BOM MELETUP DEPAN GEREJA DI SULAWESI SELATAN
BOM MELETUP DEPAN GEREJA DI SULAWESI SELATAN
JAKARTA – Satu ledakan bom dilaporkan meletup di hadapan sebuah gereja di Sulawesi Selatan pagi ini, lapor laman berita Detik News hari ini.
Kejadian pada pukul 10.28 pagi waktu tempatan yang berlaku di jalan berdekatan Gereja Katedral Makassar itu dipercayai dilakukan oleh pengebom berani mati.
Beberapa penduduk awam dilaporkan mengalami kecederaan namun tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan setakat ini.
Menurut paderi gereja tersebut, Romo Wilhelmus Tulak, pengebom berkenaan cuba untuk memasuki gereja namun tidak berjaya.
“Seorang pengawal keselamatan terlihat seorang lelaki mencurigakan berdiri di hadapan pintu gereja dan berusaha untuk memasuki gereja.
“Apabila gagal masuk ke dalam, suspek tunggu di tepi jalan berhadapan gereja sebelum satu letupan kuat berlaku,” katanya.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Berdasarkan rakaman video saksi kejadian, terdapat dua kereta diletakkan di hadapan gereja selain terdapat empat individu yang sedang berjalan di kaki lima.
Sumber letupan bagaimanapun belum dapat disahkan.
Jurucakap polis Sulawesi Selatan, E. Zulpan dilaporkan berkata, orang ramai berada di dalam gereja ketika insiden itu berlaku.
“Kita mempercayai terdapat cebisan daging manusia. Kami masih sedang menyiasat adakah ia milik suspek atau orang ramai,” katanya.
Beberapa kenderaan di kawasan berdekatan turut mengalami kerosakan dan pihak polis sudah mengepung kawasan sekitarnya.