BEKALAN VAKSIN COVID-19 MENGIKUT JADUAL
BEKALAN VAKSIN COVID-19 MENGIKUT JADUAL
KUALA LUMPUR: Pelan imunisasi COVID-19 akan berjalan mengikut jadual ditetapkan walaupun Kesatuan Eropah (EU) melaksanakan sistem kawalan eksport ke atas vaksin yang dibangunkan dalam kalangan negara anggotanya.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), Khairy Jamaluddin, berkata EU dan Belgium sudah memberi jaminan vaksin Pfizer BioNTech yang diperoleh Malaysia akan dihantar mengikut perjanjian.
“Hari ini saya mengadakan perbincangan dengan Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas, dan Duta Belgium ke Malaysia , Pascal H Gregoire, bagi mendapatkan penerangan lanjut berhubung status penghantaran vaksin ke Malaysia.
“Mengambil maklum vaksin Pfizer dihasilkan di Puurs, Belgium, Duta Belgium memberi jaminan Perjanjian Pembelian Awal (APA) bersama Pfizer akan dipenuhi selepas Pfizer membuat permohonan kebenaran mengeksport.
“Vaksin terbabit akan dihantar mengikut jadual ditetapkan bermula bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kerajaan sudah meminta Pfizer segera mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Belgium bagi mengeksport vaksin berkenaan ke Malaysia.
Tegasnya, penghantaran pertama sejuta dos vaksin terbabit secara berperingkat akan digunakan bagi proses inokulasi fasa pertama membabitkan petugas barisan hadapan.
“Dengan jaminan kedua-dua Duta EU dan Belgium, pelan imunisasi COVID-19 akan berjalan mengikut jadual,” katanya.
Sementara itu, Rokas dalam kenyataan berasingan berkata, sistem kawalan eksport yang diperkenalkan pada 30 Januari lalu bukan perintah larangan mengeksport.
Sebaliknya, katanya, ia adalah mekanisme bagi memastikan ketelusan dalam proses eksport vaksin yang dibangunkan di negara anggota EU.
Beliau menjelaskan, semua vaksin yang diperoleh menerusi skema COVAX dikecualikan daripada sistem eksport berkenaan, termasuk yang dibeli menerusi pembiayaan sendiri seperti Malaysia.
“Hanya vaksin yang dibeli di luar daripada skema COVAX untuk penghantaran pada penghujung Mac ini memerlukan kebenaran mengeksport.
“Kebenaran mengeksport ini akan memastikan ketelusan dalam pasaran yang sensitif dan mengelak penjualan semula serta penyeludupan vaksin ini.
“Proses mendapatkan kelulusan akan dilakukan segera bagi mengelak kelewatan. Ini adalah mekanisme memastikan ketelusan khususnya untuk dieksport ke negara ketiga,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan perkara yang terkandung dalam APA akan dilindungi sebaik mungkin, lapor BH ONLINE.
“EU mengambil berat perjanjian pembelian oleh Malaysia dan akan berusaha memastikan permintaan Malaysia dipenuhi.
“Kami sudah meminta semua syarikat yang terbabit dalam perjanjian ini supaya melaksanakan komitmen dan tanggungjawab mereka,” katanya.