Bot karam, telefon bimbit digunakan sebagai pengayuh
Bot karam, telefon bimbit digunakan sebagai pengayuh
Foto atas: Pengarah APM Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman (kanan sekali) bertemu dengan tiga anggota APM yang selamat dalam kejadian bot karam, semalam.
KUALA TAHAN – Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selamat dalam kejadian bot karam di Jeram Panjang, dekat sini pada jam 11.00 pagi, semalam, dalam misi menghantar bekalan makanan ke perkampungan Orang Asli di Kampung Aur.
Roslan Abu Kassim mencerita detik cemas, ketika tiba di lokasi, bot dinaikinya dimasuki air dan tenggelam dan semua barangan bantuan makanan yang dibawa hanyut.
Katanya, ketika kejadian, dia dan adiknya, Turmizi yang memandu bot dan Belandak, merupakan Orang Asli etnik Bateq Kampung Kuala Atok, Kuala Tahan menyelamatkan diri masing-masing.
“Saya hanya sempat mengambil dua kusyen dan menghanyutkan diri serta cuba berenang ke tepi dan berhanyut kira-kira 1kilometer dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Kuala Tahan, hari ini.
“Saya guna handset (telefon bimbit) sebagai ‘pendayung’ sambil berhanyut dan berkuak ke tebing, selain itu saya mengapungkan diri dengan bantuan dua kusyen bot selain jaket keselamatan yang dipakai,” kata Roslan Abu Kassim, 58 tahun.
Katanya, disebabkan masing-masing sudah mempunyai pengalaman sebagai pemandu pelancong, mengendalikan bot serta tidak panik dan disertai dengan takdir Allah SWT mahu mereka selamat.
“Memang misi seperti menghantar makanan ke perkampungan orang asli dan kampung lain ketika sungai sangat bergelora diserahkan kepada kami, oleh itu kami sentiasa bersedia dan memahami situasi air sungai serta selalu siap siaga.
“Andai kata kami panik walaupun memakai jaket keselamatan, dari segi logiknya mungkin kami sudah tiada,” katanya.
Turmizi Abu Kassim, 52, yang memandu bot penambang cuba menyelamatkan botnya tetapi gagal kerana sudah mula ditenggelami dan hanyut termasuk enjin bot.
“Saya hanya sempat berpaut pada haluan bot dan memegang tong minyak pertrol untuk dijadikan sebagai pelampung sambil mengikut arus air dan cuba merapatkan diri ke tebing.
“Saya hanya dengar abang saya memanggil saya dan sempat menyahut sebagai isyarat saya selamat, saya cuba melaung kembali memanggil abang saya, tetapi tidak ada jawapan, hati mula terfikir yang bukan-bukan,”katanya.
Katanya, selepas itu dia nampak abangnya pada jarak kira-kira hampir 100 meter daripadanya sedang terapung, perasaan mula lega.
Manakala, pemuda Kampung Aur, Belandak a/l Bajak, 28, berkata, ketika bot mula karam, dia melihat sekitar dan ada ‘pulau’ kecil berdekatan dan dia terus berenang ke situ sambil berpaut dahan pokok dan naik ke atas.
“Saya susah hati juga sebab tak nampak abang Lan (Roslan) dan Bang Mizi (Turmizi) ketika itu, tetapi bila saya berada di atas pulau, saya nampak mereka hanyut dan berteriak sebagai isyarat, selepas seketika saya berenang semula ke tepi dan terus ke naik darat dan saya berjalan kaki ke perkampungan orang asli.
“Bila saya berjaya ke darat dan berjalan ke kampung Orang Asli, penduduk di situ turut panik dan bertanya siapa lagi yang selamat,” katanya.
Dia sempat berseloroh menyatakan tiada siapa yang harot (mati) hanya telefonnya yang harot (mati).
Sementara itu, Pengarah APM Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman memuji kecekapan anggota itu yang berjaya menyelamatkan diri daripada bot karam dalam misi bantuan menghantar makanan.
“Itulah pengalaman dan kecekapan yang ada pada mereka yang menyebabkan mereka selamat selain takdir menyelamatkannya.
“Insya Allah, pihak kami cuba membantu mendapatkan sebuah bot baharu untuk mereka, dimaklumkan bot amat diperlukan ketika ini untuk misi menyelamat, penghantaran makanan dan juga mengangkut murid sekolah di kalangan murid asli,” katanya.- SAHIH.