SUNGAI PETANI – Seorang lelaki yang ditemui mati di tepi sebuah kereta berhadapan kedai dobi di Taman Tunku Hamimah di sini pagi tadi disahkan positif Covid-19.
Mangsa, Mohd. Shahir Shafie, 38, dari Taman Baiduri di sini dijumpai dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di tepi kereta jenis Perodua Kancil oleh pekerja syarikat pembersihan kira-kira pukul 8.50 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman memberitahu, pekerja syarikat pembersihan tersebut dikatakan sedang menyapu sampah di kawasan itu sebelum ternampak mangsa berjalan kaki menuju ke hadapan kedai dobi tersebut.
“Mangsa tiba-tiba rebah di tepi kereta jenis Perodua Kancil dan terus tidak sedarkan diri sebelum pekerja terbabit menghubungi pihak Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi mendapatkan bantuan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa disahkan telah meninggal dunia dan mayat lelaki terbabit dibawa ke HSAH untuk tindakan lanjut, lapor KOSMO online
“Hasil ujian saringan mendapati mangsa positif Covid-19 dan bedah siasat dijangka dilakukan pada esok,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IPOH – Tindakan tiga lelaki sengaja mempamerkan pistol tiruan membawa padah apabila kesemua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Jalan Kampung Paloh di sini semalam.
Tangkapan ke atas suspek berusia lingkungan 20-an itu dibuat susulan video tular berdurasi 13 saat aksi salah seorang daripada mereka memegang senjata menyerupai pistol di hadapan sebuah rumah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki pada pukul 2.30 petang selepas sejam video berkenaan tukar menerusi WhatsApp.
Menurut beliau, semasa ditahan kedua-dua suspek sedang berkeliaran menaiki motosikal sebelum pemeriksaan menemui sepucuk senjata tiruan menyerupai pistol semiautomatik.
“Susulan itu, kita menahan seorang lagi suspek yang juga rakan mereka pada pukul 7 malam bagi membantu siasatan.
“Perbuatan mereka bertiga membuat rakaman video itu telah mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Hasil soal siasat, ketiga-tiga suspek mengaku membeli pistol tiruan tersebut serta berkumpul di hadapan sebuah rumah pada Khamis lalu sambil meminum minuman keras.
Tambah Mior Faridalathrash, ketika berkumpul salah seorang daripada tiga lelaki tersebut telah mempamerkan pistol tiruan yang dimiliki dan dirakam oleh rakan yang lain sebelum ditularkan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa lesen yang sah dan boleh dihukum, dengan atau kedua-duanya sekali jika bersalah.
“Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan sebarang aksi dan perbuatan yang boleh mengganggu keselamatan awam dan mendatangkan kegusaran masyarakat,” ujar beliau. – K! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: “Saya tergamam dan terkejut apabila melihat depan mata sendiri sebatang pokok besar tumbang dan menghempap lima buah kenderaan serta motosikal.
Itu reaksi Nurazimah Hussin, 24, yang ketika itu sedang bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai yang terkejut apabila melihat pokok besar di hadapan tempat dia bekerja dipanah petir lalu tumbang.
“Ini kali pertama saya melihat kejadian ngeri berlaku depan mata. Rasa macam lihat filem tetapi ini benar-benar berlaku.
“Saya tak tahu nak buat apa-apa selain cuma mampu melihat dan badan saya tiba-tiba menggigil masa itu,” katanya ketika ditemui di pekan Ulu Tiram di sini hari ini.
Terdahulu, kejadian ribut dan petir berserta hujan lebat berlaku kira-kira pukul 3 petang mengakibatkan beberapa jalan mengalami banjir kilat dan pokok tumbang.
Pokok tumbang yang terletak di tengah pekan Ulu Tiram berhampiran hentian bas dan teksi itu mengakibatkan lima buah kereta serta beberapa buah motosikal dihempap oleh pokok.
Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selain sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya bergegas ke tempat kejadian.
Sementara itu, rakan sekerjanya, Nurul Aisyah Razman, 18, turut terkejut apabila mendengar bunyi petir yang amat kuat disusuli dengan bunyi pokok tumbang, lapor KOSMO online
“Ia berlaku sekelip mata dan ketika itu ada beberapa kenderaan di hadapan kedai saya bekerja. Mujur tidak ada orang yang berada didalam kenderaan, kalau tidak, tak tahu apa akan terjadi,” katanya
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA TINGGI – Seorang penghantar makanan patah kaki selepas dihempap pokok yang tumbang ketika angin kuat dan hujan lebat berlaku di Jalan Besar Pekan Telok Sengat, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3 petang melibatkan mangsa seorang lelaki berusia 23 tahun berasal dari Felda Sungai Mas.
Katanya, selain motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa, turut terlibat dalam kejadian itu adalah sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang warga emas berusia 61 tahun yang bahagian depan kiri keretanya kemik.
“Ketika kejadian pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Jalan Besar ke Pekan Teluk Sengat dan masa itu keadaan cuaca hujan dan angin kuat.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba sebatang pokok besar telah tumbang dan menghempap sedikit bahagian hadapan sebelah kiri keretanya.
“Pada masa sama sebuah motosikal ditunggang lelaki 23 tahun dari arah Pekan Telok Sengat menuju ke Jalan Besar turut di hempap oleh pokok tersebut menyebabkan dia mengalami kecederaan disyaki patah bahagian peha kiri,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussin berkata, Ketua Polis Balai Telok Sengat bersama anggotanya turut bergegas ke tempat kejadian dan membuat kawalan lalu lintas serta memberikan bantuan kecemasan di tempat kejadian, lapor KOSMO online
Katanya, mangsa ketika itu terbaring di atas jalan raya bersama motosikal dalam keadaan dihempap dahan-dahan pokok yang tumbang.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Daerah Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil.
“Siasatan mendapati pokok yang tumbang berada di jarak lebih kurang 40 meter dari jalan raya. Pokok berkenaan disyaki pokok tua dan dipercayai terkena tiupan angin kuat sewaktu hujan lebat,”katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BAPA AIN HUSNIZA RANCANG SAMAN SEMULA GURU RM5 JUTA – PEGUAM
Sungai Buloh: Bapa dan pelajar yang mendakwa guru pendidikan jasmani bergurau keterlaluan berkaitan melakukan perbuatan rogol akan membuat saman balas RM5 juta.
Peguam mereka, Datuk Sankara Nair berkata, berdasarkan surat tuntutan diterima pihaknya daripada guru terbabit, beliau menasihatkan anak guamnya untuk memfailkan saman balas.
“Saya sudah maklum melalui surat kepada peguam guru terbabit bahawa kami akan memfailkan tuntutan saman RM5 juta kerana sengaja menyebabkan tekanan emosi,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini, hari ini.
Terdahulu Ain Husniza Saiful Nizam, 17, dan bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab hadir di IPD Sungai Buloh kira-kira jam 5 petang untuk memberi keterangan berkaitan laporan polis yang dibuat guru berkenaan berhubung perkara itu, baru-baru ini.
Mereka turut ditemani Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Difahamkan Ain serta bapanya diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan dan mereka dilihat keluar dari IPD Sungai Buloh jam 6.15 petang selepas kira-kira hampir satu jam memberi keterangan.
Sementara itu, Ain berkata, dia hanya mahu jadikan sekolah sebagai persekitaran yang selamat dan sama sekali tidak pernah berniat untuk menghina mana-mana pihak dalam kenyataannya yang dibuat sebelum ini yang berkaitan guru pendidikan jasmaninya bergurau keterlaluan berkaitan melakukan perbuatan rogol, lapor HM online
“Ini adalah hak kami sebagai pelajar untuk mendapat persekitaran yang selamat di sekolah.
“Ketika keterangan saya dan bapa diambil, pihak polis sangat profesional dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mereka,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan guru pendidikan jasmani yang didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol tidak diambil tindakan lanjut oleh polis yang selesai menjalankan siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki susulan kenyataan berbaur fitnah serta mengaibkan dirinya sebagai seorang guru pada 5 Mei lalu.
“Menerusi laporan dibuat lelaki terbabit, kenyataan itu dibuat oleh seorang pelajar perempuan di sekolah tempat pengadu bertugas semasa wawancara di media sosial sebuah akhbar tempatan pada 30 April lalu berkaitan isu guru pendidikan jasmani yang menyebut mengenai elemen rogol ketika proses pembelajaran di dalam kelas.
“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh memanggil pelajar berkenaan bersama bapanya untuk tujuan rakaman percakapan bagi membantu proses siasatan berkaitan aduan terhadap laporan polis dibuat pengadu terbabit.
“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan. Kedua-dua individu berkenaan hadir dengan ditemani oleh peguam, Datuk Sankara Nair dan Elyse Ng Zi Qian,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu media melaporkan polis menerima notis tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes itu.
Media 24 April lalu melaporkan seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol dalam sesi pendidikan itu.
Ain mendakwa pada mulanya pelajaran berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan terbabit.
Bagaimanapun, pelajar itu mendakwa guru lelaki itu bergurau dan mula bercakap lucah.
Malah kes itu tular di media sosial sehingga menjadi bualan ramai.
Pelajar terbabit turut berdepan tindakan saman RM1 juta selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Waspada susulan wujudnya pelitup muka tiruan berkualiti rendah dijual di pasaran ketika ini.
Difahamkan pelitup muka berkualiti rendah itu mengakibatkan pengguna mengalami kesukaran bernafas, gelung telinga terlalu kasar dan wajah mereka mula berjerawat selepas menggunakannya.
Ini terbukti apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mengesan dan merampas pelitup muka jenama Neutrovis tiruan bernilai RM60,000 di Johor baru-baru ini.
Pemilik Maystar Beauty Sdn. Bhd. yang juga syarikat pengeluar jenama Neutrovis, Zayn Puah berkata, operasi serbuan itu dilakukan di tiga lokasi di negeri itu membabitkan produk tiruan menggunakan jenamanya.
Menurutnya, berdasarkan aduan daripada pelanggan, pihak syarikat mengesan terdapat banyak pelitup muka Neutrovis tiruan di pasaran.
“Susulan itu kami melaporkannya kepada KPDNHEP sebelum tindakan rampasan diambil di tiga premis sekitar Taman Sentosa dan Tebrau, Johor.
“Susulan itu kami bertemu dengan peguam dan sudah mendapatkan injuksi mahkamah. Tindakan ini membolehkan syarikat kami bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pengedar pelitup muka palsu.
“Pelitup muka tiruan ini belum menjalani sebarang ujian oleh Medical Device Authority (MDA) dan bahan yang digunakan juga tidak dapat dikenalpasti,” katanya.
Menurutnya, mangsa tertipu turut membuat aduan mengalami kesukaran bernafas, gelung telinga terlalu kasar dan wajah mereka mula berjerawat ketika menggunakan pelitup muka tiruan ini.
“Ia jauh berbeza dengan pelitup muka yang mereka gunakan sebelum ini. Tambahan lagi, pengguna ini mungkin terdedah kepada bahaya Covid-19 walaupun tujuan sebenar untuk melindungi diri sendiri dan juga orang lain.
“Penggunaan pelitup muka tiruan ini dapat menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan pengguna dan mereka berada di sekeliling. Oleh itu tindakan pantas harus diambil untuk membendungnya.
“Susulan itu kami melampirkan pelekat pengesahan dengan kod QR unik pada semua produk pelitup muka jenis empat lapis ini.
“Kami turut memberitahu kepada orang ramai menerusi platform media sosial dan laman sesawang rasmi berhubung laman dalam talian yang didapati menjual produk Neutrovis tiruan,” katanya, lapor HM online
Penjualan produk tiruan boleh diambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan cap dagangan palsu ke atas barangan bagi tujuan perdagangan, yang mana sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM250,000 dan kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000 bagi syarikat atau perbadanan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pagi tadi, doktor memberitahu Siti Sarah akan dibedah kira-kira jam 2 petang ini.
Menurut pengurus Siti Sarah, Nana Mohd Rom, doktor terpaksa membuat pembedahan berkenaan bagi mengeluarkan kandungan penyanyi itu yang kini berusia lapan bulan.
Bagaimanapun kata Nana, paras oksigen pada Siti Sarah kini semakin baik sejurus selepas keluarga dan rakan-rakan penyanyi terbabit selesai membacakan Yasin untuk kesejahterannya.
Siti Sarah bersama suaminya Shuib
“Doktor memaklumkan jam 2 petang ini Siti Sarah akan dibedah bagi menyelamatkan bayi yang dikandung.
“Insya-Allah dengan pembedahan tersebut dapat menyelamatkan mereka berdua.
“Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat daripada semua. Semoga Allah memperkenankan doa kita semua,” katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu majlis membaca Yasin diadakan bagi mendoakan kesejahteraan penyanyi terbabit dan ia dipimpin oleh Imam Muda Asyraf.
Terdahulu suami Siti Sarah, Shuib, berkata penyanyi terbabit ditempatkan di ICU selepas doktor mendapati keadaannya tidak berapa stabil sejak petang semalam.
“Assalamualaikum, salam Jumaat semua. Pagi tadi isteri saya dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tak berapa stabil dan keadaan dia yang tak berapa baik,” katanya di Instagram.
Sebelum ini, Siti Sarah yang sedang hamil anak keempat dengan usia kandungan mencecah lapan bulan itu terpaksa dikejarkan ke HUKM selepas tahap oksigen yang semakin menurun malam kelmarin.
Pagi keesokannya, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad memberitahu pengurusnya, Nana Mohd Rom, bahawa keadaan oksigen penyanyi Ku Teruskan itu dalam keadaan “OK.”
Namun, kira-kira empat jam kemudian, Shuib, 36, mengemas kini Instagram miliknya dengan berkata, tahap oksigen Siti Sarah “kadang-kadang belum stabil.”
Terdahulu, Siti Sarah menyatakan kebimbangannya mengenai kesihatan dan bayi dalam kandungannya selepas seorang pembantu rumah mereka disahkan positif Covid-19.
Pada 27 Julai lalu, dia dan Shuib mengesahkan mereka sekeluarga turut positif wabak berkenaan.
Pada masa sama, Shuib turut memohon doa kesembuhan buat isteri dan bayi dalam kandungan.
“Saya mohon di hari baik sempena Jumaat ini, doakanlah Sarah dan anak dalam kandungannya. Semoga dipermudahkan urusan dan semoga Allah berikan kekuatan untuk mereka.
“Semoga Allah merahmati kita semua, amin,” katanya.
Shuib dan Siti Sarah berkahwin pada 27 Feb 2011. Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.
Sumber – Malaysiakini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LAGI PELAWAK DIRAKAM JUAL BARANG, HARAP POLIS SIASAT APA BARANG TU
KUALA LUMPUR – individu yang didakwa menjadi ‘penjual barang’ dalam loghat Utara ketika aksinya dirakam netizen.
Individu yang didakwa pelawak terkenal ini didakwa sekali lagi menjadi perhatian warganet apabila namanya dikaitkan dalam satu video tular yang mendakwa dirinya sedang berurusan jual beli ‘barang’.
Dia yang dikatakan dari kumpulan popular itu tiba-tiba mengamuk apabila mengetahui urusan yang dilakukan dengan seorang penunggang motosikal sedang dirakam. Hasilnya, dia bergegas keluar dari kereta jenis perodua Myvi yang dibawa dan meluru ke arah si perakam dan seolah-olah berlaku pertelingkahan.
Untuk info, video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter pada jam 8.59 malam, hari ini, sudah ditonton lebih 15,000 dan diulang kicau lebih 312 kali.
“Rajin pelawak zaman sekarang ni, macam-macam kerja mereka buat.
“Hari tu seorang jadi tauke ayam. Kali ni tak pasti lagi tauke sayur atau air batu,” ujar pemilik akaun Twitter yang memuat naik video berkenaan dipetik sebagai berkata melalui Twitternya.
Sehingga kini, individu yang didakwa mirip pelawak itu belum disahkan, dikenal pasti atau dapat dibuktikan oleh sesiapa meskipun terdapat report polis yang tersebar melalui media sosial memaparkan namanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UMAT ISLAM MENINGGAL DUNIA AKIBAT COVID-19 TIDAK DIMANDIKAN BAGI ELAK JANGKITAN
PUTRAJAYA: Jenazah umat Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak perlu dimandikan kerana dibimbangi wabak terus tersebar dan menjangkiti orang lain.
Perkara itu dijelaskan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel Irshad Al-Fatwa Siri Ke-600: Adakah mereka yang meninggal kerana Covid-19 boleh diklasifikasikan mati syahid dan tidak perlu dimandikan, yang dikeluarkan hari ini di laman web PMWP.
Menurut PMWP, jenazah tidak dimandikan atas faktor keselamatan selain mengelak daripada kemudaratan berikutan ada kebimbangan wabak Covid-19 terus tersebar.
“Ini bermakna jenazah tersebut tidak dimandikan bukan di atas sebab syahid berperang di jalan Allah akan tetapi disebabkan kemudaratan yang perlu dihindari.
“Bagaimanapun, ia juga tertakluk kepada perkembangan semasa situasi Covid-19 di negara ini yang mana pihak-pihak berkaitan akan meneliti dari semasa ke semasa prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jenazah,” katanya.
Menurut artikel itu, orang Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 dikategorikan sebagai syahid di akhirat dan ganjaran tersebut akan diberikan di akhirat kelak.
“Bagaimanapun, dalam fiqh ada dibincangkan oleh fuqaha bahawa mana-mana jenazah atas sebab-sebab tertentu yang boleh membawa mudarat kepada orang hidup maka tidak perlu dimandikan tetapi ditayamumkan, lapor Utusan Online
“Dan jika tayammum pun tidak dapat dilaksanakan pada pandangan pakar, maka gugurlah kedua-dua tuntutan itu,” katanya.
Katanya, ada hadis menjelaskan bahawa individu Muslim yang meninggal disebabkan taun (wabak) dikategorikan sebagai mati syahid kerana azab yang dahsyat ketika menghadapi kesakitan dan kematian tersebut.
“Secara umum, taun dikategorikan sebagai wabak atau penyakit berjangkit bahkan kesannya boleh menyebabkan kematian yang sangat cepat.
“Oleh itu, wabak Covid-19 juga boleh diklasifikasikan di dalam kategori wabak seperti taun sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MEXICO CITY: Sebuah pokok unik yang dikenali sebagai Tree of Tule menjadi simbol kepada penduduk di Santa Maria del Tule di Mexico.
Lapor Oddity Central, pokok dari spesies Cypress Montezuma yang berusia kira-kira 2,000 tahun, terletak berhampiran gereja di Santa Maria del Tule.
Pokok Tule dikenali kerana mempunyai batang pokok paling tebal di dunia iaitu dengan ukuran 42 meter.
“Saintis percaya Pokok Tule tumbuh daripada penggabungan dua pokok berasingan sehingga sampel DNA menunjukkan hanya dari sebuah pokok,” jelas laporan itu.
Pokok itu juga dianggap unik kerana besar dan tinggi.
“Walaupun berusia kira-kira 2,000 tahun, pokok itu dikatakan masih sedang tumbuh dengan perlahan.
“Malah, ramai pelancong datang untuk menyaksikan sendiri keunikannya,” jelas laporan itu. –
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!