Laksa Utara Teloq sebijik kini di Pahang
Laksa Utara Teloq sebijik kini di Pahang
KUANTAN – Sejak 12 tahun lalu, Ayu Norehan Saleh sudah belajar cara membuat kuah bagi Laksa mengikut selera penduduk di Utara Semenanjung.
Selepas itu, dia mula mengamalkan resepi dipelajari daripada ibu saudara suaminya tiap kali mengadakan rumah terbuka Aidilfitri dan majlis hari lahir.
Tahun ini, Ayu Norehan diuji apabila dia mengalami patah kaki akibat terjatuh dari tangga di rumahnya.
Dia adalah kakitangan kerajaan berstatus kontrak dan tidak mempunyai pendapatan sejak empat bulan lalu.
Jadi, dengan kepakaran dimiliki dalam membuat laksa utara, dia dibantu suaminya, Norazly Nordin memulakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah mereka di Taman Impianku, dekat sini.
Norazly berasal dari Kangar, Perlis dan memang peminat laksa utara .
Menggunakan jenama ‘Laksa Utara Teloq Sebijik’, menu itu berjaya memikat hati penggemar laksa di sekitar Kuantan.
“Kami mula berniaga sejak awal tahun, namun lepas seminggu berniaga, saya diuji apabila terjatuh dan patah kaki.
“Jadi, terpaksa berehat seketika dan selepas keadaan kaki saya bertambah baik, kami mulakan kembali jualan laksa utara.
“Alhamdulillah, sambutan diterima amat menggalakkan… bukan sahaja pelanggan dari Kuantan, ada kalanya mereka datang dari daerah lain juga,” katanya.
Dia berkata, setiap bungkus laksa utara dijual pada harga RM6 dan gerai mereka dibuka bermula jam 3.30 petang hingga jam 6.30 petang.
“Tapi kami cuma berniaga dari Isnin hingga Jumaat sahaja… buat masa ini belum ada perancangan untuk berniaga pada hujung minggu,” katanya.
Ditanya mengenai jenis laksa digemari orang Pahang, Ayu Norehan yang berasal dari FELDA Bukit Kuantan berkata, seni dalam menikmati laksa adalah pelbagai.
“Kalau nak kira, laksa Pahang kuahnya lemak dan lebih pekat… tapi orang Pahang dah boleh terima menu laksa utara.
“Yang penting proses membuat kuah… kita guna ikan Selayang atau pelaling untuk membangkitkan rasa ala-Utara kepada peminat laksa,” katanya. – sahih