JERANTUT – Penduduk di kawasan rendah di Felda dikehendaki berjaga-jaga dan siapsiaga menghadapi musim tengkujuh yang sejak kebelakangan ini kerap berlaku hujan lebat berterusan.
Pengerusi Biro Sosial Wilayah Jengka, Razak Daud mengingatkan semua peneroka khususnya di Felda Jengka 24, sering bersiap sedia.
“Musim tengkujuh telah bermula, minta semua warga Jengka 24 berhati-hati kemungkinan berlaku banjir terutama di kawasan rendah.
“Ibubapa diharap memantau pergerakan anak masing-masing dan jangan bermain air di kawasan dinaiki air dengan arus yang deras,” katanya.
Katanya, cuba elak menghampiri tiang elektrik yang ditenggelami air dibimbangi berlaku kebocoran arus elektik yang boleh membawa padah.
“Selain itu pastikan bekalan makanan asas mencukupi dan sering mendengar arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.
“Mohon jawatan kuasa bencana bersiap bersedia untuk bertugas bila diperlukan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dua muka baru dan 2 ADUN Pakatan Harapan dilantik exco Pahang
KUANTAN – Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar, ADUN Dong, Fadzli Mohamad Kamal dan Datuk Sabariah Saidan, ADUN Guai antara dua muka baharu yang turut disertai dua ADUN Pakatan Harapan dalam barisan 10 Ahli Dewan Negeri Pahang (exco).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, turut memegang tanggungjawab portfolio Perancangan, Kewangan, Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air, selain Pembangunan Ekonomi, Perladangan dan Komoditi.
Manakala, muka lama, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dilantik untuk portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, manakala Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam serta Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli.
Turut serta dalam barisan itu, exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan pula disandang oleh Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, IR Razali Kassim menyandang Exco Felda, Koperasi dan Usahawan, manakala Datuk Seri Johari Harun dilantik sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.
Dua ADUN Pakatan Harapan turut dilantik exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia yang disandang oleh Sim Chon Siang, manakala Leong Yu Man dengan memegang jawatan Exco Perpaduan, Pelancongan & Kebudayaan,” katanya kepada media di Wisma Sri Pahang pada Rabu.
Fadzli dilantik sebagai Exco memegang portfolio Komunikasi dan Multimedia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan. Dan Sabariah memegang portfolio Pembangunan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.
Pada 2 Disember lalu, 10 Ahli Dewan Negeri Pahang telah mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang (exco) di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah di Istana Abu Bakar, Pekan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Geng Kuala Langat menitis air mata juga tidak dapat menahan kerinduan apabila bertemu semula selepas membawa haluan masing-masing sejak tahun 1972.
Antara mereka yang kini berusia antara 64 tahun dan 67 tahun, sudah mempunyai cucu dan cicit bertemu semula pada Majlis Reunion Sekolah Menengah Kebangsaan Datok Haron (SMKDH), Tanjung Karang, Selangor.
Majlis itu berlangsung di Dewan Serbaguna Indah Morib Homestay, Kampung Endah, Banting, baru-baru ini.
Pengerusi majlis itu, Ahmad Jantan, berkata majlis itu kebetulan serta menepati dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang dicanangkan oleh kerajaan untuk mengeratkan kembali ukhuwah antara bekas pelajar SMKDH yang sudah lama berpisah tanpa sebarang berita.
Menurutnya, menggunakan kemudahan media sosial penganjuran majlis berkenaan diuar-uarkan beberapa bulan dan mendapat sambutan amat baik apabila ramai yang menelefon bertanyakannya selain memberi persetujuan untuk menghadiri.
Jelasnya, dalam perbualan menerusi telefon itu dia terpaksa bertanya khabar terlebih dahulu termasuk menyoalkan mengenai latar belakang supaya dapat mengingati semula rakan itu kerana secara tidak langsung mengembalikan semula nostalgia ketika SMKDH.
“Walaupun hanya 35 orang sahaja yang hadir, namun majlis ini cukup bermakna bagi kami yang masing-masing sudah berusia lanjut selain sudah lama bersara daripada pelbagai jawatan seperti guru, pegawai polis, tentera dan ahli perniagaan.
“Suasana cukup mengharukan perasaan dan gembira sambil berpelukan kerana kami akhirnya dapat berkumpul semula selepas lebih 50 tahun tidak bersua untuk bertanya khabar walaupun ada yang terpaksa berkerusi roda serta bertongkat datang ke majlis ini.
Katanya, ada antara kami terpaksa mengambil masa beberapa saat untuk mengecamkan kembali wajah kawan yang disapa dalam majlis ini dan menambahkan gelak tawa serta kemesraan apabila terpaksa bersandarkan seperti kepada peristiwa dan perangai yang dilalui masa di SMKDH dahulu untuk mengingati semula.
Sementara itu, seorang bekas pelajar SMKDH, Shamsiah Ilham melahirkan rasa terharu dapat menghadiri majlis itu untuk berjumpa dengan rakan walaupun kurang sihat namun terpaksa mengagahi diri untuk datang bagi bertanya khabar kawan yang sudah lama berpisah.
Bagi Jawahir Misbah pula, dia menzahirkan ribuan terima kepada mereka yang bersusah payah berusaha mengadakan majlis itu yang ternyata memberi banyak manfaat bukan setakat merapatkan ukhuwah persahabatan malah berkongsi cerita mengenai rakan-rakan yang berjaya dan sebaliknya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jumlah mangsa banjir dan PPS Pahang meningkat semula
KUANTAN – Bilangan mangsa banjir meningkat semula kepada 444 orang dan ditempatkan di 4 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) daripada 128 buah di tiga daerah sehingga jam 8 malam ini.
Sebelum itu, mangsa banjir yang ditempatkan di tiga buah PPS di daerah Temerloh dan Bera, dengan seramai 405 orang daripada 121 buah keluarga pada jam 4.00 petang.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dalam satu kenyataan berkata, di Pekan seramai 46 orang mangsa daripada 10 buah keluarga yang mula terjejas ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara, Pekan.
“Di Temerloh, jumlah terkini mangsa yang terjejas masih berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan, iaitu seramai 363 orang mangsa daripada 108 keluarga yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, di Bera, seramai 35 orang mangsa daripada 10 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Buntar yang dibuka sejak Jumaat lalu dan sembilan mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS SK Kerayong.
Katanya, tiga daerah iaitu Jerantut, Raub dan Lipis telah menutup PPS yang ada kerana mangsa pulang ke rumah masing-masing bermula pukul 2 petang tadi.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sukarelawan Hospital Kajang, Selangor, Wan Faridah (dua dari kanan), Azuan (empat dari kanan) dan Arbakyah (tengah) bersama-sama rakan gembira dapat berkhidmat secara sukarela di hospital itu.
Sukarelawan hospital ibarat wira tidak didendangkan
KAJANG – Sukarelawan hospital ibarat wira yang tidak didendang kerana usaha murni mereka yang tidak dibayar untuk menjalankan kerja secara sukarela bagi membantu petugas di hospital dalam menyantuni pesakit.
Katanya, anggapan sedemikian kurang tepat kerana pelbagai kebaikan boleh dilakukan dalam banyak perkara kerana paling penting niat melakukan tugas itu dengan ikhlas serta jujur kerana sekecil mana pun usaha berkenaan pasti besar maknanya.
“Inilah contoh terbaik ditunjukkan sukarelawan hospital yang boleh menawarkan bantuan dalam pelbagai segi kemahiran termasuklah memotong rambut dan kuku pesakit, menolak kerusi roda pesakit yang hadir untuk janji temu di klinik pakar dan sebagainya.
“Ibarat seorang wira sukarelawan berkemahiran ini sentiasa bersedia berkhidmat yang memberi banyak manfaat kepada pesakit serta masyarakat memerlukan bantuan dan kita seharusnya sedar akan kewujudan mereka membantu pihak hospital.
Beliau berkata demikian di majlis Sambutan Minggu Sukarelawan 2022 Peringkat Hospital Kajang, kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Perubatan 1, Hospital Kajang, Selangor, Dr Mardiah Masharuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sukarelawan Hospital Kajang.
Turut hadir pada majlis itu Presiden Sahabat Hospital Selangor, Mahat Tumin; wakil pelbagai jabatan dan sukarelawan Hospital Kajang; pertubuhan bukan kerajaan (NGO); serta wakil kelab.
Dr Abdul Ghani berkata, Hari Sukarelawan Antarabangsa yang disambut pada setiap 5 Disember adalah merupakan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1985.
Tambahnya, tujuan sambutan itu adalah untuk menghargai jasa dan sumbangan yang diberikan sukarelawan di samping meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pengorbanan petugas sukarela kepada masyarakat, justeru inisiatif diambil dengan menganjurkan sambutan peringkat Hospital Kajang.
Tegas beliau, Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital dan sukarelawan tidak dapat dipisahkan kerana menerusi pegawai terbabit penilaian biopsikososial ke atas pesakit dilakukan dengan mendapat bantuan daripada sukarelawan.
“Sukarelawan ini memainkan peranan dalam membantu perkara yang bukan membabitkan bidang sains perubatan bagi memberi sokongan dalam aspek sosial, kebajikan dan emosi pesakit serta keluarga ketika menjalani rawatan atau pemulihan,”katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
15 keluarga orang Asli Kampung Yong Kuala Tahan terselamat daripada serangan gajah
JERANTUT – Lima belas keluarga Orang Asli di Kampung Yong, Kuala Tahan bertempiaran lari dalam gelap menyelamatkan diri daripada serangan gajah yang berlaku pada jam 2.00 pagi, hari ini.
Kejadian itu disedari seorang penduduk Orang Asli etnik Bateq Kampung Yong, Cangap a/l Jusoh, 27, ketika hampir tidur, dia berasa pondok kayu beratap bertam tempat tinggalnya bergoyang dan terdengar bunyi yang kuat di luar rumah.
“Saya terus bangun dan pergi ke arah dapur, saya lihat sekor gajah sedang menolak dan menggoncang dinding dengan belalainya dan cuba mendapatkan makanan.
“Saya terus keluar dari rumah menyelamatkan diri ke tempat selamat sambil menjerit meminta jiran saya bangun untuk menyelamatkan diri,” katanya di Kampung Yong, berdekatan Taman Negara Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Katanya, sudah berlaku lima kali sejak awal tahun ini dan pagi hari ini antara yang paling dahsyat serangan gajah kerana melibatkan kerosakan pondok tempat tinggal dan makanan seperti beras.
Penyelaras Sukarelawan Nature Lifeguard, Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim berkata, kejadian pencerobohan gajah liar di perkampungan Orang Asli dan kawasan sekitar kerap berlaku.
“Tetapi sejak kebelakangan ini, haiwan liar ini semakin agresif dan turut memusnahkan pondok tempat tinggal , makanan dan tanaman berdekatan perkampungan.
“Ancaman gajah ini turut melibatkan penempatan Orang Asli Kampung Dedari, Kampung Yong, Kampung Teresek dan kelmarin cuba menceroboh Kampung Tabung, tetapi tidak dapat masuk kerana berjaya dihalang penduduk,” katanya.
Katanya, kejadian di Kampung Yong berlaku tidak sampai 24 jam kejadian gajah menyerang Kampung Simoi Baru di Lipis dan mengakibatkan kematian seorang wanita kampung tersebut. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Alias Ahmad (tengah) melakukan gimik penyerahan sumbangan kepada Jamri.
Sembilan belas ahli Geng Ngaji Ustaz, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor teruja apabila buat julung kali dapat memijak tanah di perkampungan Orang Asli Suku Jahai di Kampung Klewang, Royal Belum, Gerik, Perak, baru-baru ini.
Perasaan mereka juga tersentuh apabila melihat masyarakat Orang Asli di perkampungan itu amat menghargai serta menyanjung tinggi bantuan yang diterima hasil sumbangan atau infak pelbagai pihak luar.
Seperti kata Tok Batin perkampungan itu, Jamri Gebis, masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan sentiasa diingatkan untuk bersikap terbuka, berlapang dada menerima kunjungan orang luar yang datang memberi sumbangan di samping melihat kehidupan sebenar mereka di situ.
Beliau yang fasih berbahasa Melayu, berkata orang bandar yang datang disambut penuh hormat dengan hati terbuka tanpa membezakan apa bangsa sekali pun terutama apabila kunjungan mereka itu membawa buah tangan.
“Kerana itu saya sentiasa berpesan kepada anak buah untuk bersangka baik dengan kunjungan orang bandar, lemparkan senyuman walaupun kali pertama bertemu dan hulur tangan untuk bersalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyambut kedatangan ahli Geng Ngaji Ustaz BTHO yang mengunjungi perkampungan berkenaan dalam program ekspedisi mereka selama tiga hari dua malam di Royal Belum.
Menurut Jamri ketika bercerita mengenai perkampungan berkenaan kepada ahli geng terbabit, sebelum itu mereka menetap di Kampung Aman Damai dan terpaksa berpindah ke Kampung Klewang akibat banjir besar pada 2014.
Jelasnya, dia bersama kira-kira 150 penduduk Suku Jahai daripada 40 keluarga terpaksa akur arahan itu demi keselamatan dan ketika pandemik Covid-19 melanda negara lebih dua tahun lalu mereka semua selamat serta tidak terkena jangkitan wabak itu.
“Selepas pandemik ini beransur pulih pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) khususnya tidak berhenti menghulurkan bantuan seperti bakul makanan, mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan selain disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Sekarang ini kami sudah dapat menjalani rutin hidup seperti biasa, boleh keluar memburu dan ke pekan berdekatan untuk mendapatkan keperluan harian,” katanya sambil menerangkan penggunaan sumpit untuk memburu binatang buas serta racun dari getah pokok ipuh.
Ketua ekspedisi Geng Ngaji Ustaz, BTHO, Alias Ahmad, berkata pada peringkat awal mereka merancang ke Royal Belum bagi beriadah iaitu memancing sambil mengadakan kelas mengaji di atas ‘Boathouse’ keluar dari lokasi biasa yang selalu diadakan di dalam kelas.
Menurutnya, apabila cadangan itu diuar-uarkan kepada ahli terus mendapat sambutan luar jangkaan dan sebahagian besar mengesyorkan supaya diadakan juga aktiviti menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bantuan dan memilih untuk mengunjungi perkampungan Orang Asli Suku Jahai berkenaan.
Jelasnya, dalam tempoh dua minggu ahli geng berkenaan mengumpul pelbagai barangan makanan asas kering seperti beras, gula, tepung, sardin dan kari ayam dalam tin, susu pekat manis, bihun, biskut, roti, tuala pelekat wanita, pampers, mi segera, pakaian terpakai dan sebagainya.
Barangan makanan asas kering dan pakaian terpakai itu adalah infak pelbagai pihak untuk NGO seperti Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Nur Hasanah, Al Fikrah Malaysia, Yayasan Bunga Raya bagi disalurkan kepada mereka yang memerlukan bantuan termasuklah sumbangan individu prihatin serta ahli Geng Ngaji sendiri.
Alias berkata, ekspedisi itu juga secara tidak langsung mengukuhkan ukhwah antara ahli Geng Ngaji al-Quran sedia ada dengan sahabat baharu terutama mereka yang menyertai kelas mengaji dan secara tidak langsung menyuburkan kecintaan terhadap al-Quran walaupun di mana sahaja aktiviti dijalankan.
Tambahnya, riadah dengan aktiviti yang bermanfaat menelusuri sungai di tengah-tengah alam semula jadi dan kehijauan flora fauna melihat kebesaran Allah SWT dan kita hamba-Nya mengakui bahawa tidak Allah SWT jadikan hutan hijau dan tasik yang besar ini sia-sia, melainkan ada manfaat kepada hamba-Nya.
“Di samping program halaqah saya turut mengadakan tazkirah ringkas selepas solat subuh berjemaah sepanjang ekspedisi ini dan setiap kali masuk waktu solat ahli yang bertugas sebagai bilal akan mengalukan azan di atas ‘Boathouse’ ini mengheningkan suasana berada di Royal Belum,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Petugas JKR meletakkan papan tanda amaran di laluan Benta-Jerantut yang digenangi air.
7 PPS dibuka di Raub dan Lipis, Jalan Benta-Jerantut ditutup
RAUB : Sebanyak 7 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan menempatkan 33 keluarga di daerah Raub dan Lipis, termasuk Jalan Benta-Jerantut ditutup, hari ini.
Seramai 117 mangsa ditempatkan di 6 PPS di daerah Raub di Surau Kampung Peruas seramai 43 mangsa; Pamah Rawas (16 mangsa); Balai Raya Pamah Kulat (18); Balai Raya Kampung Keloi (1); Balai Raya Kg Jenud (9) dan PPS Ulu Atok seramai 15 mangsa.
Manakala 17 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan di daerah Lipis kerana hujan melanda kawasan terbabit bermula pada jam 10.00 malam tadi.
Jurucakap, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lipis memaklumkan kejadian banjir berlaku disebabkan hujan lebat yang turun berterusan bermula pada jam 10.00 malam.
Sementara itu, Jalan Persekutuan, No. Laluan FT 64, Jalan Benta-Jerantut ditutup kepada semua kenderaan kerana laluan itu ditenggelami air sejauh 100 meter dan pada kedalaman 0.30 meter. Namun, trend air semasa surut dan cuaca cerah.
Seorang mangsa, Ali Bahari (64) dari Kampung Kampung Pulau Kabong, Budu tidak menjangka kawasan rumahnya dinaiki air kerana hujan lebat yang berlaku pada jam 10 malam, semalam.
Katanya, dia dan isteri bertahan, tetapi hujan lebat tidak reda dan air semakin naik, dia diarah berpindah ke PPS pada jam 5.00 pagi ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lapan sekeluarga selamat, seorang maut dalam serangan gajah di Lipis.
LIPIS : Lapan sekeluarga Orang Asli terselamat dan seorang maut dalam serangan sekumpulan gajah yang menyerang tempat tinggal mereka di Kampung Simoi Baru, Pos Betau, dekat Sini, pada jam 4.45 pagi, hari ini.
Wanita yang maut itu Wan Angkat A/p Yong Tong berusia 39 tahun maut dipercayai tidak sempat melarikan diri dalam serangan sekumpulan gajah itu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, anggota polis Balai Polis Sungai Koyan bergegas ke tempat kejadian setelah menerima maklumat dari orang awam berkaitan dengan kejadian itu.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang wanita Orang Asli telah meninggal dunia dan punca kematian dipercayai cedera parah akibat dipijak oleh gajah.
“Rumah mangsa dan ahli keluarganya tinggal di rumah kayu berdinding buluh yang terletak di kampung itu dikelilingi pokok pisang dan berhampiran kebun getah,” katanya.
Azli berkata, ketika kejadian sekumpulan gajah telah menarik dinding dan rumah mereka bergoyang semasa mereka tidor dan apabila mereka tersedar mereka melarikan diri dalam keadaan gelap.
“Selepas keadaan reda, mereka berkumpul semula dan menyedari salah seorang ahli keluarga mereka tiada dan mereka mencari dan menjumpai mayat mangsa berada di dalam kawasan pokok pisang berhampiran rumah mereka,” katanya.
“Mayat mangsa dibawa oleh anggota polis ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
243 bungkus daum ketum dirampas di Lebuhraya Karak-Kuala lumpur
BENTONG – Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong berjaya merampas sejumlah 243 bungkus plastik daun ketum di dalam sebuah kereta Proton di Kilometer 63, Lebuhraya Karak ke Kuala Lumpur menghala ke Kuala Lumpur, dekat sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, anggota polis peronda mobile patrol vehicle (MPV), BPJKK telah menahan sebuah kereta jenis Proton dipandu oleh seorang lelaki berusia 44 tahun pada jam 3.00 pagi pada 29 November.
“Hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut, polis telah menemui sejumlah 243 bungkusan plastik dipercayai berisi daun ketum dan anggaran berat 243 kilogram.
“Dalam siasatan awal, daun ketum ini dibeli oleh suspek di Pendang, Kedah dan dibawa pulang untuk dijual kepada pembeli yang telah membuat pesanan di Temerloh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, setiap bungkusan daun ketum seberat satu kilogram berharga RM10 dan akan dijual kepada pelanggan yang telah membuat pesanan dengan harga RM17 setiap bungkusan yang sama.
“Hasil siasatan, dipercayai suspek lelaki tersebut pernah melakukan penghantaran daun ketum ke kawasan Pantai Timur sebelum ini.
“Suspek ditahan reman selama empat hari mulai 29 November 2022 hingga 2 Disember 2022 untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika disabitkan kesalahan, suspek akan dikenakan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau keduanya sekali.
“Hasil ujian air kencing ke atas suspek, dia didapati negatif, anggaran semua daun ketum bernilai RM5,751, sebuah kereta jenis Proton dan seberkas kunci turut dirampas.
“Orang ramai menjauhkan diri dengan penyalahgunaan dadah dan ketum serta bekerjasama dengan polis menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah terus ke Pusat Kawalan Daerah IPD Bentong menerusi talian 09 2222222,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!