BEIJING: Sekumpulan gajah liar di barat daya China dirakam berhenti rehat selepas kepenatan melakukan perjalanan sejauh 500 kilometer (km) merentasi laluan yang tidak pernah diguna sebelum ini.
Pengembaraan itu mendapat perhatian kerana kawanan 15 gajah berkenaan setakat ini sudah menyebabkan kerosakan lebih dari AS$1 juta (RM4.13 juta.
Televisyen nasional China melancarkan siaran 24 jam secara langsung selepas kawanan gajah itu menempuh rumah dan tanaman sepanjang perjalanan mereka di wilayah Yunnan.
Rakaman stesen penyiar CCTV menunjukkan kawanan terbabit, yang kepenatan susulan pengembaraan mereka, berehat di sebuah hutan di pinggir ibu kota wilayah Kunming.
Pengembaraan kawanan itu menarik perhatian seluruh negara sehingga ratusan juta netizen di media sosial membincangkan mengenainya.
Gajah berkenaan diawasi dengan teliti oleh pihak berkuasa ketika mereka melewati kawasan perkampungan.
Gambar Hiasan
Lebih daripada 400 orang digerakkan untuk memastikan keselamatan awam dan puluhan dron kini mengikuti setiap langkah kawanan itu.
Konvoi trak ditempatkan bagi menghalang jalan untuk mengelakkan kawanan itu memasuki kawasan berpenduduk padat di Kunming, yang dihuni lebih daripada lapan juta orang.
Pihak berkuasa daerah mengingatkan penduduk kampung supaya jangan meninggalkan jagung atau garam di halaman rumah mereka kerana boleh menarik perhatian haiwan berkenaan.
Penduduk di kawasan tertentu dipindahkan dan lebih dua tan makanan disediakan untuk kawanan gajah itu, lapor AFP.
Pakar tidak dapat memastikan kenapa kumpulan gajah berkenaan melakukan pengembaraan sebegitu jauh daripada habitat asalnya. –
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RENNES: Seorang remaja di Perancis ditahan selepas menikam bapanya sehingga mati dan menyebarkan gambar ngeri kejadian itu di dalam talian.
Individu berusia 17 tahun di Ploeren, sebuah bandar dengan 6,000 penduduk di barat laut wilayah Brittany, dilaporkan menelefon polis lewat Sabtu lalu.
Peguam pendakwa, Francois Touron, dalam satu kenyataan, berkata remaja itu memaklumkan polis bahawa dia baru menikam bapanya sehingga mati di kediaman milik keluarga berkenaan.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, katanya, polis menemui mayat lelaki dipenuhi kesan tikaman pisau dan menahan anak lelakinya yang didapati di bawah pengaruh alkohol, dengan kandungan yang amat tinggi.
Bagaimanapun, ketika ditahan, beliau berkata remaja lelaki itu sudah menghantar rakaman video perbuatan jenayahnya kepada kira-kira 40 pengguna di media sosial.
Polis kemudian segera menarik balik video terbabit dan menubuhkan unit sokongan psikologi bagi membantu penerima rakaman berkenaan dan ibu bapa mereka yang mengalami sebarang trauma selepas menyaksikan bibit kejadian ngeri itu.
Berdasarkan pasukan penyiasat, remaja itu mabuk selepas menghadiri parti dan pulang ke rumah, di mana bapanya hidup sendirian selama beberapa minggu selepas isteri dan dua anaknya berpindah keluar.
Difahamkan, remaja itu kemudian masuk ke rumah berkenaan dan mengambil dua bilah pisau dari dapur, sebelum mengejutkan bapanya yang tidur dan menikamnya.
Berdasarkan keterangan kepada polis, remaja itu memaklumkan bahawa dia bertindak sedemikian kerana ingin menamatkan tingkah laku ganas bapanya terhadap keluarga, yang berpunca daripada meminum arak.
Bulan lalu, ibu remaja berkenaan memfailkan aduan keganasan rumah tangga terhadap suaminya dan pihak berkuasa membuka kertas siasatan jenayah susulan kes terbabit.
Wanita berkenaan kemudian dilaporkan pulang ke rumah dengan dua anaknya, lapor BH ONLINE.
Majistret semalam mendakwa remaja berkenaan dengan pertuduhan membunuh dan menerbitkan gambar berkaitan jenayah mencederakan tubuh badan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Astro menggantung program realiti nyanyian, All Together Now Malaysia berikutan siasatan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata nasib program yang menampilkan 50 juri itu akan diketahui selepas siasatan KKMM selesai.
“Rakaman All Together Now Malaysia dilakukan Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Produksi menjalankan ujian calitan ke atas semua individu yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula.
“Hanya individu berstatus negatif sahaja dibenar meneruskan rakaman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Raqim berkata, set bertingkat menempatkan selebriti dibina mengikut spesifikasi penjarakan fizikal iaitu 1.6 meter antara juri dengan setiap seorang dipisahkan penghadang lutsinar.
Tambahnya, proses rakaman program berkenaan dipantau pihak berkuasa merangkumi wakil agensi keselamatan.
Sejak episod pertama All Together Now Malaysia disiarkan Ahad lalu, netizen mendakwa berlaku perlanggaran SOP dalam program itu berikutan selebriti dilihat tidak memakai pelitup muka.
Terdahulu, BH Online melaporkan, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd Rabin Basir mengarahkan siasatan dilakukan atas sebuah rancangan hiburan terbitan syarikat penyiaran swasta atas dakwaan melanggar SOP.
Mohd Rabin dilaporkan berkata, KKMM akan mengambil tindakan wajar jika mengenal pasti berlakunya pelanggaran SOP seperti didakwa.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MACHANG – Seorang pekerja kilang mengalami kerugian sebanyak RM600 selepas mendakwa dirinya dipukul oleh salah seorang daripada empat anggota polis ketika sedang menunggang motosikal di kawasan lampu isyarat di Bandar Machang di sini Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam, mangsa, Muhd. Ezani Mustapha, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR seorang diri sedang dalam perjalanan dari tempat kerja untuk pulang ke rumahnya di Kampung Padang Selising di sini.
Menurutnya, ketika sedang menunggu lampu isyarat, sebuah kereta jenis Proton Preve yang mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghalang perjalanannya.
Katanya, dia terkejut apabila salah seorang daripada empat lelaki yang memakai baju-T dipercayai mempunyai logo PDRM telah keluar dari kereta tersebut.
“Lelaki itu telah meminta beg galas dan dompet saya yang mengandungi kad pengenalan dan wang tunai RM630. Kemudian, salah seorang lagi daripada suspek telah bertindak menumbuk perut saya.
“Perbuatan itu dilakukan oleh suspek selepas saya tidak mengaku terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah. Pada mulanya, mereka mengambil semua wang sebanyak RM630,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini, lapor KOSMO online.
Menurutnya, bagaimanapun, salah seorang suspek memberi semula RM30 selepas dia merayu bahawa wang itu untuk digunakan bagi tujuan membayar sewa rumah, bayaran ansuran motosikal dan cukai jalan.
Katanya, selepas mengambil wang, lelaki terbabit mencampak dompet dan beg galasnya sebelum memecut laju kereta dinaiki mereka ke arah Kota Bharu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Suprintendan Ganti Jimmy ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada Sabtu lalu.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kes tersebut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PORT DICKSON – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Itu dugaan hidup yang terpaksa ditanggung Muhammad Haidir Rodzi, 23, dari Bandar Sunggala di sini, apabila dia kini perlu menjaga empat adiknya selepas mereka kehilangan ibu dan bapa yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Bapa kepada lima beradik itu, Rodzi Tahar, 55, yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi di Hospital Tampin (HT) pada 31 Mei lalu.
Ibu mereka, Nazita Idris, 45, pula menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban pada pukul 2.30 petang kelmarin.
Lebih menyedihkan, nenek kepada lima beradik itu yang tinggal bersama mereka, Faridah Md. Shahar, 75, turut positif dan kini dirawat di Hospital Tampin.
Menurut Muhammad Haidir Rodzi, 23, dia dan empat adiknya yang berusia tujuh hingga 20 tahun kini menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.
Menceritakan semula kisah kematian bapanya, Muhammad Haidir berkata, detik hitam dalam keluarga mereka bermula pada 26 Mei lalu apabila bapanya mula merasa tidak sedap badan selain sering kesejukan.
Ibu bapa kepada lima beradik ini meninggal dunia akibat Covid-19. “Keesokkan harinya, abah terpaksa tangguhkan untuk menjalani dialisis kerana tidak sihat. Pada hari Jumaat, keadaan abah makin teruk apabila dia mula sesak nafas sebelum kami membawanya ke Hospital Port Dickson (HPD).
“Semasa di HPD, abah jalani ujian calitan Covid-19 dan keesokan harinya, keputusan ujian calitat mengesahkan abah positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Muhammad Haidir berkata, susulan keputusan positif itu, bapanya telah dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan Covid-19.
“Ketika berada di wad hospital, abah masih sempat menghubungi mak kerana mak mengalami masalah penglihatan akibat katarak. Keesokan harinya, pihak hospital maklumkan mak juga positif Covid-19 dan perlu dihantar ke HTJ,” katanya.
Tambah Muhammad Haidir, sehingga kini mereka sekeluarga tidak tahu punca kepada jangkitan Covid-19 dalam keluarganya.
“Abah meninggal dunia pada 31 Mei lalu iaitu kurang seminggu selepas dimasukkan ke hospital. Keadaan ketika itu sangat sedih kerana kami memang rapat dengan mak dan abah. Setiap pagi, adik bongsu akan memeluk abah selepas bangun dari tidur.
“Selepas kematian abah, kami dikejutkan pula dengan panggilan video oleh kakitangan hospital yang menunjukkan keadaan mak. Ketika itu, mak tidak memberikan reaksi dan keadaannya sangat kritikal.
“Sedih lihat keadaan mak, kami dapat lihat banyak tiub pada badan dan mak juga susah untuk bernafas. Sekitar pukul 2.30 petang, doktor sahkan mak sudah tiada.
“Ketika itu kami hanya mampu menangis sambil berpelukan. Tiada apa yang kami mampu lakukan ketika,” katanya yang memaklumkan kedua-dua jenazah orang tuanya dikebumikan Tanah Perkuburan Kampung Sawah Sunggala.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau mengakui tugas mencari rezeki dan membesarkan adiknya kini terletak di bahunya.
“Sebelum ini, hanya adik kedua yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana saya jaga mak dan abah yang sakit.
“Selepas habis kuarantin, saya akan mula cari kerja. Malah, semasa kali pertama panggilan video, mak ada pesan agar saya jaga adik sebaiknya,” katanya, lapor KOSMO online.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu bagi meringankan beban keluarga ini boleh menyumbang ke akaun Ambank milik Muhammad Haidir bernombor 8881013464888.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PASIR MAS – Polis telah memotong kesemua tali yang dipasang merentasi Sungai Golok berhampiran pangkalan haram di Rantau Panjang di sini yang digunakan penduduk untuk menukar barangan dengan individu dari negara jiran.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, kerja-kerja pemotongan tali yang dilakukan semalam itu melibatkan tiga pangkalan haram iaitu Syed Agil, Che Kassim dan Jambu.
Menurutnya, pemotongan tali itu dilakukan sebagai langkah untuk mengekang aktiviti penyeludupan barangan-barang kontraban dan kemasukan individu secara haram ke negara ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga kawasan pangkalan haram itu dipasang tali nilon dan unjang sepanjang 20 hingga 30 meter yang merentasi Sungai Golok.
“Polis mengambil serius perkara itu dan akan melakukan pemantauan dari masa ke semasa di sepanjang pangkalan haram di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Nasaruddin berkata, polis turut mengenal pasti empat lagi kawasan yang mempunyai kawasan pangkalan haram di Rantau Panjang.
Sebelum ini, tular sebuah video menerusi aplikasi TikTok yang memaparkan penduduk tempatan dan negara jiran sedang menjalankan urusan sistem barter atau bertukar-tukar barangan, lapor KOSMO online.
Video berdurasi 25 saat itu menunjukkan dua lelaki sedang menarik bungkusan plastik menggunakan tali yang merentasi Sungai Golok.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU – Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang wanita warga emas sehingga mangsa menyerahkan wang sebanyak RM2 kepadanya dua bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Fikrianisfatullah Mohd. Azmi, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan tarikh 6 Julai depan untuk menetapkan hukuman bagi kesalahan itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pemerasan terhadap Nik Som Ismail, 63, dengan mendatangkan ketakutan bahawa dia akan dicederakan sehingga mendorong mangsa menyerah wang sebanyak RM2.
Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh di sini kira-kira pukul 4.35 petang pada 5 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor KOSMO online.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin diberikan kepada tertuduh.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh batu konkrit pembahagi Plaza Tol Setia Alam, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, Chew Teck Chan, 34, meninggal dunia lokasi kejadian selepas tersepit dalam kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu kenderaan jenis Honda City dalam perjalanan ke Shah Alam dari Setia Alam.
“Mangsa dikatakan telah hilang kawalan dan merempuh batu konkrit pembahagi tol di sebelah kiri.
“Impak kejadian itu, mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan pihak bomba serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Baharudin, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Shah Alam untuk bedah siasat, lapor KOSMO online.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUNGAI PETANI- Seorang penagih dadah mengamuk sebelum membakar rumah milik keluarganya di Kampung Seri Ketengga, Siong, Baling, kira-kira jam 4 petang, Isnin.
Lelaki berusia 36 tahun itu dikatakan sebelum itu menghalau ahli keluarga keluar dari rumah dan mengunci pintu tanpa membenarkan sesiapa masuk dengan mengacukan dua bilah parang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata,
polis menerima maklumat daripada abang suspek yang mengatakan berlaku kejadian amukan sebelum suspek membakar rumah mereka.
Menurutnya, polis terpaksa memecahkan pintu sebaik sahaja usaha memujuk, gagal.
“Kita bertindak memecahkan pintu dengan bantuan pihak bomba yang membuat pancutan air bagi menghalang suspek membuat serangan.
“Tangkapan berjaya dilakukan bagaimanapun suspek mengalami kecederaan kecil di kepala akibat pergelutan,”katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, polis merampas dua bilah parang yang digunakan dalam kejadian itu.
Suspek dibawa ke Hospital Baling untuk rawatan dan ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Baling, lapor SINAR HARIAN.
Shamsudin berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang ketagihan dadah tidak dapat mengawal diri dengan bertindak menghalau ahli keluarga sebelum membakar rumah terbabit.
Hasil semakan mendapati suspek pernah dihukum atas kesalahan membabitkan kes dadah.
Kejadian membabitkan kerugian anggaran sebanyak RM10,000.
Suspek direman selama empat hari sehingga 11 Jun bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SYED SADDIQ PERSOAL RANCANGAN HIBURAN TIDAK PATUH SOP
PETALING JAYA -Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan penganjuran sebuah rancangan berbentuk hiburan di televisyen ekoran disifatkan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menerusi ciapan di laman Twitternya, Syed Saddiq mempersoalkan mengapa sidang Parlimen masih lagi ditutup walaupun sudah ramai Ahli Dewan Rakyat telah menerima vaksin.
Tangkap layar ciapan yang ditulis Syed Saddiq tadi.
“Mengapa Parlimen ditutup sedangkan majoriti wakil rakyat sudah divaksin dan kelengkapan di Parlimen mengikuti SOP tetapi rancangan hiburan sekarang ada yang tidak memakai topeng, pelitup muka dan tiada penjarakan sosial masih ditayangkan di televisyen?” soal beliau.
Dalam ciapannya, Syed Saddiq turut meminta Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberi maklum balas kepada pertanyaannya.
Sementara itu, rata-rata pengguna turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengendalian SOP yang dipercayai berat sebelah sehingga rancangan hiburan sebegitu dapat dijalankan seperti biasa.
“Saya pun rasa pelik. Takkan tiada langsung perlindungan sepanjang penggambaran rancangan hiburan ini? Saya bersangka baik, mungkin penggambaran dijalankan pada tahun 2019,” ciap @rasyaik.
“Rancangan seperti ini sangat tidak sesuai ditayangkan di televisyen pada waktu ini. Melalaikan dan nampak seperti tidak prihatin dengan suasana negara yang sedang tenat melawan wabak Covid-19, walaupun rancangan ini sekadar rakaman,” ujar @shahabdkadir.
Sementara itu, Kosmo! Online difahamkan program itu telah dirakamkan sebelum lockdown penuh minggu lalu.
Melalui satu hantaran penyanyi Siti Nordiana yang turut serta dalam program yang dimaksudkan memaklumkan program itu telah dirakamkan sebelum lockdown penuh dengan pematuhan SOP yang ketat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!