KUALA LUMPUR – Seorang pengusaha makanan, Nor Afiqah Mohd Khiruddin, 25, dilaporkan hilang dari kediaman keluarganya di Bandar Tun Razak sejak Sabtu lalu.
Abangnya, Mohd Hafizuddin Mohd Khairuddin, 28, berkata, kehilangan Nor Afiqah menimbulkan tanda tanya kerana keluar sehelai sepinggang tanpa membawa kad pengenalan, dompet serta telefon bimbit malah kereta Perodua Kancil milik adiknya itu juga masih berada di rumah.
Menurutnya, kehilangan anak kedua daripada lima beradik itu disedari sekitar jam 10 pagi selepas didapati Nor Afiqah tiada di biliknya.
“Dia bukan anak bermasalah cuma malam sebelum kejadian dia banyak termenung namun apabila ditanya dia memaklumkan tidak bersedia berkongsi mengenainya.
“Besar kemungkinan dia hilang ketika Subuh dengan berpakaian tidur dan tidak bertudung. Kali terakhir kami berjumpanya sekitar jam 10 malam. Kami sudah cuba menjejakinya melalui rakan-rakan namun tiada yang mempunyai maklumat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa, lapor BH ONLINE
Katanya, Nor Afiqah merupakan seorang adik yang baik dan banyak menghabiskan masa di rumah menyiapkan tempahan pelanggan.
“Jika dia keluar pun akan ditemani oleh adik-adik lain. Kebanyakan rakannya juga berada di Perak kerana kami berasal dari sana dan mula menetap di Kuala Lumpur sejak lima tahun lalu.
“Ibu bapa juga di Perak namun datang ke Kuala Lumpur sebaik sahaja mengetahui adik hilang. Saya harap Nor Afiqah ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.
Katanya, laporan polis telah dibuat dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 017-569 4982.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kuala Lumpur: Usahawan dikompaun RM1,500 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka ketika berceramah kepada gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis mengesan video berdurasi 49 saat tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki tidak memakai pelitup muka.
“Berdasarkan siasatan, kejadian berlaku 11.30 pagi semalam ketika individu itu menyampaikan ceramah motivasi bertajuk ‘ubah hidup’ kepada 20 gelandangan di pusat transit berkenaan.
“Polis kemudian memanggil lelaki berusia 34 tahun itu untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5.20 petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada lelaki terbabit kerana melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka.
Katanya, tindakan diambil mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021, lapor HM online
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kegagalan mematuhi SOP boleh dikenakan tindakan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PELAJAR CARI KAWASAN UNTUK MENDAPAT CAPAIAN INTENET UNTUK IKUTI KELAS PDPR
LIPIS: Pelajar yang tinggal di kawasan Kampung Relai gembira apabila mengetahui masalah untuk mendapat capaian internet yang dialami selama ini akan berakhir menjelang akhir Ogos ini kerana akan terbina menara sementara di kawasan itu.
Sebelum ini, mereka terpaksa mencari kawasan yang mendapat capaian internet samada pergi ke rumah saudara di Pekan Kerambit kira-kira 6 kilometer atau di tepi jalan, Jalan Kerambit-Jerangsang, malah ada pergi mencari kawasan tinggi untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PDPR) masing-masing.
Seorang pelajar tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerambit, Mohamad Ainul Mohd Hazri berkata, sejak PDPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka mengalami kesukaran untuk mengikuti PDRP kerana capaian internet tiada di kampung itu.
“Kami mencari lokasi yang sesuai dan mempunyai liputan internet yang terbaik, maka tempat yang kami temui ialah kawasan berbukit yang jaraknya kira-kira 3 km dari rumah dengan menunggang motosikal,” katanya.
Katanya, dengan terbina menara sementara itu, kami berharap isu tiada capaian internet dapat diatasi dan mereka dapat belajar dengan selesa dan selamat tanpa perlu pergi jauh.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerambit, Nur Aliyaa Afiqah Mohammad (14) berkata, sejak penguatkuasaan PKP, kesemua pelajar di Kampung Relai terpaksa keluar menunggang motosikal dan berjalan kaki ‘merayau-rayau’ untuk mendapatkan capaian internet.
“Walau terdapat menara di kampung ini, tetapi mempunyai kadar kelajuan rendah dan kadang-kadang tidak berfungsi, macam mana kami hendak mengikuti PPDR, masalah yang timbul ini, membuatkan kami tertinggal pelajaran atau topik mata pelajaran tertentu,” katanya.
Murid Tahun 6, Sekolah Kebangsaan Kerambit, Nadatulhusna Mohd. Harun, 12, berkata, dia bersama tiga adik-beradiknya juga terpaksa keluar dari rumah untuk mencari capaian internet ketika tiba waktu PPDR bersama guru.
“Kami takut juga waktu penularan wabak Covid-19 ini hendak pergi jauh untuk mendapatkan capaian intenet ketika PKP. Setelah mengetahui kesukaran ini yang akan berakhir menjelang Ogos ini dengan menaiktaraf sistem, saya dan rakan amat bersyukur,” katanya.
Seorang penduduk, Arifudin Shari, 25, berkata, sejak PDPR dilaksanakan tahun lalu, ada pelajar di situ mengikuti PPDR di pondok kayu atas bukit berdekatan bekas lombong bijih besi di kampung tersebut kerana lokasi berkenaan boleh mendapatkan capaian internet dengan baik.
“Bagi pelajar perempuan pula yang tidak sanggup mendaki bukit, mereka mencari capaian internet di sepanjang jalan sehingga sampai tiga kilometer, kesian juga budak-budak (pelajar) ini,” katanya.
Katanya, kampung itu hanya terletak cuma 25 kilometer sahaja dari bandar Kuala Lipis yang sudah tentu ada jaminan kemudahan capaian internet berkelajuan tinggi, malah terdapat sebuah menara di situ, ramai pelajar calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) berdepan masalah untuk mengikut PPDR.
Tinjauan SAHIH terdapat sebuah Sekolah Menengah Agama Al-Ittihadiah, Kerambit, dengan 140 orang pelajar sukar mengikuti kelas PDPR, malah dimaklumkan guru sekolah tersebut turut mengalami masalah yang sama untuk menjalankan kelas masing-masing di sekolah itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff membawa perkhabaran ‘gembira’ ketika melawat dan meninjau masalah telekomunikasi di Kampung Relai sambil memberikan jaminan masalah itu akan selesai menjelang akhir Ogos ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang akan menaik taraf menara di situ dengan memberikan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi (4G).-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sepang: Gara-gara merokok dalam kenderaan seorang lelaki berdepan detik cemas apabila teksi dipandu tiba-tiba meletup ketika sedang bergerak di Jalan CTA 4 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.
Kejadian menyebabkan mangsa, Mohd Radzi Mokhtar, 64, melecur di bahagian lengan dan muka, manakala teksi Proton Exora dipandunya rosak teruk.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian berlaku pada 3.30 petang.
“Hasil siasatan bomba mendapati kejadian berpunca daripada kebocoran gas cecair pembasmi kuman yang berada di dalam teksi berkenaan.
“Pada masa sama pemandu sedang menggunakan pemetik api untuk mencucuh rokok,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian teksi itu dalam perjalanan pulang selepas menghantar penumpang di KLIA, lapor HM online
“Mangsa hanya mengalami lecuran ringan di bahagian lengan dan muka dihantar ke hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PAHANG TAWAR RUMAH UNTUK LAPAN BERADIK YANG KEHILANGAN IBU DAN BAPA AKIBAT COVID-19
KUANTAN: Kerajaan Pahang menawarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 sebuah, untuk didiami secara percuma oleh lapan beradik yang kematian ibubapa mereka akibat wabak pandemik COVID-19.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tapak rumah RRP yang dicadangkan itu akan dibina di kampung asal allahyarham ibunya , serta datuk dan nenek mereka di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.
Katanya, sementara menunggu rumah itu siap, rumah sewa sementara akan juga disediakan dan dibiayai oleh kerajaan negeri.
“Saya turut bersedih dan bersimpati dengan nasib kelapan-lapan beradik ini, yang sulung, Cik Nazurah Nabilah Benyajeed baru berusia 19 tahun manakala adik-adiknya berusia empat hingga 18 tahun, kini tinggal menyewa bersama-sama ibu saudara mereka di Rawang, Selangor.
“Demi melihat mereka kekal tinggal serumah bersama-sama ibu saudara mereka itu, kerajaan negeri membuat tawaran RRP ini manakala ibu saudara mereka akan diberikan elaun bulanan sewajarnya.
Katanya, selain itu, Yayasan Pahang (YP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sedia menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan bulanannya.
“Pegawai pejabat saya telah pun menghubungi Cik Nazurah dan saya berharap, tawaran ini akan diterima,” katanya.
Katanya, bapa lapan beradik itu meninggal dunia pada 16 Julai dan ibunya menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 18 Julai akibat wabak Covid-19.
Sebilangan besar adik-adik Nabilah masih bersekolah, kecuali adik bongsunya yang berusia empat tahun, Nabilah sendiri merupakan pelajar di Kolej Politeknik Mersing di Johor.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LELAKI TINGGAL NOTA, BAKAR MAYAT ATAU BUANG KE LAUT
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 50-an ditemui maut dipercayai akibat minum racun di pekarangan rumahnya di Taman Indah, Sekinchan, kira-kira jam 3 petang tadi.
Menurut sumber, difahamkan lelaki itu bertindak demikian kerana tertekan dan terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Mei lalu.
Berdasarkan rakaman video berdurasi 24 saat yang dkikongsi sumber, orang ramai menemui nota ditinggalkan lelaki warga emas terbabit yang meminta kerajaan membakar mayatnya atau buang terus ke laut, lapor MG
Mayat lelaki itu bagaimanapun telah dibawa pihak polis ke Hospital Sabak Bernam sejurus berita kematian itu dimaklumkan orang ramai kira-kira 3.30 petang tadi.
Punca kematian masih dalam siasatan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Datuk Baharuddin Omar, 85, meninggal dunia akibat sesak nafas di kediamannya di Shah Alam, kira-kira jam 6.30 petang, hari ini.
Berita pemergiannya pelakon yang dikenali dengan watak Anjang Aki itu disahkan isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar.
Nazariah, 66, berkata, suaminya meninggal dunia bukan disebabkan Covid-19, tetapi Allahyarham menghidap penyakit pembuluh darah bengkak.
“Arwah baru selesai makan dan kemudiannya masuk ke bilik untuk berehat. Saya pula ke dapur, namun saya mendapati arwah sesak nafas sebaik meninjau keadaannya dalam bilik.
“Selepas itu, arwah langsung tidak sedarkan diri. Saya dan dua anak berada di sisinya ketika menghembuskan nafas terakhir,” katanya kepada BH Online.
Allahyarham Baharuddin meninggalkan tujuh cahaya mata dan dua anak tiri. Jenazahnya dijangka akan dikebumikan di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TANAM CILI SEJAK PKP 1.0 KERANA TIADA AKTIVITI PELANCONGAN
JERANTUT : Sejak mula penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada 18 Mac 2020, ramai kehilangan pekerjaan atau punca pencarian berkurangan, ramai memikirkan nasib tanpa pekerjaan dan pendapatan termasuk dalam sektor pelancongan.
Mengenang keadaan semasa yang semakin tenat, seorang pemandu alam sekitar atau pemandu pelancong Taman Negara Kuala Tahan, Mohd Kamil Hakim Rozali, 31, mula mengusaha tanaman cili kulai berdekatan rumahnya di Kampung Kuala Tahan dekat sini.
“Taman Negara yang ditutup kepada pelancong luar termasuk pengunjung domestik ke taman hutan hujan tropika tertua di dunia menyebabkan saya antara kalangan kira-kira 300 orang pengusaha dan penggiat sektor ini kehilangan pendapatan.
“Saya terbabit sepenuh masa dengan sektor ini, tanpa pekerjaan mula muncul perasaan gusar tanpa pendapatan, kerana sebelum ini pekerjaan di sektor ekopelancongan memperoleh pendapatan yang agak selesa,” katanya di Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Mohd. Kamil Hakim yang masih bujang, mula menceburkan diri bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman (pertanian) komersial di kawasan tanah seluas 0.4 hektar berdekatan rumahnya atas nasihat keluarganya.
“Saya memilih bidang pertanian atas nasihat dan dorongan daripada Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tembeling Tengah kebetulan pejabat agensi tersebut berdekatan dengan rumah saya.
“Langkah awal saya menanam cili kulai menerusi kaedah fertigasi menerusi tunjuk ajar amalan pertanian daripada PPK Tembeling Tengah malah rakan yang pernah mengusahakan tanaman komersial ini turut berkongsi pengalaman,” katanya.
Katanya, untuk memulakan tanaman cili kulai fertigasi sejak awal tahun ini dengan menggunakan modal daripada duit simpanan sendiri dan bantuan keluarga untuk membeli polibeg, peralatan pertanian dan pengurusan lain.
“Saya menanam sebanyak 1,800 benih cili dalam polibeg dan dalam tempoh lebih dua bulan baharulah hasil pertama mula dipetik seberat kira-kira 100 kilogram dan dipasarkan di Kuala Tahan dan bandar Jerantut.
“Pada pusingan seterusnya, cili ini diambil oleh pemborong yang datang secara berjadual di pusat pengumpulan hasil di Felda Sungai Retang untuk dihantar ke pasar Selayang, Selangor dan Pasar Tani Kuala Lumpur,” katanya.
Dia berkata, sehingga ini sudah enam pusingan tanaman ini dipetik dan seberat lebih 1,200 kilogram dipasarkan dalam tempoh enam bulan ini dan sudahpun menikmati pulangan modal manakala selebihnya untuk simpanan dan perbelanjaan keluarga.
“Diharapkan rakan yang lain dapat memulihkan tanah terbiar di tempat tinggal masing-masing untuk pertanian komersial walaupun peringkat awalnya cuma menjana sedikit hasil dan pendapatan yang kecil, lama-kelamaan setiap usaha dan cabaran ditempuh dengan kesungguhan dan sabar, maka akan menikmati hasil yang lumayan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEREMBAN: Lima beradik anak kepada Mohd Yazid Zakaria menjadikan muzik sebagai satu wadah mengeratkan pertalian persaudaraan sesama sendiri dan kerap bersama bermain muzik sejak di bangku sekolah dan kini menjadikan satu cabang profession mereka.
Bapa mereka adalah seorang aktivis muzik dan sekarang sebagai konduktor dan Pengarah Muzik Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya sejak November 2008.
Pasangan kembar daripada lima beradik, Ahmad Khairul Rafie Mohd Yazid dan Ahmad Ariff Azhari Mohd Yazid berusia 19 tahun memiliki diploma muzik College of Music, Universiti Mahidol, Thailand dan kini sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat atau Eropah.
Pasangan kembar itu kerap menyertai persembahan dan pertandingan bertaraf antarabangsa ketika belajar di Thailand dan memenangi beberapa pertandingan secara berkumpulan atau solo.
Manakala kakak sulungnya, Farah (24), memiliki ijazah sarjana muda muzik daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana, kini menjadi tenaga pengajar muzik sambilan, dia bermain piano sejak berusia 10 tahun dan bermain viola ketika belajar di UITM.
Pasangan kembar, Ahmad Khairul yang bermain cello dan kembarnya, Ahmad Ariff bermain violin serta kakaknya bermain viola, mereka kerap bersama dalam persembahan kecil-kecilan termasuk majlis kenduri kahwin dan program rasmi secara muzik kamar (chamber music).
Menurut ibunya, Lila Kassim berkata, semua anaknya mempunyai minat dan bakat bermain alat muzik dan mula mengenali muzik secara formal melalui kelas piano, pasangan kembar bermain piano sejak berusia 5 tahun dan bermain violin dan cello semasa belajar di Sekolah Seni Malaysia (SSEM) Kuala Lumpur.
“Anak keduanya, Irfan Syahidi yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal turut terlibat dengan seni muzik caklempong ketika belajar di sekolah menengah, manakala anak bongsunya yang masih di bangku sekolah rendah turut belajar bermain piano.
“Farah dan pasangan kembar telah diterima menjadi ahli Malaysian Philharmonic Youth Orchestra tahun 2020,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TELUK INTAN – Cubaan tiga lelaki Indonesia menyorok dalam bonet sebuah kereta untuk merentas negeri gagal semasa pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) Kilometer 30, Jalan Feri dekat Hutan Melintang hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, warga asing berusia 18, 32 dan 36 tahun ditahan bersama pemandu kereta sewa iaitu lelaki tempatan berusia 36 tahun.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kereta jenis Perodua Bezza itu dalam perjalanan menghala Hutan Melintang.
Katanya, pemeriksaan kemudian menjumpai tiga lelaki warga asing berbaring dalam keadaan berhimpit pada bahagian bonet.
“Kesemua lelaki warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Mereka dalam perjalanan dari Sabak Bernam melalui Hutan Melintang ke Batu Gajah untuk mencari kerja sebagai tukang kebun,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai pemandu untuk menghantar warga asing tersebut ke Batu Gajah dengan bayaran RM300 seorang, lapor KOSMO online.
Katanya, keempat-empat lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang dokumen surat rentas negeri.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!