BARISAN PANJANG KERTAS BERATUR DI PEJABAT TANAH KL
BARISAN PANJANG KERTAS BERATUR DI PEJABAT TANAH KL
KUALA LUMPUR: “Belum pukul 7 pun lagi,” keluh seorang lelaki menerusi video memaparkan kepingan kertas disusun rapi dalam satu barisan di ruang pejalan kaki menuju ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kertas yang ditanda dengan nama itu difahamkan sudah ‘beratur’ sepanjang kira-kira 100 meter seawal jam 5 pagi lagi.
Susulan video tular itu, FMT membuat tinjauan awal pagi ke jabatan tersebut dengan penghantar barang atau “runner” berkata, video itu dirakam ketika jabatan terbabit membuka semula perkhidmatan kaunter pada Februari lalu semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.
Mereka berkata, kertas itu digunakan untuk menanda tempat untuk barisan bagi pelbagai kaunter dan ditukar dengan nombor giliran sejurus pejabat dibuka pada hari itu.
Menurut mereka lagi, situasi itu berikutan kuota harian pelanggan.
“Runner” meletakkan kepingan kertas itu di atas lantai pada waktu pagi dan orang ramai yang tiba awal di pejabat terpaksa beratur di belakang barisan kertas yang dianggarkan sebanyak 100 keping itu.
Namun sewaktu tinjauan FMT, “runner” dan pelanggan hanya mula memenuhi bangunan pejabat itu sekitar jam 7 pagi.
Seorang “runner” yang ditemui FMT berkata, barisan kertas seperti di dalam video tular itu adalah berikutan jumlah permohonan tertangguh dan kertas kerja yang belum selesai kerana penutupan sementara operasi kaunter jabatan itu, yang disifatkannya “bukan perkara baharu”.
“Saya sudah jadi ‘runner’ sejak lapan tahun dan sebelum pandemik Covid-19, ‘runner’ beratur seawal 10 malam pada malam sebelumnya pada waktu puncak.
Seperti sebelum ini, cukai tanah dan petak perlu dibayar,” kata “runner” yang mahu dikenali sebagai Ayie itu.
Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Selalu beratur panjang sebab orang tak mahu kena denda tidak bayar cukai ini tepat pada waktunya.
“Apabila masuk (ke pejabat), ia cukup efisien dan kita boleh selesai semua (urusan) dalam masa kurang setengah jam.”
Pengarah jabatan itu, Muhammad Yasir Yahya, berkata, video itu kemungkinan besar dirakam ketika jabatan itu kembali beroperasi pada 2 Februari.
Pejabat ditutup pada 13 Januari ketika PKP 2.0 mula dilaksanakan, tetapi kurang sebulan kemudian dibuka semula susulan permintaan orang ramai untuk berurusan dengan kaunter pelbagai perkhidmatan.
“Apabila operasi agensi ini dibuka semula, terdapat sejumlah besar pelanggan yang hadir. Namun, jumlah pelanggan mula turun sebaik sahaja perkhidmatan kaunter bermula,” katanya kepada FMT.
Jabatan terbabit menyediakan perkhidmatan dalam talian untuk pembayaran cukai tanah dan petak, pencarian hak milik tanah dan pemeriksaan status permohonan melalui sistem e-Tanah.
Bagaimanapun, urusan seperti menyaksikan penandatanganan dokumen dan pemindahan hak milik masih perlu dilakukan secara fizikal di pejabat jabatan itu.
Menekankan bahawa jabatan itu terus berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya Yasir berkata, jabatan sedang meneroka penggunaan teknologi terkini seperti yang digunakan oleh agensi lain.
Sejak wabak Covid-19 melanda, agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara beralih ke sistem janji temu dalam talian bertujuan mengelakkan orang ramai berkumpul.