BAPA MAUT, ANAK CEDERA LORI TERBALIK
BAPA MAUT, ANAK CEDERA LORI TERBALIK
MERSING – Seorang lelaki maut, manakala anaknya cedera selepas lori tangki dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 20, Jalan Jemaluang-Mersing dekat sini hari ini.
Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, Kamaruzaman Isman, 51, yang duduk di kerusi penumpang depan maut manakala anaknya yang memandu lori berkenaan, Mohamad Aidil Kamaruzaman, 23, cedera.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing berkata, kemalangan itu berlaku semasa lori dinaiki dua beranak itu dalam perjalanan dari Mersing menuju ke arah Jemaluang.
“Sebaik tiba di tempat kejadian dengan keadaan jalan yang berselekoh dan keadaan cuaca baik, treler itu yang mambawa muatan cecair karbon dioksida dipercayai hilang kawalan.
“Lori itu kemudian terbabas secara mengiring di bahu kiri jalan menuju ke arah Jemaluang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Penumpang berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Mersing yang tiba di tempat kejadian.
Anaknya, berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dirujuk ke unit kecemasan Hospital Mersing bagi tujuan rawatan lanjut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Mersing untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kematian, katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Azhari Awi berkata, seorang daripada mangsa tersepit selepas lori berkenaan terbalik.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas. Seramai lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dihantar ke tempat kejadian.
“Operasi selesai jam 2.19 petang,” katanya- SAHIH