JOHOR BAHRU – Keseronokan 32 individu bermain badminton bertukar episod duka apabila dikenakan kompaun selepas didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, individu terbabit yang dikenakan kompaun berjumlah RM48,500 terdiri daripada 31 pemain dan pemilik premis, lapor KOSMO online.
“Bertindak atas maklumat, polis telah menyerbu sebuah gelanggang badminton di Batu 6, Jalan Skudai di sini pada pukul 5.35 petang, kelmarin.
“Dalam operasi itu, seramai 32 lelaki berusia antara 18 hingga 44 tahun dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP PKP 3.0.
“Seorang pemilik premis berkenaan dikompaun sebanyak RM2,000 manakala kesemua yang lain dikenakan kompaun sebanyak RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Seorang lelaki ‘gila seks’ mencuri 58 helai pakaian wanita pelbagai jenama milik jirannya semata-mata bagi memuaskan nafsunya.
Kesemua pakaian itu disembunyikan di dalam bilik tidur di rumahnya di sebuah kondominium di Bandar Sunway, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perkara itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 35 tahun pada pukul 1.50 tengah hari, Selasa lalu.
“Mangsa ternampak suspek berlegar-legar dalam lif pada pukul 10.30 pagi, hari yang sama.
“Wanita itu mengesyaki suspek terlibat dalam kes kehilangan pakaian miliknya sebelum ini lalu memaklumkan kepada suaminya dan pihak pengurusan kondominium,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Way memberkas suspek yang berusia 23 tahun pada pukul 12.15 tengah hari di lokasi sama, lapor KOSMO online.
Menurut beliau, suspek mengaku dia mencuri pakaian mangsa dan menunjukkan penyimpanan pakaian tersebut di rumahnya.
“Polis merampas 58 pakaian dalam wanita pelbagai jenama dan sebatang kayu yang telah diubah suai dipercayai digunakan untuk mengait pakaian tersebut.
“Suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENJENAYAH KEMPUNAN BUKA PETI BESI, TINGGALKANNYA ATAS JALAN
IPOH: Penjenayah kempunan dan berputih mata apabila cubaan membuka dan melarikan peti besi selepas memecah masuk ke dalam Pejabat Pos Kampung Kepayang di Taman Chandan Desa, Simpang Pulai di sini, gagal.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian itu disedari pengurus cawangan pejabat pos berkenaan, iaitu seorang wanita berusia 35 tahun semasa mahu memulakan tugas pada 8 pagi hari ini, yang kemudian melaporkannya kepada pihak polis.
Peti besi ditinggalkan di hadapan pejabat pos.-Foto Media Sosial
“Pengadu mendapati pintu hadapan iaitu pintu kaca dan pintu penutup gendela gulung (roller shutter) diumpil dan terbuka serta keadaan di dalam pejabat pos itu berselerak. Peti besi di dalam pejabat pos, telah berada di luar pejabat iaitu di atas jalan serta terdapat kanvas berwarna biru menutupi pintu hadapan premis itu.
“Barang-barang yang hilang serta kerugian tidak dapat dikenal pasti lagi. Namun, dekoder kamera litar tertutup di premis itu mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau percaya peti besi itu ditinggalkan selepas penjenayah, dipercayai lebih daripada seorang itu, gagal untuk membukanya.
Gagal buka peti besi yang dirompak, ditinggal di hadapan pejabat pos.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati pintu kaca dan pintu penutup gendela gulung separuh terbuka serta kali terakhir premis itu ditinggalkan dalam keadaan baik, semalam.
Yahaya berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah masuk.-BERNAMA.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUAMI ISTERI, LELAKI DITUDUH EDAR LEBIH 100KG DADAH
MAHKAMAH TIDAK MEMBENARKAN TIGA TERTUDUH DIIKAT JAMIN
KUALA LUMPUR: Suami isteri dan seorang lelaki berusia 21 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar 6.8kg dadah nimatazepam di sebuah rumah di Cheras, dua minggu lalu.
Cha Wee Sang, 31 , isterinya Gan Pei Hong, 21 dan Yap Yau Yang didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Segar pada 5 Jun lalu, lapor FMT.
Yap turut berdepan satu lagi tuduhan, mengedar 98.4kg heroin di Taman Bukit Hijau, Cheras, pada hari sama.
Majistret Aina Azahra Arifin tidak merekodkan pengakuan mereka kerana kesalahan mengedar dadah membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Peguam, T. Harpal Singh mewakili ketiga-tiga tertuduh. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 18 Ogos.
Mahkamah turut menolak permohonan Harpal untuk membenarkan Gan diikat jamin atas alasan kesihatan, selain baru melahirkan anak dua bulan lalu.
Bagaimanapun, Harpal berkata, pihak Penjara Kajang diarahkan menghantarnya ke hospital untuk pemeriksaan. Sementara itu, Cha dan Yap akan terus ditahan di Penjara Sungai Buloh.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
USAHAWAN KOSMETIK PUKUL ANAK, TAK PUAS HATI STATUS WHATSAPP
PASIR MAS – Berang dengan status dimuat naik anak perempuan berusia 16 tahun melalui aplikasi WhatsApp, seorang usahawan kosmetik yang sebelum ini mengaku tidak suka menunaikan solat dipercayai telah memukul remaja itu.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang semalam di rumah mereka di Kampung Pauh di sini, remaja berkenaan dipercayai turut dipukul oleh bapa tirinya yang berusia 33 tahun.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, insiden itu menyebabkan mangsa mengalami luka dan bengkak pada bahagian kepalanya akibat ditampar oleh bapa tirinya.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, sebelum kejadian berlaku, mangsa telah dipanggil oleh ibunya yang berusia 33 tahun selepas tidak berpuas hati dengan status melalui WhatsApp yang dimuat naik remaja berkenaan.
Katanya, apabila keluar dari bilik, ibunya telah memarahi remaja itu dan dia diheret oleh bapa tirinya sebelum menampar mangsa beberapa kali pada bahagian pipi.
“Selepas itu, wanita berkenaan telah bertindak memukul kepala anaknya menggunakan tangan. Ibu remaja itu kemudian telah cuba memukul mangsa dengan kayu hoki, namun dia sempat melarikan diri.
“Siasatan awal mendapati, kejadian itu berpunca daripada status yang dimuat naik mangsa mengenai ibunya yang mengungkit mengenai soal harta selain turut memarahi remaja berkenaan kerana tidak bekerja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Nasaruddin, siasatan mendapati status yang dimuat naik oleh mangsa telah dipadamkan.
Katanya, bagaimanapun, tiada sebarang ugutan jenayah yang dikeluarkan oleh ibu dan bapa tirinya semasa kejadian.
“Hasil pemeriksaan terhadap mangsa yang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu mendapati dia mengalami bengkak pada bahagian kiri kepala, luka pada bahagian dalam pipi dan lebam pada beberapa anggota badan, lapor KOSMO online.
“Siasatan mendapati, mangsa yang sudah berkahwin tinggal bersama ibu, bapa tiri dan suaminya di rumah tersebut,” katanya.
Menurut Mohd. Nasaruddin, kedua-dua suspek telah ditahan pada pukul 9 malam tadi untuk membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MEKANIK DITAHAN POLIS SELEPAS DIKEJAR KIRA-KIRA 15 KILOMETER
Butterworth: Mekanik ditahan polis selepas dikejar kira-kira 15 kilometer (km) ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Kampung Pertama, Permatang Pauh di sini, malam tadi.
Lelaki berusia 32 tahun itu dikatakan cuba mengelak daripada diperiksa polis dan memecut keretanya gara-gara tidak mempunyai lesen memandu dan cukai kenderaannya sudah tamat tempoh.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sebelum itu polis yang melakukan tugas rondaan pada 10.15 malam ternampak sebuah Proton Satria berada dalam keadaan mencurigakan di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Permatang Buloh, Sungai Dua di sini.
Menurutnya, anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) itu kemudiannya memasang lampu suar dan menggunakan pembesar suara untuk meminta suspek memberhentikan kenderaannya sebanyak tiga kali.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak diendahkan suspek bahkan lelaki itu terus memandu secara melulu dan merbahaya.
“Anggota polis terbabit terus mengejar suspek hingga masuk ke kawasan Seberang Perai Tengah sebelum kenderaan lelaki itu terbabas di bahu jalan Kampung Pertama.
“Suspek masih cuba untuk melarikan diri dengan keluar meninggalkan kenderaannya namun dia terjatuh sehingga mengalami kecederaan di bahagian kanan kepala dan luka di bahagian tangan kanan.
“Polis kemudian terus menahannya dan pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan suspek tidak menemui apa-apa barang yang menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapatinya positif dadah jenis methamphetamine, lapor HM online.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai enam rekod berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.
“Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Sedang leka membungkus dadah seorang lelaki Melayu berusia 27 tahun tidak sedar rumahnya diserbu dan dicekup polis hasil maklumat orang awam di sebuah rumah di Taman Saujana Indah, di sini, pada jam 10.45 pagi pada 14 Jun 2021, lalu.
Lelaki tersebut sanggup menyewa sebuah rumah inap harian (homestay) di taman itu untuk memproses pembungkusan dan mengedar dadah telah diberkas oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut dalam Ops Tapis.
Semasa serbuan di rumah berkenaan polis telah telah menjumpai dan merampas dadah jenis Syabu seberat 50.38 gram, alat penimbang digital dan mesin pembungkusan plastik.
Ketua Polis Jerantut, Suprintendan Mazlan Hassan berkata, ketika serbuan, suspek sedang leka membungkus dadah dan tidak menyedari kehadiran polis serta menyerbu masuk ke rumah inap itu.
Ketua Polis Jerantut, Suprintendan Mazlan Hassan berkata, ketika serbuan, suspek sedang leka membungkus dadah dan tidak menyedari kehadiran polis serta menyerbu masuk ke rumah inap itu.
“Polis menemui dadah jenis Syabu seberat 50.38 gram yang bernilai RM7,000 dalam pemeriksaan di rumah inap berkenaan dan dipercayai melakukan kerja pembungkusan dadah untuk segera diedarkan kepada penagih di daerah ini berdasarkan penemuan mesin pembungkusan plastik dan alat penimbang digital.
“Suspek yang tinggal di sebuah taman perumahan bandar ini juga mempunyai rekod lampau jenayah dadah, iaitu di bawah Seksyen 12 (2), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952 dan didapati positif dadah Methaphetamine akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya di Ibupejabat Polis Daerah di sini, hari ini.
Katanya, polis Jerantut akan terus giat menggempur aktiviti dadah di daerah ini menerusi OPs Tapis ke atas pengedar dan penagih antaranya melibatkan sasaran golongan remaja di kawasan bandar, kampung tradisional dan seluruh kawasan Felda.
Dadah yang dibungkus dan alat pembungkus yang dijumpai ketika menyerbu rumah tersebut.-Foto PDRM
“Polis juga berterima kasih kepada orang ramai yang membuat laporan mengenai kegiatan dadah di tempat masing-masing sambil berharap kerjasama erat ini diteruskan pada masa akan datang bagi memudahkan usaha pembenterasan aktiviti mengedar dan penagihan dadah.
“Orang ramai yang mempunyai semua maklumat jenayah diharap membantu polis dengan menyalurkan maklumat kepada IPD Jerantut menerusi talian 09-2662222 sambungan 262,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
POLIS SIASAT INSIDEN PENGUAT KUASA PBT REBUT TELEFON PENJAJA
PASIR MAS – Polis membuka kertas siasatan berhubung rakaman video pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) berebut telefon dengan seorang penjaja kecil di sebelah sebuah bank di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, kertas siasatan dibuka selepas anggota itu hadir ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kes tersebut apabila klip video berkenaan tular di media sosial.
Menurutnya, berdasarkan laporan pegawai PBT itu, dia bersama tujuh lagi anggota mengadakan operasi penguatkuasaan di sebelah sebuah bank di bandar Pasir Mas terhadap penjaja tanpa lesen yang menyebabkan halangan di tempat awam.
Katanya, semasa operasi dijalankan seorang lelaki yang merupakan penjaja nasi bungkus telah membuat rakaman melalui telefon nya, lapor KOSMO online.
“Pegawai PBT itu telah menghalang lelaki tersebut daripada terus membuat rakaman sebelum berlaku pergelutan antara mereka. Lelaki berkenaan telah mengeluarkan kata-kata kesat selain menghalang anggota PBT menjalankan tugas.
“Penjaja itu dipercayai tidak memberi kerjasama apabila anggota penguat kuasa PBT memintanya menyerahkan kad pengenalan untuk mengeluarkan kompaun selepas berniaga di ruang petak tempat letak kereta selain alat pengimbas suhu di gerainya didapati rosak” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.-
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MASUK IPD KUALA LANGAT MENYAMAR POLIS, DOKTOR DITAHAN
KUALA LANGAT – Tindakan seorang penganggur yang menyamar menjadi pegawai kanan polis dan memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan ketika tampil ke IPD berkenaan semasa menemani teman wanitanya untuk membuat laporan berhubung perselisihan faham dengan rakan kongsi niaganya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @ Saleh berkata, kejadian itu berlaku pukul 4 petang pada 4 Jun lalu.
Katanya, berdasarkan siasatan, teman wanita suspek berusia 39 tahun mendakwa rakan kongsinya menggunakan modal perniagaannya berjumlah RM5,000 untuk membuat pengubahsuaian di pusat latihan tanpa pengetahuannya.
“Suspek lelaki kemudiannya memperkenalkan dirinya dengan nama Shah berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur manakala teman wanita pula mendakwa dia merupakan seorang doktor perubatan di sebuah hospital swasta di Klang.
“Mereka mengarah pegawai penyiasat berpangkat inspektor menyiasat kes secara mendalam, pegawai bertugas kaunter itu mula curiga dengan tingkah laku dan perwatakan lelaki yang menyatakan nombor badannya adalah G17058 tetapi tidak menunjukkan kad kuasa ketika diminta.
“Polis bertugas bertanya sama ada suspek mengenali Ketua Polis Daerah Kuala Langat yang juga bekas Pegawai Turut D9 Kuala Lumpur dan akhirnya suspek terkejut apabila penyamarannya akhirnya terbongkar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Ahmad Ridzwan, hasil siasatan, suspek mengaku dia menyamar sebagai pegawai polis untuk memastikan laporan teman wanitanya itu disiasat dengan cepat.
Menurut Ahmad Ridhwan, semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah lampau menyamar sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman.
Ujar beliau, teman wanita suspek berkenaan turut ditahan kerana menyamar diri sebagai seorang doktor hospital swasta.
“Laporan yang dibuat oleh suspek adalah benar bagaimanapun tindakan penyamaran sebagai pegawai polis adalah salah kerana mengarahkan polis bertugas bertindak ke atas rakan perniagaan, lapor mG
“Mereka bercinta lebih lima tahun dan direman selama enam hari untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Polis akan melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada timbalan pendakwaraya untuk arahan lanjut,” tegasnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Seremban: Pasangan kekasih ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan penemuan bayi di hentian bas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sendayan di sini, semalam.
Lelaki dan wanita berkenaan ditahan pada 7.30 malam di Garden Avenue Seremban 2 di sini, selepas tujuh jam bayi terbabit ditemukan.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pasangan berusia 26 dan 23 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini untuk permohonan reman.
Menurutnya, mereka ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, lapor HM online.
Semalam, seorang pekerja pembersihan di SMK Sri Sendayan menemui bayi terbabit pada 11.58 pagi.
Bayi yang dipercayai berusia dua hari itu dibalut dengan tuala dan diletakkan di dalam kotak sebelum ditinggalkan di situ.
Bayi berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban untuk pemeriksaan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!