BEKAS PENGARAH SYARIKAT BUAT TUNTUTAN PALSU DIDENDA RM700,000
KUANTAN: Seorang bekas pengarah syarikat pembinaan didenda RM700,000 selepas mengaku bersalah mengemukakan tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini.
Tertuduh, Lee Teh Hok, 66, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bera pada April 2014.
Pendakwaan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu sebagai tulen bagi projek naik taraf dan kerja tanah Jalan FT1510 Seksyen 1-18 Daerah Bera bernilai RM17.8 juta.
Wan Shaharuddin mencadangkan tertuduh dikenakan denda antara RM500,000 hingga RM1 juta, namun peguam mewakili tertuduh, Lim Kon Keen meminta mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan kerjasama diberikan sepanjang siasatan berjalan.
Kon Kean turut memaklumkan bahawa anak guamnya sudah bersara sejak tiga tahun lalu dan kini menghadapi pelbagai penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan rawatan secara berterusan.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain kemudiannya memutuskan tertuduh dikenakan denda RM700,000 atau dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda ditetapkan mahkamah itu.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UMNO TUNJANG PERJUANGAN ORANG MELAYU DAN ISLAM – TENGKU AZLAN ISTIHAR TINGGALKAN BERSATU SERTAI UMNO
Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Tengku Azlan Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’Muazzam Shah atau lebih di kenali dengan panggilan Ku Lan telah mengambil keputusan untuk keluar dari parti Bersatu dan menyertai UMNO.
Beliau juga mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ketua BERSATU Bahagian Temerloh berkuatkuasa serta merta. Pengumuman beliau itu di saksikan oleh YAB Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang Dato Sri’ Wan Rosdy Wan Ismail di Kuala Lumpur hari ini.
“Saya membuat keputusan untuk memilih kembali ke pangkuan parti UMNO yang begitu lama saya sertai sebelum ini kerana saya yakin dan percaya parti UMNO merupakan sebuah parti yang menjadi tunjang kepada perjuangan orang Melayu dan Islam”.
“Saya menyokong penuh pendirian YAB Menteri Besar selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang dalam isu perlembagaan baru-baru ini yang mana telah menimbulkan kesan dikalangan rakyat negara kita. Sebagai rakyat Malaysia kita mesti mempertahankan perlembagaan negara tanpa mengira fahaman politik”.
“Kiita seharusnya mendokong Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan berdasarkan apa yang telah termaktub dalam Rukun Negara. Sesungguhnya Perlembagaan Negara adalah sebuah institusi tertinggi dalam negara kita” , kata YAM Tengku Azlan Sultan Abu Bakar .
Tengku Azlan merupakan juga adinda kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jerantut selama tiga penggal dari 1999 hingga 2013 dan Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2004 hingga 2008.
Beliau telah menyerahkan borang keahlian UMNO kepada YAB Menteri Besar Pahang Dato Sri’ Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang dan memilih untuk menjadi ahli UMNO Bahagian Paya Besar.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Seramai 648 warga peneroka FELDA Jengka 24, dekat sini, menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) berpusat di Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Jengka 24, semalam.
Pembukaan PPV itu adalah hasil inisiatif pihak pengurusan FELDA Wilayah Jengka dan mendapat sokongan baik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan daerah.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, program pemberian vaksin secara turun padang itu dapat membantu memudahkan proses imunisasi kepada warga peneroka dan penduduk kawasan luar bandar.
“Kejayaan program ini juga menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menjayakan sasaran imuniti berkelompok menjelang hujung tahun ini.
“Selain bantuan dan sokongan padu daripada pihak pengurusan FELDA Wilayah Jengka dan GPW turut bekerja keras membantu di sepanjang program berjalan lancar turut terlibat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, ahli jawatankuasa kemajuan dan kemakmuran rancangan (JKKR) FELDA Jengka 24 dan badan bukan kerajaan (NGO) Kami Anak FELDA (KAF),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razak berkata, pembukaan PPV di kawasan FELDA juga dapat menjimatkan masa dan kos kepada warga peneroka serta penduduk sekitar kerana mereka tidak perlu ke PPV yang biasanya dibuka di kawasan pekan atau bandar
.
Katanya, langkah kerajaan melalui KKM ini diharap dapat diperluaskan di kawasan FELDA yang lain dan seterusnya memberikan galakan serta bantuan kepada orang ramai, terutamanya warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 mereka dengan lebih cepat, mudah dan menjimatkan masa.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Semua barisan kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar meletakkan jawatan akibat kekhilafan mereka dalam isu pembatalan Ordinan Darurat di sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Pahang, Zulkifli Mohamed berkata, tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan secara langsung mencetuskan ketegangan terutamanya krisis perlembagaan.
“Tindakan beliau (Takiyuddin) menimbulkan kekeliruan dan mengundang rasa dukacita Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana ia (keputusan membatalkan Ordinan Darurat) membelakangi kuasa Baginda.
“Oleh itu, Takiyuddin perlu melepaskan jawatannya secara ‘gentleman’ bagi meredakan suhu politik nasional yang semakin panas ketika ini.
“Malah, seluruh ahli kabinet ‘pintu belakang’ PN ini juga mesti meletakkan jawatan masing-masing dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang bermula Isnin lalu kecoh apabila Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu mengumumkan kerajaan memutuskan untuk tidak menasihati Al-Sultan Abdullah untuk menyambung Proklamasi Darurat.
Takiyuddin menjelaskan, berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan juga membatalkan sebahagian ordinan darurat hingga mencetuskan bantahan pihak pembangkang yang menuntut agar Takiyuddin menjelaskan bilakah peraturan itu dibatalkan dan bagaimana mekanisme pembatalan itu dibuat.
Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada Isnin bahawa Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda, sedangkan ia belum mendapat perkenan.
Zulkifli berkata, sebagai Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin sepatutnya menunjukkan sikap baik dengan menghormati Ketua Utama Negara dan tidak bersekongkol dengan kerajaan yang menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Tempoh lanjutan bagi menandatangani perjanjian penyelarasan hutang ditawarkan FELDA perlu direbut semua warga peneroka yang belum berbuat demikian.
EXCO Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, tawaran itu dilihat sangat membantu mengurangkan bebanan kewangan dihadapi peneroka sejak pandemic COVID-19.
EXCO Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud
“Pihak FELDA bersetuju melanjutkan tempoh untuk warga peneroka menandatangani perjanjian itu sehingga 11 Ogos depan.
“Kalau kita lihat setakat ini hanya sekitar 60 peratus sudah menandatangani perjanjian berkenaan, manakala bakinya masih belum membuat sebarang keputusan.
“Jadi, saya harap mereka yang belum berbuat demikian mengambil peluang ini untuk datang ke pejabat FELDA di kawasan masing-masing untuk mendapatkan penerangan lebih terperinci berhubung tawaran itu,” katanya.
Razak yang juga Ketua Peneroka FELDA Jengka 24 berkata, seramai 210 peneroka FELDA Jengka 24 sudah menandatangani surat perjanjian itu.
Katanya, lebih ramai lagi warga peneroka perlu mengambil peluang memandangkan tawaran pelupusan hingga 80 peratus hutang adalah peluang terbaik untuk membantu mereka mengurangkan masalah bebanan hutang ditanggung sebelum ini.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOPERASI TERJEJAS PERLU REBUT PELUANG MOHON MODAL PUSINGAN MEDAC
MARAN: Sektor koperasi yang berdepan masalah akibat pandemik COVID-19 perlu merebut peluang pembiayaan diumumkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Ahad lalu.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata, berdasarkan kajian MEDAC, kira-kira 30 operator koperasi di seluruh negara terjejas berikutan sekatan pergerakan diperkenalkan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 sejak tahun lalu.
Katanya, antara sektor koperasi paling teruk terkesan ialah membabitkan operator pelancongan, perkhidmatan dan perhotelan.
“Pengumuman Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini diharap dapat memberi kelegaan sedikit kepada koperasi yang terjejas ini.
“Melalui peruntukan berjumlah RM230 juta dan pengenalan produk baharu dalam Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM), mereka perlu merebut peluang dan mengemukakan permohonan.
“Cuma kalau boleh, syarat permohonan itu dipermudahkan dan lebih fleksibel bagi memastikan proses (kelulusan) dapat disegerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan set pakaian pelindung diri (PPE) dan pelitup muka dari CoopCare ANGKASA kepada petugas Hospital Jengka, di sini, hari ini.
Sumbangan diterima Pengarah Hospital Jengka, Dr Mohd Sharafana Senasi Abdullah.
Dr Wan Junaidi dalam sidang media Ahad lalu dilaporkan berkata, MEDAC menyediakan peruntukan RM230 juta melalui lima produk pembiayaan TMPSKM bagi membantu kira-kira 14,000 koperasi seluruh negara.
Dianggarkan melalui peruntukan itu, seramai 6.5 juta ahli koperasi bakal menerima manfaat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Semua warga peneroka FELDA Wilayah Jengka perlu mengambil peluang ditawarkan kerajaan untuk mengurangkan bebanan hutang mereka.
Exco Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka, Razak Daud berkata , tawaran dicadangkan kerajaan itu adalah sangat munasabah dan selaras dengan perjuangan warga peneroka selama ini.
“Mereka (kerajaan) pun sudah beri tambahan masa untuk peneroka pertimbangkan tawaran itu, jadi gunalah masa yang ada untuk meneliti kandungan perjanjian disediakan.
EXCO JKKR Wilayah Jengka,
Razak Daud
“Jika sebelum ini, kita diberikan masa 14 hari untuk menandatangani perjanjian itu, namun selepas diminta untuk tempoh itu dipanjangkan, maka mereka setuju untuk lanjutkan kepada sebulan.
“Saya fikir tawaran diberikan adalah sangat bagus dan saya harap semua warga peneroka tidak melepaskan peluang untuk menandatangani perjanjian itu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Razak memaklumkan setakat ini seramai 5,055 peneroka FELDA Wilayah Jengka sudah mencapai persetujuan untuk menerima tawaran disediakan kerajaan.
Katanya, baki peneroka yang belum menandatangani dokumen perjanjian itu dijangka dapat diselesaikan selepas sambutan Aidiladha.
“Berdasarkan rekod kita, terdapat 14,957 peneroka di Wilayah Jengka dan setakat ini 33.8 peratus sudah selesai (menandatangani) perjanjian.
“Saya harap semuanya selesai selepas cuti sambutan Aidiladha dan ini adalah peluang untuk kita semua menikmati pelarasan hutang sehingga 80 peratus, seperti diumumkan kerajaan sebelum ini,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
336 MASJID DAN TEMPAT SEMBELIHAN KORBAN SUDAH DIKENALPASTI
KUANTAN: Sebanyak 336 masjid dan tempat penyembelihan di seluruh Pahang telah dikenalpasti bagi urusan penyembelihan untuk ibadah korban yang bermula Selasa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kebenaran itu diberikan dengan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat di lokasi terbabit.
“Seramai 1,335 penyembelih dan pembantu penyembelih sudah menerima kelulusan dan dibenarkan melakukan penyembelihan bagi ibadah korban.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
“Kita juga sudah mendapat persetujuan mengadakan ibadah korban dengan SOP ketat iaitu hanya tempat diiktiraf dan diberikan lesen oleh pihak jabatan veterinar.
“Masjid ini juga perlu memiliki kelengkapan bersesuaian dan mencukupi bagi memastikan pematuhan SOP dapat dilakukan.
“Mereka yang dibenarkan melakukan kerja penyembelihan perlu membuat ujian saringan pengesanan Covid-19 terlebih dahulu sebelum sembelihan dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kebenaran melaksanakan solat Sunat Aidiladha pula, Syed Ibrahim berkata, semua masjid dan surau yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat serta fardu, turut dibenarkan melaksanakan solat sunat Aidiladha, tertakluk kepada SOP ditetapkan sebelum ini.
“Walaupun dapat kebenaran untuk menunaikan solat Aidiladha, tetapi mereka mestilah mengikut SOP sebagaimana yang telah ditetapkan, sebagai contoh masjid negeri boleh solat dengan jumlah 100 jemaah.
“Jika, mereka ada keupayaan dari segi ruang, jentera untuk bantu orang ramai dan memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya, mereka boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk menambah jumlah jemaah,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
2,000 KILOGRAM IKAN PELALING UNTUK PENDUDUK TERKESAN
KUANTAN: Jika sebelum ini kita biasa mendengar mengenai kewujudan Bank Makanan bagi membantu golongan terkesan akibat COVID-19, rangkaian pasar raya borong MO Wholesales beribu pejabat di sini, mencipta kelainan dengan memperkenalkan inisiatif ‘Fish Bank’.
Program itu dilaksanakan pagi tadi, bermula jam 8.30 pagi di perkarangan pasar raya berkenaan yang terletak di Kompleks Pasar Borong Baru Kemunting, Jalan Tanah Putih.
Pengarah Eksekutif Operasi MO Wholesales, Mohd Rofzan Mohd Latiff berkata, idea memperkenalkan ‘Fish Bank’ itu tercetus selepas mendapati masih belum banyak pihak menawarkan bantuan barangan basah kepada orang ramai, terutamanya yang berdepan masalah kehilangan punca pendapatan berikutan penularan COVID-19 sejak setahun lalu.
“Kalau sebut ‘Food Bank’ memang kita sudah biasa dengar dan ramai yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas kepada mereka (yang terkesan), cuma bantuan barangan basah seperti ikan, agak jarang kita dengar.
“Jadi, dari situ kami dapat idea untuk melancarkan program ‘Fish Bank’ ini dan hari ini, kami menyediakan kira-kira 2,000 kilogram (kg) ikan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar bandar raya Kuantan.
“Memandangkan daerah ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), jadi kita melakukan pengagihan secara pandu lalu dan ini adalah bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi,” katanya ketika ditemui ketika program berkenaan berlangsung, pagi tadi.
Mohd Rofzan berkata, setiap penerima akan memperoleh dua kilogram ikan jenis Pelaling dan proses pengagihan 2,000 kg ikan berkenaan selesai sepenuhnya dalam masa kira-kira dua jam.
Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya pihak MO Wholesales bagi membantu kumpulan yang terdepan masalah kehilangan sumber pendapatan, Mohd Rofzan berkata, pihaknya akan melancarkan Bank Makanan di perkarangan pasar raya miliknya itu tidak lama lagi, di samping meneruskan pengagihan ikan percuma dari semasa ke semasa.
“Program hari ini adalah sebagai permulaan dan kita juga sedang merancang untuk menyediakan rak ‘Food Bank’ di pasar raya kami untuk memudahkan mereka (yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan) mendapatkan bantuan barangan keperluan asas.
“Begitu juga dengan program ‘Fish Bank’ ini, kita akan teruskan dari semasa ke semasa, bergantung kepada bekalan ikan yang kita perolehi.
“Macam hari ini, kita agihkan ikan jenis Pelaling kerana stok yang banyak Ketika ini adalah ikan jenis itu, kalau selepas ini ada stok (banyak) ikan jenis lain, kita agihkan ikan (jenis) lain pula,” katanya yang memaklumkan program sama akan diperluaskan ke semua enam rangkaian pasar raya milik MO Wholesales secara berperingkat.
Katanya, program ‘Fish Bank’ sesi kedua akan diadakan di cawangannya di Kemaman, Terengganu, dalam masa terdekat. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan dakwaan kononnya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa mengarahkan penutupan kilang yang mendatangkan risiko kepada kesihatan awam.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan Pusat sudah menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri pada 26 Jun lalu, untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kegiatan yang boleh mengakibatkan penularan pandemik COVID-19.
“Dalam hal ini, kita ambil contoh di Selangor dan mereka kata tidak ada kuasa untuk menutup kilang sedangkan ia (kuasa) itu sudah diturunkan kepada mereka melalui Akta 432 yang merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Selain itu, mereka (PBT) juga boleh menggunakan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang secara jelas membenarkan semua PBT mengambil tindakan kompaun dan mengarahkan penutupan premis atau kilang yang menjejaskan kesihatan orang ramai.
“Jadi, tidak betullah kalau mereka (kerajaan Selangor) cakap mereka tidak ada kuasa… kita (kerajaan Pusat) sudah turunkan kuasa kepada mereka dan boleh guna Akta 171 bagi menutup kilang terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja sempena Pelancaran Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) KPKT dan Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Orang Ramai Kampung Serengkam, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri KPKPT yang juga ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Selangor, Ng Sze Han dilaporkan berkata, PBT tidak mempunyai kuasa berkaitan kawalan jangkitan penyakit untuk menutup kilang bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja.
Sebaliknya, Sze Han mendakwa kuasa itu terletak di bawah kerajaan Pusat untuk menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membolehkan arahan penutupan kilang atau premis perniagaan dibuat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!