BURSA MALAYSIA DITUTUP LEBIH TINGGI
PELABUR MEMBERI MAKLUM BALAS POSITIF TERHADAP KELULUSAN BELANJAWAN 2021
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia, yang bermula dengan kukuh pada sesi pagi tetapi menyaksikan penurunan pada tengah hari, berjaya ditutup positif hari ini sejajar dengan bursa serantau dalam persekitaran optimis dalam pasaran.
Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi 7.39 mata kepada 1,681.41 daripada 1,674.05 semasa ditutup pada Selasa.
Ia dibuka tinggi 20.31 mata kepada 1,694.33 dan berada antara 1,679.39 dan 1,695.87 sepanjang hari.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 830 berbanding 453, manakala 458 kaunter tidak berubah, 403 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Jumlah dagangan naik kepada 11.22 bilion saham bernilai RM5.21 bilion berbanding 9.96 bilion saham bernilai RM5.02 bilion pada Selasa.
Di peringkat serantau, saham Asia kebanyakannya tinggi mengambil petunjuk daripada saham Amerika Syarikat (AS) yang meningkat dengan Wall Street melepasi penurunan selama empat hari berturut-turut berikutan pelabur memberi reaksi terhadap tanda bahawa rang undang-undang rangsangan fiskal akan diluluskan tidak lama lagi.
Di peringkat tempatan, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata bursa tinggi sepanjang hari, berikutan pelabur memberi maklum balas positif terhadap kelulusan Belanjawan 2021, yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi.
“Pelabur turut menunggu petunjuk daripada Rizab Persekutuan AS, yang dijangka mengeluarkan unjuran baharu terhadap ekonomi lewat hari ini yang menunjukkan peningkatan, untuk hala tuju pasaran,” katanya kepada Bernama.
Mengenai komponen FBM KLCI, katanya kaunter sarung tangan getah seperti Top Glove menyaksikan minat belian, yang menjadikan saham itu kaunter paling untung selepas harga sahamnya naik 5.9 peratus hari ini berikutan kemajuan mengenai pelaksanaan vaksin COVID-19 yang meningkatkan sentimen mengambil risiko.
Petronas Chemicals mencatatkan penurunan terbesar, merosot 4.5 peratus, katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat 20 sen kepada RM21.88 dan Top Glove naik 36 sen kepada RM6.77.
Maybank merosot empat sen kepada RM8.81 dan Petronas Chemicals berkurangan 36 sen kepada RM7.60 manakala Tenaga tidak berubah pada RM10.80.