Tiga Maut dalam Kemalangan di Lebuhraya Karak pada Hari Terakhir Ramadan
Bentong, 30 Mac 2025 – Tiga individu maut dalam satu kemalangan ngeri yang berlaku di Kilometer 50.8 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur petang tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.25 petang itu melibatkan lima buah kenderaan, termasuk sebuah lori tiga tan yang hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt. Zaiham Mohd Kahar, lori yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur itu terbabas sebelum melanggar empat kenderaan lain. Akibat rempuhan tersebut, tiga mangsa, iaitu Wong Kean Yeap, 29, Wong Hwee Moon, 34, dan Lee Lai Cheng, 61, maut di tempat kejadian. Ketiga-tiga mereka merupakan ibu dan dua anaknya yang menaiki sebuah Honda Accord.
Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki berusia 33 tahun, yang merupakan pemandu kenderaan tersebut, mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Bentong 77 lagi mangsa lain. Mereka termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang merupakan anak kepada pemandu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang merupakan anak kepada salah seorang mangsa yang maut, serta kelindan lori yang turut cedera.
Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Bentong serta seluruh warga IPD Bentong mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa dan menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya menjelang perayaan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Servis Kedai Makan Dikecam, Pelanggan Berbuka Puasa Dalam Keadaan Kecewa
Temerloh- Sebuah kedai makan terkenal di daerah ini menerima kritikan hebat selepas seorang pelanggan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diterima ketika berbuka puasa bersama keluarganya.
Menurut pelanggan dari hantaran media sosial mereka telah membuat tempahan lebih awal pada jam 5 petang bagi mengelakkan sebarang kelewatan. Namun, sebaik tiba di premis berkenaan, mereka mendapati hidangan yang dipesan tidak lengkap.
Set makanan yang ditempah berharga RM99 untuk lima orang sepatutnya mengandungi beberapa lauk termasuk tomyam dan daging masak merah, namun kedua-dua hidangan tersebut tidak sampai ke meja mereka.
“Kami sekeluarga pelik kenapa air yang termasuk dalam set pun tidak sampai-sampai. Saya sudah berkali-kali bertanya kepada pekerja tentang nasi, tomyam, daging masak merah serta air, tetapi semuanya tidak muncul,” luah pelanggan berkenaan.
Lebih mengecewakan, nasi hanya sampai pada jam 7.40 malam, iaitu 20 minit selepas waktu berbuka. Situasi ini menyebabkan keluarganya terpaksa berbuka dengan makanan yang tidak lengkap.
Tidak cukup dengan itu, apabila tiba di kaunter untuk membuat bayaran, mereka dikejutkan dengan jumlah yang melebihi harga set asal.
“Saya terkejut apabila diberitahu jumlahnya lebih RM100, sedangkan kami hanya mengambil set RM99. Saya minta mereka kira semula, tetapi tetap ada perbezaan harga,” katanya lagi.
Insiden ini telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet, dengan ramai yang menyuarakan rasa simpati serta menggesa pihak kedai untuk memperbaiki sistem perkhidmatan mereka.
Sehingga kini, pihak pengurusan premis tersebut masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian ini.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BELI LUAR KEMAMPUAN, BELI DAHULU BAYAR KEMUDIAN CEKEK DARAH!
Pembelian secara ansuran melalui kaedah ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ (BNPL) boleh membawa membawa risiko hutang yang boleh membebankan jika tidak diurus dengan baik.
Hari ini, BNPL semakin popular dalam kalangan rakyat kerana ia membolehkan pembelian dilakukan tanpa perlu membayar jumlah penuh serta-merta. Pembeli hanya perlu membuat bayaran kecil secara ansuran bulanan, menjadikannya kelihatan lebih ‘ringan’ di dompet
Namun, kajian menunjukkan penggunaan BNPL tidak terkawal boleh membawa kepada hutang berpanjangan. Statistik menunjukkan jumlah transaksi BNPL meningkat kepada RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024, iaitu kenaikan lebih 44 peratus berbanding separuh pertama tahun sama.
Menurut Kementerian Kewangan, terdapat lebih 5.1 juta pengguna BNPL masih aktif sehingga penghujung 2024, dengan majoritinya berusia antara 21 hingga 45 tahun serta berpendapatan bawah RM5,000 sebulan.
Walaupun ramai menganggap kaedah ini sebagai penyelesaian mudah dalam pembelian, hakikatnya sekitar 40 peratus pengguna BNPL menghadapi kesukaran membayar ansuran, menyebabkan mereka dikenakan caj penalti sekali gus menambah beban kewangan.
Pelbagai platform BNPL popular di Malaysia. Walaupun kebanyakan platform ini menawarkan ansuran tanpa faedah dalam tempoh tertentu, kegagalan membuat pembayaran mengikut jadual boleh membawa risiko besar seperti dikenakan caj RM10 jika lewat membayar dan ada akaun disekat sekiranya hutang tidak dilunas.
Ini menunjukkan walaupun BNPL kelihatan mudah dan fleksibel, ia tetap mempunyai risiko kewangan yang boleh membebankan pengguna sekiranya tidak digunakan dengan bijak.
Salah satu risiko utama BNPL ialah perbelanjaan yang melebihi kemampuan kewangan. Oleh kerana pengguna tidak perlu membayar jumlah penuh ketika membuat pembelian, mereka lebih cenderung membeli barangan yang sebenarnya di luar kemampuan sekiranya dibayar secara tunai.
Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan hutang yang membebankan serta tekanan kewangan, terutama selepas musim perayaan. Selain itu, caj penalti dan kadar faedah tersembunyi dikenakan akibat kelewatan pembayaran boleh menjadikan jumlah hutang BNPL jauh lebih tinggi daripada jangkaan asal.-SAHIH.
Sumber asal : Berita Harian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dua Warga Tempatan, Seorang Warga Indonesia Ditahan Kes Curi Sawit di Bera
BERA – Pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera berjaya menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri buah sawit di dua lokasi berasingan di daerah ini.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee bin Nazir berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 24 Mac 2025 ke atas seorang lelaki Melayu dan seorang lelaki warganegara Indonesia yang disyaki terlibat dalam kes kecurian sawit di Ladang Felda Rentam, Bandar Bera.
“Hasil daripada siasatan dan maklumat yang diperoleh, pihak polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga tempatan serta seorang lagi lelaki warganegara Indonesia di Ladang FDM Felda Mayam, Bandar Bera. Mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah yang sama,” katanya.
Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut merampas sebuah lori yang dipercayai digunakan suspek untuk mengangkut buah sawit curi.
Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 25 Mac 2025, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan tahanan reman selama tiga hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
IPD Bera menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras kegiatan jenayah, khususnya kecurian sawit di daerah ini.
Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HAMZAH: UMNO BOLEH GABUNG DENGAN BERSATU, CUMA TAK MAHU
BENTONG – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, mendedahkan bahawa UMNO sebenarnya mempunyai peluang untuk bergabung dengan Perikatan Nasional (PN), namun memilih untuk kekal bersama kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana merasakan ia lebih menguntungkan.
Beliau berkata, jika UMNO bersedia untuk bekerjasama, kerajaan boleh dibentuk dengan hanya tambahan lapan Ahli Parlimen lagi.
*”Pada waktu itu, kita sudah ada 104 sokongan. Hanya perlukan lapan lagi untuk membentuk kerajaan. Tetapi UMNO lebih memikirkan kepentingan berkuasa bersama Anwar.
“Jika mereka ada keterbukaan dan mahu duduk semeja, kita boleh fikirkan masa depan negara yang lebih baik agar masyarakat tidak terus berpecah-belah,”* katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersatu Bahagian Bentong di Cherengin Hill, Janda Baik.
Menurut Hamzah, perjuangan asal UMNO adalah untuk mencapai kemerdekaan, tetapi selepas lebih 70 tahun, sepatutnya parti itu juga “memerdekakan” pemikiran rakyat dan melihat kepentingan semua, bukan hanya golongan elit.
Dalam ucapannya, Hamzah turut menekankan bahawa Bersatu adalah parti yang benar-benar inklusif, dengan wakil daripada pelbagai kaum dalam kepimpinan tertinggi.
*”Kita ada empat sayap – Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu. Ketua Sayap Bersekutu kita, Dr. Chong, mewakili kaum Tionghoa, manakala Datuk Seri Sanjeevan duduk dalam PNPT bagi membawa isu kaum India.
“Kalau orang kata Bersatu ini tidak inklusif, itu tidak betul. Kitalah parti yang benar-benar terbuka kepada semua,”* tegasnya.
Sementara itu, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Leong Kim Soon, mengumumkan 113 ahli baharu telah menyertai parti itu pada hari ini sahaja.
“Saya sudah keluar daripada MCA dan memilih Bersatu kerana ia selari dengan perjuangan saya. Dengan pengalaman yang saya ada, saya akan membantu memperkukuhkan Bersatu di Bentong dan seluruh Pahang,” katanya.
Menurut Hamzah, jumlah penyertaan ahli baharu dijangka meningkat dalam masa terdekat, sekali gus membuktikan sokongan yang semakin bertambah terhadap Bersatu dan PN.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Duda Sepi Dicekup Selepas Tular, Didakwa Cabul Tiga Wanita di Bazar Ramadan
TEMERLOH – Seorang lelaki berstatus duda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas empat pertuduhan mencabul tiga wanita di Bazar Ramadan Lurah Semantan, awal bulan ini.
Tertuduh, Nazarin Romeli, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tan Chiew King.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan menyentuh payudara menggunakan siku dan lengan, serta menyentuh punggung seorang wanita berusia 26 tahun menggunakan paha pada 6 Mac 2025, kira-kira jam 6.40 petang.
Dia turut didakwa atas pertuduhan ketiga mencabul seorang lagi mangsa berusia 22 tahun dengan menyentuh payudara menggunakan siku dan lengan pada 10 Mac 2025, sekitar jam 6.20 petang di lokasi yang sama.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap wanita berusia 28 tahun pada 6 Mac, jam 6.40 petang.
Kesemua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Adriana Azrin, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Syazwani Roslan.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan. Bagaimanapun, mahkamah menetapkan jaminan RM14,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan.
Kes akan disebut semula pada 17 April 2025 bagi pengurusan dokumen dan pelantikan peguam.
Sebelum ini, video memaparkan kelakuan suspek mencabul beberapa pengunjung wanita di bazar Ramadan itu tular di TikTok, menyebabkan tiga mangsa tampil membuat laporan polis.
Suspek akhirnya diberkas pada 13 Mac lalu dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut. Difahamkan, tertuduh mengakui perbuatannya dan mendakwa bertindak demikian kerana sudah lama tidak bersama wanita selepas disahkan menghidap HIV positif sejak 13 tahun lalu.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Dari kanan, Idris, Pak Yub dan Omar Chong bersama-sama otai pencen bersiap sedia untuk memasak bubur lambuk.
Geng Otai bubur lambuk guna resepi orang pencen
Geng Otai Bubur Lambuk Surau As-Siddiq (SAS), Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, buat kali pertama menunjukkan skil memasak bubur lambuk resipi orang pencen untuk menyantuni jemaah sebagai menu apabila berbuka puasa.
Usaha sukarela mereka itu memeriahkan lagi aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan di surau berkenaan yang biasa dipenuhkan dengan bersolat tarawih, tazkirah Ramadan selepas solat witir dan tadarus Al-Quran.
Mengacau bubur lambuk selepas dicampur bahan utama memerlukan banyak tenaga.
Memasak bubur lambuk yang dilakukan oleh Geng Otai itu juga merupakan aktiviti yang julung kali diadakan dengan tersusun dan teratur dijangka membabitkan empat tarikh iaitu bermula 5 Mac, 10 Mac, 13 Mac, dan 17 Mac serta jemaah boleh datang mengambil pada hari berkenaan selepas solat asar.
Ketua memasak bubur lambuk Geng Otai itu, Ayub Shafii, berkata sebelum bersetuju untuk mengelola dan seterusnya memasak menu tradisional berkenaan, dia bersama 11 rakan iaitu bekas pesara kerajaan dan swasta terlebih dahulu mencuba memasak pada majlis sambutan Maulidur Rasul 2024 dan Nisfu Syaaban 2025.
Menurutnya, selepas dua kali percubaan memasak itu dilakukan ia tidak dijangka mendapat sambutan dan pujian ramai daripada jemaah SAS yang mencadangkan usaha berkenaan diteruskan pada Ramadan sebagai menceriakan menu apabila berbuka.
Tambahnya, saranan jemaah itu mereka terima dengan hati terbuka dan dengan rendah diri kerana usaha sukarela berkenaan sebahagian daripada kerja amal kebajikan bersama rakan-rakan pencen kerana dapat mempelbagaikan menu berbuka puasa untuk keluarga jemaah sekitar SAS.
Idris (kiri), Ainsaim, Yahya dan Talib menyusunkan bekas plastik yang sudah diisi dengan bubur lambuk.
“Sebagai ketua saya mempraktikkan tugas memasak serta menyediakan bahan mentah dan rencah berdasarkan resipi orang Perak yang juga sinonim dengan menu bubur lambuk di samping pengalaman selalu ditugaskan menyediakan masakan untuk keramaian ketika mendiami perumahan anggota Polis, Desa Baiduri, Cheras,” kata beliau yang lebih dikenali dengan gelaran Pak Yub yang merupakan bekas Timbalan Ketua Balai Polis, Seri Petaling.
Untuk menyediakan bubur lambuk sebanyak 450 mangkuk plastik itu mereka menggunakan 15 kilogram beras, daging dan udang tujuh kilogram, ramuan rempah ratus serta menggunakan sumber air mineral bertapis bagi menjamin masakan bubur lambuk menjadi enak.
Seorang ahli Geng Otai itu, Idris Asaran, berkata untuk memasak bubur lambuk itu mereka terpaksa memulakan tugas menyediakan bahan mentah dan rencah seawal jam 8 pagi secara bergotong-royong bersama-sama rakan sehinggalah selesai memasak sebelum masuk waktu solat zuhur.
Jelasnya, selepas itu bubur lambuk dibiarkan sejuk seketika di dalam periuk besar sebelum dimasukan ke dalam mangkuk plastik bagi diagihkan kepada jemaah selepas solat asar yang ramai antara mereka akan bergegas untuk pulang ke rumah.
“Saya berasa bertuah dapat membantu rakan-rakan otai menyediakan bubur lambuk ini dan berasa seronok melakukan amal jariah dengan menyediakan menu berbuka untuk keluarga jemaah walaupun hanya seminggu sekali,” ujarnya.
Rakan beliau, Omar Chong pula berkata, sebagai usaha berjemaah sesiapa sahaja boleh datang membantu memasak bubur lambuk itu pada tarikh yang tetapkan kerana apabila ramai tenaga sukarela kerja-kerja menyediakan bahan mentah serta memasukan ke dalam mangkuk plastik selesai dengan mudah.
Jelasnya, dalam keadaan umur yang semakin lanjut memang terasa kepenatan apabila banyak tenaga digunakan sewaktu mengacau bubur lambuk sebaik sahaja dimasukan rempah ratus, daging dan beras yang mengambil masa beberapa jam.
“Namun kepenatan ini terubat apabila bubur lambuk ini siap dimasak dan jemaah pula mengambil dengan teratur yang disusun di atas meja disamping disediakan plastik untuk senang dibawa pulang,” katanya.
Anggaran kos bahan mentah untuk menyediakan bubur lambuk itu adalah RM1,500 untuk satu periuk besar.
Kepada jemaah ingin menyumbang kewangan untuk projek buur lambuk Geng Otai ini, bolehlah terus disalurkan ke akaun Surau As-Siddiq ; Maybank nombor 5623 84700 115. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
AL-SULTAN ABDULLAH DUKACITA MASIH ADA PIHAK BERANI CETUS POLEMIK 3R
JERANTUT – Perpaduan dan keharmonian negara tidak seharusnya dikorbankan demi kepentingan peribadi, namun masih ada pihak yang berani mencetuskan polemik berkaitan agama, kaum, dan raja (3R) tanpa rasa tanggungjawab.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap tindakan segelintir pihak yang mempermainkan agama Islam serta menggunakan isu sensitif demi kepentingan tertentu.
Paduka Baginda bertitah, tindakan seperti itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menggugat keharmonian negara yang telah sekian lama dipelihara.
“Beta amat sedih apabila masih ada yang tanpa rasa bersalah mempergunakan Islam sebagai alat untuk meraih sokongan dan kepentingan peribadi. Ini bukan perkara baharu, tetapi sehingga hari ini masih ada yang berani bermain api dengan mempolitikkan agama,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Abdul Rahman Auf bernilai RM1.8 juta di Kampung Durian Hijau, sempena majlis berbuka puasa di sini, hari ini.
Berangkat sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Paduka Anakanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan setempat.
Dalam majlis itu, Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 100 asnaf dari Kampung Durian Hijau dan kawasan sekitar.
Paduka Baginda turut mengingatkan agar rakyat tidak mudah terpedaya dengan golongan yang gemar mencetuskan perpecahan menggunakan isu 3R, sebaliknya terus berpegang teguh kepada nilai perpaduan dan keharmonian.
“Jangan jadi badut politik yang menggunakan agama dan perkauman untuk mengelirukan rakyat. Negara ini telah lama hidup dalam aman damai kerana sikap toleransi dan hormat-menghormati. Jangan sesekali kita biarkan pihak tertentu merosakkan keharmonian ini,” titah Paduka Baginda.
Baginda juga menekankan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan perlu terus dipertahankan dengan penuh kebijaksanaan, dan rakyat perlu memainkan peranan dalam menjaga kesucian agama tanpa mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.
Majlis perasmian masjid itu menjadi simbol kesatuan dan keharmonian rakyat, sejajar dengan peranan rumah ibadah sebagai pusat penyatuan ummah.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tular pengantin didokong atau dijunjung jadi adat orang Jengka!
MARAN : Adat mendokong, menjunjung atau menandu yang meletakkan pengantin dibahu kemudian dibawa bukan adat pengantin di kawasan Felda di Jengka seperti ditularkan dalam semua klip video yang ditemui baru-baru ini.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud (65) berkata, mendokong atau menandu pengantin yang diletakkan di atas bahu kemudian membawa pengantin berarak bukan satu adat atau amalan yang dilakukan di kawasan itu.
Katanya, beliau mengulas ekoran tular sebuah video hantaran melalui Facebook ‘Jengka Today’ berdurasi 51 saat menunjukkan seorang pengantin perempuan ditandu dan kemudian diikuti pengantin lelaki turut ditandu dan dengan tulisan ‘ni (ini) adat orang Jengka..yang dapat orang Jengka stenbai (standbye) la yer.’
“Ia bukan adat orang Jengka, sebaliknya mungkin keluarga pengantin tersebut mahu melakukannya untuk memeriahkan majlis.
“Namun, tidak mustahil perbuatan itu dilakukan kerana masyarakat peneroka di kawasan Felda khususnya di tanah rancangan Wilayah Jengka datang daripada pelbagai negeri di Malaysia,” katanya.
Katanya, Gugusan Jengka merupakan gugusan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang yang meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran.
“Di sini ramai orang Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Johor dan banyak negeri ibarat mini Malaysia sudah pasti membawa adat negeri masing-masing.
“Bukan sahaja dialek atau loghat digunakan , malah makanan yang pelbagai, ini adalah satu keunikan masyarakat di Jengka seramai kira-kira 100, 000 orang di kira-kira 35 tanah rancangan,” katanya.
Katanya, namun, menandu pengantin itu tidak hairan dan mustahil jika dilakukan, dulu zaman beliau kanak-kanak, memang ada adat menandu pengantin yang ditempaykan dikerusi diikat dengan kayu atau buluh dan diusung, tapi kini jarang dilakukan.
Sementara itu, beberapa hantaran hantaran, Mohd Rasul Abd Razak; ‘Klau yg angkat tu Adk Abg pempuan takpa..Klau sepupu sepapat ka, jiran ka…Naya la pengantin..boleh buang dah adat tu..tak elok org tgk’.
Hantaran daripada Razaidi Abu Bakar menulis, ‘Ni (ini) adat org Banjar di Selangor dan Perak…kebanyakan di area Sg Manik, Sabak Bernam hingga ke Tg Karang…skrg adat ni dh semakin kurang di lakukan…sepupu kahwin di Sabak Bernam, Selangor, memang camni…pengantin perempuan usung dari tangga rumah, pengantin lelaki dari jalan…akan bertemu di halaman rumah dan bersalam…yg tukang usung adalah adik beradik ler…nasib ler klu badan berat ’
Amiereo Adipati pula menulis, Tak lah..penduduk jengka ramai yg berasal dari negeri lain..mungkin mereka ikut adat dari negeri asal mak ayah atau atuk nenek dorang…jengka umpama..mini malaysia..ramai warga2 dari seluruh malaysia menjadi peneroka di sini.
Hantara Nur Faizah yang melucukan, “Aduhaiii satu kerja nk ngangkatnya..Klu bdan kecik molek, ringan takpe….Klu badan brisi menggigil2 tukang angkat tu,” tulisnya.-SAHIH.
Video : https://www.facebook.com/watch?v=269438518670527
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Petta Bau turut mengubah Lima Rukun Islam kepada 11, malah beliau menyatakan bahawa ibadah haji tidak perlu dilakukan di Tanah Suci Makkah, sebaliknya hanya perlu mendaki Gunung Bawakaraeng.
Wanita sebar ajaran sesat tunai haji hanya perlu daki gunung, ubah rukun Islam jadi 11
Wanita sebar ajaran sesat tunai haji hanya perlu daki gunung, ubah rukun Islam jadi 11. Ajaran sesat ini kembali menjadi perhatian dalam kalangan komuniti setempat.
TribunMaros.com melalui laporan mereka mendedahkan bahawa kumpulan yang bergerak aktif di Kabupaten Maros, Sulawesi Selatan, Indonesia ini dipimpin oleh Petta Bau, 56 tahun.
Wanita tersebut menamakan ajaran sesat itu sebagai Pangisenganna Tarekat Anak Loloa, yang mula disebarkan sejak tahun lalu dan mempunyai hampir 30 pengikut.
Secara asasnya, ajaran Pangisenganna Tarekat Anak Loloa ini dikatakan mirip dengan Islam, walaupun ia sebenarnya sangat terpesong.
Selain itu, wanita ini juga menjual barang pusaka yang kononnya boleh digunakan oleh pengikutnya untuk masuk ke syurga.
Ajaran sesat ini terbongkar selepas wujud transaksi yang mencurigakan mengenai barang pusaka tersebut.
Kepala KUA Tompobulu, Danial, berkata beliau telah bertemu dengan Petta Bau dan para pengikutnya pada tahun lalu.
“Pasukan kami juga turun padang di daerah Bontosomba untuk mencegah penyebaran Pangisenganna Tarekat Anak Loloa tersebut,” ujarnya.
Sumber : Selayang Pandang
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!