JERANTUT – Perubahan secara menyeluruh perlu dilakukan UMNO jika mahu parti itu kembali menjadi dominan dan dipercayai rakyat.
Calon ketua UMNO Bahagian Jerantut, Ahmad Murad Mat Hassim berkata, sebagai sebuah parti yang sudah lama bertapak dalam politik Malaysia, UMNO tidak boleh terus berada dalam zon selesa.
“Kita bukan lagi parti untuk rakyat, tapi senario hari ini menunjukkan seolah UMNO hanya untuk orang UMNO.
“Sebab itulah saya mengajak semua pihak, yang ada jawatan atau tidak ada jawatan, yang berada di luar (bukan ahli) atau di dalam UMNO, kita kena buat perubahan.
“Saya bimbang jika keadaan selesa ini berterusan, kita akan hanya mempunyai kuantiti (ahli) tapi bukan kualiti,” katanya.
Ahmad Murad yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang teknologi komunikasi berharap agenda dibawanya pada pemilihan kali ini diterima baik semua ahli UMNO Bahagian Jerantut.
Katanya, selain melakukan perubahan secara dalaman, UMNO juga perlu menggiatkan usaha memenangi semula hati golongan belia.
“Berbekalkan pengalaman yang ada ketika mengetuai Majlis Belia Daerah Jerantut sebelum ini (2011-2013), saya percaya golongan belia masih yakin dengan kemampuan UMNO.
“Sebab itulah saya mahu membawa lebih ramai golongan belia bersama UMNO dan memperkuatkan semula parti ini sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib golongan belia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan barisan calon pimpinan UMNO Bahagian Jerantut pada pemilihan kali ini juga bekas pemimpin belia yang digilap sejak awal lagi.
“Maknanya, UMNO dan belia ini perlu kembali bekerjasama untuk memperkuatkan parti,” katanya.-SAHIH
tamat
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Setiap pemimpin tidak boleh lari daripada mendekati dan memahami kehendak golongan belia jika ingin terus mendapat kepercayaan.
Pembabitan Ahmad Murad Mat Hassim secara dekat dengan golongan ini sejak 2010 menjadi sandaran untuk beliau menawarkan diri untuk bertanding sebagai ketua UMNO Bahagian Jerantut.
Ahmad Murad pernah dipilih sebagai ahli majlis Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) pada sesi 2010-2013.
“Antara cara paling berkesan mendekati dan memahami mereka (golongan belia) adalah melalui sukan dan boleh dikatakan kebanyakan belia sangat meminati sukan bola sepak.
“Jadi, saya fikir dengan pengalaman yang ada dan pembabitan aktif saya dalam sukan nombor satu negara ini, ia boleh membantu saya memenangi hati golongan belia, terutamanya di Jerantut,” katanya.
Selain pernah menjadi ahli majlis PBNP, Ahmad Murad juga memegang jawatan naib presiden 2 Persatuan Bolasepak Daerah Jerantut – Jerantut FA (2017-2019).
Beliau juga terbabit secara aktif dalam program pembangunan bola sepak di daerah Jerantut sejak tahun 2010.
Kemuncak pembabitan Ahmad Murad adalah pada tahun 2019 apabila pasukan Jerantut FA mara ke pusingan suku akhir piala FA.
“Itu adalah kejayaan paling bermakna, kami berjaya membawa pasukan dianggap kerdil hingga dapat bersaing dengan pasukan mempunyai nama gah dalam sukan bola sepak Malaysia,” katanya.
Jerantut FA tewas di tangan Perak pada saingan suka akhir piala FA pada tahun 2019 dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak Jengka.
Beliau yang kini memegang jawatan ketua pegawai eksekutif Jerantut FC berjaya membawa pasukan itu menjuarai Liga M5 pada tahun 2021.
Ahmad Murad juga percaya pendekatan melalui program sukan dan aktiviti bersesuaian yang lain sangat penting untuk mendapatkan semula sokongan belia kepada UMNO.-SAHIH
tamat
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Setakat 4 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 44,860 orang di kesemua 10 daerah, dengan Batu Pahat paling terjejas. (Gambar Bernama)
Jumlah mangsa banjir 3 negeri masih tinggi
PETALING JAYA – Jumlah mangsa banjir di Johor, Pahang, dan Melaka masih tinggi dengan 50,499 orang biarpun berlaku sedikit penurunan berbanding 55,000 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 8 pagi tadi, sebanyak 311 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka untuk menempatkan mangsa terjejas.
FMT melaporkan, Johor masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai dengan 46,916 orang membabitkan 13,511 keluarga ditempatkan di 284 PPS, menurut Berita Harian.
Di Pahang, seramai 3,029 mangsa membabitkan 860 keluarga ditempatkan di 21 PPS.
Mangsa yang terjejas di negeri itu membabitkan 1,002 lelaki dewasa, 989 perempuan dewasa, 514 kanak-kanak lelaki dan 433 kanak-kanak perempuan.
Di Melaka, enam PPS dibuka dan menempatkan seramai 554 mangsa daripada 150 keluarga.
Sementara itu, banjir di Selangor dan Negeri Sembilan dilaporkan pulih sepenuhnya malam tadi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR – Penduduk terjejas banjir di Johor terus meningkat kepada 9,162 orang daripada 2,760 keluarga setakat 7.00 malam ini.
Semua penduduk ditempatkan di 90 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah.
Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, sembilan daerah terjejas, iaitu Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Kulai, Muar dan Tangkak.
15 sungai pula merekodkan aras bahaya melibatkan empat sungai di Segamat, tiga sungai di Tangkak, empat di Kulai serta masing-masing satu di Batu Pahat, Kluang, Johor Bahru dan Kota Tinggi.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Hujan lebat berterusan peringkat bahaya dijangka berlaku di Pekan dan Rompin, Pahang serta Johor sehingga Khamis ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pada 10 malam ini memaklumkan hujan lebat berterusan peringkat buruk juga dijangka berlaku di Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan dan Bera), Negeri Sembilan serta Melaka sehingga Khamis.
Hujan lebat berterusan peringkat waspada pula dijangka berlaku di Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim di Perak, Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh di Pahang serta Terengganu dan Selangor sehingga hari ini.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pegawai JKR direman 5 hari terima rasuah lebih setengah juta
KUANTAN – Seorang penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah.
Dia direman di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini.
Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga 1 Mac dikeluarkan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Penjawat awam berusia 44 tahun itu bertugas di bahagian jalan JKR daerah Raub ketika didakwa melakukan kesalahan itu.
Dia dikatakan menerima suapan antara RM1,000 hingga RM95,000 antara tahun 2018 hingga 2022.
Jumlah keseluruhan suapan diterima suspek adalah RM516,325.
Suapan itu diterima daripada seorang kontraktor sebagai balasan mencadangkan syarikat proksi kontraktor berkenaan untuk diambil sebagai sub-kontraktor bagi projek pembaikan cerun daripada JKR Daerah Raub.
Suspek juga dipercayai membantu urusan bagi mendapatkan bayaran tuntutan kerja membaiki cerun berkenaan.
Dia ditahan jam 6.56 petang semalam ketika hadir bagi dirakam keterangan di pejabat SPRM Pahang.
Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jojo’ peninju Muay Thai negara berusia 16 tahun tumbangkan lawan hanya 16 saat
BANGKOK – Peserta remaja Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, melakarkan penampilan sulung yang menakjubkan dalam siri ONE Championship apabila menumbangkan lawan dengan pukulan ‘knockout’ (KO) di Stadium Tinju Lumpinee, di sini, pada Jumaat.
Peserta Sarawak berusia 16 tahun itu hanya mengambil masa 16 saat dalam pertarungan ‘Flyweight Muay Thai’ untuk keputusan KO terhadap peserta tuan rumah, Padetsuk Fairtex, dalam pusingan pertama.
Beliau memerangkap lawan dengan aksi kombinasi pukulan bertubi-tubi yang disasarkan tepat sehingga lawannya tidak mampu meneruskan saingan.
Johan, yang lebih dikenali sebagai ‘Jojo’, turut menerima bonus prestasi berjumlah Baht 350,000 (RM44,000).
Johan, yang mewakili Kelab Muay Thai Rentap, berkata beliau menjalani tempoh latihan intensif selama sebulan setengah bagi persediaan menghadapi pertarungan ONE Championship.
“Saya sentiasa mahu bertarung dalam kejohanan ini…maka berlatih dengan gigih untuk mencapai hasrat ini. Saya berlatih kira-kira lapan jam sehari iaitu empat jam mulai jam 6 pagi dan empat jam pada sebelah petang mulai 4 petang.
“Usaha keras selama ini berbaloi. Saya amat berterima kasih kepada jurulatih, Addy Singpayak, yang menjaga saya, beliau adalah jurulatih yang sangat berdedikasi dan memastikan saya berlatih secara konsisten,” katanya.
Tahun lalu, Johan muncul juara Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 selepas menumbangkan peserta Rusia, Rustam Yunusob, bagi kategori 14 hingga 15 tahun (bawah 60 kilogram) dengan kiraan mata 20-18, di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya.- Sarang Burung.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEPEHAN: Kesan gempa bumi mewujudkan bentuk muka bumi baharu iaitu sebuah ngarai di dalam ladang zaitun di Turkiye dengan kedalaman kira-kira lebih daripada 39.6 meter, lebar 274.3 meter dan panjang lebih daripada 1.6 kilometer.
Gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.5 magnitud itu benar-benar membelah kampung Tepehan kepada dua.
Ahli geologi memberitahu CNN bahawa kegagalan jisim batu bukanlah fenomena yang luar biasa, tetapi sesuatu pada skala ini merupakan sesuatu yang belum pernah dilihat dalam hidup mereka.
Walaupun tiada siapa yang cedera di perkampungan pergunungan itu, penduduk bagaimanapun tetap berasa takut dan panik, malah ramai yang mengambil keputusan untuk tidur di luar rumah.
Pada Isnin lalu, dua lagi gempa bumi melanda berukuran 6.4 dan 5.8 magnitud dengan pusat gempa di daerah Defne di wilayah Hatay di Turki.
Gegaran dikatakan turut dirasai di Jordan, Cyprus, Israel, Lubnan dan Mesir.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan berkata, 26 juta orang di seluruh Turkiye dan Syria memerlukan bantuan kemanusiaan segera.
Di Turkiye sahaja, dianggarkan sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal dan 80,000 orang kini berada di hospital.
Jumlah kematian kini lebih 47,000 orang dengan 42,310 maut di Turkiye manakala di seberang sempadan di barat laut Syria, jumlah kematian hampir 5,000 orang.-UTUSAN.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Selepas tangguh selama 3 tahun, anak ini menghembuskan nafas terakhirnya di Madinah, banyak benda ‘rare’ berlaku.
KETERUJAAN seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun mengikut keluarganya menunaikan umrah, berakhir dengan berita yang menyedihkan.
Kanak-kanak comel itu, Nur Alesha Ammara Mohamad Amirul menghembuskan nafas terakhir di Madinah akibat jangkitan kuman, pada Selasa.
Bapa arwah iaitu Mohamad Amirul Zulkafly berkata, dia sekeluarga berangkat ke Tanah Suci pada 4 Februari lalu, selepas rancangan itu tertunda selama kira-kira tiga tahun disebabkan oleh pandemik Covid-19.
Jemaah berusia 36 tahun itu memberitahu, tarikh berkenaan juga merupakan hari ulang tahun ke-4 Nur Alesha Ammara yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.
“Selepas tertangguh selama tiga tahun, akhirnya kami dapat buat umrah di Tanah Suci. Tiket penerbangan pada hari jadi anak saya, Alesha.
“Dia yang paling seronok nak ke sana (tanah suci). Rupa-rupanya Allah dah rancang yang terbaik buat dia, meninggal dunia selepas selesai menunaikan umrah.
“Alesha meninggal dunia kerana jangkitan kuman di bahagian otak, pada pukul 3.05 petang di Madinah, pada 14 Februari,” katanya ketika dihubungi.
Kata Amirul, Alesha seorang kanak-kanak yang sihat, aktif, ceria dan pintar berkomunikasi, serta tiada tanda-tanda sakit sepanjang mengerjakan umrah.
“Selepas kami selesai buat umrah, kami bergerak ke Taif pada 9 Februari sebelum ke Madinah dengan menaiki bas, perjalanan kira-kira enam ke tujuh jam.
“Pada 11 Februari, kami pergi melawat Masjid Nabawi dan bersiar-siar di kawasan sekitar termasuk di luar tanah perkuburan Baqi’ dekat masjid tersebut.
“Alesha tiba-tiba tak nak berjalan. Dia tak menangis, hanya manja minta saya dukung dia sepanjang meninjau tanah perkuburan Baqi’ dari luar,” ujarnya yang berasal dari Arau, Perlis.
Allahyarham Nur Alesha merupakan kanak-kanak yang ceria, penyayang dan peramah.
Menurut Amirul yang juga guru sekolah rendah di Ranau, Sabah itu, anaknya bagaimanapun demam selepas pulang dari ziarah dan hanya berehat di hotel.
“Kami pada mulanya anggap dia sekadar demam biasa, mungkin penat sebab berada dalam bas agak lama. Tapi pada pukul 2 pagi dia menggigil teruk dan badannya kejang.
“Jadi kami bawa dia ke sebuah hospital kanak-kanak berdekatan menggunakan ambulans untuk pemeriksaan dan rawatan. Pada Isnin, doktor cakap, anak kamu sangat sakit, get ready kalau apa-apa berlaku,” katanya sambil menambah rombongan umrah tersebut turut disertai ibu bapanya dan keluarga adik-beradiknya seramai 16 orang.
Enggan berputus asa, dia sekeluarga bersama rombongan membaca Yasin di Masjid Nabawi dan ketika itulah sesuatu yang tidak disangka-sangka berlaku.
“Sewaktu baca Yasin, tiba-tiba ada seekor burung merpati berjalan masuk menghampiri saya sebelum ke tengah bulatan yang dikelilingi kami para jemaah.
“Selepas 10 minit berada di tengah-tengah, ia keluar semula. Ia masuk melalui paha kiri saya dan keluar melalui paha kanan. Hati saya terdetik adakah ia satu petanda,” ujarnya yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama 12 tahun.
Ramai turut serta pada pengebumian Allahyarham Nur Alesha di tanah perkuburan Baqi’.
Selain itu, Amirul berkata, arwah anaknya turut meminta untuk dibelikan jubah berwarna putih semasa berada di Makkah dan mahu memakainya.
“Dia minta kami belikan, dan nak pakai terus. Saya kata nanti dulu sebab belum cuci. Ingatkan nak pakaikan dia jubah putih tu semasa di Madinah, tapi tak kesampaian,” tambahnya.
Jika sebelum ini datang ke Madinah dapat menziarah makam Rasulullah, tapi sekarang ada juga pusara anak.
Menggambarkan arwah sebagai anak yang penyayang, peramah dan menghormati orang tua, Amirul berkata, urusan pengebumian anaknya dipermudahkan di tanah perkuburan Baqi’.
“Alesha dikebumikan pada pagi 15 Februari, dan petang itu kami menaiki penerbangan pulang ke tanah air. Begitu hebat perancangan Allah, mempermudahkan urusan kami.
“Saya terharu ramai yang hadir untuk solat jenazah dan mengiringinya ke pusara. Ramai sayang Alesha,” katanya yang reda dengan ketentuan Ilahi.
Bagi Amirul, ada hikmah di sebalik pemergian anak perempuannya dan dikebumikan di Tanah Suci.
“Jika sebelum ini datang ke Madinah dapat menziarah makam Rasulullah, tapi sekarang ada juga pusara anak. Rezeki nak datang ke tanah suci itu nanti adalah urusan Allah.
“Apa yang saya mahu kongsi dengan ibu bapa di luar sana adalah anak itu adalah satu rahmat, rezeki dan amanah. Nakal macam mana sekali pun, jangan anggap anak itu menyusahkan atau membebankan kita… anak merupakan satu nikmat yang Allah berikan,” katanya.- Teras Malaysia.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!