kepada orang ramai.
“Pegawai dan anggota IPD Lipis telah memberi taklimat ringkas berkaitan jenayah kekerasan rumah tangga, jenayah komersil dan turut mengedarkan risalah pencegahan jenayah kepada penduduk setempat,” katanya hari ini.
Katanya program 4 jam itu turut mengadakan aktiviti gotong royong membersihkan kawasan di sekeliling kampung Bechah Kelubi ini.
Sementara itu Tok Batin Orang Asli Kampung Bechah Kelubi, Harun Abdullah bersyukur dengan program yang diadakan di kampung itu sebagai mengikhtiraf mereka sebagai mata dan telinga kepada pihak polis dan kerajaan.
“Program yang diadakan bersifat santai tetapi penuh makna dan dapat dimanfaatkan oleh penduduk kampung ini.
“Penduduk kampung ini gembira dengan kehadiran pihak polis Lipis kerana memilih kampung ini sebagai program komuniti kepolisan bersama masyarakat Asli di sini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Cikgu Roslan Kamaruddin yang diibaratkan sebagai ‘raja’ merakam kenangan bersama guru, kakitangan sokongan dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, Bentong, Pahang sempena majlis persaraan beliau bertemakan Zaman Kesultanan Melayu Melaka, baru-baru ini.
Majlis persaraan Cikgu Roslan bertema Kesultanan Melayu Melaka
MAJLIS persaraan Cikgu Roslan itu terpahat di hati setiap warga sekolah berkenaan apabila terpaksa berpisah dengan seorang guru yang banyak menabur bakti serta berjasa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, baru-baru ini.
Tema zaman kesultanan Melayu Melaka menjadi tema pilihan warga sekolah tersebut menjadi pilihan.
Pengetuanya, Rohani Abu Bakar, berkata tema itu, yang dipilih sendiri Cikgu Roslan Kamaruddin bagi melalui saat-saat indah serta bersejarah sebelum melangkah meninggalkan SMK Sulaiman, dirancang dengan begitu rapi oleh Kelab Staf SKM Sulaiman dengan membabitkan semua warga sekolah berkenaan.
Cikgu Roslan buat kali terakhir mencetak Kad Perakam Waktu sebelum bersara sebagai seorang guru sambil diperhatikan oleh Rohani (dua dari kiri).
Menurutnya, pada hari berkenaan guru dan kakitangan sokongan mengayakan pakaian yang unik dengan berwarna-warni busana tradisonal seperti Zaman Kesultanan Melayu Melaka sebagai terjemahan ‘rakyat jelata terhadap raja yang banyak berjasa’.
Tambah beliau, kesungguhan dan komitmen ditunjukkan warga SMK Sulaiman yang hadir dengan tema ditetapkan itu juga mengambarkan kesepakatan dan rasa terhormat terhadap individu diraikan apatah lagi Cikgu Roslan adalah guru Matematik cukup dikenali, dihormati dan disegani di Daerah Bentong.
“Cikgu Roslan ini sering memberikan pendapat dan pandangan yang membina ketika mesyuarat mengenai akademik mahupun kokurikulum apabila dianggap sebagai mentor dan idola kepada guru di SMK Sulaiman terutama guru baharu bagi menimba ilmu.
“Walaupun sebagai guru yang cukup senior dan akan menamatkan perkhidmatan tetapi Cikgu Roslan tetap menyerlahkan jiwa seorang pendidik, di samping sentiasa kekal bersemangat dan bersungguh-sungguh terutama ketika mengajar dalam bilik darjah,” ujar beliau.
Katanya, walaupun hanya lebih kurang dua tahun Cikgu Roslan mengajar di SMK Sulaiman, beliau telah menunjukkan komitmen cukup bagus sebagai guru subjek Matematik yang mengajar di tingkatan empat dan lima.
Cikgu Roslan bukan hanya setakat bagus dalam bidang akademik, malah sentiasa bersama dengan warga SMK Sulaiman dalam menjayakan program sekolah. Hubungan beliau dengan pihak pentadbir serta guru juga sangat baik kerana sentiasa tampil sebagai individu yang mudah mesra.
Pada majlis berkenaan Cikgu Roslan yang lengkap berpakaian busana tradisional Melayu diarak ke atas pentas utama SMK Sulaiman sebelum dipersila duduk di atas singgahsana ibarat seorang ’raja’ yang menghadap ‘rakyat jelata’ iaitu dalam kalangan guru, kakitangan sokongan serta pelajar sekolah berkenaan dengan disusuli ‘titah ucapan’ perpisahan.
Rohani berkata, selain itu Cikgu Roslan yang mengamalkan pendekatan mesra menjadikan dia seorang guru yang cukup disenangi dan diminati pelajar tanpa mengira bangsa dalam usaha beliau memastikan pelajar mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran terutama apabila menduduki peperiksaan penting.
“Ramai guru menyifatkan persaraan Cikgu Roslan ini suatu kehilangan besar kepada SMK Sulaiman amnya dan Panitia Matematik khasnya kerana seorang guru yang hebat dan boleh dijadikan contoh kepada guru lain yang masih baharu dalam perkhidmatan.
“Sebagai pengetua, saya sejujurnya sangat berpuas hati dengan kerja serta tanggungjawab dilaksanakan Cikgu Roslan sepanjang berkhidmat di SMK Sulaiman kerana dia sentiasa cemerlang dalam melunaskan tugas sebagai guru subjek Matematik yang mengajar dalam bilik darjah,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!