Buang bayi baru lahir atas rumput
Buang bayi baru lahir atas rumput
Seremban: Memilukan apabila seorang bayi perempuan masih bernyawa ditinggal tanpa seurat benang di atas rumput berhampiran rumah kongsi di Precint 3, Taman Ara Sendayan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 11.50 pagi itu, bayi masih bertali pusat itu ditemukan seorang lelaki yang kemudiannya membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, berdasarkan keadaan fizikal, bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan kurang dari 12 jam.
“Seorang lelaki menelefon polis memaklumkan dia menjumpai seorang bayi yang ditinggalkan di atas rumput berhampiran rumah kongsi pada 11.52 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati, bayi perempuan masih mempunyai tali pusat dan uri disyaki baru dilahirkan kurang dari 12 jam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor HM online
.
Beliau berkata, bayi terbabit tidak cedera, namun terdapat kesan gigitan serangga.
Menurutnya, pihaknya belum dapat mengenalpasti bangsa bayi itu dan dia dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa atau orang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak berusia kurang daripada 12 tahun mendedahkan dan membuang bayi berkenaan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh salurkan kepada pihak polis,” katanya.
Disiarkan pada: September 7, 2021 @ 5:18pm
Oleh Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
Gambar PDRM