HANTAR BAKUL MAKANAN KE SINGAPURA
LANGKAH SEGERA BANTU RAKYAT MALAYSIA TERKANDAS DI SEBERANG TAMBAK
JOHOR: Kerajaan Johor akan menghantar bakul makanan kepada rakyat termasuk pekerja Malaysia yang terkandas di Singapura.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas dan kesempitan di republik itu.
“Kita akan berkerjasama dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan Persatuan Malaysia-Singapura dalam mengagihkan bantuan bakul makanan pada rakyat Malaysia yang terkandas dan terjejas di Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Johor Yang Ke-14 di sini, hari ini.
Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, kerajaan akan mengambil langkah segera bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura, selepas sempadan kedua negara ditutup akibat pandemik COVID-19.
Memetik laporan Harian Metro, Hishammuddin berkata, Malaysia pada dasarnya tidak pernah menyekat mereka untuk kembali ke tanah air, walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.
GAMBAR HIASAN
Katanya siasatan juga akan dilakukan bagi mengenal pasti punca yang menyekat mereka daripada pulang, hingga terpaksa meneruskan hidup sebagai gelandangan di negara jiran.