Mayat bayi ditemukan dalam tong sampah kitar semula
Bangi: Pekerja syarikat kitar semula terkejut apabila menjumpai bungkusan plastik yang mengandungi mayat bayi di dalam tong sampah kitar semula di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang menjumpai mayat bayi berkenaan dibungkus di dalam plastik, pada 4.41 petang.
“Siasatan awal mendapati saksi yang menjumpai mayat bayi terbabit adalah pekerja syarikat kitar semula yang datang untuk mengumpul barangan kitar semula.
“Individu itu menemui satu bungkusan plastik mencurigakan yang mengeluarkan bau busuk sebelum dia membuka plastik berkenaan dan menemui mayat bayi berkenaan dibalut dengan kain,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Mohd Zaid berkata, mayat bayi berkenaan dianggarkan seberat antara dua hingga tiga kilogram dan dipercayai meninggal dunia kurang daripada 36 jam.
“Bagaimanapun, jantina dan bangsa bayi terbabit belum dapat dipastikan kerana masih berbungkus plastik dan kain yang tebal.
“Mayat bayi berkenaan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit, lapor HM online
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Suresh di talian 017-4333795 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
28 keluarga terjejas akibat tanah runtuh di Kemensah Height
Hulu Langat: Dua puluh lapan keluarga dari 19 rumah teres dua tingkat di Kemensah Height, di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara susulan tanah runtuh, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.33 malam.
“Sepasukan anggota bomba bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku tanah runtuh di bahagian belakang 19 rumah di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor HM online
Beliau berkata, pihaknya mengarahkan 28 keluarga berkenaan supaya keluar dari rumah masing-masing ke pusat pemindahan sementara bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak diingini.
“Difahamkan kejadian runtuh berkenaan berlaku berikutan hujan pada petang tadi. Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Hulu Selangor: Tujuh individu yang menjalani aktiviti merentas sungai di Sungai Kedondong, Batang Kali, dekat sini, terperangkap kira-kira dua jam di tengah sungai itu, hari ini susulan fenomena kepala air.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.55 malam.
Beliau berkata, sepasukan sembilan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu (KKB) dikejarkan ke lokasi dan tiba pada 8.27 malam.
“Sebaik tiba, kami mendapat laporan seramai sembilan lelaki menjalani aktiviti merentas sungai di kawasan berkenaan.
“Hanya dua orang sahaja berjaya melepasi sungai sebelum fenomena kepala air berlaku secara tiba-tiba, manakala tujuh lagi terperangkap di tengah sungai,” katanya menerusi kenyataan, di sini, lapor HM online
Norazam berkata, mangsa yang terperangkap dilaporkan selamat kerana berada di kawasan berbatu.
Bagaimanapun, katanya, proses merentas sungai menjadi sukar susulan arus air yang masih deras.
“Ketika ini, kerja menyelamat sedang dilaksanakan untuk mendapatkan semua mangsa,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Satu klip video memaparkan seorang lelaki ‘berbual-bual’ dengan seekor ular sawa yang kelihatan membelit kakinya menimbulkan rasa kagum netizen baru-baru ini.
Laman Facebook Kisah Mancing Viral dalam satu hantaran berkata, lelaki berkenaan terpijak ular sawa itu ketika memacing di satu lokasi yang dipenuhi semak samun sebelum reptilia itu membelit kakinya.
“Terpijak ular ketika hendak memancing. Dia boleh selamba bercakap dengan ular itu suruh lepas. Boleh tahan ilmu abang ini,” tulisnya dalam kapsyen video berkenaan.
Menerusi video berdurasi 42 saat itu, lelaki tersebut turut kedengaran seolah-olah memujuk ular sawa itu supaya melepaskan kakinya
“Kuatnya lilit kaki aku. Eh lepaslah. Pergi sanalah,” katanya dalam video yang dikongsi lebih 690 kali.
Kebanyakan pengguna media sosial berkenaan memuji tindakan lelaki itu yang tidak mengasari ular sawa berkenaan sebaliknya bertindak melepaskan haiwan itu ke kawasan hutan berhampiran.
“Abang ini berilmu. Dia tahu apa yang dia buat. Ular sawa antara tempat kelemahannya ialah di bahagian leher. Cuba perhatikan betul-betul dari awal video sehingga dia campak ular itu,” ujar Duen Bidor.
“Bagi yang tiada ilmu, jangan dibiarkan sampai ular lilit kemas di celah paha. Bahaya. Di situ ada urat darah besar,” nasihat Omar Hakimi.
“Abang ini ada kemahiran untuk lepaskan lilitan ular. Kalau tidak tahu caranya memang ular itu tidak akan lepas,” komen Bocah Angon.
“Dia buat macam kucing peluk kaki saja. Bagus dia tak bunuh. Kita masuk tempat tinggal ular ini. Tidak perlu tangkap atau jual kerana banyak lagi cara hendak cari rezeki,” komen Syafie.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GEORGE TOWN – Polis mengesahkan lelaki yang bertindak agresif sambil membawa dua bilah parang di Jalan Bukit Gambir pagi tadi memiliki 10 rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 53 tahun itu mempunyai sembilan rekod berkaitan dadah dan satu kes jenayah.
Menurutnya, saringan air kencing ke atas suspek juga mendapati positif dadah jenis heroin.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca serta motif sebenar suspek bertindak sedemikian dan akan dirujuk ke hospital bagi menjalani rawatan serta penilaian tahap kesihatan mental.
“Dalam kejadian itu, polis berjaya merampas dua bilah sabit yang dibawanya ketika cuba bertindak menakutkan pengguna jalan raya dan penduduk perumahan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi, lapor kosmo online
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan pasukan bomba dan polis mengambil masa sejam untuk menangkap seorang lelaki dipercayai kurang siuman pagi tadi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Terengganu beralih ke Fasa 3 PPN, taska dan tadika boleh dibuka
Kuala Lumpur: Terengganu akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa Jumaat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju untuk memberi kelonggaran tambahan bagi sektor ekonomi, sosial dan pendidikan mengikut fasa tertentu.
“Tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian dan pusat perkembangan minda di negeri Fasa 1 serta 2 PPN dibenarkan beroperasi bagi anak yang ibu bapa bekerja.
“Operator dan pekerja di pusat berkenaan perlu menerima vaksinasi lengkap sebelum dibenarkan beroperasi.
“Aktiviti kolam memancing dibenarkan dalam tempoh PPN di negeri Fasa 1 dan 2 dengan mematuhi syarat vaksinasi lengkap. Operasi dibenarkan dari 6 pagi hingga 8 malam (Fasa 1) manakala jam 6 pagi hingga 10 malam (Fasa 2),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan turut membenarkan aktiviti sukan rekreasi bersentuhan fizikal, berkumpulan seperti bola sepak, bola tampar atau takraw dan aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba secara berkumpulan kepada individu lengkap vaksin di negeri Fasa 2 serta 3 PPN.
Beliau berkata, negeri Fasa 2 dan 3 turut diberi kelonggaran baharu bagi sektor pekerjaan dan ekonomi membabitkan pengurusan perhutanan merangkumi pengusahasilan hutan (pembalakan dan hasil hutan bukan kayu); perladangan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) serta pembangunan hutan (di bawah Projek Pembangunan Hutan RM Ke-12),lapor HM online
Mennurutnya, bagi kelonggaran di negeri Fasa 1, kerajaan membenarkan premis perniagaan beroperasi semula dengan syarat lengkap vaksin bagi kedai perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai, bunga/nurseri, kraftangan/cenderahati, antik, alat permainan, permaidani, kandungan kreatif/peralatan industri kreatif, outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain), kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi serta tembakau (termasuk vape/rokok elektronik).
“Kerajaan turut membenarkan pengoperasian dan pembekalan mineral, bahan batuan serta pasir termasuk penjagaan, penyelenggaraan di atas tenemen mineral, kuari, tapak pengorekan serta di premis Lesen Mineral atau Lesen Memproses Mineral bagi tujuan keselamatan untuk mengelakkan risiko kemalangan.
“Turut dibenarkan perladangan berasaskan kayu dan kenaf,” katanya.
Beliau berkata, semua pejabat swasta di negeri Fasa 2 dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja sekiranya 40 peratus pekerja lengkap vaksin manakala kapasiti 80 peratus sekiranya 60 peratus pekerja lengkap vaksin dan kapasiti 100 peratus jika 80 peratus pekerja lengkap vaksin.
Menurutnya, kelonggaran tambahan lain bagi negeri Fasa 2 adalah kebenaran operasi kilang perabot dan Institut Latihan Sektor Pengangkutan Udara serta Darat.
Katanya, mesyuarat secara bersemuka dibenarkan kepada individu yang lengkap vaksin di negeri Fasa 2 sehingga 4.
“Aktiviti ziarah kubur Islam dibenarkan di seluruh negara dengan mengikut ketetapan pihak Berkuasa Agama Negeri, begitu juga ziarah kubur bukan Islam dengan mengikut ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
“Kapal Persiaran dibenarkan dibuka dengan 50 peratus kapasiti dan semua anak kapal serta penumpang mesti lengkap divaksin,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pesawat kargo Indonesia terhempas di kawasan pergunungan
JAKARTA – Sebuah pesawat kargo yang membawa tiga kru terhempas di sebuah kawasan pergunungan yang terletak di wilayah Papua, hari ini.
Pesawat Rimbun Air itu dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan sejurus sebelum ia dijadualkan mendarat di sebuah lapangan terbang di Papua Intan Jaya, kata pegawai polis dan pengangkutan.
“Cuaca di lapangan terbang tidak berapa baik. Kami menjangkakan pesawat tersebut akan mendarat, namun laluan landasan tidak berapa jelas kelihatan,” kata jurucakap polis Papua, Ahmad Mustofa Kamal, lapor AFP
Serpihan pesawat jenis Twin Otter 300 itu kemudiannya ditemui oleh penduduk tempatan kira-kira tiga jam kemudian berhampiran sebuah kampung di kawasan tanah tinggi itu.
Sementara itu, menurut laporan laman berita Kompas, berdasarkan keadaan pesawat, kesemua kru dikhuatiri tiada yang selamat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TIDAK PUAS HATI ISTERI MINTA CERA, SUAMI UGUT SIMBAH ASID
PETALING JAYA: Seorang mekanik mengugut menyimbah asid dan mencederakan isteri serta dua anaknya kerana tidak berpuas hati apabila wanita itu membuat permohonan untuk bercerai.
Suspek berusia 49 tahun ditahan di Kota Bharu, Kelantan, pada jam 5 pagi hari ini untuk membantu siasatan selepas polis menerima laporan daripada mangsa.
Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat, berkata dalam kejadian jam 11 pagi, 4 September lalu, mangsa berusia 28 tahun berada di kedai runcitnya bersama ibu dan dua anaknya sebelum didatangi suspek.
Menurutnya, lelaki terbabit mengugut menyimbah asid dan mencederakan wanita berkenaan serta anak-anaknya.
“Siasatan mendapati suspek berkahwin dengan isterinya pada 2015 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata yang tinggal bersama mangsa.
“Suspek dipercayai cuba menyerang mangsa disebabkan tidak berpuas hati dengan isterinya yang menuntut perceraian,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Shafien berkata, ibu mangsa sebelum ini turut membuat laporan polis ke atas suspek kerana menceroboh rumah pada 22 Jun lalu, dan suspek sudah dijatuhi hukuman oleh mahkamah mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Katanya, semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah termasuk kes berkaitan dadah.
Sebelum ini tular di media sosial rakaman video berdurasi dua minit lima saat yang memaparkan suspek bertindak mengugut mencederakan isterinya dengan menyimbah asid.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KLUANG – Dua lelaki yang memanjat bumbung dan masuk ke sebuah rumah di Impiana Bayu, Taman Seri Impian di sini hari ini tidak sempat melarikan barang curi apabila berjaya diberkas pihak polis.
Pergerakan kedua-dua suspek itu disedari seorang wanita yang berada di hadapan rumah mangsa sebelum menghubungi bapa tuan rumah tersebut dan pada masa sama menghubungi polis memaklumkan kejadian tersebut.
Lim Chek Chai, 61, berkata, rumah itu milik anaknya yang bekerja di Singapura dan selepas dimaklumkan wanita itu dia bergegas datang.
“Jiran juga bertindak menelefon polis memaklumkan mengenai kejadian dan saya terus bergegas datang ke rumah milik anak saya ini. Sebaik sampai saya dimaklumkan oleh polis, masih terdapat penjenayah yang berada di dalam rumah, lapor HM online
“Selepas saya membuka pintu utama rumah, salah seorang suspek sudah memegang kayu dan meluru ke arah saya. Akibatnya saya terjatuh selepas dirempuh kedua-duanya yang cuba melarikan diri,” katanya.
Dia yang merupakan seorang peniaga berkata, kedua-dua suspek kemudian berjaya ditahan polis.
Ketika kejadian, tiada sesiapa di rumah berkenaan dan dia selalu datang untuk membersihkannya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an positif dadah Methamphetamine hasil ujian saringan air kencing selain mempunyai rekod jenayah lampau.
“Lebih kurang 11.55 pagi, anggota MPV Zon 2 Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang telah menerima arahan dari Pusat Kawalan Daerah Kluang memaklumkan aduan pecahrumah di Taman Seri Impian, Kluang.
“Bertindak atas aduan tersebut , pada jam lebih kurang 12.15, anggota MPV dengan bantuan orang awam berjaya menahan dua lelaki tempatan dan merampas sebuah motosikal Jenis Yamaha Ego, dua pemutar skru, dua pemotong dawai, tangga boleh laras.
“Tangkapan direman hingga Khamis ini dan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tiga pasangan kekasih buat ‘private party’ di inap desa dicekup
MELAKA – Keseronokan tiga pasangan kekasih mengadakan ‘private party’ tidak berpanjangan apabila mereka ditahan polis di sebuah inap desa mewah di Taman Kota Shahbandar, Tengkera di sini pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kesemua mereka yang ditahan dalam operasi jam 12 tengah hari itu berusia antara 21 hingga 26 tahun dan menetap di negeri ini.
Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di inap desa tiga tingkat tersebut turut merampas beberapa peralatan dan barangan bagi tujuan ‘private party.’
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga pasangan iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan menyewa ‘homestay’ mewah itu dengan kadar RM400 semalam sejak Sabtu lalu.
Saringan air kencing mendapati lima daripada enam individu positif dadah jenis methamphetamine, katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) selain dikompaun RM2,000 seorang di bawah perkara 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Individu positif dadah turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, ujarnya.
Jelas beliau, bermula awal tahun hingga Ogos lalu, sebanyak 19 serbuan tempat hiburan di sekitar daerah Melaka telah dilakukan, lapor kosmo online
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!