BAZAR RAMADAN PEKAN SEHARI TEMERLOH PATUH SOP
BAZAR RAMADAN PEKAN SEHARI TEMERLOH PATUH SOP
TEMERLOH: Semua 182 peniaga bazar Ramadan di tapak Pekan Sehari Temerloh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati terhadap kadar pematuhan SOP oleh peniaga dan juga pengunjung bazar berkenaan.
“Saya dimaklumkan pihak penganjur sudah menetapkan hanya 300 pelanggan sahaja boleh memasuki tapak bazar Ramadan ini untuk satu masa bagi mengelak pelanggan bersesak sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.
“Selain itu, kedudukan gerai juga mengikut jarak ditetapkan dengan ada ruangan kosong antara gerai bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pelanggan dan peniaga,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di bazar Ramadan Pekan Sehari Temerloh, petang tadi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang turut berterima kasih kepada semua petugas dari Majlis Perbandaran Temerloh dan polis yang sentiasa memantau keadaan di bazar Ramadan berkenaan bagi memastikan tidak berlaku sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sehingga boleh mencetuskan masalah lain.
Katanya, kebanyakan peniaga ditemui juga berpuas hati dengan pihak pengurusan tapak bazar berkenaan dan jumlah pelanggan juga agak menggalakkan walaupun dalam keadaan SOP ketat dilaksanakan.
“Cuma kalau boleh pelanggan datang awal sikit… jangan tunggu sudah dekat nak berbuka baru datang.. nanti susahlah kena beratur untuk masuk ke sini.. kita bimbang apabila kelam kabut, susah nak jaga penjarakan fizikal dan pematuhan SOP,” katanya.-SAHIH