BAPA ROGOL ANAK TIRI
BAPA ROGOL ANAK TIRI
JOHOR BAHRU: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun, antara Mac hingga Jun lalu.
Tertuduh yang berusia 29 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang juga anak tirinya di bilik utama sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, antara 17 Mac hingga 29 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja T hitam dilihat terpinga-pinga dan keliru ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Ia menyebabkan jurubahasa berulang kali bertanya sama ada dia memahami pertuduhan berkenaan selain pengakuan yang mahu dibuatnya.
Hakim bertanya latar belakang dan usul tertuduh yang berasal dari Sabah itu, namun dia terus mendiamkan diri.
Kamarudin kemudian bertanya semula sama ada tertuduh memahami pertuduhan dan pengakuannya sama ada mahu mengaku atau tidak, apabila dia dilihat terus terpinga-pinga.
“Kamu berasal dari mana? Sabah. Faham Bahasa Malaysia kan? Takkanlah sudah 30 tahun masih tidak faham Bahasa Malaysia, ” katanya.
Tertuduh akhirnya meminta untuk dibicarakan selepas diterangkan semula pertuduhan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya memohon jaminan tidak diberikan ke atas tertuduh berikutan dia dan mangsa serta ibunya masih tinggal di rumah sama dan dibimbangi akan mengganggu mangsa.
Hakim kemudian memerintahkan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh selepas dia terus mendiamkan diri ketika diminta membuat rayuan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Disember bagi penyerahan dokumen.
Sumber: BH Online