KUALA KETIL: Satu kempen bayaran zakat tahunan dan infaq digerakkan bagi membantu pembinaan masjid serta menampung kos pengurusan sebuah institusi pendidikan tahfiz di Kampung Corok Besi, di sini
Berdasarkan maklumat pada poster kempen, sumbangan yang diterima akan digunakan bagi menyokong keperluan operasi harian yayasan termasuk kos utiliti, pengurusan serta kebajikan pelajar tahfiz yang mengikuti pengajian sepenuh masa.
Paparan visual pada bahan kempen turut menunjukkan reka bentuk masjid yang dirancang sebagai pusat ibadah dan aktiviti keilmuan, selain suasana pembelajaran pelajar tahfiz serta penglibatan guru dan kakitangan dalam proses pendidikan.
Kempen itu turut memaklumkan bahawa resit pelepasan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan dikeluarkan kepada penyumbang yang memerlukan.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Islamic 8603892114 atau Maybank 552040101300 atas nama Yayasan Al Huffaz, selain kemudahan pembayaran digital seperti yang dipaparkan pada poster.
QR – Yayasan Al Huffaz
Maybank
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan kempen berkenaan boleh dibuat dengan menghubungi 019-511 4040.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Yayasan Al-Huffaz perlukan RM2.1 juta siap masjid, kemudahan pelajar
KUALA KETIL: Yayasan Al-Huffaz (Akademi Al-Quran Wal Qiraat dan Pondok Moden) di Persiaran Madinatul Ilmi, Kampung Charok Beras, di sini memerlukan dana kira-kira RM2.1 juta bagi menyiapkan pembinaan masjid serta beberapa projek naik taraf kemudahan pelajar dan warga emas.
Pengerusinya, Ustaz Muhammad Musa Al-Hafiz As-Sembilani, berkata projek utama membabitkan pembinaan Masjid Yayasan Al-Huffaz yang dianggarkan menelan kos keseluruhan RM2.7 juta.
Ustaz Muhammad Musa Al-Hafiz As-Sembilani-Yayasan Al-Huffaz (Akademi Al-Quran Wal Qiraat dan Pondok Moden
Menurutnya, setakat ini bahagian bawah masjid hampir siap sepenuhnya dengan perbelanjaan melebihi RM1 juta, namun yayasan masih memerlukan kira-kira RM1.6 juta bagi menyiapkan pembinaan tingkat kedua masjid berkenaan.
“Masjid ini bukan sahaja untuk kegunaan pelajar, malah akan dimanfaatkan masyarakat setempat bagi pelbagai program ibadah dan kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata, selain masjid, yayasan itu turut memerlukan peruntukan bagi menyiapkan lima unit Pondok Moden untuk warga emas yang dianggarkan menelan kos RM225,000, dengan satu unit telah siap sepenuhnya setakat ini.
Katanya, projek naik taraf lain membabitkan pembinaan kantin pelajar putera dan puteri masing-masing berjumlah RM20,000, selain pembinaan dua unit tandas masjid bernilai RM40,000.
“Bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air, yayasan juga merancang pembinaan telaga air (boring) yang memerlukan kos sekitar RM20,000,” katanya.
Mengulas program pengajian, beliau berkata Yayasan Al-Huffaz menawarkan tiga program utama iaitu Tahfiz Moden, pengajian fast track serta Pondok Moden, yang kini menempatkan kira-kira 100 pelajar dengan tenaga pengajar terdiri daripada 10 ustaz dan ustazah.
Menurutnya, lepasan Tahfiz Moden di yayasan itu turut berpeluang menyambung pengajian ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi program fast track selama 10 bulan, malah ada yang berjaya melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menyalurkan sumbangan bagi membantu pembangunan dan kebajikan pelajar Yayasan Al-Huffaz boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Islamic 552040101300 atas nama Yayasan Al-Huffaz dan boleh juga menelefon di nombor pihak Yayasan +60 19-511 4040 – SAHIH
QR Yayasan Al-Huffaz
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Antara pasukan yang beraksi di pertandingan itu.
Johor Juara Pertandingan Kugiran dan Nyanyian Bintang Klasik MSKPPM 2025
KUANTAN – Pasukan kugiran dari Johor muncul juara Pertandingan Kugiran dan Nyanyian Bintang Klasik Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (MSKPPM) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di sini, semalam.
Pasukan Pahang pula meraih tempat kedua, diikuti Persatuan Sukan dan Kebudayaan Kementerian Pendidikan Malaysia (MESCA) di tempat ketiga, manakala pasukan dari Perak menduduki tempat keempat.
Kumpulan Pahang yang menduduki tempat kedua.
Anugerah Pemuzik Terbaik dimenangi oleh anggota kugiran Johor, manakala kategori Penyanyi Solo Terbaik menjadi milik peserta dari Sarawak. Anugerah Penyanyi Berduet Terbaik pula disandang oleh pasangan dari MESCA, manakala Selangor dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persembahan Terbaik
Kumpulan Southern Serenade dari Johor turut mencuri tumpuan apabila memenangi Anugerah Gubahan Lagu Terbaik, selain kejayaan dalam kategori Pemuzik Terbaik menerusi persembahan alat muzik saksofon oleh Muhamad Arif Zaharien Khairul Anuar.
Dalam kategori Solo Terbaik, Cindy Mina Ajun dari Sarawak berjaya memikat juri menerusi persembahan lagu Silver Moon.
Bagi kategori Duo/Duet, persembahan Lambaian Bunga Bersaudara oleh wakil MESCA KPM meraih kemenangan. Duo tersebut dianggotai oleh Ruzaimi Mohd Sani dan Mohammad Farhan Iqbal Faiz Mohd Johar.
Penyanyi duo/duet terbaik pasukan Kugiran MESCA KPM, Ruzaimi Mohd Sani (dua dari kiri) dan Mohammad Farhan Iqbal Faiz Mohd (dua dari kanan) Johar.
Secara keseluruhan, pertandingan ini mencerminkan kepelbagaian bakat serta mutu persembahan yang tinggi daripada para peserta yang mewakili pelbagai negeri di seluruh negara.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Peserta bergmabra beramai-ramai sebelum dilepaskan.
Lebih 120 Sertai Fun Run dan Brisk Walk Anak Muda Jerantut
JERANTUT – Lebih 120 peserta menyertai program Fun Run dan Brisk Walk Anak Muda Jerantut yang diadakan di Taman i-City Jerantut, malam tadi, sekali gus menghidupkan suasana bandar dengan aktiviti sihat pada waktu malam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang, Haris Salleh Hamzah berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan membuka minda masyarakat khususnya golongan muda untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah dan sukan secara konsisten.
Haris Salleh (tengah) sebelum acara dimulakan.
Menurutnya, program itu bukan sahaja menggalakkan penyertaan individu malah turut menarik kehadiran peserta bersama ahli keluarga, sekali gus memberi peluang merapatkan hubungan kekeluargaan dalam suasana santai dan sihat.
“Kita mahu bandar Jerantut sentiasa aktif walaupun pada waktu malam. Jerantut merupakan pintu masuk utama kepada pelancong yang berkunjung ke Taman Negara, selain menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai program berkenaan yang diadakan secara terbuka tanpa sebarang bayaran dan berlangsung setiap hari Selasa bermula di Taman i-City.
Sebanyak tiga kategori disediakan kepada peserta iaitu Brisk Walk sejauh lima kilometer, Fun Run lima kilometer dan Fun Run 10 kilometer, yang disertai oleh pelbagai lapisan umur.
Haris menambah, inisiatif itu diharap dapat menjadi platform positif untuk anak muda dan komuniti setempat berinteraksi, sekali gus mewujudkan bandar Jerantut yang aktif, bersatu dan bersemangat komuniti.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Salah satu kereta kuda yang menjalankan perkhidmatan untuk pelancong dan pengunjung di Pantai Batu Buruk.
Minat pelihara kuda jadi rezeki, pengusaha kereta kuda raih hingga RM800 semalam
KUALA TERENGGANU – Bermula sekadar hobi memelihara kuda, usaha Muhammad Haziman Al-Fairi Muhammad Zahari, 44, kini berkembang menjadi sumber pendapatan tetap apabila beliau mengusahakan perkhidmatan kereta kuda dan tunggang kuda pelancongan di sekitar Dataran Batu Buruk, di sini.
Muhammad Haziman Al-Fairi Muhammad Zahari
Anak jati Kampung Landang Tok Pelam, Kuala Terengganu berkata, pada peringkat awal beliau hanya memelihara kuda untuk keseronokan dan sering membawa haiwan itu mandi di pantai setiap petang.
“Pada satu hari, seorang pelancong Eropah meminta untuk mencuba menunggang kuda. Saya letakkan harga sekadar suka-suka, RM5 satu pusingan. Tidak sangka sambutan itu menjadi titik permulaan,” katanya.
Menurutnya, sekitar tahun 2000 beliau mula melihat potensi perniagaan berasaskan pelancongan dan mengambil keputusan membuka operasi secara kecil-kecilan di Batu Buruk yang ketika itu belum menjadi tumpuan seperti hari ini.
“Pada awalnya, kawasan ini hanya dikunjungi orang tempatan yang datang berkelah dan pulang sebelum Maghrib. Saya keluar berniaga dari tengah hari hingga Maghrib selama hampir dua tahun.
”Selepas menambah tempoh operasi hingga ke waktu malam, sambutan pengunjung semakin meningkat dan perniagaan mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan dalam tempoh enam bulan.
Kini, Muhammad Haziman mengendalikan enam hingga tujuh kereta kuda, selain lima unit tarikan berbentuk ‘kereta api mini’, khusus untuk kegunaan pelancong dan keluarga.
Dari segi pendapatan, beliau berkata hasil yang diperoleh bergantung kepada musim cuti dan keadaan cuaca.
“Pada malam cuti, pendapatan boleh mencecah RM800 semalam, manakala pada hari biasa sekitar RM200 hingga RM400. Itu belum ditolak kos makanan kuda, minyak dan penjagaan,” jelasnya.
Selain perkhidmatan pelancongan, beliau turut menjalankan jual beli kuda, dengan harga ditentukan berdasarkan tahap latihan, kegunaan serta kemahiran kuda tersebut.
“Kuda yang dilatih untuk menarik kereta kuda boleh mencecah harga sekitar RM12,000, manakala kuda tunggang untuk membawa penumpang harganya lebih rendah kerana latihan lebih santai,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran termasuk musim hujan dan bulan Ramadan, beliau tetap meneruskan operasi pada waktu malam dan bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.
“Bagi saya, pendapatan RM400 satu malam sudah besar nilainya. Tidak ramai yang mampu dapat pendapatan harian begitu. Yang penting, saya bersyukur dan kerja ini halal,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KARAK – Jambatan baharu Kebun Karak sepanjang 42 meter siap sepenuhnya, sekali gus memberi kemudahan pergerakan kepada lebih 100 orang pekebun yang bergantung kepada laluan berkenaan untuk mengeluarkan hasil kebun mereka.
Ahli Parlimen Bentong, Young Safura Othman berkata, jambatan sepanjang 42 meter itu dibina dengan kos kira-kira RM1 juta menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia Rail Link dan CCC (ECRL), selain sumbangan daripada pihak korporat serta komuniti sendiri.
“Pembinaan jambatan ini disifatkan sebagai satu inisiatif penting dalam meningkatkan aksesibiliti dan kelancaran pergerakan pekebun, khususnya bagi memudahkan urusan harian serta pengangkutan hasil pertanian.
“Penghargaan turut dizahirkan kepada Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, atas sokongan dan komitmen beliau dalam memastikan pelaksanaan projek ini dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.
Menurutnya, diharapkan usaha dan inisiatif berkenaan mampu memberikan manfaat berpanjangan kepada komuniti setempat serta menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi para pekebun di kawasan berkenaan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Harimau belang berkeliaran, penduduk Kuala Tahan diminta berhati-hati
JERANTUT: Orang ramai dan penduduk sekitar Kuala Tahan serta perkampungan di pesisir Sungai Tembeling diminta meningkatkan tahap kewaspadaan susulan kemunculan seekor harimau belang yang dilaporkan berkeliaran di Jalan Ulu Tembeling, berhampiran FELCRA Ulu Tembeling, kira-kira jam 7 malam semalam.
Seorang penduduk Kuala Tahan, Sabri Abdul Rahman berkata, kelibat harimau tersebut bukan kali pertama dilihat di kawasan berkenaan, malah kehadiran haiwan liar seperti gajah juga kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
“Penduduk sudah biasa melihat kemunculan haiwan liar di kawasan ini, namun kehadiran harimau belang amat membimbangkan, memang ketika dilihat, haiwan itu kelihatan santai berada di kawasan tinggi di bahu jalan.
“Namun, kami bimbang jika ia bertindak agresif, terutama pada waktu malam, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengelakkan pergerakan bersendirian,” katanya.
Menurut beliau, pihak berkuasa berkaitan diharap dapat mengambil tindakan segera bagi menangani situasi itu, termasuk memindahkan haiwan berkenaan ke kawasan yang lebih selamat.
“Tindakan segera perlu diambil demi keselamatan penduduk dan juga kesejahteraan haiwan liar tersebut,” katanya.
Sementara itu, kelibat harimau belang berkenaan sempat dirakam oleh seorang pemilik akaun media sosial dikenali sebagai Bantalku Channel, sebelum video tersebut tular dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Dr Mohd Ali Rustam melakukan gimik pelancaran Buletin IMPAK NGO Malaysia sambil diperhatikan Dr Abdul Latiff Abu Bakar(dua dari kanan).
Pendokumentasian Buletin IMPAK perkukuh ekosistem NGO negara
Usaha pendokumentasian dan penerbitan Buletin IMPAK NGO Malaysia dilihat sangat signifikan dalam membantu sektor organisasi bukan kerajaan (NGO) berdepan cabaran yang semakin kompleks, khususnya berkaitan pembiayaan, tadbir urus, ketelusan serta keperluan membina kepercayaan awam yang menuntut pendekatan lebih tersusun dan profesional.
Pelancaran buletin berkenaan dengan tema Suara Komuniti, Inspirasi Negara disifatkan tepat pada masanya kerana bukan sekadar platform laporan, sebaliknya menjadi satu rekod sejarah sosial yang merakamkan peranan dan sumbangan NGO kepada masyarakat.
Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mewakili Yayasan Nurjiwa untuk menerima Anugerah Yayasan Terbaik (Kebajikan Komuniti).
Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Perdana NGO Malaysia, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata buletin itu akan mendokumentasikan perjalanan, cabaran serta pencapaian NGO secara berfakta dan berwibawa.
Menurutnya, penerbitan berkenaan turut memberi pengiktirafan kepada kerja lapangan NGO yang sering tidak kelihatan, namun amat bermakna kepada kesejahteraan masyarakat.
Beliau melihat buletin itu sebagai sumber rujukan bernilai tinggi kepada pelajar dan penyelidik, selain membantu pembuat dasar memahami realiti di peringkat akar umbi serta meyakinkan sektor korporat untuk menjalin kerjasama strategik dengan NGO.
Dr Abdul Latiff berharap buletin berkenaan akan terus berkembang sebagai platform penyatuan suara NGO dari seluruh negara, menjadi jambatan antara NGO, kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan, sekali gus menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih tersusun dalam menangani isu sosial yang semakin mencabar.
Menurutnya, inisiatif itu juga diharap mampu menyemai minat dan kesedaran generasi muda terhadap kesukarelawanan serta kepimpinan sosial sejak awal.
Beliau turut menyambut baik kerjasama strategik antara Yayasan Generasi Malaysia dan Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menggabungkan pengalaman lapangan dengan kekuatan akademik serta kepakaran penerbitan profesional.
“Kerjasama itu penting bagi memastikan kandungan buletin berkualiti, berintegriti dan relevan untuk rujukan jangka panjang,” katanya di Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 serta pelancaran Buletin IMPAK NGO Malaysia oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam, di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh NGO Belia, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata pengiktirafan tersebut menyuntik semangatnya untuk terus berbakti dalam bidang kebajikan.
Penerima Anugerah Penggerak Cemerlang Gabungan NGO Belia Malaysia, Muhammad Hanafi Jalalludin, pula menyifatkan anugerah itu sebagai amanah untuk melahirkan barisan pelapis pemimpin NGO belia yang berintegriti dan berdaya saing.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Seramai tujuh warga polis termasuk dua pegawai berpangkat inspektor dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh ditahan selepas disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Mentakab, awal pagi semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, serbuan kira-kira jam 2.15 pagi itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan serta dua wanita warga Thailand.
Menurutnya, dua pegawai polis terbabit berpangkat inspektor manakala lima lagi anggota berusia antara 29 hingga 42 tahun.
“Lelaki tempatan yang ditahan berusia 22 tahun manakala dua wanita warga Thailand masing-masing berusia 37 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Yahaya berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati seorang pegawai dan lima anggota polis berkenaan positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo.
Beliau berkata, saringan sama turut mendapati seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand positif dadah, manakala seorang pegawai polis serta seorang lagi wanita warga Thailand disahkan negatif.
“Hasil serbuan itu, polis turut merampas satu paket dadah jenis ketamin seberat 0.98 gram serta sebuah jag berisi cecair disyaki mengandungi dadah,” katanya. Menurutnya, dua pegawai dan lima anggota polis terbabit direman selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Katanya, lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand pula direman selama empat hari bermula tarikh sama. “Polis tidak akan berkompromi dalam mana-mana kes membabitkan pegawai atau anggota. Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka didapati bersalah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Isi RON95 Dengan Plat Ditutup, Pemilik Kereta Singapura Dipanggil Polis
KULAI – Pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang dikesan menutup sebahagian nombor plat bagi mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di daerah ini, berjaya dikesan polis.
Ketua Polis Daerah Kulai, Tan Seng Lee berkata, individu terbabit dikenal pasti sebagai Penduduk Tetap (PR) Singapura dan kini berada di republik itu.
Menurutnya, pemilik kenderaan berkenaan telah dihubungi dan diarahkan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman memaparkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dipercayai menutup sebahagian nombor plat ketika mengisi petrol RON95, sekali gus mencetuskan perhatian orang ramai dan tindakan pihak berkuasa.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!